Soalan:
Ustaz, kenapa tidak difahami secara majaz sahaja ayat-ayat dan hadis-hadis tentang sifat Allah SWT. Bukankah cara begini lebih selamat?
Jawapan:
Memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW tidak boleh sewenang-wenangnya difahami secara majaz. Sehingga apa sahaja makna ayat al-Quran dan hadis yang tidak selari dengan akal pada anggapan kita, lalu didakwa ayat tersebut memiliki makna dan maksud yang menyeleweng. Lalu dinafikan makna hakikatnya dan berpaling kepada majaz. Ini bukanlah tindakan yang selamat. Bahkan tindakan ini adalah tindakan memaksa wahyu mengikut akal, bukan akal digunakan untuk memahami wahyu. Tindakan ini berupa tohmahan terhadap wahyu. Maha Suci Allah SWT dan Rasul SAW dari mendatangkan sesuatu yang boleh menyelewengkan manusia. Sebaliknya akal manusia itulah yang menyeleweng.
Pemahaman secara majaz adalah bergantung penuh kepada maklumat yang ada pada akal. Maknanya sesuatu perkara yang hendak difahami secara majaz, terlebih dahulu akal mestilah memiliki maklumat tentang hakikat perkara itu. Sebagai contoh seorang guru berkata:
“Ketika saya masuk ke dalam bilik darjah sebentar tadi, saya dapati ada keldai sedang duduk di atas kerusi.”
Akal yang memiliki maklumat tentang seekor keldai dan tahu akan hakikat seekor keldai akan membuat penafian seekor keldai berada dalam bilik darjah. Demikian juga akal yang tahu akan hakikat seekor keldai akan menafikan juga seekor keldai dapat duduk di atas kerusi. Lalu dengan segera akal membuat keputusan kaldai yang dituturkan oleh guru tersebut adalah secara majaz. Guru tersebut tidak memaksudkan seekor haiwan keldai, sebaliknya siguru memaksudkan seorang pelajar yang dungu.
Berbeza dalam perkara ghaib, di mana pemahaman secara majaz tidak boleh digunakan kerana akal tiada maklumat tentang perkara ghaib tersebut. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 3:
الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون الصلاة...
Maksudnya: “(al-Quran itu petunjuk untuk orang yang bertaqwa) iaitulah mereka yang beriman kepada perkara-perkara ghaib…”
Oleh itu kita dituntut beriman kepada perkara ghaib menurut apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW berdasarkan panduan wahyu. Tanpa memandai-mandai dalam perkara yang akal kita tidak memiliki maklumat tentang hakikatnya. Perkara ghaib ini berupa satu bentuk ujian kepada manusia, apakah mereka mahu mengimaninya ataupun tidak.
Permasalahan zat dan sifat Allah SWT termasuk dalam perkara ghaib yang akal manusia tidak memiliki maklumat terperinci tentangnya. Oleh itu akal tidak boleh menceroboh masuk ke dalam perincian zat dan sifat Allah kerana ia termasuk dalam perkara ghaib. Maklumat yang dimiliki oleh akal kita pula amat terbatas. Jika asas ini dipersetujui, maka selesai masalah dan langkah selamat adalah menerima apa sahaja yang dikhabarkan berdasarkan panduan-panduan wahyu dan mengelak dari menyibukkan diri mendetailkan perkara yang tidak disuruh oleh Syarak dan di luar kemampuan akal manusia mengetahuinya.
Apabila Allah SWT berfirman: الرحمن على العرش استوى yang bermaksud: “Allah yang Maha Pemurah bersemayam di atas ‘Arasy.” Cara faham Asya‘irah menafikan “Allah bersemayam di atas ‘arasy”, mereka mengatakan ayat ini tidak memaksudkan Allah bersemayam sebaliknya ia memaksudkan majaz iaitu Allah menguasai ‘arasy. Persoalannya, apakah anda mengetahui hakikat zat Allah? Sudah tentu jawapannya tiada siapa mengetahui hakikat zat Allah. Masalah pada cara fikir anda ialah apabila anda menerima tamthilan yang datang pada akal sebaik sahaja membaca “Allah bersemayam di atas ‘arasy.” Lalu anda bimbang terjebak ke dalam tasybih, tamthil dan tajsim dan tidak perasan akan kesalahan sebenar anda yang di awal-awal lagi memberi tasybihan, tamthilan dan tajsiman kepada Allah.
Anda lari dari tamthil, tasyhbih dan tajsim, anda masuk ke dalam kesalahan ta’til makna atau menafikan makna. Anda terjebak ke dalam kesalahan ini disebabkan kesalahan cara fikir atau manhaj kefahaman akal dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat. Di mana ketika anda membaca nas-nas sifat Allah, anda melalukannya dalam fikiran sama seperti sifat yang dinisbahkan kepada makhluk. Lalu anda menyatakan semua ayat al-Quran dan hadis tentang sifat Allah seperti istiwa, tangan, datang, turun dan lain-lainnya tidak memaksudkan kepada hakikat makna, sebaliknya memaksudkan majaz. Sedangkan akal anda tidak mengetahui hakikat Zat Allah SWT. Maka bagaimana anda berani menafikan perkhabaran Allah tentang diri dan sifat-Nya dan mendakwa perkhabaran itu majaz?
Oleh itu, akurlah kepada perkhabaran Allah SWT dan Rasul SAW, jangan campur-adukkan pemahaman tentang Zat, Sifat dan nama Allah dengan zat, sifat dan nama makhluk. Terimalah semua perkhabaran Allah sepertimana yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Jangan membuat sebarang tamthilan atau perumpamaan, tasybihan atau penyerupaan, tajsiman atau menjisimkan yang akhirnya memesongkan antum kepada kesalahan ta’thilan atau penafian.