SDI 1673: Nukilan Dari Tokoh-Tokoh Awal Mazhab Syafi'e Membuktikan Imam Syafi'e Bukan Beraliran Asya'irah

Soalan:

Ustaz betulkah dakwaan sebahagian pihak termasuk pensyarah Universiti yang mengatakan Imam Syafi‘e berakidah Asy‘ari? Demikian juga dakwaan ulama mazhab Syafi'e semuanya beraliran Asya'irah?

Jawapan:

Dakwaan tersebut tidak benar dan termasuk perbuatan meneka-neka tanpa ilmu, jika memaksudkan semua ulama mazhab Syafi'e beraliran Asya'irah. Bahkan tokoh-tokoh awal mazhab Syafi'e majoritinya menyalahi aliran Asya'irah dalam permasalahan akidah. Antara bukti yang dapat saya kongsikan ialah;

[1] Keberadaan Imam Ahmad bin Hambal RH yang secara pasti tidak melakukan takwilan seperti Asya‘irah. Beliau salah seorang anak murid kanan Imam Syafi‘e. Tidak terhenti sekadar itu, bahkan beliau termasuk dalam periwayat utama pandangan qadim Imam Syafi‘e. Hal ini sudah cukup membuktikan Imam Syafi‘e bukan berakidah Asya‘irah, kerana dari manakah Imam Ahmad mengambil pemahaman akidahnya jika bukan dari guru-gurunya?

[2] Sahabat dan Anak Murid Imam al-Syafi‘e, Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya al-Muzani wafat 264H dalam Syarh al-Sunnah 1/75 berkata:

الَّذِي لَيْسَ لَهُ صَاحِبَةٌ وَلَا وَلَدٌ جَلَّ عَنِ الْمَثَلِ فَلَا شَبِيهَ لَهُ وَلَا عَدِيلَ السَّمِيع الْبَصِير الْعَلِيم الْخَبِير الْمَنِيع الرَّفِيع، عَالٍ عَلَى عَرْشِهِ وَهُوَ دَانٍ بِعِلْمِهِ مِنْ خَلْقِهِ أَحَاطَ عِلْمُهُ بالأمور

Maksudnya: “(Dialah Allah) Yang tidak memerlukan pasangan dan anak, Maha Agung Dia dari sesuatu yang seumpamanya, tiada yang menyerupai-Nya dan setanding dengan-Nya. Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, Meninggi di atas ‘Arasy-Nya, Maha Dekat ilmu-Nya dengan makhluk-Nya. Menyeluruh ilmu-Nya terhadap segalanya.”

[3] Abu al-Husain, Muhammad bin Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Malathiy (الملطي) al-Syafi‘e, wafat pada 377H  dengan kitabnya al-Tanbih Fi al-Radd ‘Ala Ahl al-Bida’ wa al-Ahwa’, hal: 60-61. Antara perkataan beliau:

فَأَما تَفْسِير قَوْله جلّ اسْمه لمُوسَى عليه السلام ﴿لن تراني﴾ قَالَ مُوسَى لما سمع كَلَام ربه بِأَرْض الْقُدس اشتاق إِلَى رُؤْيَته فَقَالَ ﴿رب أَرِنِي أنظر إِلَيْك﴾ فَقَالَ الله عز وجل ﴿لن تراني﴾ يَعْنِي فِي الدُّنْيَا فَأَما فِي الْجنَّة فَإِن مُوسَى وَغَيره يرونه فِي الْجنَّة معانية

Maksudnya: “Dan adapun tafsir kepada firman Allah Yang Maha Agung Nama-Nya kepada Musa AS: “Kamu tidak akan dapat melihat-Ku.” (iaitulah jawapan kepada) perkataan Musa apabila baginda mendengar kalam tuhannya di al-Quds, sehingga baginda rindu untuk melihat-Nya, seraya baginda berkata: “Wahai tuhanku, perlihatkanlah kepadaku sehingga aku dapat melihat-Mu.” Lalu Allah Azza wa Jalla berfirman: “Kamu tidak akan dapat melihat-Ku.” Iaitulah di dunia. Adapun di dalam syurga, sesungguhnya Musa dan selain baginda (dari kalangan orang yang beriman) akan melihat Allah di dalam syurga dengan mata mereka.”

[4] Abu al-Hasan, ‘Ali bin Ahmad bin Yusuf al-Kahhari (الكهاري) wafat 486H menukilkan wasiat-wasiat al-Imam al-Syafi‘e RH, penuh dengan pengithbathan akan sifat-sifat Allah SWT yang menyalahi Asya‘irah sama sekali. Beliau ithbathkan اليدان، القدم، الضحك، الهبط، إصبع، فوق العرش dan lain-lain.  

[5] Al-Syeikh Abu Hamid al-Isfarayini RH, meninggal dunia pada tahun 406H, katanya:

مَذْهَب الشَّافِعِي وَسَائِر الْأَئِمَّة فِي الْقُرْآن خلاف قَول الْأَشْعَرِيّ، وَقَوْلهمْ هُوَ قَول الإِمَام أَحْمد

Maksudnya: “Mazhab al-Syafi‘e dan seluruh para imam (ikutan umat Islam) berkaitan al-Quran adalah berbeza dengan pandangan al-Asy‘ari. Pandangan mereka semuanya sama seperti pandangan al-Imam Ahmad.” (al-Tahbir Fi Syarh al-Tahrir oleh al-Mardawi 3/1281) 

[6] Qiwam al-Sunnah, Abu al-Qasim Ismail bin Muhammad al-Taimiy al-Asbahani al-Syafi‘e RH, meninggal dunia tahun 535H, katanya:

وَقَوْلُهُ: فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ، أَيْذَهَبَ الفَزَعُ عَنْهَا، قَالَ بَعْضُهُمْ فُزِّعَ أَيْنُزِعَ. وَفِي الحَدِيثِ دَلِيلٌ أَنَّ كَلَامَ اللَّهِ قَوْلٌ يُسْمَعُ.

Maksudnya: “Sabda Baginda SAW: “Apabila dihilangkan ketakutan dari hati-hati para malaikat apabila mendengar perintah Allah SWT.” Hadis ini merupakan bukti kalam Allah adalah perkataan yang didengari.” (Syarh Sahih al-Bukhari oleh al-Asbahani 4/586)

Kata beliau lagi 3/154:

حديث أبي هريرة [ ينزل ربنا تعالى كل ليلة] جحد أهل البدع هذا الحديث وقالوا : ظاهره يقتضي التشبيه! ولا يحتمل تأويلا صحيحا! وقد ورد القرآن بمثل معنى هذا الحديث وهو قوله ( وجاء ربك) وقوله ( هل ينظرون إلا أن يأتيهم الله) وسئل الأوزاعي عن معنى هذا الحديث فقال : يفعل ما يشاء

Maksudnya: “Hadis Abu Hurairah: “Tuhan kita Yang Maha Tinggi turun pada setiap malam.” Ahli bidaah membantah hadis ini dengan mengatakan: “Zahir hadis ini membawa kepada tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), ia tidak membawa maksud yang benar. (Sedangkan) al-Quran (dalam beberapa ayatnya) mendatangkan makna yang sama dengan hadis ini, iaitulah (antaranya) “(Apabila) datag tuhanmu.” (al-Fajr: 22) Firman-Nya lagi: “(Mereka yang derhaka) tidak menunggu (di hari kiamat kelak) melainkan kedatangan Allah  (untuk memutuskan hukuman).” (al-Baqarah: 210). Pernah ditanya kepada al-Awza‘ie tentang makna hadis ini, beliau berkata: “Dia (Allah) berbuat apa yang dikehendaki.”

Ibn Kathir RH dalam Tabaqat al-Syafi‘eyyah 1/591 berkata:

الإمام الحافظ الفقيه الكبير، أبو القاسم التميمي الطلحي الأصبهاني الجوزي الملقب بقوام السنة، أحد أئمة الشافعية وجهابذة الحديث ونقادهم

Maksudnya: “(beliau) seorang Imam (ikutan umat Islam) al-Hafidz, al-Faqih al-Kabir, Abu al-Qasim al-Tamimi al-Talhi al-Asbahani al-Jauzi, digelar sebagai Qiwam al-Sunnah. Seorang dari kalangan para imam mazhab Syafi‘e, pakar hadis dan ilmu nuqad.”

[7] Muhammad bin Abdul Malik bin Muhammad bin ‘Umar, Abu al-Hasan al-Karaji (الكرجي) al-Syafi‘e. Meninggal dunia tahun 532H, Ibn Taimiyyah RH dalam Bayan Talbis Jahmiyyah menukilkan perkataan beliau dalam al-Fusul Fi al-Usul ‘An al-Aimmah al-Fuhul, yang mengithbathkan sifat-sifat Allah sepertimana al-Salaf al-Saleh. Pada halaman 17, beliau berkata: “Sesiapa yang berkata:  

أنا شافعي الشرع أشعري الاعتقاد، قلنا له: هذا من الأضداد، لا بل من الارتداد، إذ لم يكن الشافعي أشعري الاعتقاد و من قال: أنا حنبلي في الفروع معتزلي في الأصول قد ضللت إذا عن سواء السبيل فيما تزعمه اذ لم يكن أحمد معتزلي الدين و الاجتهاد

Maksudnya: “Siapa yang berkata: “aku (mazhab) Syafi‘e pada syara’ (fiqh), (bermazhab) Asy‘ari pada iktikad.” Kami katakan kepada orang seperti ini: “Dakwaan kamu ini saling berlawanan dan menyeleweng. Kerana (al-Imam) al-Syafi‘e bukan seorang Asy‘ari pada iktikadnya. Sesiapa yang berkata aku bermazhab Hambali pada permasalahan cabang dan seorang muktazilah pada persoalan usul, kamu seorang yang tersesat jauh dari jalan yang lurus dengan sebab dakwaan kamu itu kerana (al-Imam) Ahmad bukan seorang bermazhab muktazilah pada perkara usul dan furu’.”

Perkataan al-Karaji al-Syafi‘e dalam bentuk qasidah yang panjang dinamakan ‘Arus al-Qasa’id Fi Syumus al-‘Aqa’id (عَرُوْسَ القَصَائِدِ في شُمُوْسِ العَقَائِدِ) tentang istiwa’nya (bersemayamnya) Allah di atas ‘Arasy, dinukilkan pula oleh al-Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-‘Arasy 2/469-470:

عَقَائِدُهُمْ أَنَّ الْإِلَهَ بِذَاتِهِ - عَلَى عَرْشِهِ مَعَ عِلْمِهِ بِالْغَوَائِبِ

وَأَنَّ اسْتِوَاءَ الرَّبِّ يُعْقَلُ كَوْنُهُ - وَيُجْهَلُ فِيهِ الْكَيْفُ جَهْلَ الشَّهَارِبِ

Maksudnya: Akidah-akidah mereka (ahli hadis) bahawa zat tuhan itu di atas arasy, bersama ilmunya akan perkara-perkara ghaib. Istiwanya Tuhan difahami keberadaannya, tidak diketahui bagaimananya seperti tidak tahunya orang-orang tua.”

Seterusnya al-Zahabi berkata:

وكان أبو الحسن هذا إمامًا، زاهدًا، شافعي المذهب، معاصرًا للشيخ أبي محمد البغوي وذويه، وهذه القصيدة مشهورة عند الخاصة والعامة في بلاد المشرق.

Maksudnya: “Abu al-Hasan (al-Karaji) ini adalah seorang imam (ikutan umat Islam), seorang yang Zahid, bermazhab Syafi‘e, sezaman dengan al-Syeikh Abu Muhammad al-Baghawi. Qasidah ini masyhur di sisi ramai orang awam mahupun khas di negeri-negeri sebelah timur.”

Dalam al-‘Uluw, selepas menyebut rangkap qasidah ini al-Zahabi berkata:

وَعَلَى هَذِهِ الْقَصِيدَةِ مَكْتُوبٌ بِخَطِّ الْعَلَّامَةِ تَقِيِّ الدِّينِ بْنِ الصَّلَاحِهَذِهِ عَقِيدَةُ أَهْلِ السُّنَّةِ وَأَصْحَابِ الْحَدِيثِ

Maksudnya: “Berdasarkan qasidah inilah tertulisnya tulisan tangan al-‘Allamah Taqiyuddin bin al-Salah: “Inilah  Aqidah Ahli al-Sunnah dan Ahli Hadis.” (1/236)

[8] Kata Abu al-Qasim al-Tabari al-Lalika’ie (اللالكائي) al-Syafi‘e  (W418H):

قَالَ أَبُو الْقَاسِمِ الطَّبَرِيُّ: وَجَدْتُ فِي (كُتُبِ) أَبِي حَاتِمٍ مُحَمَّدِ بْنِ إِدْرِيسَ بْنِ الْمُنْذِرِ الْحَنْظَلِيِّ، مِمَّا سُمِعَ مِنْهُ يَقُولُ: مَذْهَبُنَا وَاخْتِيَارُنَا اتِّبَاعُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ وَأَصْحَابِهِ، وَالتَّابِعِينَ مِنْ بَعْدِهِمْ، وَالتَّمَسُّكُ بِمَذَاهِبِ أَهْلِ الأَثَرِ مِثْلِ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ، وَإِسْحَاقَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ، وَأَبِي عُبَيْدٍ الْقَاسِمِ بْنِ سَلَّامٍ، وَالشَّافِعِيِّ (تَعَالَى) ، وَلُزُومُ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَعْتَقِدُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى عَرْشِهِ، بَائِنٌ مِنْ خَلْقِهِ، ﴿لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ﴾

Maksudnya: “Kata Abu al-Qasim al-Tabari: Aku mendapati dalam kitab-kitab Abi Hatim Muhammad bin Idris bin al-Munzir al-Hanzhali (W277H), antara perkara yang didengar daripada beliau ialah katanya: Mazhab kami dan pilihan kami adalah mengikut Rasulullah SAW, para sahabat baginda dan para tabi‘en selepas mereka. Kamu berpegang dengan mazhab Ahli Athar seumpama Abi ‘Abdillah Ahmad bin Hambal, Ishak bin Ibrahim, Abi Ubaid al-Qasim bin Sallam dan al-Syafi‘e RH. Mazhab kami juga berpegang dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Kami berkeyakinan bahawa Allah berada di atas ‘Arasy, terpisah dari makhluknya dan tiada sesuatu yang menyerupai-Nya, Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Ithbath Sifah al-‘Uluw oleh Ibn Qudamah. Hal: 184. Lihat juga Siyar A’lam al-Nubala 3/247 oleh al-Zahabi )

Inilah adalah sebahagian yang dapat saya kongsikan. Terdapat banyak lagi nukilan-nukilan dari tokoh-tokoh awal mazhab Syafi‘e yang menyalahi Asya‘irah yang membuktikan tidak benar dan palsu dakwaan yang mengatakan Imam Syafi‘e beraliran Asya‘irah dalam permasalahan akidah.


Cetak  
Wallahu a'lam