Kenapa orang Yahudi berada di Madinah?
Para ulama sirah mengatakan, orang Yahudi berada di Madinah disebabkan mereka menunggu nabi akhir zaman seperti yang dijanjikan di dalam kitab-kita mereka, yang menceritakan secara terperinci ciri-ciri nabi akhir zaman dan di mana tempat keluar nabi akhir zaman tersebut.
lalu orang Yahudi, bukan sahaja yang alim mengetahui tentang nabi akhir zaman, bahkan mereka juga mengajarkan anak-anak mereka tentang akan lahirnya seorang nabi akhir zaman dan mereka akan bergabung dengan nabi akhir zaman ini membawa seruan dakwah dan memerangi golongan yang tidak beriman dengan nabi akhir zaman.
Jadi berdasarkan maklumat yang ada pada mereka, menceritakan nabi akhir zaman itu akan lahir di negeri yang banyak terdapat pohon tamar. Kerana itu orang Yahudi berada di Madinah, kerana mereka mendapati Madinah adalah negeri yang banyak terdapat pohon tamar. Bahkan ada juga riwayat yang mengatakan orang Yahudi tahu, nabi akhir zaman itu akan berhijrah ke negeri yang terdapat banyak pohon tamar itu. Maknanya nabi akhir zaman tersebut bukan berasal atau bukan penduduk asal negeri yang terdapat banyak pohon tamar.
Mereka juga tahu yang nabi akhir zaman itu akan berhijrah dari Mekah. Maknanya mereka tahu tentang nabi akhir zaman secara terperinci. Bukan sahaja sifat nabi akhir zaman tersebut mereka tahu, bahkan perjalanannya juga mereka tahu. Kerana itu sebahagian besar orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka pada asalnya adalah dari Syam. Cerita yang semua kita biasa dengar, tentang bapa saudara baginda Abu Talib, ketika baginda masih kecil pernah membawa baginda ke Syam untuk berniaga. Di Syam, Abu Talib berjumpa dengan orang Yahudi dan ada pendeta Yahudi yang menasihati kepada ABu talib agar segera membawa pulang baginda ke Mekah. Jadi kebanyakan orang Yahudi ketika itu berada di Syam. Mereka keluar dan meninggalkan Syam, dalam riwayat menyebut mereka berkata: “Kami meninggalkan negeri kami فيه خمر وخمير" menceritakan mereka meninggalkan tempat atau negeri yang cukup makanan dan tidak kering kontang seperti Mekah dan Madinah. Mereka tinggalkan Syam untuk menunggu nabi akhir zaman. Begitu bersungguhnya orang Yahudi nak tunggu nabi akhir zaman.
Akan tetapi tuan-tuan, apabila nabi akhir zaman yang mereka tunggukan itu, yang mereka sangkakan nabi itu dari kalangan mereka, tiba-tiba Allah SWT memilih nabi akhir zaman itu bukan dari kalangan Bani Israil, sebaliknya dari kalangan orang Arab. Sedangkan orang Yahudi memandang orang Arab termasuk Mekah dan Madinah sebagai jahil. Bahkan orang Arab Mekah dan Madinah juga mengiktiraf orang Yahudi sebagai orang yang berilmu atau ahli kitab, kerana orang Yahudi memiliki kitab.
Bila nabi akhir zaman itu diutuskan dari kalangan orang Arab, mereka mengkufuri Nabi Muhammad SAW. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 89:
فَلَمَّا جَاءَهُم مَّا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ ۚ
maksudnya: “ketikamana datang kepada mereka apa-apa yang mereka ketahui dan kenal akan kebenarannya, mereke kufurinya.”
Kerana itu hari ni, bila ada sekumpulan orang Islam yang suka teka-teka peristiwa akhir zaman, nak tunggu imam Mahdi, nak tunggu hari kiamat atau buat persediakan kerana dunia dah nak kiamat, antara yang terbaru, kumpulan yang dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Terakhir, mereka nak buat persediaan kedatangan Imam Mahdi kerana dunia dah nak kiamat.
Apakah agama suruh kita tunggu kedatangan hari kiamat? apakah agama suruh kita tunggu kedatang Imam Mahdi? Jawabnya, agama tak suruh kita tunggu hari kiamat dan agama juga tak suruh kita tunggu Imam Mahdi. Agama suruh kita mempersiapkan diri jika kiamat berlaku maksudnya persiapan bertemu dengan Allah SWT.
Tuan-tuan sekalian, sekalipun jika kita tak bertemu dengan goncangan besar hari kiamat, kita tetap akan bertemu dengan kiamat kecil, iaitulah kematian. Jadi kalau ada orang yang bawa ajaran yang didakwanya ajaran agama, tetapi perkara utama seruan dia nak tunggu kedatangan hari kiamat, kononnya hari kiamat akan berlaku sekian-sekian tarikh, maka bersaksikanlah ajaran itu tidak betul. Katakan ajaran tu kata kiamat akan berlaku pada bulan 12 tahun 2022, sekarang ni kita di bulan 9. Lalu ajaran itu ajak kita tunggu kedatangan hari kiamat tersebut. Buat apa kita tunggu?, bukankah kita sendiri belum pasti apakah kita akan hidup sampai bulan 12 nanti? barangkali esok atau lusa Allah akan ambil nyawa kita. Jadi untuk apa kita menunggu sesuatu yang belum pasti kita sempat ataupun tidak? Sebaliknya suatu yang pasti akan datang ialah kematian. Oleh itu buatlah persiapan untuk bertemu dengan Allah, sama ada kita bertemu dengan Allah melalui pintu kematian atau kita bertemu dengan ALlah melalui pintu hari kiamat. Yang penting persiapkan bekalan untuk bertemu dengan Allah SWT, dan sebaik-baik bekalan itu adalah takwa.
Demikian juga isu Imam Mahdi. Kalau ada ajaran yang mendakwa mereka mempersiapkan diri untuk bergabung atau menjadi tentera Imam Mahdi, maka bersaksikanlah ajaran-ajaran seumpama ini kesemuanya adalah ajaran yang menyeleweng. Sesiapa yang menunggu kedatangan Imam Mahdi, belum tentu dia menjadi pengikut dan tentera Imam Mahdi. Lihatlah apa yang berlaku kepada orang Yahudi, sekalipun mereka mempersiapkan diri untuk menjadi pengikut nabi akhir zaman, tetapi ketika nabi akhir zaman itu datang mereka mengkufurinya.
فَلَمَّا جَاءَهُم مَّا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ ۚ
maksudnya: “ketikamana datang kepada mereka apa-apa yang mereka ketahui dan kenal akan kebenarannya, mereke kufurinya.”
Itu yang berlaku kepada orang Yahudi, kerana apa? kerana mereka menempoh jalan yang salah. Mereka membunuh para nabi yang diutuskan kepada mereka, mereka tidak mengikut ajaran kitab yang diturunkan kepada mereka, iaitulah kitab Taurat dan Injil, bahkan mereka ubah ajaran kitab Taurat dan Injil yang diturunkan oleh Allah. Tiba-tiba mereka nak tunggu kedatangan nabi akhir zaman? apa semua ni? Samalah dengan masyarakat pada hari ini, sunnah Nabi SAW mereka jauhi dan tinggalkan. Agama yang ALlah turunkan mereka tak ambil peduli, mereka tak mahu ikut sunnah Nabi SAW, tiba-tiba mereka nak tunggu kedatangan Imam Mahdi? Bila datang Imam Mahdi apakah mereka akan ikut Imam Mahdi? Sebenarnya mereka akan menentang Imam Mahdi, jika benar Imam Mahdi itu akan datang seperti yang sokong kefahaman ini oleh sebahagian ulama.