Mazhab Ahl al-Sunnah wal Jama‘ah
Al-Safarini al-Hambali 1188H/1774M membahagikan Ahlu Sunnah kepada tiga kumpulan:
[i] Mazhab al-Asy‘ari: penisbahan kepada Abu al-Hasan, ‘Ali bin Ismail (lahir di Basrah 270H – meninggal pada 324H dan dikebumikan di Baghdad) dari zuriat sahabi yang mulia, Abu Musa al-Asy‘ari.[1]
[ii] Mazhab al-Maturidi: penisbahan kepada Abu Mansur, Muhammad bin Muhammad bin Mahmud (lahir sekitar tahun 238H – 333H)[2]. Dari zuriat sahabi yang mulia Abu Ayyub al-Ansori.
[iii] Mazhab Ahl al-Hadis: Terdapat beberapa takrifan antaranya; Mereka adalah Ashab al-Imam Malik dan al-Imam al-Syafi‘e. Ibn al-Syatthi al-Hambali (ابن الشطي الحنبلي) 1274H, dalam Tabshir al-Qani’ berkata:
قال بعض العلماء هم أهل الحديث يعني الأثرية والأشعرية والماتريدية
Maksudnya: “Kata sebahagian ulama, mereka (Ahl al-Sunnah) ialah ahli hadis, iaitulah al-Athariah, al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah.”
Tiga mazhab ini digolongan dalam Ahl al-Sunnah adalah kerana ketiganya tidak menolak hadis. Ketiga-tiganya adalah termasuk dalam kumpulan Ahl al-Hadis. Hanyasanya al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah berpandangan mengharuskan takwil untuk persoalan sifat Allah SWT.
[3] Ahl al-Sunnah Adalah Ahl al-Tanzih
Ahl al-Sunnah dalam persoalan sifat Allah, mereka menempuh mazhab tanzih Allah dari menyerupai apa-apa yang baharu. Syarat ini dikongsi bersama oleh mereka yang mengamalkan al-Ithbath bersama mentafwidhkan hakikat sifat Allah. Atau mereka yang mengamalkan ithbath, dalam masa yang sama mengharuskan takwil.
Contoh: Sifat اليد dari firman Allah SWT: إن الذين يبايعونك إنما يبايعون الله يد الله فوق أيديهم maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang berbai‘ah bersama kamu (wahai Muhammad) adalah berbai‘ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka.” (al-Fath: 10)
Kumpulan pertama dari kalangan Ahl al-Sunnah memahami ayat ini dengan cara mengithbathkan sifat beserta menafikan penyerupaan dengan tangan al-Muhdathat (يد المحدثات), kerana mensucikan Allah (تنزيها) dari menyerupai makhluk dengan panduan dari firman Allah SWT: ليس كمثله شيء وهو السميع البصير maksudnya: “Tiada sesuatu yang menyerupai-Nya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (al-Syura: 11)
Kumpulan Kedua juga memiliki asas kefahaman yang sama dengan kumpulan pertama di atas. Cumanya mereka melihat dari sudut balaghah, di mana boleh difahami dari sesuatu lafaz sifat, merujuk kepada maksud selain dari makna hakiki yang di dalam ilmu tauhid dinamakan sebagai al-Ta’wil, manakala dalam balaghah dinamakan sebagai al-Kinayah.
Oleh itu, kumpulan kedua ini membolehkan takwil sifat al-Yadd kepada al-Qudrah. Kumpulan kedua ini tidak memestikan takwilan ini. Hanya sahaja mereka membolehkan difahami sifat al-Yad merujuk kepada al-Qudrah. Antara alasannya ialah tidak terdapat al-Nusus al-Naqliyyah yang menghalang dari melakukan takwilan seperti ini. Demikian juga berdasarkan penurunan al-Quran menurut bahasa ‘Arab seperti firman Allah SWT: إنا أنزلناه قرءانا عربيا لعلكم تعقلون maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran berbahasa ‘Arab, mudah-mudahan kamu memahaminya.” (Yusuf: 2)
Pemahaman seperti ini tidaklah terkeluar dari norma bahasa Arab. Tidak juga terkeluar dari apa yang difahami di zaman penurunan wahyu, di samping tidak terdapat nas yang melarang dari pemahaman seperti ini.
Kumpulan kedua ini mewakili golongan al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah dalam membantah golongan menyeleweng yang lain terdiri dari golongan al-Kalamiyyah. Perbezaan antara al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah dengan golongan al-Kalamiyyah ialah al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah tidak terkeluar dari tujuan al-Tanzih. Justeru mereka layak digolongkan dalam kumpulan Ahl al-Tanzih.