Sedikit Kekecewaan Dengan Pembentangan Yg. Bhg. Ustaz Noor Derus di Sidang Kalam (Kuliah Makrifat 69)
Saya masih belum sempat menghabiskan huraian Ust Noor Derus tersebut. Namun ini komen awal saya setakat 40 minit yang awal.
Membaca bahan seorang tokoh seperti Ibn Taimiyyah RH perlu mengamalkan sikap sabar dan tidak gopoh. Untuk memahami pendirian beliau dalam sesuatu persoalan, tidak cukup berpada dengan membaca apa yang orang lain tulis tentangnya, sama ada dari pembenci mahupun pembela. Sebaliknya perlu diberi perhatian kepada bahan beliau sendiri.
Sebagai contoh; dakwaan dari pembenci dan pembela Ibn Taimiyyah RH sendiri yang mengatakan beliau menolak pembahagian agama kepada usul dan furu' dan beranggapan pembahagian ini sebagai suatu yang mungkar dan bidaah.
Sedang realitinya tidaklah begitu. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH tidak menolak asas pembahagian agama kepada Usul dan Furu'. Sebaliknya yang beliau tolak ialah pembahagian usul dan furu', seperti yang dibahagikan oleh Ahli Kalam.
Pembahagian Usul dan Furu' Ahli Kalam ini terbawa-bawa sehingga ke hari ini, di mana jika disebut Usul al-Din, maka yang dimaksudkan ialah perbahasan akidah menurut mazhab Ahli Kalam, seterusnya menjadikan sesiapa yang membahaskan persoalan akidah tidak mengikut cara ahli kalam, maka mereka telah menyalahi prinsip-prinsip atau usul agama.
Situasi yang sama apabila Ustaz Noor Derus mengatakan Ibn Taimiyyah menolak Majaz dalam al-Quran dan bahasa Arab. Dalam masa yang sama Ustaz Noor Derus sedar Ibn Taimiyyah sendiri ada memahami beberapa ayat al-Quran secara Majaz.
Namun saya kecewa apabila Ustaz Noor Derus terus membuat kesimpulan singkat dengan mendakwa berlaku kontradik pada pemahaman Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn al-Qayyim RH.
Sebenarnya tiada sebarang kontradik dalam pemahaman Ibn Taimiyyah dalam isu Majaz, kerana yang dibantah oleh beliau bukan asas makna Majaz dalam al-Quran dan bahasa Arab, sebaliknya pembatasan Majaz di sisi Ahli Kalam.