Soalan:
Ustaz.. “Apa maksud tangan Allah?” Kawan saya kata salafi sendiri tak boleh jawab. Orang salafi hanya tahu kata: “Tangan Allah adalah tangan yang layak dengan Allah, bukan seperti tangan makhluk, orang salafi tak sedar, kalau kata tangan Allah bukan seperti tangan makhluk, maknyanya bukan tangan lah tu.” Apa pandangan ustaz?
Ada juga yang mendakwa ayat-ayat sifat tidak boleh difahami secara zahir. Jika tidak ia akan membawa kepada tasybih (mengumpamakan), tamthil (menyerupakan) dan tajsim (menjisimkan) Allah dengan makhluk, yang semuanya adalah suatu kesesatan dan kekufuran.
Jawapan:
[1] Ayat al-Quran mengsabitkan sifat tangan kepada Allah. Antaranya dari surah al-Maidah ayat 64: بل بداه مبسوطتان، ينفق كيف يشاء “Bahkan kedua tangan-Nya (Allah) sentiasa terbuka (limpah kurnia-Nya luas), Dia mengurniakannya sebagaimana yang Dia kehendaki.” Ayat ini adalah wahyu daripada Allah SWT.
[2] Apakah kita mengimani bahawa Allah SWT adalah tuhan yang Maha Bijaksana lagi jelas penerangan dan penjelasannya? Bukankah juga kitab yang diturunkan-Nya, demikian juga wahyu-Nya kepada Nabi SAW yang berbentuk sunnah adalah suatu yang terpelihara dari cacat dan cela? Al-Quran dan al-Sunnah itu juga merupakan sumber petunjuk kepada manusia? Jika jawapannya ya, maka bagaimana mungkin boleh dikatakan zahir wahyu tersebut boleh membawa kepada tasybih (mengumpamakan) dan tamthil (menyerupakan) akan Allah dengan Makhluk-Nya? Bagaimana pula ia boleh membawa kepada kefahaman Tajsim (menjisimkan) Allah, yang merupakan kesesatan dan kekufuran? Dakwaan ini amat bahaya sekali, ia seperti mentohmah wahyu mendatangkan kesesatan dan kekufuran, mudah-mudahan bukan ini yang mereka maksudkan.
[3] Berinteraksi dengan ayat sifat, dalam bentuk memikir dan bertanyakan bagaimana rupa, cara dan bentuk sifat Allah adalah punca tersasarnya cara fikir Asya'irah dalam bab ayat sifat. Ia juga adalah tindakan tamak menceroboh ke perkara yang tidak disuruh, tidak diizinkan dan diluar dari kemampuan makhluk. Hasil dari cara fikir dan nafsu yang salah ini lahirlah soalan: “Apa makna tangan Allah?”
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu tanya terlebih dahulu, apa yang anda maksudkan dengan soalan: “Apa makna tangan Allah?” Apakah anda maksudkan kepada sifat tambahan kepada zat Allah? Atau anda maksudkan kepada “Apakah mahiyyah (rupa dan bentuk) tangan Allah?”
Jika maksud soalan anda itu adalah yang pertama, maka jawapannya, ya, sifat yang dimaksudkan adalah sifat tambahan kepada zat Allah. Namun jika maksud soalan itu adalah yang kedua, iaitulah anda bertanyakan tentang rupa dan bentuk tangan Allah. Apakah ia tersusun dalam beberapa perkara, berdaging, berdarah dan lain-lainnya? Maka soalan ini adalah bidaah dan batil seperti perkataan Imam Malik RH, hasil dari lintasan syaitan. Ini kerana tiada dalam kalangan manusia yang beriman dengan ayat al-Quran ليس كمثله شيء yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang seumpama Allah”, boleh terlintas di fikirannya tentang sifat Allah yang dikaitkan dengan daging, darah dan seumpamanya.
Akal manusia tidak mampu mengetahui rupa dan bentuk tangan Allah. Ia sama sepertimana akal manusia tidak dapat mengetahui tentang bagaimana rupa dan bentuk zat Allah. Maka demikianlah akal manusia tidak dapat mengetahui tentang rupa dan bentuk tangan ALlah. Kaedah menyatakan السؤال عن صفات الله فرع من السؤال عن ذاته atau dengan ungkapan lain: القول في صفات الله تعالى كالقول في ذاته maksudnya: “Soalan atau perkataan tentang sifat Allah adalah satu cabang atau sama seperti soalan atau perkataan tentang zat Allah.”
Oleh itu, jika saudara kita dari Asya‘irah bertanya: “Apakah yang antum maksudkan dengan tangan Allah?” Maka jawapannya: “sama sepertimana kita tidak dapat mengetahui tentang rupa dan bentuk zat Allah, maka demikianlah tentang tangan Allah. Namun yang penting kita sabitkan keberadaan tangan Allah yang merupakan sifat tambahan kepada zat Allah.”
Oleh itu apabila ayat al-Quran menyebut beberapa sifat Allah, maka kami imaninya sepertimana yang Allah sifatkan diri-Nya berdasarkan apa yang didatangkan dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Kami berpada dengan apa yang dikhabarkan di dalam wahyu. Inilah maksud perkara salaf: أمروها كما جاءت iaitulah Allah memiliki sifat-sifat yang dinyatakan oleh wahyu, namun tidak diketahui mahiyyah, rupa dan bentuknya.