Ini Akidah Kami (1): Wujudnya Pelampau Sufi Kerana Salah Faham Dengan Konsep Uluhiyyah

 

WUJUDNYA PELAMPAU SUFI KERANA SALAH FAHAM DENGAN KONSEP ULUHIYYAH

Tauhid yang dibahagikan oleh para ulama

Sebahagian para ulama membahagikan tauhid kepada dua bahagian, iaitulah tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Sebahagian ulama lain membahagikan tauhid kepada tiga iaitulah pertama tauhid rububiyyah, kedua tauhid uluhiyyah dan ketiga tauhid al-Asma wa al-Sifat. Kedua-dua pandangan ini pada hakikatnya adalah sama, di mana ulama yang membahagikan tauhid kepada dua bahagian, rububiyyah dan uluhiyyah, memasukkan tauhid al-Asma wa al-Sifat di bawah rububiyyah.

Memahami pembahagian tauhid amat penting dalam kehidupan seorang muslim. Bila kita sebut tauhid rububiyyah, ia merujuk kepada mengesakan Allah pada rububiyyah. Iaitulah kita berkeyakinan dengan keyakinan yang jazam dan pasti lagi kukuh di dalam diri, mengatakan hanya ALlah sahaja yang memiliki sifat rububiyyah. Tauhid rububiyyah asasnya adalah Tuhan Yang Mencipta, Yang Memiliki dan Yang Mentadbir Segala Makhluk. Inilah asas tauhid rububiyyah. Bila kita kata ALlah Yang Mentadbir semua makhluk, maka Dialah yang menurunkan rezeki, Allah Yang Mencipta, Yang Memiliki dan Yang Mentadbir semua makhluk, Dialah yang menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuhan. Semua ini untuk mendatangkan manfaat kepada makhluk yang ALlah ciptakan di atas muka bumi ini. Dengan sifat rububiyyah itulah ALlah SWT telah menciptakan bumi ini dalam bentuk hamparan, sehingga bumi ini sesuai untuk didiami. Dengan sifat rububiyyah itulah Allah SWT telah menurunkan para rasul dan nabi untuk membimbing manusia ke jalan yang diredai oleh-Nya.

Secara ringkasnya, Allah yang bersifat dengan sifat rububiyyah, atau mengesakan ALlah pada rububiyyah ialah dengan kita mengesakan ALlah yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan, gagah perkasa dan memiliki kekuatan tidak terbatas. Semua sifat ini kita berikan kepada ALlah SWT sahaja.

Seorang hamba yang benar-benar memahami tauhid rububiyyah ini akan mendorong dia mentauhidkan ALlah pada uluhiyyah. Apakah tauhid uluhiyyah?

Seseorang yang kenal ALlah sebagai rabb, iaitulah tuhan yang mencipta, memiliki dan mentadbir urusan kita, segala kebaikan dan keburukan berada dalam genggaman-Nya, Dialah ALlah yang menjaga dan memberi keselamatan kepada kita, Dialah ALlah yang telah mencurahkan segala macam bentuk nikmat kepada kita, Allahlah Tuhan Yang Maha Baik dan Maha Terpuji, maka seorang hamba yang memahami dan merasai perkara ini, akan terdetik di dalam jiwa dia hendak mendekatkan diri kepada ALlah yang maha sempurna itu. Dia mahu ALlah sayang kepadanya, dia mahu ALlah limpahkan lagi anugerah kepadanya, dia mahu ALlah Yang  Maha Gagah Perkasa lagi Maha Sempurna itu memelihara dan menjaga dia. Lalu apa si hamba itu buat? Dia akan segera menghina dan merendahkan dirinya kepada ALlah, tuhan yang mencipta,  memiliki dan mentadbir dirinya. Menghina dan merendahkan diri kepada Allah itu namanya tauhid uluhiyyah. Ia juga dinamakan sebagai tauhid ’Ibadah.

Seorang yang sempurna pemahaman rububiyyah, akan menjadikan dia seorang yang tidak akan rela kehinaan dan kerendahan dirinya melainkan kepada ALlah yang mencipta, memiliki dan mentadbir dirinya. Kenapa begitu? Kerana dia mahu dirinya menjadi dekat dengan tuhan, dia hendak ALlah sayang kepadanya. Bila dia dekat dengan ALlah, bila ALlah sayang dia, maka ALlah akan terus mencurahkan kebaikan dan melindungi dia dari sebarang keburukan di dunia mahupun di akhirat. Inilah asas ibadah, inilah sulbi kepada ibadah iaitulah rasa hina dan rendah diri kepada ALlah yang mencipta, memiliki dan mentadbir urusannya.

Dengan apa kita nak hina dan rendahkan diri kepada ALlah? Jawapannya ialah dengan solat, puasa, zakat dan ibadah lainnya. Kalau ditanya kenapa kita solat, maka jawabnya, kerana kita menghinakan diri kepada tuhan yang memiliki diri kita, dengan kita taat dan patuh kepada perintah-Nya. Kehinaan dan kerendahan diri kepada ALlah, hendaklah disertai dengan rasa غاية الحب و التعظيم iaitulah kemuncak kecintaan dan pengagungan kepada ALlah, kerana ALlah terlalu agung dan hebat. Dia memiliki nama dan sifat yang mulia, Dia tuhan yang maha pemurah, maha pengasih, dia memiliki sifat-sifat yang terlalu agung sehingga kita tak mampu mengungkapkan keagungan itu dengan kata-kata.

Lalu kita lakukan solat, segala perbuatan di dalam solat seperti qiyam, rukuk, iktidal dan sujud kita lakukan hanya kepada ALlah SWT. Perlakuan solat itu berupa satu pengistiharan kehinaan dan kerendahan diri kita kepada ALlah SWT. Maka cara menghinakan diri dengan melakukan solat itu hendaklah diambil dari Rasul atau utusan ALlah, kerana melalui rasul yang diutuskan oleh Allah sahaja kita dapat tahu cara menghinakan diri seperti yang dikehendaki oleh ALlah SWT.

Demikian juga, ibadah puasa, mematuhi perintah melaksanakan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari, tanpa banyak tanya, setelah kita beriman bahawa penyariatan puasa dengan cara khusus tersebut adalah perintah dari ALlah yang maha agung. Lalu kita tidak akan banyak tanya, kita dengar dan terima sahaja perintah yang disampaikan melalui rasul utusan ALlah, lalu kita segera taat dan buat, kerana ia merupakan salah satu bentuk penghinaan dan kerendahan diri kepada Allah SWT.

Demikian juga zakat yang kita laksanakan, kenapa kita patuh melaksanakan zakat? Jawapannya kerana kita yakin itulah yang diperintahkan oleh ALlah, yang kita menagih kasih-sayang dari-Nya. Lalu kita laksanakan sahaja seperti yang dikhabarkan oleh rasul utusan ALlah, tanpa kita tanya kenapa kadarnya 2.5%? kenapa ada bermacam zakat? Kenapa ada zakat fitrah, zakat tanaman, zakat ternakan, zaman emas dan perak dan lainnya? Kita tak tanya lagi, kerana kita yakin, itulah yang dikehendaki oleh ALlah melalui perkhabarah rasul utusan-Nya. Lalu kita patuh dan taat akan perintah ALlah, kerana menghina dan merendahkan diri kepada-Nya, kerana kita tagihkan kasih sayang-Nya.

Demikian juga ibadah korban, kenapa kita menyembelih haiwan korban bila datang hari raya korban dengan hukum hakan yang telah dijelaskan oleh para ulama berdasarkan pemahaman mereka kepada perintah ALlah dan rasul? Iaitulah kerana kita tahu menyembelih haiwan korban itu adalah salah satu amalan yang disukai oleh ALlah. Lalu kita buat amalan yang ALlah suka untuk mendekatkan diri kepada-Nya, kita buat dengan penuh kepatuhan, kerana mengharapkan Dia menerima kita sebagai hamba-Nya dan mengharapkan kasih sayang-Nya.

Semua amal ibadah ini kita lakukan kerana ALlah, itulah dinamakan tauhid uluhiyyah, iaitulah kita laksanakan ibadah dalam keadaan menghina dan merendahkan diri sebagai seorang hamba kepada ALlah Yang Mencipta, Memiliki dan Mentadbir urusan kita. Kita buktikan kehinaan dan kerendahan diri kepada ALlah dalam bentuk penuh kecintaan dan pengagungan kepada-Nya. Inilah ringkasan kepada tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah.

Seseorang yang jelas tauhid rububiyyah dan uluhiyyah tidak akan tergamak melakukan sesuatu amalan bagi menzahirkan kemuncak kehinaan dan kerendahan diri kepada selain ALlah. Semua puncak kehinaan dan kerendahan diri itu hanyalah disembahkan kepada ALlah SWT semata-mata, kerana Dialah tuhan yang mencipta, memiliki dan mentadbir makhluk ciptaan-Nya.

Termasuk juga di dalam tauhid uluhiyyah ialah doa. Di mana seseorang yang berdoa, sebenarnya telah menzahirkan kehinaan dan kerendahan dirinya, kerana itu dia meminta. Dalam masa yang sama dia mengagung dan membesarkan pihak yang ditujukan permintaan dan permohonan. Maka perbuatan doa ini tidak akan kita halakan melainkan kepada ALlah. Kerana kita tidak akan rela adanya sesuatu selain ALlah untuk disembahkan kehinaan dan kerendahan diri kita kepadanya. Inilah tauhid uluhiyyah.

Maka semua amalan ibadah seperti solat, doa, puasa, zakat, haji, sembelihan haiwan ternak, zikir dan lain-lain ibadah adalah perbuatan menzahirkan kemuncak kehinaan dan kerendahan diri kepada pencipta, pemilik dan pentadbir kita Yang Maha Sempurna dan Gagah Perkasa iaitulah ALlah SWT. Kita sama sekali tidak akan mempersembahkan kemuncak kehinaan dan kerendahan diri, serta memberikan kemuncak kecintaan dan pengagungan itu kepada selain dari ALlah SWT. Inilah tauhid uluhiyyah atau tauhid ibadah.


Cetak  
Wallahu a'lam