SDI 1597: Apakah Agama Nabi Isa AS?

Soalan:

Ustaz, apakah agama Nabi Isa AS?

 

Jawapan:

  1. Al-Quran menceritakan Nabi Isa AS diutuskan oleh Allah SWT sebagai Rasul kepada Bani Israil. Baginda bertanggungjawab mengajarkan Taurat dan Injil kepada Bani Israil. Allah SWT berfirman:

وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ، وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ...

Maksudnya: "Dan baginda Nabi Isa akan mengajarkan al-Kitab, al-Hikmah, Taurat dan Injil. (Baginda juga akan dilantik) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil,,,” ( Āli-ʿImrān: 49)

Allah SWT juga berfirman:

وَقَفَّيْنَا عَلَى آَثَارِهِمْ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ وَآَتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ فِيهِ هُدًى وَنُورٌ وَمُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), dan membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelum baginda; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (al-Maidah: 46)

Ibn Kathir ketika menerangkan maksud firman Allah SWT: مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ yang bermaksudkan: “membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelum baginda” berkata:

أي : متبعًا لها، غير مخالف لما فيها، إلا في القليل مما بيّن لبني إسرائيل بعض ما كانوا يختلفون فيه، كما قال تعالى إخبارًا عن المسيح أنه قال لبني إسرائيل: (وَلأحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ)؛ ولهذا كان المشهور من قولي العلماء أن الإنجيل نسخ بَعْضَ أحكام التوراة

Maksudnya: “Iaitulah (baginda Nabi Isa) mengikut (ajaran) dalam kitab Taurat, baginda Nabi Isa tidak akan menyalahi ajaran dalam Taurat melainkan sedikit sahaja dari ajaran yang telah baginda jelaskan kepada Bani Israil dari perkara yang mereka perselisihkan. Hal ini seperti yang difirmankan oleh Allah Taala mengkhabarkan apa yang dikatakan oleh Isa kepada Bani Israil: “Dan untuk aku (Isa) menghalalkan kepada kamu (Bani Israil) sebahagian apa yang telah diharamkan ke atas kamu (sebelum ini dalam ajaran Nabi Musa)." Kerana itu telah masyhur dari dua pandangan ulama bahawa Injil membatalkan sebahagian kecil hukum-hakam yang ada dalam Taurat.” (Tafsir Ibn Kathir 3/126)

  1. Semua para Nabi AS beragama Islam, termasuk Nabi Isa AS. Agama Islam yang dimaksudkan iaitulah agama yang mentauhidkan Allah jauh dari sebarang kesyirikan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah adalah Islam.” (Ali Imran: 19).

Allah SWT juga berfirman:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain dari Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak akan termasuk dari kalangan mereka yang rugi.” (Ali Imran: 85)

Allah SWT berfirman tentang Nabi Nuh AS yang berkata:

وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan aku diperintahkan supaya termasuk dari kalangan orang-orang Islam.” (Yunus: 72)

Tentang Nabi Ibrahim AS, Allah SWT berfirman:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Dan bukanlah Ibrahim itu seorang Yahudi, bukan juga seorang Nasrani (Kristian), akan tetapi baginda adalah seorang yang hanif lagi seorang Muslim, baginda bukan dari kalangan mereka yang mensyirikkan Allah.” (Ali Imran: 67)

Allah SWT juga berfirman tentang Nabi Musa AS yang berkata:

يَا قَوْمِ إِنْ كُنْتُمْ آمَنْتُمْ بِاللَّهِ فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Wahai kaumku, jika kamu semua telah beriman dengan Allah, maka hendaklah kamu semua bertawakkal kepada-Nya jika kamu semua dari kalangan orang Islam.” (Yunus: 84)

Tentang Nabi Yusuf AS, Allah SWT berfirman merakamkan perkataan baginda yang berkata:

تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wafatkanlah daku (wahai tuhanku) sebagai seorang Muslim dan gabungkanlah daku dengan orang-orang yang saleh.” (Yusuf: 101)

  1. Berdasarkan penjelasan-penjelasan ini menunjukkan, tidak boleh dikatakan Nabi Musa AS itu beragama Yahudi, tidak boleh juga dikatakan Nabi Isa AS itu beragama Nasrani atau Kristian. Demikian juga mereka yang benar-benar mengikut para Nabi tidak boleh dinisbahkan kepada agama selain Islam. Ini kerana kesemua para Nabi AS membawa ajaran Islam, bukan ajaran yang lain.

Cetak  
Wallahu a'lam