SDI 1668: Menghukum Sesuatu Perbuatan Sebagai Kafir Tidak Semestinya Menghukum Kafir Pelakunya

Soalan:

Seseorang yang dikenali sebagai seorang muslim, apabila melakukan perbuatan kafir boleh dihukum sebagai seorang kafir dan murtad? Biasa saya dengar kita tidak dibenarkan menjatuhkan hukuman ke atas seorang muslim, melainkan dengan memenuhi syarat-syaratnya. Apakah syarat-syarat tersebut ustas?

Jawapan:

Menjatuhkan hukuman kafir adalah tawaqquf menurut hukuman Allah SWT dan Rasul SAW. Ini menunjukkan Ahli Sunnah tidak membenarkan dijatuh hukuman kafir ke atas seseorang muslim melainkan terdapat bukti atau dalil dari syarak. Hukuman kafir tidak boleh berdasarkan keinginan nafsu, kecenderungan, kerana marah, kerana tidak setuju dengan sesuatu, tidak setuju dengan realiti semasa, tidak boleh juga kerana hendak menghukum pesalah dengan hukuman yang dianggap setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

Menjatuhkan hukum kafir ke atas seseorang yang asalnya seorang muslim merupakan hukum syarak. Tidak boleh dijatuhkan melainkan menepati hukum Allah SWT dan Rasul SAW. Ia sama seperti persoalan tidak boleh mewajibkan sesuatu melainkan apa-apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Maka demikianlah tidak boleh menjatuhkan hukum kafir, melainkan terdapat bukti yang jelas dari Allah SWT Rasul SAW.

Hukuman kafir kepada sesuatu perbuatan tidak semestinya dikenakan hukuman yang sama kepada pelaku perbuatan tersebut, melainkan jika memenuhi syarat dan ternafi semua halangan.

Perkara ini membezakan antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan kumpulan Khawarif yang berpandangan pelaku dikenakan hukuman yang sama dengan perbuatan yang dilakukannya. Jika perbuatan itu kafir, maka hukum perbuatan itu dikenakan juga kepada pelaku, tanpa mengambil kira apakah sipelaku memenuhi syarat dihukumkan kafir atau tidak, demikian juga apakah wujud sesuatu yang menghalang seseorang itu dijatuhkan hukuman kafir kepadanya dengan perbuatan tersebut.

Ahli Sunnah wal Jamaah sentiasa bersikap adil dalam menjatuhkan hukuman. Jika seseorang muslim didapati melakukan perbuatan kufur, dengan semata-mata perbuatannya tidak boleh dikenakan hukuman kafir kepada pelaku melainkan setelah memenuhi syarat-syaratnya, iaitulah;

  1. Perbuatan itu dilakukan dalam keadaan sedar dan sempurna akal. Jika ketika melakukan perbuatan kafir tersebut, sipelaku ada masalah pada akalnya, maka hukuman kafir kepada pelaku terhalang.

 

  1. Perbuatan kafir itu dilakukan setelah mencecah baligh. Jika dilakukan sebelum baligh, maka tidak boleh dikenakan hukum kafir kepada pelakunya.

Asas ini perkara pertama dan kedua ini adalah hadis Nabi SAW yang bersabda:

رُفِع القَلمُ عن ثلاثةٍ: عن النَّائمِ حتَّى يستيقظَ، وعن الصَّبي حتَّى يحتلِمَ، وعن المجنونِ حتَّى يَعقِلَ

Maksudnya: “Diangkat catatan dari tiga perkara, dari seorang yang tidur sehingga dia jaga, dari seorang kanak-kanak sehingga di baligh dan dari seorang gila sehingga dia berakal.” (al-Tirmizi dan katanya: “Hasan Gharib.”, al-Nasa’ie dan Ahmad. Dinilai sebagai sahih oleh Ahmad Syakir dalam tahkiknya kepada al-Musnad. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi)

  1. Perbuatan kafir itu dilakukan dalam keadaan mengetahui perbuatan tersebut adalah perbuatan kafir. Jika dilakukan dalam keadaan jahil, maka pelakukanya terhalang dari dikenakan hukuman kafir. Asas perkara ini adalah firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولا

Maksudnya: “Dan tidaklah kami mengazab sesuatu kaum, sehingga terlebih dahulu kami mengutuskan kepada mereka seorang rasul (untuk mengajar mereka).” (al-Isra’: 15)

  1. Perbuatan kafir itu dilakukan atas pilihan sendiri. Jika ia dilakukan bukan atas pilihan sendiri seperti seorang yang dipaksa, maka tidak boleh dikenakan hukum kafir kepada pelakunya. Asas perkara ini adalah firman Allah SWT:

إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: “melainkan sesiapa yang dipaksa (melakukan perkara yang kafir) sedangkan hatinya tetap dengan keimanan.” (al-Nahl: 106)

Demikian juga sabda Nabi SAW:

إنَّ اللهَ تعالى وضع عن أُمَّتي الخطأَ، و النسيانَ، و ما اسْتُكرِهوا عليه

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala mengangkat dari umatku kesilapan, terlupa dan apa yang dipaksa.” (Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’)

  1. Perbuatan itu dilakukan dengan kehendak sendiri. Jika ia dilakukan kerana tersilap atau tidak disengajakan, maka tidak boleh dikenakan hukuman kafir kepada pelakunya. Asasnya adalah hadis Nabi SAW tentang seorang yang tersilap menuturkan perkataan disebabkan terlampau seronok. Sabda Nabi SAW:

لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ، مِن أَحَدِكُمْ كانَ علَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فلاةٍ، فَانْفَلَتَتْ منه وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ، فأيِسَ منها، فأتَى شَجَرَةً، فَاضْطَجَعَ في ظِلِّهَا، قدْ أَيِسَ مِن رَاحِلَتِهِ، فَبيْنَا هو كَذلكَ إِذَا هو بِهَا، قَائِمَةً عِنْدَهُ، فأخَذَ بِخِطَامِهَا، ثُمَّ قالَ مِن شِدَّةِ الفَرَحِ: اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ، أَخْطَأَ مِن شِدَّةِ الفَرَحِ

Maksudnya: “Allah benar-benar gembira dengan taubat hamba-Nya kepada-Nya ketika sihamba itu bertaubat kepada-Nya, berbanding kegembiraan seorang lelaki yang berada di atas tunggangannya di tengah padang pasir yang kering kontang. Tiba-tiba tunggangannya itu lari daripadanya, sedangkan pada tunggangan itu terdapat makanan dan minumannya. Sehingga lelaki itu putus asa dari menjumpai semula tunggangannya tersebut. Lalu dia mendatangi sepohon pokok untuk berteduh dan berehat di bawah teduhan pokok dalam keadaan putus asa dari menemui tungganya semula. Ketika demikian keadaan lelaki itu, tiba-tiba datang semula tunggangan yang lari itu kepadanya. Tunggangan itu didapati berdiri berhampirannya dengan tali tarik dan semua bekalan masih elok tidak diusik. Lelaki itu segera memegang tali tunggangannya seraya berkata keseronokan: “Ya Allah, Engkaulah hambaku, sedangkan aku inilah tuhanmu.” Dia tersilap menungkapkan penuturan kerana bersangatan gembira.” (Muslim)

  1. Perbuatan itu dilakukan tanda terdapat takwilan atau bukan disebabkan kekeliruan dan kesamaran. Jika seseorang melakukan perbuatan kafir disebabkan andaiannya, atau kekeliruan yang ada padanya atau wujud kesamaran di pihaknya, maka hukum kafir tidak boleh dikenakan kepada pelakunya. Asas perkara ini adalah hadis ‘Ali bin Abi Talib RA yang berkata:

 

بعثني رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم أنا والزُّبَيرُ، والمقدادُ بنُ الأسوَدِ، قال: ((انطَلِقوا حتى تأتوا روضةَ خاخٍ؛ فإنَّ بها ظعينةً ومعها كتابٌ فخذوه منها   ))، فانطلَقْنا تعادى بنا خيلُنا حتى انتَهَينا إلى الرَّوضةِ، فإذا نحن بالظَّعينةِ، فقُلْنا: أخرجي الكتابَ، فقالت: ما معي من كتابٍ، فقُلْنا: لتُخرِجِنَّ الكتابَ أو لنُلقِيَنَّ الثيابَ، فأخرجَتْه من عقاصِها، فأتينا به رسولَ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فإذا فيه: مِن حاطِبِ بنِ أبي بلتعةَ إلى أناسٍ من المشركين مِن أهلِ مكَّةَ يخبِرُهم ببعضِ أمرِ رَسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فقال رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ((يا حاطِبُ، ما هذا؟!))، قال: يا رَسولَ اللهِ، لا تعجَلْ عليَّ، إنِّي كنتُ امرَأً مُلصَقًا في قريشٍ، ولم أكُنْ من أنفُسِها، وكان من معك من المهاجرين لهم قراباتٌ بمكَّةَ يحمون بها أهليهم وأموالَهم، فأحببتُ إذْ فاتني ذلك من النَّسَبِ فيهم أن أتخِذَ عندهم يدًا يحمون بها قرابتي، وما فعلتُ كُفرًا ولا ارتدادًا، ولا رضًا بالكُفرِ بعد الإسلامِ، فقال رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ((لقد صدَقَكم))، قال عُمَرُ: يا رسولَ اللهِ، دَعْني أضرِبْ عُنُقَ هذا المنافِقِ، قال: إنَّه قد شهد بدرًا، وما يدريك لعلَّ اللهَ أن يكونَ قد اطَّلع على أهلِ بَدرٍ فقال: اعمَلوا ما شئتمُ، فقد غفرتُ لكم

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengutus aku, al-Zubair dan al-Miqdad bin al-Aswad. Baginda bersabda: “Pergi kamu semua ke Raudhah Khakh (nama tempat di terletak di antara Mekah dan Madinah). Di sana kamu semua akan temui seorang hamba wanita berada dalam khemah di atas tunggangannya (haudaj). Bersama hamba wanita itu ada surat. Ambil surat tersebut daripadanya.” Kata ‘Ali: “Kamipun pergi dengan kuda kami sehingga sampai di tempat yang diberitahu oleh baginda dan kami sampai di khemah yang dimaksudkan baginda. Kami segera berkata kepada wanita yang ada di situ. Keluarkan surat yang ada bersama kamu. Kata wanita tersebut: “Tiada apa-apa surat bersamaku.” Kami jawab: “Keluarkan surat itu atau kami akan tanggalkan pakaian kamu untuk mencari surat tersebut?” lalu wanita itu mengeluarkan sepucuk surat dari sanggul rambutnya. Kami mengambilnya dan membawa surat itu kepada Rasulullah SAW. Rupa-rupanya dalam surat itu tertulis: Dari Hatim bin Abi Balta‘ah kepada mereka dari kalangan musyrikin di Mekah. Hatib menceritakan kepada musyrikin Mekah sebahagian perkara yang Rasulullah SAW telah perintahkan agar disembunyikan. Lalu sabda Rasulullah SAW kepada Hatib: “Wahai Hatim, apakah semua ini?” Jawab Hatib: “Ya Rasulullah, jangan dikau gopoh menghukumku. Sesungguhnya aku dahulu seorang yang memeterai janji setia dengan Quraisy, aku bukan dari kaum mereka. Mereka yang bersama kamu dari kalangan orang Muhajirin, semuanya memiliki keluarga di Mekah yang dapat menjaga keluarga dan harta mereka di Mekah (sedangkan aku tiada sesiapa di Mekah). Maka aku mengharapkan dengan sebab tiada hubungan keluarga antara aku dengan orang quraisy di Mekah, menjadi sebab mereka sanggup mengambil berat untuk menjaga ahli keluarga dan hartaku di sana (ketika kita memasuki Mekah nanti). Tidaklah aku melakukan perkara ini kerana kufur dan riddah. Tidak juga aku melakukannya kerana redhakan kekufuran setelah aku memeluk Islam.” Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kamu bercakap benar wahai Hatib.” Kata ‘Umar: “Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk memancung leher orang munafiq ini.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Hatim itu telah menyertai peperangan Badar wahai ‘Umar. Mana kamu tahu wahai ‘Umar, Allah telahpun memerhatikan peserta peperangan Badar dan berfirman: “Buatlah apa yang kamu semua kehendaki. Sesungguhnya Aku telah berikan keampunan untuk kamu semua.” (al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Khattabi dalam Ma‘alim al-Sunan 2/274:

في هذا الحديثِ من الفقهِ: أنَّ حُكمَ المتأوِّلِ في استباحةِ المحظور عليه خلافُ حُكمِ المتعَمِّدِ؛ لاستحلالِه من غيرِ تأويلٍ. وفيه أنَّه إذا تعاطى شيئًا من المحظور وادَّعى أمرًا ممَّا يحتمِلُه التأويلُ، كان القولُ قَولَه في ذلك وإن كان غالبُ الظَّنِّ بخلافه، ألا ترى أنَّ الأمرَ لَمَّا احتمل وأمكن أن يكونَ كما قال حاطِبٌ، وأمكن أن يكونَ كما قاله عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عنه، استعمل رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم حُسْنَ الظَّنِّ في أمرِه، وقَبِلَ ما ادَّعاه في قَولِه

Maksudnya:  “Antara kefahaman dari hadis ini ialah hukum seorang yang mentakwil akan keharusan sesuatu yang ditegah ke atasnya adalah berbeza dengan hukum orang yang sengaja melakukan perkara yang tertegah ke atasnya kerana ia menghalalkan perkara yang ditegah tanpa sebarang takwilan. Pada hadis ini juga menunjukkan jika seseorang melakukan perkara yang ditegah dan mendakwa sesuatu perkara yang boleh diandaikan takwilannya itu, maka dakwaannya itu diterima, sekalipun pada ghalibnya adalah sebaliknya. Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesuatu perkara ketika mana ada andaian dan berkemungkinan sama seperti yang dinyatakan oleh Hatib. Berkemungkinan juga seperti yang dikatakan oleh ‘UmarRA. Rasulullah SAW menggunakan baik sangkanya dalam urusan tersebut dan menerima apa yang didakwa oleh Hatib.”

Kata Syamsuddin al-Birmawi dalam al-Lami’ al-Sabih 15/140:

المتأوِّلُ في تكفيرِ الغيرِ معذورٌ غيرُ آثمٍ؛ ولذلك عذَرَ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عُمَرَ في نسبته النِّفاقَ إلى حاطِبٍ لتأويلِه، ظَنًّا بأنَّه بما كتب إلى المشرِكين يصير منافِقًا

Maksudnya: “Seorang yang mentakwil pada menghukum kafir seseorang lain adalah diberi kemaafan dan tidak dikira berdosa. Kerana itu Baginda SAW memberi kemaafan kepada ‘Umar dengan hukumannya sebagai munafiq kepada Hatib dengan takwilan yang tidak tepat, kerana menyangka tulisan Hatib kepada musyrikin itu menjadikan Hatib dihukum munafiq.”  

Oleh itu apabila seseorang melakukan perbuatan kafir dalam keadaan berakal, baligh, mengetahui perbuatan itu adalah perbuatan kafir, dilakukan atas pilihan sendiri, dilakukan dengan kehendak sendiri, tanpa ada sebarang andaian lain, tanpa kekeliruan dan kesamaran, maka pelaku tersebut baru dijatuhkan hukuman kafir kepadanya. Syarat-syarat ini dilaksanakan dalam bab Takfir (التكفير), Tafsiq (التفسيق), ta’thim (التاثيم) dan Tabdi’ (التبديع).   


Cetak  
Wallahu a'lam