Hanya Dengan Penuturan Dua Kalimah Syahadah Mensabitkan Islam Seseorang (1)

Seseorang mukallaf tidak akan masuk ke dalam agama Islam melainkan dia mengimani kandungan makna dua kalimah syahadah: شهادة أن لا إله إلا الله و شهادة أن محمدا رسول الله. Perkara ini terbukti dengan dalil-dalil yang qat‘ie dari al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

          Demikian juga sesiapa yang menuturkan dua kalimah syahadah, maka wajib ke atas setiap muslim mensabitkan keislaman orang tersebut dengan semata-mata penuturannya tersebut. Setelah itu kita serahkan niatnya kepada Allah SWT. Wajib ke atas setiap muslim berinteraksi dengan orang tersebut sebagi seorang muslim pada hak persaudaraan muslim, bermula dengan terpelihara darah, harta dan maruah. Demikian juga hak-hak lain yang wajib dipelihara.

Antara dalil dalam perkara ini ialah:

Pertama: Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَتَبَيَّنُواْ وَلَا تَقُولُواْ لِمَنۡ أَلۡقَىٰٓ إِلَيۡكُمُ ٱلسَّلَٰمَ لَسۡتَ مُؤۡمِنٗا تَبۡتَغُونَ عَرَضَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فَعِندَ ٱللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٞۚ كَذَٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبۡلُ فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَيۡكُمۡ فَتَبَيَّنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ٩٤

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” (al-Nisa’: 94)

Sebab turun ayat ini berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA dengan katanya:

لَقِيَ نَاسٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ رَجُلًا فِي غُنَيْمَةٍ لَهُ فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ. فَأَخَذُوهُ فَقَتَلُوهُ، وَأَخَذُوا تِلْكَ الْغُنَيْمَةَ، فَنَزَلَتْ: ﴿وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَى إِلَيْكُمُ السَّلَمَ لَسْتَ مُؤْمِنًا﴾ وَقَرَأَهَا ابْنُ عَبَّاسٍ: ﴿السَّلامَ ﴾

Maksudnya: “Pernah beberapa orang Islam (di zaman Nabi SAW) melihat seorang lelaki bersama kumpulan kecil kambingnya. Lalu lelaki itu memberi salam dengan berkata: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ. Lalu mereka menangkap lelaki tersebut dan membunuhnya, seterusnya mereka merampak kumpulan kambing milik lelaki tersebut. Maka turunlah ayat: ﴿وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَى إِلَيْكُمُ السَّلَمَ لَسْتَ مُؤْمِنًا﴾ yang bermaksud: “Dan jangan kamu semua terburu-buru mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucapkan dua kalimah syahadah) dengan berkata: “engkau bukan dari kalangan orang yang beriman.” Lalu Ibn ‘Abbas membaca ayat tersebut.”   (Muslim)

          Ayat ini dengan sebab turunnya dengan jelas menunjukkan wajib berpada dengan apa yang zahir dari sesiapa yang mendakwa dirinya seorang muslim. Demikian juga tidak perlu mencari bukti lain keislaman seseorang setelah zahir keadaannya menunjukkand ia seorang muslim seperti dia mengucapkan salam. Dalam kisah yang disebut oleh Ibn ‘Abbas di atas menunjukkan lelaki tersebut hanya mengucapkan salam, tanpa menuturkan dua kalimah syahadah. Dalam pada itu, Allah SWT mensabitkan hukum Islam ke atas lelaki tersebut dan mencela tindakan para sahabat yang membunuhnya. Maka sudah tentu seseorang yang menuturkan dua kalimah syahadah lebih utama disabitkan hukum Islam kepadanya.

Al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan seorang muslim apabila bertemu dengan seorang kafir harbi yang tiada sebarang perjanjian damai, boleh membunuh kafir harbi tersebut. Namun jika kafir tersebut mengucapkan لا إله إلا الله, tiada lagi kebenaran membunuhnya, kerana ketika itu orang tersebut menjadi terpelihara darah, harta dan keluarganya. Jika orang muslim tersebut tetap membunuhnya, maka dia berhak dijatuhkan hukuman balas bunuh. Para sahabat yang melakukan perbuatan tersebut tidak dijatuhkan hukuman bunuh kerana mereka masih baru dengan agama Islam.

Usamah RA pernah membunuh seorang lelaki dalam peperangan, setelah lelaki itu mengucapkan dua kalimah syahadah. Usamah memberi alasan tindakannya dengan mengatakan lelaki itu mengucapkan dua kalimah syahadah tersebut kerana takutkan pedangnya dan mahu selamat dari dibunuh. Namun Nabi SAW membantah tindakannya tersebut dengan berkata: “Apakah kamu ada membelah dadanya, sehingga kamu dapat tahu tujuan pengucapannya tersebut?” Seterusnya al-Qurtubi berkata: “Dalam hadis ini terdapat satu perkara penting untuk difahami iaitulah:

أن الأحكام تناط بالْمظانّ والظواهر، لا على القطع واطلاع السرائر

Maksudnya: “Bahawa hukum-hakam dilingkari dengan perkara sangkaan dan apa-apa yang zahir, bukan berdasarkan kepastian dan perhatian kepada hal-hal yang tersembunyi.” (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 7/51)

          Ayat ini dengan jelas membuktikan Allah SWT memerintahkan disabitkan hukum-hakam Islam kepada sesiapa yang menuturkan dua kalimah syahadah. Oleh itu seseorang yang menuturkan dua kalimah syahadah maka terpelihara darah dan hartanya, menjadikan penuturnya disabitkan dengan hukum-hakam Islam dan menjadi haram ke atas orang lain menceroboh kemuliaannya dengan dakwaan belum sabit keislamannya.

          Kita diperintahkan untuk mentaati perintah Allah berdasarkan ghalabah al-Zhan dalam banyak hukum-hakam dan Keputusan. Manakala al-Qara-in (bukti-bukti) kadang-kala menatijahkan Ghalabah al-Zhan dan al-Rujhan al-Qawiy, namun dalam situasi mensabitkan keislaman, kita dilarang berpandukan kepada qara-in. Ini menunjukkan ghalabah al-zhan dan al-rujhan al-qawiy diketepikan ketika berhadapan dengan sesuatu yang lebih kuat iaitulah keyakinan.

Dalam kisah sebab turun ayat 94 dari surah al-Nisa’ dan kisah Usamah, perkara yang menghasilkan keyakinan adalah semata-mata pengucapan dua kalimah syahadah yang menunjukkan dengan yakin penuturnya beragama Islam. Demikian juga wajib diketepikan apa-apa perkara yang meragukan bukti yakin keislamannya.  

Jika ada yang bertanya bagaimana punuturan dua kalimah syahadah menatijahkan keyakinan, sedangkan terdapat bukti tujuan pengucapannya itu bukan kerana benar-benar memeluk Islam. Maka jawapannya ialah, Allah SWT telah memerintakan kita agar menjadikan penuturan itu sebagai satu bukti yakin seseorang memeluk Islam. Maka kita berpada dengan arahan Allah SWT ini.

 

Kedua: Firman Allah SWT:

إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُۥ وَٱللَّهُ يَشۡهَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَكَٰذِبُونَ١ ٱتَّخَذُوٓاْ أَيۡمَٰنَهُمۡ جُنَّةٗ فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّهُمۡ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ٢

Maksudnya: Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. 2- Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (al-Munafiqun: 1-2)

Bentuk pendalilan dari ayat ini sepertimana yang disebut oleh al-Imam al-Syafie RH berkaitan orang zindiq: هو من يبطن الكفر ويظهر الإسلام maksudnya: (Seorang zindiq) ialah orang yang menyembunyikan kekufuran (dalam dirinya) dan menzahirkan Islam (pada luarannya). Al-Imam al-Syafie menyatakan perkataan orang zindiq diterima pada zahir apa yang dia ucapkan berdasarkan firman Allah SWT: Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad) dan berkata: "Kami menyaksikan bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul (utusan) Allah". Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau adalah Rasul-Nya, serta Allah mengetahui bahawa sesungguhnya pengakuan mereka (orang munafiq) itu adalah dusta. Mereka menjadikan sumpah (pengakuan mereka) sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta benda dari dibunuh atau dirampas). (al-Munafiqun: 1-2) dalam ayat ini Allah memerintahkan dibiar dan jangan dibunuh golongan munafiq yang menzahirkan Islam. Demikian juga zindiq yang menzahirkan keislaman.

Al-Imam al-Darimi mempertahankan perkataan al-Imam al-Syafie ini dengan mengatakan, daku menyatakan sama seperti pernyataan al-Syafie: Diterima pengakuan yang dizahirkan yang dijadikan sebagai pelindung dari dikenakan tindakan bunuh ke atasnya (dalam suasana peperangan), sekalipun ada perkara yang mereka sembunyikan dalam diri, mereka tidak diperangi. Sama seperti orang munafiq yang menjadikan pengakuan keimanan mereka sebagai perisai (pelindung dan penyelamat dari dikenakan tindakan) dan mereka tidak diperintahkan untuk diperangi. (Lihat al-Radd Ala al-Jahimiyyah oleh al-Darimi 212-213)

          Golongan munafiq adalah mereka yang terpelihara darah dari diperangi dan berhak mendapat hak-hak hukum-hakam Islam semata-mata dengan pengucapan dua kalimah syadah dan pengakuan zahir mereka. Hal ini termasuk dalam perkara yang pasti dari hukum-hakam Islam dan dari bukti sirah Nabi SAW.

 

Ketiga: Hadis Usamah bin Zaid RA yang berkata:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِي سَرِيَّةٍ فَصَبَّحْنَا الْحُرَقَاتِ مِنْ جُهَيْنَةَ فَأَدْرَكْتُ رَجُلا فَقَالَ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ فَطَعَنْتُهُ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي مِنْ ذَلِكَ فَذَكَرْتُهُ لِلنَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَقَالَ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَقَتَلْتَهُ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا قَالَهَا خَوْفًا مِنَ السِّلاحِ قَالَ أَفَلا شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لا فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا عَلَيَّ حَتَّى تَمَنَّيْتُ أَنِّي أَسْلَمْتُ يَوْمَئِذٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengutuskan kami dalam satu kumpulan tentera (platun). Kami sampai kawasan al-Huraqat di Juhainah pada waktu Subuh. Aku menemui seorang lelaki yang berkata: “لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ, namun aku tetap menikamnya. Perkara itu menjadikan hatiku berasa ada yang tidak kena dengan tindakanku. Lalu aku ceritakan perbuatan aku itu kepada Nabi SAW. Setelah mendengarnya, baginda SAW bersabda: “Bukankah dia telah tuturkan: لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ, namun kamu tetap membunuhnya. Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, penuturannya itu hanyalah kerana takutkan pedangku.” Baginda bertanya kepadaku: “Apakah kamu telah belah dadanya, sehingga kamu tahu apakah dia tuturkannya ikhlas atau tidak?” Kata Usamah: “Baginda mengulang-ulang pertanyaan itu kepadaku sehingga menjadikan aku bercita-cita, kalaulah aku baru sahaja memeluk Islam pada hari tersebut.”  (al-Bukhari dan Muslim)


Cetak  
Wallahu a'lam