SDI 1449: Apakah Allah Maha Tinggi Di Atas Setiap Makhluk-Nya

Soalan:

Assalamu'alaikum Ustaz. Nak tanya,apa pandangan atau tafsiran Ulama' Salaf tentang makna doa ni?

وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَىْءٌ وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَىْءٌ

"Engkau Maha Zahir yg tiada sesuatu di atas-Mu dan Engkau Maha Batin,maka tiada di bawah-Mu sesuatupun.." (HR. Muslim,no.4888/no.2713)

Sebab secara zahir, hadis ni seolah² menafikan sifat 'Uluw (dengan Dzat). Jazakallahu khair.01:51 PM

 

Jawapan:

Wa‘alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh, wallahu Ta‘ala a’lam,

Sebenarnya hadis ini dijadikan dalil oleh sebahagian ulama salaf untuk mengithbatkan علو الله في الذات ketinggian Allah pada zat menandingi makhluk yang lain. Kerana itu kenyataan zahir hadis ini seolah-olah menafikan sifat ‘uluw, tidak betul, kerana ia secara jelas menunjukkan Allah Taala lebih tinggi dari segala-galanya. Dalam hadis ini secara jelas disebut وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَىْءٌ  “Engkaulah tuhan yang Maha Zahir, tiada sesuatu di atas-Mu.”

 Nabi SAW menggunakan lafaz: فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَىْءٌ maknanya “tiada sesuatu yang di atas Engkau.” Nabi SAW tidak menyatakan فليس شيء أفوق منك  atau فليس شيء أظهر منك  “tiada sesuatu yang lebih tinggi atau tiada sesuatu yang lebih zahir daripada-Mu.” Jika Nabi SAW gunakan ungkapan ini, mungkin boleh kita kata ia tidak jelas menunjukkan ketinggian Allah di atas segala makhluk, sebaliknya Nabi SAW menggunakan lafaz: فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَىْءٌ maknanya “tiada sesuatu yang di atas Engkau.” Jadi hadis ini sebenarnya mengithbatkan ketinggian Allah SWT pada zat di atas segala makhluk.

Sekalipun saya tidak nafikan ada sebahagian ulama menyatakan maksud zahir di sini, adalah yang jelas akan kewujudan dan keesaan juga penguasaan Allah, semua itu terlalu zahir yakni jelas dan terang sekali.

Namun untuk kita kata hadis ini tidak menunjukkan ketinggian Allah pada zat, pada pandangan saya, ia tidak tepat, kerana ketinggian Allah pada zat itu secara jelas dapat difahami dari hadis yang ditanya ini.

Manakala الباطن, Nabi SAW sebut: وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَىْءٌ “Dikaulah yang Maha Batin”, di mana al-Batin ada beberapa penafsiran para ulama. Sebahagian mereka mengatakan, al-Batin di sini membawa maksud الأقرب iaitulah Allah terlalu hampir dan dekat dengan makhluk, akan tetapi dekat dan hampir ini ialah pada ilmu dan penguasaan, bukan dekat dalam ertika المجاورة atau berjiran.

Kenapa disertakan ungkapan al-Batin di sini? kerana Nabi SAW telah sebutkan al-Zahir yang menunjukkan ketinggian zat Allah di atas semua makhluk. Jadi jangan kita menyangka apabila Allah itu di atas segala makhluk-Nya, bermakna ia jauh, lalu datanglah sifat Allah yang lagi satu iaitulah, Dikaulah Yang Maha Batin, iaitulah yang lebih dekat, tiada sesuatu yang lebih dekat berbanding-Mu, iaitulah maha dekat pada ilmu dan penguasaan terhadap kita.

Sebenarnya sifat Allah al-Zahir dan al-Batin ini menghendaki dari hamba agar dapat merasai إحاطة الله على العباد iaitulah penguasaan Allah terhadap para hamba-Nya, Allah Taala tinggi, tiada sesuatu yang berada lebih atas dari Allah, dalam masa yang sama, Allah Taala tidaklah jauh dan terlepas dari menguasai kita, sebaliknya Allah sentiasa mengetahui dan menguasai kita.

Jadi secara ringkasnya, hadis ini mengithbatkan ketinggian Allah pada zat, dalam masa yang sama Allah SWT sentiasa mengetahui dan menguasai para hambanya.  


Cetak  
Wallahu a'lam