Pendekatan Ibn Taimiyyah Berkaitan Kepelbagaian Mazhab Fiqhi Dan Golongan al-Asya‘irah

Pendekatan Ibn Taimiyyah Berkaitan Kepelbagaian Mazhab Fiqhi Dan Golongan al-Asya‘irah

Dalam kalangan murid Ibn Taimiyyah RH, terdapat mereka yang bermazhab Syafi‘e, demikian juga dari mazhab Hanafi dan Hambali. Tidak terdapat sebarang pengingkaran dari Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah terhadap muridnya yang berbeza mazhab.

Beliau berbeza pandangan dengan golongan al-‘Asya‘irah, namun tidak menjadikan beliau menghukum mereka sebagai kafir, bahkan beliau memuji mereka.  Ibn Taimiyyah RH ketika berbicara tentang Mesir di zaman al-Daulah al-‘Abidiyyah al-Batiniyyah berkata:

ثم فتحها ملوك السنة مثل صلاح الدين ‌وظهرت ‌فيها ‌كلمة ‌السنة المخالفة للرافضة

Maksudnya: “Kemudian Mesir dibuka raja-raja sunnah seperti Salahuddin, terzahirlah di Mesir pengajaran sunnah, menyalahi pengajaran rafidhah.” (Majmu’ al-Fatawa 3/281)

Beliau menisbahkan Salahuddin al-Ayubi dalam kumpulan Muluk al-Sunnah, sedangkan beliau adalah seorang yang bermazhab Asy‘ari dalam akidah.  Beliau berkata tentang golongan al-Asya‘irah:

في كلامهم من الأدلة الصحيحة وموافقة السنة ما لا يوجد في كلام عامة الطوائف فإنهم أقرب طوائف أهل الكلام إلى السنة والجماعة والحديث، وهم يعدون من أهل السنة والجماعة عند النظر إلى مثل المعتزلة والرافضة ونحوهم، بل هم أهل السنة والجماعة في البلاد التي يكون أهل البدع فيها المعتزلة والرافضة ونحوهم

Maksudnya: “Dalam perkataan mereka (golongan Asya‘irah) terdapat dalil-dalil yang sahih dan bertepatan dengan al-Sunnah, yang tidak terdapat dalam kalam keumuman kumpulan-kumpulan lain. Mereka (Asya‘irah) adalah kumpulan ahli kalam yang lebih dekat dengan al-Sunnah, al-Jama‘ah dan hadis. Mereka tergolong dari kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, jika dilihat kumpulan lain seperti muktazilah, rafidhah dan lainnya. Bahkan mereka adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah di negeri yang ahli bidaahnya adalah muktazilah, rafidhah dan seumpamanya.” (Bayan Talbis al-Jahmiyyah Fi Ta’sis Bida‘ihim al-Kalamiyyah 3/538)

Beliau juga berkata:

حسناتهم ‌نوعان: إما موافقة أهل السنة والحديث، وإما الرد على من خالف السنة والحديث ببيان تناقض حججهم؛ ولم يتبع أحد مذهب الأشعري ونحوه إلا لأحد هذين الوصفين أو كليهما

Maksudnya: “Kebaikan mereka terbahagi kepada dua. Sama ada kebaikan bertepatan dengan Ahl al-Sunnah dan hadis. Atau sama ada kerana bantahan mereka terhadap golongan yang menyalahi sunnah dan hadis dengan penjelasan yang membahtah hujah mereka yang menyeleweng. Tiada seorang dari mazhab al-Asy‘ari dan seumpamanya, melainkan memiliki salah satu sifat ini atau kedua-duanya sekali.” (Majmu’ al-fatawa 4/12)

Ketika beliau menyebut tentang al-Jahmiyyah, beliau berkata:

الأشعرية ‌خير ‌من ‌هؤلاء ‌في ‌باب الصفات، فإنهم يثبتون لله الصفات العقلية، وأئمتهم يثبتون الصفات الخبرية في الجملة

Maksudnya: “al-Asya‘ariyyah lebih baik dari mereka semua (Jahmiyyah) dalam bab sifat. Mereka (al-Asy‘ariyyah) menthabitkan sifat-sifat al-‘Aqliyyah bagi Allah dan para imam mereka menthabitkan sifat-sifat al-Khabariyyah pada beberapa tempat.” (Majmu’ al-Fatawa 3/103)

Di kesempatan lain beliau berkata:

وأما الأشعرية فهم في الجملة ‌أقرب ‌المتكلمين إلى مذهب أهل السنة والحديث

Maksudnya: “Adapun al-Asy‘ariyyah, mereka pada umumnya adalah golongan mutakallimin yang lebih dekat dengan mazhab Ahl al-Sunnah dan hadis.” (Majmu’ al-Fatawa 6/55)


Cetak  
Wallahu a'lam