SDI 1698: Apakah Jawapan Jika Ditanya Apakah Allah Mampu Mencipta Batu Besar Sehingga Dia Sendiri Tidak Mampu Mengangkatnya?

Soalan:

Ustaz kalua orang tanya apakah Allah mampu mencipta batu besar sehingga Dia sendiri tidak dapat angkat, bagaimana kita nak jawab?

Jawapan:

Setiap soalan yang dibina atas andaian yang salah adalah soalan yang salah. Jika soalan itu salah, jawapan yang diberikan juga menjadi salah. Ini kerana memberi jawapan bermaksud mengakui bahawa soalan itu berdasarkan andaian yang betul.

Contoh soalan yang salah, apabila seseorang bertanya kepada anda: "Adakah anda telah berhenti memukul isteri anda?"

Jika anda tidak pernah memukul isteri, tetapi menjawab: "Ya", ini bermakna anda mengaku pernah memukil isteri. Jika anda menjawab "Tidak," ini bermakna anda masih berterusan memukul isteri. Sebenarnya kedua-dua jawapan ini salah, disebabkan soalan yang diajukan kepada anda adalah soalan yang salah.

Contoh lain, seseorang bertanya kepada anda: "Adakah anda sudah berhenti mengambil dadah?" Jika soalan ini ditujukan kepada seseorang yang tidak pernah mengambil dadah, jawapan sama ada "Ya" atau "Tidak" tetap salah kerana soalan itu berdasarkan andaian yang salah.

Oleh itu, soalan Adakah Allah mampu menciptakan batu yang Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya?

Soalan ini adalah salah. Perhatikan percanggahan dalam soalan ini. Soalan ini mengandaikan kewujudan kuasa mutlak dan ketidakmampuan mutlak dalam masa yang sama. Ini jelas merupakan satu percanggahan.

Untuk mudah difahami, apakah boleh kita bertanya: "Adakah Allah mempunyai kuasa mutlak dan  dalam masa yang sama tidak mempunyai kuasa mutlak?" Sudah tentu, mana-mana orang yang memahami asas logik akan tahu bahawa dua sifat yang bertentangan tidak boleh wujud serentak pada satu zat. Sebagai contoh, kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang itu cerdik dan bodoh dalam masa yang sama, atau sebiji epal berada di atas meja dan di bawah meja dalam masa yang sama.

Kesimpulan

Jangan dilayan soalan-soalan sebegini, ia hanya mendedahkan salah satu daripada dua keadaan:

  1. Penyoal seorang yang berniat jahat, bertujuan mendatangkan keraguan dan kekeliruan dalam kalangan umat islam.
  2. Penyoal itu seorang yang bodoh, malangnya dia tidak sedar bahawa soalannya itu cacat dari sudut logik, kerana dia sendiri gagal untuk memahami apa yang dia tanya. Dia juga gagal memahami asas logik dan konsep keesaan serta kesempurnaan Allah.

Cetak  
Wallahu a'lam