Soalan:
Apakah Hantu Wujud Di Zaman Nabi SAW?
Jawapan:
Anggapan adanya hantu wujud di zaman Nabi SAW. Terdapat hadis yang menunjukkan masyarakat ‘Arab dahulu juga percaya dan takutkan hantu. Nabi SAW bersabda:
لا عَدْوى ولا صَفَرَ ولا غُولَ
Maksudnya: “Tiada jangkitan, tiada kesialan bulan Safar dan tiada ghul (hantu).” (Muslim)
Ghul (غُول) adalah kata plural untuk ghilan (الغيلان) iaitulah sejenis jin dan syaitan. Orang ‘Arab dahulu meyakini bahawa ghul di padang pasir akan menjelma kepada orang ramai dengan menyerupai berbagai rupa, sehingga menyesatkan perjalanan manusia dan mendatangkan keburukan kepada mereka.
Dalam hadis ini, Nabi SAW menafikan kewujudan ghul ini. Ada pula di kalangan ulama yang berpandangan, sabda Nabi SAW: “tiada ghul” bertujuan membatalkan anggapan orang ‘Arab yang mengatakan makhluk bernama ghul yang menyesatkan mereka, sebaliknya yang menyesatkan mereka adalah dari sebab tipu-daya jin dan syaitan. Hal ini dikuatkan dengan hadis lain:
لا غُولَ ولَكِنَّ السَّعالِي
Maksudnya: “Tiada ghul akan tetapi al-Sa‘aliy.”
al-Sa‘aliy ialah para penyihir jin dan syaitan yang melakukan talbis iaitulah tipu-daya dan takhyil dengan menjadikan manusia seperti berada dalam khayalan. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah 3/369-30)
Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan terdapat athar daripada ‘Umar bin al-Khattab RA yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah RH dengan sanad yang sahih tentang ghilan dengan katanya:
إنَّ أحَدًا لا يَسْتَطِيعُ أنْ يَتَحَوَّلَ عَنْ صُورَتِهِ الَّتِي خَلَقَهُ اللَّهُ عَلَيْها ولَكِنْ لَهُمْ سَحَرَةٌ كَسَحَرَتِكُمْ فَإذا رَأيْتُمْ ذَلِكَ فَأذِّنُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya sesuatu apapun tidak dapat berubah dengan rupa asal yang diciptakan oleh Allah. Akan tetapi bagi mereka (para jin dan syaitan) terdapat para penyihir sama seperti para penyihir kamu (dari kalangan manusia). Jika kamu melihatnya, laungkanlah azan.” (Lihat Fath al-Bari 6/344)
Ibn al-Athir dalam kitabnya al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis wa al-Athar menyatakan dalam kalangan jin terdapat para penyihir, mereka dapat memperdaya dan menimbulkan keraguan kepada manusia, darinya hadis: “Apabila ghilan mengganggu, maka bersegeralah melaungkan azan” itulah tolak kejahatan mereka dengan mengingati dan menyebut nama Allah Taala. (Lihat al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis wa al-Athar 3/396)
al-Khattabi dalam Ma‘alim al-Sunan menyatakan; hadis ini bukan menafikan kewujudan ghul, sebaliknya membatalkan apa yang dikatakan tentang ghul yang dapat berubah warna dan rupa bagi menjadikan manusia tersesat jalan dan dari apa-apa yang diceritakan tentangnya yang termasuk dalam perkara yang tidak diketahui hakikatnya. Oleh itu janganlah mempercayai cerita tentangnya dan jangan takut kepadanya, sesungguhnya ghul tidak mampu melakukan sesuatu melainkan dengan izin dari Allah SWT. (Lihat Ma‘alim al-Sunan 4/234-235