SDI 1546: Benarkan ruh akan kembali melihat keluarganya yang masih hidup?

Soalan:

Benarkan ruh akan kembali melihat keluarganya yang masih hidup. Ada yang mengatakan ruh dapat merasai kesusahan atau kesenangan yang dialami oleh keluarganya, ruh juga bersedih jika ahli keluarnya tidak lebi mengingatinya? Benarkah dakwaan ini ustaz?

 

Jawapan:

Di bawah ini saya terjemahkan fatwa dari al-Syeikh ‘Abdul Rahman Nasir al-Barak HFZ:

“Apabila seseorang manusia meninggal dunia, dia akan meninggalkan kehidupan dunia ini dan berpindah kepada kehidupan di alam lain. Ruhnya tidak akan kembali lagi kepada keluarganya, dia juga tidak tahu sesuatupun tentang ahli keluarganya lagi. Adapun perkara yang didakwa bahawa ruh akan kembali selepas 40 hari kematiannya, dakwaan ini termasuk dari perkara khurafat yang tiada asal-usulnya. Mayat tidak akan tahu lagi apa-apa keadaan ahli keluarganya, kerana dia telah berada di alam lain sama ada menerima nikmat atau azab dari Allah SWT. Namun tidak mustahil Allah memperlihatkan kepada sebahagian mayat akan keadaan ahli keluarga mereka, namun tiada penetapan.

Terdapat athar - (namun ) tidak boleh dijadikan sandaran – mengatakan bahawa orang meninggal dunia dapat mengetahui keadaan ahli keluarga mereka. Manakala mimpi pula, antaranya ada yang benar dan ada pula yang termasuk dalam perbuatan syaitan mempermainkan manusia. Kadang-kadang sebahagian orang hidup mendapat berita tentang keadaan orang mati melalui mimpi. Akan tetapi hal ini bergantung sejauh mana benarnya orang yang melihat mimpi tersebut, kebenaran mimpi, dan kemampuan memahami mimpi tersebut. Sekalipun demikian tidak boleh meletakkan kepastian benar kepada kandungan mimpi tersebut melainkan terdapat bukti jelas menyokongnya. Kadang-kala ada orang hidup yang bermimpi melihat saudaranya yang telah meninggal dunia, lalu saudaranya yang telah meninggal itu berpesan kepadanya dalam mimpi dan menyatakan beberapa perkara, yang diketahui kebenarannya apabila ia bertepatan dengan alam nyata. Perkara ini benar-benar pernah berlaku. Maka antara perkhabaran dalam mimpi itu ada yang bertepatan dengan alam nyata, di antara perkhabaran dalam mimpi itu ada pula tidak diketahui kebenarannya, ada pula dari perkhabaran mimpi itu perkara diketahui kedustaannya. Maka mimpi terbahagi kepada tiga jenis. Maka wajib meraikan tiga perkara ini dalam berinteraksi dengan cerita-cerita, riwayat-riwayat dan kisah-kisah yang berkaitan dengan (mimpi) melihat orang mati.”

 

Teks Asal Fatwa

الحمد لله، الإنسان إذا مات يغيب عن هذه الحياة ويصير إلى عالم آخر، ولا تعود روحه إلى أهله، ولا يشعرون بشيء عنه، وأما ما ذكر مِن عودة الروح لمدّة أربعين يومًا: فهو مِن الخرافات التي لا أصل لها، والميت كذلك لا يعلم بشيء من أحوالهم لأنّه غائب عنهم في نعيم أو عذاب، ولكن قد يُطلع الله بعض الموتى على بعض أحوال أهله ولكن دون تحديد. وقد جاءت آثار -لا يُعتمد عليها- بأنّ الأموات قد يعرفون أشياء مِن أحوال أهلهم، وأمّا الأحلام -أي الرؤى- فمنها ما هو حقّ ومنها ما هو مِن تلاعب الشّيطان، فقد يعرف الأحياء بطريق الرؤيا الصّالحة شيئًا من أحوال الميت، ولكن ذلك يعتمد على صدق الرّائي، وصدق الرؤيا، وقدرة المعبّر لتلك الرؤيا، ومع ذلك فلا يصحّ الجزم بمضمونها إلا أن يقوم دليل على ذلك، فقد يرى الحي قريبه الميت فيوصيه بأشياء ويذكر له بعض الأمور التي يمكن معرفة صدقها إذا طابقت الواقع، وقد حصل مِن هذا وقائع بهذا الشأن، فمنها ما يكون مطابقا للواقع، ومنها ما لا تعلم صحته، ومنها ما يُعلم كذبه، فهي ثلاثة أقسام، فيجب أن يراعى ذلك بالتعامل مع الأخبار والروايات والقصص المتعلقة بأحوال الموتى، والله أعلم


Cetak  
Wallahu a'lam