Kesyirikan di muka bumi sepanjang sejarah manusia berlaku dalam dua bentuk yang utama. Penyembahan kubur (الشرك الأرضي) dan penyembahan kepada objek-objek di langit (الشرك السماوي). Oleh itu pengutusan seluruh para Nabi ASWS adalah bertujuan membanteras kedua-dua punca utama kesyirikan ini.
Penyembahan kubur dan objek di langit tersebar di muka bumi sebelum kelahiran Nabi SAW. Dalam masyarakat Jazirah ‘Arab, orang pertama yang bertanggungjawab membawa masuk berhala ke Mekah adalah ‘Amr bin Luhaiy al-Khuza‘ie (عمرو بن لحي الخزاعي). Perkara ini bermula apabila beliau bermusafir ke Balqa’ di Jordan dan mendapati Masyarakat Syam menyembah berhala yang diharapkan dapat mendatangkan manfaat dan menolak mudharat. Lalu ‘Amr bin Luhaiy al-Khuza‘ie membawa pulang berhala dari Syam ke Mekah untuk disembah sepertimana yang dilakukan oleh penduduk Syam. Pada ketika itu, ‘Amr bin Luhay adalah pemimpin Mekah yang berada di bawah penguasaan Kabilah Khuza’ah sebelum Quraisy. Amru bin Luhay, sebagai ketua Khuza‘ah, menjadi orang pertama yang mengubah agama Nabi Ismail AS dan menyimpang dari ajaran Nabi Ibrahim. Dia mendirikan berhala di sekitar Kaabah, memperkenalkan adat-adat seperti "saa’ibah" (السائبة), "bahirah" (البحيرة), "wasiilah" (الوصيلة), dan "haami" (الحامي). Dari sinilah bermulanya bangsa Arab menyembah berhala.
Berhala pertama yang diambil ialah "Manaat" (مناة) yang ditempatkan di pesisir laut di Qudayd (قُديد) antara Mekah dan Madinah. Kemudian, "al-Lat" (اللات) di Taif, yang berupa batu bersegi empat. Demikian pula "al-Uzza" (العُزّى) yang ditempatkan di Wadi Nakhlah (وادي نخلة), arah timur Mekah. Setelah itu, jumlah berhala terus bertambah di seluruh Jazirah Arab. Setiap kabilah memiliki berhala sendiri, yang terbuat daripada kayu, batu, bahkan kurma. Malah, terdapat sebanyak 360 berhala di sekeliling Kaabah, sehingga setiap penduduk Mekah memiliki berhala mereka sendiri di rumah.
Kesyirikan berleluasa, sama ada kesyirikan langit yang berlaku di Parsi yang menyembah matahari dan Bintang. Ada pula yang menyembah malaikat dari kalangan golongan Sabi’ah (الصابئة). Demikian juga kesyirikan bumi yang menyembah air, api, tanah, sehingga ada yang menyembah haiwan.
Ketika kebanyakan masyarat dunia melakukan kesyirikan, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW yang telah diberitakan oleh Nabi Isa AS dan para nabi sebelumnya. Baginda diutuskan untuk menyeru kepada agama Ibrahim dan agama para rasul sebelum dan selepas Ibrahim AS yang menyeru kepada tauhid yang murni dan meninggalkan segala bentuk syirik, baik kesyirikan bumi mahupun kesyirikan langit.
Bagi mencegahan dua jenis kesyirikan ini, iaitu kesyirikan bumi yang berpunca dari penghormatan yang berlebihan terhadap orang mati seperti yang berlaku pada kaum Nabi Nuh AS, Nabi SAW melarang menjadikan kubur sebagai masjid, baginda melarang solat di atas kubur atau menghadap kubur. Demikian juga baginda melarang memuliakan kubur secara berlebihan.
Bagi mencegah kesyirikan langit pula yang berpunca dari pengajungan dan kagum dengan objek-objek di langit, sehingga membawa kepada penyembahan kepada matahari, bulan dan bintiang seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim AS, maka Nabi SAW melarang solat pada waktu terbit dan terbenam matahari kerana waktu-waktu itu dikaitkan dengan penyembahan matahari.
Iman kepada Allah SWT, yang menjadi tujuan hidup semua makhluk, hanya dapat dicapai dengan keyakinan teguh bahawa Allah adalah Tuhan segala sesuatu, Pemilik dan Penguasanya. Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan keagungan, dan hanya Dia yang berhak disembah dan diabdikan diri tanpa sekutu. Iman ini mesti diwujudkan dengan ilmu dan amal, serta diiringi ketaatan kepada Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW.
Sebaliknya, sebahagian orang yang jahil menyangka bahawa iman kepada Allah cukup dengan mempercayai kewujudan Allah atau sifat rububiyyah-Nya sahaja yang mencipta dan menguasai segala sesuatu. Manakala uluhiyyah atau penghambaan dan pengabdian diri dalam bentuk pengibadatan boleh diserahkan dan ditujukan kepada selain Allah. Inilah yang berlaku dalam kalangan Masyarakat Jahiliyyah di zaman Nabi SAW. Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya; hadis bilangan 1185 daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata: “Dahulunya Masyarakat musyrikin melaungkan talbiah haji dengan berkata:
لَبَّيْكَ لا شَرِيكَ لَكَ، قالَ: فيَقولُ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: وَيْلَكُمْ! قدْ قَدْ، فيَقولونَ: إلَّا شَرِيكًا هو لَكَ، تَمْلِكُهُ وَما مَلَكَ. يقولونَ هذا وَهُمْ يَطُوفُونَ بالبَيْتِ
Maksudnya: “Sahutan dan ketaatan yang berterusan kepada-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.” Mendengar seruan ini, Rasulullah SAW bersabda: “kecelakan kepada kamu semua – ungkapan ini baginda ucapkan kerana baginda mengetahui ungkapan tambahan selepas ungkapan ini mengandungi kesyirikan, lalu baginda bersabda – cukup, cukup dengan ungkapan ini sahaja (yang mengandungi tauhid dan jangan disambung dengan ungkapan yang berikutnya.) Ungkapan berikut yang diucapkan oleh masyarakat musyrikin ialah: إلَّا شَرِيكًا هو لَكَ، تَمْلِكُهُ وَما مَلَكَ maksudnya: “Melainkan sekutu milik-Mu (berhala-berhala yang disembah selain Allah), yang Kamu milikinya dan apa-apa yang dimiliki oleh sekutu milik-Mu itu.” Kata Ibn ‘Abbas: “Masyarakat musyrikin melaungkan ungkapan ini ketika mereka melakukan tawaf sekitar Kaabah.” Inilah bentuk kesyirikan dalam ibadah yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah.