SDI 1695: Maksud Hadis Orang Nasara Menjadikan Kubur Nabi Mereka Sebagai Masjid

Soalan:

Ustaz, bagaimana dikatakan orang Nasrani menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid? Sedangkan orang Nasrani atau Kristian hanya memili seorang Nabi iaitulah Nabi Isa AS. Mohon penjelasan tentang hadis:

“Allah melaknat Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid.” (Kata ‘Aisyah RA): Jika bukan kerana kebimbangan ini, nescaya akan ditonjolkan kubur baginda, hanya sahaja baginda bimbang akan dijadikan kubur baginda sebagai masjid.”

Jawapan:

Hadis yang ditanya antaranya diriwayatkan daripada Aisyah RA, yang berkata: “Rasulullah SAW pernah bersabda ketika sakit yang menyebabkan baginda tidak dapat bangun lagi:

لَعَنَ اللَّهُ اليَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

Maksudnya: “Allah melaknat Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid.” (Kata ‘Aisyah RA): Jika bukan kerana kebimbangan ini, nescaya akan ditonjolkan kubur baginda, hanya sahaja baginda bimbang akan dijadikan kubur baginda sebagai masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 1390 dan Muslim no. 529).

 

Terdapat beberapa Isu dalam hadis ini:

Pertama: Dalam hadis ini, baginda SAW menyatakan orang Nasrani menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid, padahal mereka hanya memiliki seorang rasul sahaja iaitu Nabi Isa AS. Nabi SAW bersabda:

أَنَا أَوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى، الْأَنْبِيَاءُ أَبْنَاءُ عَلَّاتٍ، وَلَيْسَ بَيْنِي وَبَيْنَ عِيسَى نَبِيٌّ

Maksudnya: “Akulah orang yang paling utama dengan Isa, semua para nabi itu saudara sebapa, dan tidak ada nabi antara aku dan Isa.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 3443 dan Muslim no. 2365).

Walaupun Isa AS tidak wafat dan tidak memiliki kubur yang hakiki, orang Nasrani percaya bahawa Isa telah disalib, mati, dan mempunyai kubur.

Kedua: Apakah huraian kepada perkataan Nabi SAW yang memasukkan Nasrani dalam golongan mereka yang menjadikan kubur Nabi mereka sebagai masjid? Isu ini dijawab oleh para ulama dengan mengatakan;

[1] Ungkapan “para nabi” dalam hadis merangkumi tokoh-tokoh besar Nasrani, para pendeta dan ulama mereka. Pemahami ini dapat dibuktikan dengan hadis Abdullah bin al-Harith al-Najrani (عَبْدُ اللهِ بْنُ الْحَارِثِ النَّجْرَانِيِّ) RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda lima hari sebelum kewafatan baginda:

أَلَا وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ، أَلَا فَلَا تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ، إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa orang sebelum kamu menjadikan kubur nabi-nabi dan orang soleh mereka sebagai masjid. Ketahuilah, janganlah kamu menjadikan kubur sebagai masjid, aku melarang kamu daripada perkara tersebut.” (Hadis riwayat Muslim no. 532).

Dalam hadis ini menunjukkan baginda tidak mengkhususkan kepada perbuatan menjadikan kubur para Nabi sebagai masjid, bahkan baginda memasukkan juga kepada kubur-kubur orang saleh yang dibina menjadi masjid.

Dalam hadis lain daripada ‘Aisyah yang menyatakan bahawa Ummu Salamah menyebut kepada Rasulullah SAW satu kanisah atau gereja yang namakan Mariyyah dililhatnya di Habashah. Di dalamnya terdapat beberapa berhala. Lalu Nabi SAW bersabda;

أُولَئِكَ قَوْمٌ إِذَا مَاتَ فِيهِمُ العَبْدُ الصَّالِحُ، - أَوِ الرَّجُلُ الصَّالِحُ، بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ، أُولَئِكَ شِرَارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ

Maksudnya: “Mereka itu satu kaum, apabila mati seorang hamba Allah yang saleh, mereka bina di atas kuburnya masjid dan mereka membuat gambar-gambar orang soleh itu di dalamnya. Mereka itu seburuk-buruk makhluk di sisi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari ni. 434 dan Muslim no. 528)

[2] Sebutan Nasrani dalam hadis digabung dengan Yahudi, maka disebutkan “para nabi” dalam bentuk jamak atau plural, untuk mewakili kedua-dua pihak yang memiliki nabi.

Kata al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH berkata:

قوله: (أَنْبِيَائِهِمْ) بإزاء المجموع من اليهود والنصارى، والمراد الأنبياء وكبار أتباعهم فاكتفى بذكر الأنبياء، ويؤيده قوله في رواية مسلم من طريق جندب: (كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ)، ولهذا لما أفرد النصارى في الحديث الذي قبله، قال: (إِذَا مَاتَ فِيهِمُ العَبْدُ الصَّالِحُ)، ولما أفرد اليهود في الحديث الذي بعده، قال: (قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ). أو المراد بالاتخاذ، أعم من أن يكون ابتداعا أو اتباعا، فاليهود ابتدعت والنصارى اتبعت، ولا ريب أن النصارى تعظم قبور كثير من الأنبياء الذين تعظمهم اليهود

Maksudnya: “Sabda baginda SAW: “para nabi” itu merujuk kepada gabungan Yahudi dan Nasrani, dan yang dimaksudkan dengan “para nabi” adalah “tokoh-tokoh besar mereka”, baginda berpada dengan menyebut “para nabi.” Hal ini disokong oleh hadis riwayat Muslim dari Jundub: “Mereka dahulu menjadikan kubur para nabi dan orang soleh mereka sebagai masjid.” Oleh itu, ketika baginda menyebut Yahudi secara bersendirian, baginda menyebut: “Kubur para Nabi mereka.” Atau yang dimaksudkan dengan al-Ittikhaz yang diterjemahkan sebagai “menjadikan kubur” iaitulah lebih umum sama ada merujuk kepada kaum yang memulakan perbuatan tersebut atau kaum yang sekadar mengikut kaum sebelum mereka. Maka orang Yahudi memulakan bid‘ah menjadikan kubur para nabi sebagai masjid, manakala orang Nasara pula mengikuti mereka. Termasuk dalam perkara yang tidak diragukan lagi, bahawa Nasara mengagungkan kubur-kubur kebanyakan para Nabi yang diagungkan oleh Yahudi.” (Fath al-Bari 1/532-533)

Kata al-Syeikh Ahmad bin Ismail al-Kurani RH:

والجواب أن النصارى قائلون بأنبياء بني إسرائيل، أو المراد الأنبياء والصالحون أتباعهم. دل عليه رواية مسلم: (قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ). ورواية البخاري في الباب: ( إِذَا مَاتَ فِيهِمُ العَبْدُ الصَّالِحُ

Maksudnya: “Jawapan berkaitan hadis ini, bahawa Nasara juga mengiktiraf para nabi Bani Israil. Atau yang dimaksudkan ialah para nabi dan para salihin pengikut para nabi. Kefahaman ini dibuktikan dengan riwayat Muslim: “Kubur-kubur para nabi dan orang saleh mereka”. Dalam riwayat al-Bukhari dalam bab: “Apabila mati dalam kalangan kamu seorang hamba yang saleh.” (al-Kawthar al-Jari 2/117)

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam