SDI 1696: Bagaimana Iblis mengetahui Adam dan keturunannya akan turun ke bumi?

Soalan:

Bagaimana Iblis mengetahui Adam dan keturunannya akan turun ke bumi? seperti  firman Allah dalam surah Al-Hijr 39-40. Bagaimana pula dia dapat tahu dia boleh menyesatkan manusia?

Jawapan:

[1] Iblis Dari Kalangan Penghuni Langit Bersama Para Malaikat

Dahulunya Iblis, laknatullah, adalah dari kalangan penghuni langit bersama para malaikat. Allah berfirman kepada mereka semua:

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ 

Maksudnya: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi ini khalifah." Mereka berkata: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi ini mereka yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?" Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 30).

Dalam ayat ini Allah memberitahu para malaikat bahawa Dia akan menjadikan seorang khalifah di bumi. Apabila Allah mencipta Adam, para malaikat mengetahui bahawa Adam adalah khalifah yang dimaksudkan. Dari situ, Iblis juga mengetahui tentang kewujudan Adam dan baginda akan ditempatkan di bumi.

Kata Ibn Kathir dalam Tafsirnya 1/216:

وقول الملائكة هذا ليس على وجه الاعتراض على الله، ولا على وجه الحسد لبني آدم، كما قد يتوهمه بعض المفسرين وقد وصفهم الله تعالى بأنهم (لا يسبقونه بالقول)، أي: لا يسألونه شيئا لم يأذن لهم فيه... وإنما هو سؤال استعلام واستكشاف عن الحكمة في ذلك، يقولون: يا ربنا، ما الحكمة في خلق هؤلاء مع أن منهم من يفسد في الأرض ويسفك الدماء، فإن كان المراد عبادتك، فنحن نسبح بحمدك ونقدس لك، أي: نصلي لك كما سيأتي، أي: ولا يصدر منا شيء من ذلك، وهلا وقع الاقتصار علينا؟ قال الله تعالى مجيبا لهم عن هذا السؤالإني أعلم ما لا تعلمون أي: إني أعلم من المصلحة الراجحة في خلق هذا الصنف على المفاسد التي ذكرتموها ما لا تعلمون أنتم؛ فإني سأجعل فيهم الأنبياء، وأرسل فيهم الرسل، ويوجد فيهم الصديقون والشهداء، والصالحون والعباد، والزهاد والأولياء، والأبرار والمقربون، والعلماء العاملون والخاشعون، والمحبون له تبارك وتعالى المتبعون رسله، صلوات الله وسلامه عليهم

Maksudnya: “pertanyaan para malaikat itu bukanlah bentuk bantahan terhadap Allah atau dalam bentuk hasad terhadap manusia, seperti yang disangka oleh sesetengah ulama tafsir. Ini kerana Allah telah mensifatkan mereka sebagai: لا يسبقونه بالقول “Para malaikat itu tidak akan mendahului Allah dengan perkataan” (al-Anbiya’: 27) iaitulah para Malaikat tidak akan bertanya kepada Allah sesuatu yang tidak diizinkan kepada kepada dalam perkara tersebut… Soalan tersebut hanyalah soalan untuk mengetahui dan menyingkap hikmah di sebalik penciptaan manusia. Mereka seperti bertanya: “Wahai tuhan kami, apakah hikmah pada penciptaan sekelian manusia sedangkan di antara mereka itu nanti ada yang akan membuat kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah. Jika tujuannya supaya mereka beribadat kepada-Mu, maka kami para malaikat sentiasa bertasbih, bertahmis dan mentaqdiskan-Mu, kamu juga menunaikan solat kepada-Mu. Apakah tidak berpada dengan keberadaan kami?” Allah SWT menjawab: “Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu semua ketahui.” Iaitulah Aku lebih mengetahui maslahah rajihah dalam penciptaan makhluk jenis manusia sekalipun sebahagian mereka akan melakukan kerosakan seperti yang kamu semua sebutkan, apa-apa yang kamu semua tidak tahu. Sesungguhnya Aku akan jadikan dalam kalangan mereka itu para nabi dan rasul. Dalam kalangan mereka itu pula aka nada golongan siddiqin dan syuhada’, para solihin dan ahli ibadah, ahli suhhad, para wali, para abrar, muqarrabun, ulama, mereka yang khusu’ dan mereka yang dicintai oleh Allah Tabarak awa Taala, mereka yang mengikut para rasul yang diutuskan SAW.”

[2] Bagaimana Iblis Mengetahui Adam dan Keturunannya Akan Turun ke Bumi?

Iblis mengetahui Nabi Adam akan berada di bumi, dan dia akan dapat menyesatkan mereka, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Hijr 39-40:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ. إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ 

Maksudnya: "Iblis berkata: 'Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menyesatkanku, pasti aku akan menghiasi bagi mereka (manusia) di bumi ini, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.'"

Menurut Abu al-Sa‘ud dalam Tafsirnya 5/183, Iblis mengetahui keupayaannya dalam menyesatkan manusia melalui maklumat yang diterimanya daripada para malaikat AS atau dari soalan para malaikat tentang manusia yang akan membuat kerosakan di muka bumi. Atau dari tanda yang ada pada penciptaan manusia.

Dalam hadis Anas bin Malik RA, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH, Nabi SAW bersabda:

لَمَّا صَوَّرَ اللَّهُ آدَمَ في الجَنَّةِ تَرَكَهُ ما شاءَ اللَّهُ أنْ يَتْرُكَهُ، فَجَعَلَ إبْلِيسُ يُطِيفُ به، يَنْظُرُ ما هُوَ، فَلَمَّا رَآهُ أجْوَفَ عَرَفَ أنَّه خُلِقَ خَلْقًا لا يَتَمالَكُ

Maksudnya: “Apabila Allah mencipta Adam di dalam syurga, Dia membiarkannya sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya. Iblis pula sentiasa mengelilinginya, melihat apa yang diciptakan oleh Allah. Apabila Iblis melihat bahawa tubuh Adam adalah berongga, dia mengetahui bahawa Adam dicipta dengan satu ciptaan yang tidak akan mampu mengawal dirinya (tubuh yang lemah, kurang keteguhan, memerlukan sesuatu untuk memenuhi ruang yang berongga itu).”

 


Cetak  
Wallahu a'lam