SDI 1713: Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan al-Sawad al-A'zham

Soalan:

Siapakah yang dimaksudkan dengan Sawadul A’zham yang disuruh kita mengikutinya ketika berlaku perselisihan sesama umat Islam? Ada orang mendakwa ia merujuk kepada kumpulan orang yang teramai, benarkan dakwaan ini?

Jawapan:

Terdapat beberapa hadis yang menyebut tentang al-Sawad al-A’zham (السواد الأعظم). Salah satunya diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, dikatakan Nabi SAW bersabda:

اتَّبعوا السَّوادَ الأعظمَ فإنَّهُ من شذَّ شذَّ في النَّارِ

Maksudnya: “Ikutilah al-Sawad al-A’zham, sesungguhnya sesiapa yang bersendirian, dia akan bersendirian di dalam neraka.”

               Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim (391), Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Awliya’ (3/37) dan al-Tirmizi (2167). al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH dalam Hidayah al-Ruwah 1/135-136 setelah menyenaraikan beberapa hadis yang menyebut tentang al-Sawad al-A’zham. menyebut:

وَلا يَخْلُو شَيءٌ مِنْهَا مِنْ مَقَالٍ

Maksudnya: “Namun, kesemua riwayat ini tidak terlepas daripada kritikan atau komentar (berkaitan kesahihah sanadnya)

Namun tidak dinafikan terdapat banyak nas yang menganjurkan berpegang kepada jemaah dan menjauhi perpecahan, seperti sabda Nabi Muhammad SAW:

يَدُ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ

Maksudnya: Allah bersama dengan jemaah.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibn Abbas. Al-Tirmizi juga meriwayatkan daripada Umar r.a., di mana beliau berkata:

عليكم بالجماعة وإياكم والفرقة، فإن الشيطان مع الواحد، وهو من الاثنين أبعد

 “Hendaklah kamu semua bersama jemaah, dan jauhilah perpecahan, kerana syaitan bersama seorang, dan dia lebih jauh daripada dua orang.” (Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani)

Perintah untuk mengikuti golongan majoriti (jemaah) juga disebut apabila berlaku perselisihan. Antara buktinya, Ibnu Majah meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

فَإذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَم

“Apabila kamu melihat perselisihan, maka berpeganglah kepada sawad al-a'zham."

Al-Sindi, dalam Hasyiah ‘Ala Sunan Ibn Majah 2/463, menukilkan perkataan al-Suyuti yang berkata:

السواد الأعظم: أي : جماعة الناس ومعظمهم الذين يجتمعون على سلوك المنهج المستقيم ، والحديث يدل على أنه ينبغي العمل بقول الجمهور ، وفي الزوائد في إسناده أبو خلف الأعمى واسمه حازم بن عطاء وهو ضعيف وقد جاء الحديث بطرق في كلها نظر قاله شيخنا العراقي في تخريج أحاديث البيضاوي

Maksudnya: “Sawad al-a'zham" bermaksud kumpulan manusia atau majoriti mereka yang bersatu dalam mengikuti manhaj yang lurus. Hadis ini menunjukkan yang sepatutnya adalah beramal dengan pendapat majoriti. Namun, dalam kitab al-Zawaid, disebutkan bahawa dalam sanad hadis ini terdapat Abu Khalaf Al-A'ma, yang bernama Hazim bin Atha', beliau seorang perawi yang lemah. Hadis ini juga datang melalui beberapa jalan periwayatan, tetapi kesemuanya mengandungi kelemahan seperti yang disebut oleh Syeikh kami al-Iraqi dalam kitabnya tentang takhrij hadis-hadis al-Baidawi.”

Sekalipun begitu, pendapat golongan majoriti tidak semestinya selalu benar. Ini kerana kebenaran itu adalah apa yang disokong oleh dalil yang kuat, walaupun yang menyatakannya adalah golongan yang sedikit.

Ketika menghuraikan makna al-Sawad al-A’dham, al-Allamah Ibn Qayyim al-Jawziyyah rahimahullah menjelaskan makna perintah untuk berpegang kepada jemaah adalah merujuk kepada jemaah yang pertama, sebelum manusia mengubah dan menggantikan ajaran agama Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Jemaah tersebut adalah golongan yang berpegang kepada apa yang dibawa oleh Nabi SAW dan para sahabat baginda. Maka, sesiapa yang mengikuti jalan ini, merekalah yang dianggap sebagai jemaah dan merekalah al-Sawad al-A'zham. Adapun jika golongan majoriti berada di luar atau menyalahi jalan Nabi SAW dan para sahabat ini, maka ramainya mereka tidak diambil kira. Ibn Qayyim rahimahullah berkata:

وَاعْلَمْ أَنَّ الْإِجْمَاعَ وَالْحُجَّةَ وَالسَّوَادَ الْأَعْظَمَ هُوَ الْعَالِمُ صَاحِبُ الْحَقِّ، وَإِنْ كَانَ وَحْدَهُ، وَإِنْ خَالَفَهُ أَهْلُ الْأَرْضِ، قَالَ عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ الْأَوْدِيُّ: صَحِبْت مُعَاذًا بِالْيَمَنِ، فَمَا فَارَقْته حَتَّى وَارَيْته فِي التُّرَابِ بِالشَّامِ، ثُمَّ صَحِبْت مِنْ بَعْدِهِ أَفْقَهَ النَّاسِ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فَسَمِعْته يَقُولُ: عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ، فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، ثُمَّ سَمِعْته يَوْمًا مِنْ الْأَيَّامِ وَهُوَ يَقُولُ: سَيُوَلَّى عَلَيْكُمْ وُلَاةٌ يُؤَخِّرُونَ الصَّلَاةَ عَنْ مَوَاقِيتِهَا، فَصَلُّوا الصَّلَاةَ لِمِيقَاتِهَا، فَهِيَ الْفَرِيضَةُ، وَصَلُّوا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمْ نَافِلَةٌ، قَالَ: قُلْت: يَا أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ مَا أَدْرِي مَا تُحَدِّثُونَ، قَالَ: وَمَا ذَاكَ؟ قُلْت: تَأْمُرُنِي بِالْجَمَاعَةِ وَتَحُضُّنِي عَلَيْهَا ثُمَّ تَقُولُ لِي: صَلِّ الصَّلَاةَ وَحْدَك وَهِيَ الْفَرِيضَةُ، وَصَلِّ مَعَ الْجَمَاعَةِ وَهِيَ نَافِلَةٌ، قَالَ: يَا عَمْرُو بْنَ مَيْمُونٍ قَدْ كُنْت أَظُنُّك مِنْ أَفْقَهِ أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ، أَتَدْرِي مَا الْجَمَاعَةُ؟ قُلْت: لَا، قَالَ: إنَّ جُمْهُورَ الْجَمَاعَةِ هُمْ الَّذِينَ فَارَقُوا الْجَمَاعَةَ، الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَإِنْ كُنْت وَحْدَك، وَفِي لَفْظٍ آخَرَ: فَضَرَبَ عَلَى فَخِذِي وَقَالَ: وَيْحَك، إنَّ جُمْهُورَ النَّاسِ فَارَقُوا الْجَمَاعَةَ، وَإِنَّ الْجَمَاعَةَ مَا وَافَقَ طَاعَةَ اللَّهِ تَعَالَى

"Ketahuilah bahawa ijmak, hujah, dan al-Sawad al-A'zham adalah ahli ilmu yang bersama kebenaran, walaupun dia bersendirian, walaupun seluruh penduduk bumi menentangnya. Amru bin Maimun al-Audi berkata: "Aku menyertai Muaz bin Jabal di Yaman dan aku tidak meninggalkan beliau sehingga aku menyaksikannya dikebumikan di Syam. Kemudian aku menyertai Abdullah bin Mas'ud yang merupakan orang yang paling faqih. Aku mendengar beliau berkata: “Berpeganglah kepada jemaah kerana Allah bersama jemaah.” Aku juga mendengar pada satu hari beliau berkata: “Kelak akan dilantik pemimpin-pemimpin yang melewatkan solat daripada waktunya. Oleh itu, dirikanlah solat pada waktunya kerana itu adalah satu kewajipan, dan solatlah bersama mereka kerana ia adalah tambahan pahala sunat bagi kamu. Aku (Amr) berkata: “Wahai para sahabat Nabi SAW, aku tidak faham apa yang kalian sampaikan. Kalian menyuruhku berpegang kepada jemaah dan mendorongku untuk bersamanya, tetapi kemudian kamu menyuruhku mendirikan solat bersendirian sebagai kewajipan dan solat bersama jemaah sebagai sunat? Abdullah bin Mas’ud menjawab: “Wahai Amr bin Maimun, aku menyangka engkau adalah orang yang paling faqih di kalangan penduduk kampung ini. Tahukah engkau apa itu jemaah?" Aku menjawab: "Tidak." Beliau berkata: “Majoriti jemaah adalah mereka yang telah meninggalkan jemaah (yang sebenar). Jemaah yang sebenar adalah apa yang selaras dengan kebenaran, walaupun engkau bersendirian." Dalam riwayat lain dinyatakan, (Amr berkata) beliau memukul pahaku dan berkata: "teruk kamu ini! Majoriti manusia telah meninggalkan jemaah. Jemaah yang sebenar adalah apa yang selaras dengan ketaatan kepada Allah Ta’ala.”

Kesimpulannya, berpegang kepada jemaah dan pendapat majoriti (al-Sawad al-A'zham) adalah anjuran yang penting, terutama dalam menjaga kesatuan umat dan menghindari perpecahan. Namun, pendapat majoriti tidak selalu menjamin kebenaran. Kebenaran sejati terletak pada pendapat yang bersandarkan dalil yang kukuh, meskipun hanya segelintir yang mendukungnya.

Dalam keadaan golongan majoriti menyalahi petunjuk Nabi SAW, maka wajib ke atas setiap individu muslim bersama dengan golongan yang bertepatan dengan kebenaran sekalipun mereka adalah golongan yang sedikit. Ini kerana sekalipun mereka golongan yang sedikit, namun merekalah bersama dengan al-Sawad al-A’dham yang sebenar, merujuk kepada golongan majoriti al-Salaf al-Saleh atau majoriti generasi awal umat Islam yang berada di atas petunjuk Nabi SAW dan para sahabat. Oleh itu, umat Islam perlu mengutamakan dalil dan kebenaran berdasarkan syariat, bukan semata-mata melihat kepada golongan yang ramai.

 


Cetak  
Wallahu a'lam