Tertib Peristiwa Hari Kiamat

Para ulama yang meneliti dalil-dalil syarak telah menetapkan bahawa peristiwa yang berlaku pada Hari Kiamat berlaku mengikut susunan berikut:

1. Kebangkitan dan Perhimpunan di Padang Mahsyar

Apabila manusia dibangkitkan dari kubur, mereka akan menuju ke Padang Mahsyar. Di sana, mereka akan berdiri dalam tempoh yang sangat lama dengan keadaan yang penuh kesusahan dan dahaga. Keadaan ini menimbulkan ketakutan yang amat dahsyat. Mereka akan dihisab oleh Allah SWT dan akan menerima balasan atas apa yang telah mereka lakukan di dunia.

2. Telaga Nabi Muhammad ﷺ

Setelah tempoh perhimpunan yang panjang, Allah SWT akan mengangkat telaga Nabi Muhammad ﷺ (Al-Haudh) di padang Mahsyar. Pada waktu itu, manusia sedang berdiri dalam keadaan sangat dahsyat, pada hari yang kadarnya selaa lima puluh ribu tahun.

Barang siapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengikuti sunnah Rasulullah ﷺ, tanpa melakukan perubahan, penyelewengan, atau bidaah dalam agama, maka dia akan sampai ke telaga itu dan diberi minum daripadanya. Inilah jaminan keamanan pertama bagi mereka. Selepas itu, setiap nabi juga akan diberi telaga masing-masing, dan orang-orang soleh dalam umat mereka akan meminumnya.

3. Syafaat Kubra (Syafaat Agung) Nabi Muhammad ﷺ

Selepas perhimpunan yang panjang, akan berlaku Syafaat Kubra, iaitu syafaat Nabi Muhammad ﷺ untuk mempercepatkan perhitungan di hadapan Allah SWT. Dalam hadis yang panjang, disebutkan bahawa manusia akan meminta pertolongan daripada Nabi Adam AS, kemudian Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, dan seterusnya, namun mereka semua akan menolak. Akhirnya, mereka akan datang kepada Nabi Muhammad ﷺ dan berkata:

اشفع لنا عند ربك، يقول ( أنا لها ، أنا لها ) ، فيأتي عند العرش ، فيخر فيحمد الله - عز وجل - بمحامد يفتحها الله - عز وجل - عليه.

"Wahai Muhammad, tolonglah kami! Mohonlah kepada Tuhanmu agar mempercepatkan perhitungan ini." Lalu, baginda ﷺ akan berkata: “Aku yang akan melakukannya! Aku yang akan melakukannya!” Kemudian baginda akan sujud di bawah ‘Arasy, memuji Allah SWT dengan pujian yang diajarkan kepadanya. Lalu Allah SWT berfirman:

يا محمد ارفع رأسك ، وسل تُعْطَ واشْفَعْ تُشَفَّعْ

"Wahai Muhammad! Angkatlah kepalamu, mintalah maka akan diberikan, dan berikanlah syafaat, nescaya syafaatmu diterima!"

Inilah syafaat agung yang baginda miliki iaitulah permohonan baginda agar disegerakan perhitungan atau hisab amalan manusia.

4. Pembentangan Amal

Selepas syafaat agung, manusia akan melalui pembentangan amal, di mana segala perbuatan mereka di dunia akan diperlihatkan.

5. Perhitungan (Hisab)

Selepas amal dipersembahkan, manusia akan menjalani proses hisab, di mana setiap individu akan dipersoalkan tentang perbuatan mereka.

6. Penerimaan Catatan Amal

Selepas hisab pertama, catatan amal akan diberikan kepada setiap manusia. Orang-orang yang beriman akan menerima kitab mereka dengan tangan kanan, manakala orang-orang yang zalim akan menerimanya dengan tangan kiri.

7. Bacaan Kitab Amalan

Setelah menerima catatan amal, mereka akan diperintahkan untuk membaca kitab mereka sendiri. Ini bertujuan untuk memutuskan segala alasan dan memastikan bahawa mereka menerima keputusan dengan keadilan.

8. Penimbangan Amal (Mizan)

Selepas itu, amal perbuatan akan ditimbang dalam Mizan (penimbang amalan). Amal yang berat ke arah kebaikan akan membawa seseorang kepada keselamatan, manakala amal yang ringan ke arah keburukan akan membawa seseorang kepada kecelakaan.

9. Pembahagian Manusia kepada Kumpulan-Kumpulan

Selepas penimbangan amal, manusia akan dibahagikan kepada pelbagai kumpulan dan golongan berdasarkan jenis amalan mereka. Bendera (panji-panji) para nabi akan didirikan, seperti Panji Muhammad ﷺ, Panji Ibrahim AS, dan Panji Musa AS. Setiap kumpulan akan berkumpul di bawah panji pemimpin mereka mengikut amal perbuatan mereka.

Begitu juga, orang-orang zalim dan kafir akan dihimpunkan dalam kumpulan mereka, sebagaimana firman Allah SWT:

احْشُرُوا الَّذِينَ ظَلَمُوا وَأَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُوا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ

"Himpunkanlah orang-orang yang zalim beserta teman-teman mereka, dan juga apa yang mereka sembah selain Allah." (Surah As-Saffat: 22-23)

Maksud "teman-teman mereka" dalam ayat ini ialah golongan yang memiliki amalan dan kepercayaan yang sama. Maka, para ulama musyrikin akan dihimpunkan bersama ulama musyrikin, para pemimpin zalim akan dihimpunkan bersama para pemimpin zalim, dan mereka yang mengingkari kebangkitan semula akan dihimpunkan bersama orang-orang yang sehaluan dengan mereka.

10. Kegelapan Sebelum Melintasi Titian Sirat Yang Di Bawahnya Neraka Jahannam

Setelah pembahagian manusia ke dalam kumpulan masing-masing, Allah SWT akan menurunkan kegelapan yang dahsyat bergerak untuk melintasi titian sirat yang di bawahnya Neraka Jahannam. Ketika itu, manusia akan berjalan menurut cahaya yang diberikan kepada mereka. Orang beriman akan memperoleh cahaya yang membimbing mereka menuju keselamatan, sedangkan orang munafik tidak akan mendapat cahaya. Akan ada dinding yang membenteng antara mereka yang beriman dengan mereka yang munafik. Allah SWT berfirman:

فَضُرِبَ بَيْنَهُمْ بِسُورٍ لَهُ بَابٌ بَاطِنُهُ فِيهِ الرَّحْمَةُ وَظَاهِرُهُ مِنْ قِبَلِهِ الْعَذَابُ * يُنَادُونَهُمْ أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ قَالُوا بَلَى

"Lalu dipasang di antara mereka dinding yang mempunyai pintu; di sebelah dalamnya terdapat rahmat dan di sebelah luarnya dari arah hadapan terdapat azab." (Surah Al-Hadid: 13-14)

Orang-orang munafik akan menjerit dan berkata kepada orang-orang beriman: "Bukankah kami dahulu bersama kamu?" Maka orang beriman menjawab: "Benar! Tetapi kamu mencelakakan diri sendiri, menunggu-nunggu (kebinasaan Islam dan kaum muslimin), ragu-ragu, dan ditipu oleh angan-angan kosong, hingga datang ketetapan Allah." (Surah Al-Hadid: 14)

Ketika itu, orang-orang munafik akan terjatuh ke dalam neraka jahannam menuruti jejak orang-orang kafir, sedangkan orang beriman akan meneruskan perjalanan mereka menuju ke Titian Sirat dengan cahaya masing-masing.

11. Melintasi Sirat

Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi orang pertama yang melintasi Sirat. Baginda akan berdoa untuk keselamatan umatnya dengan berkata: اللهم سلّم سلم، اللهم سلّم سلم "Ya Allah, selamatkanlah! Ya Allah, selamatkanlah!"

Setiap orang akan melintasi Sirat berdasarkan amalnya di dunia. Ada yang berjalan sepantas kilat, ada yang sepantas angin, ada yang sepantas kuda, ada yang berjalan biasa, dan ada yang merangkak. Setiap orang juga akan membawa cahaya mengikut kadar keimanan dan amal solehnya.

Sebahagian orang akan selamat menyeberangi Sirat, manakala sebahagian yang lain akan terjatuh ke dalam neraka. Namun, mereka yang bertauhid tetapi berdosa akan disiksa dalam neraka untuk tempoh yang ditetapkan Allah SWT, sebelum akhirnya diselamatkan dengan syafaat Nabi Muhammad ﷺ atau dengan rahmat Allah SWT.

12. Perhimpunan di Hadapan Pintu Syurga

Setelah melintasi Sirat, orang-orang yang selamat akan berkumpul di suatu tempat sebelum memasuki Syurga. Di sini, mereka yang beriman akan menyelesaikan segala hak dan tuntutan antara mereka agar mereka masuk ke dalam Syurga dengan hati yang bersih, tanpa dendam atau kebencian. Allah SWT berfirman:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ


"Dan Kami cabut segala rasa dendam yang berada dalam dada mereka, sehingga mereka menjadi bersaudara, duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin (dalam syurga).” (Surah Al-Hijr: 47) 

Inilah yang dimaksudkan dalam hadis Nabi SAW:

يَخْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ النَّارِ، فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، فَيُقْتَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا، أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَحَدُهُمْ أَهْدَى لِمَنْزِلِهِ فِي الْجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا

Orang-orang beriman pada Hari Kiamat akan diselamatkan dari neraka, lalu mereka akan ditahan di qantarah antara syurga dan neraka. Maka, di situ mereka akan saling diqisas atas kezaliman yang pernah berlaku antara mereka di dunia. Sehingga apabila mereka telah dibersihkan dan disucikan, barulah mereka diizinkan untuk memasuki syurga. Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya salah seorang daripada mereka lebih mengetahui tempat tinggalnya di syurga berbanding tempat tinggalnya ketika di dunia.

Kemudian, pintu Syurga akan dibuka dan Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi orang pertama yang mengetuk pintunya.

13. Orang Pertama Memasuki Syurga

Golongan pertama yang akan memasuki Syurga selepas Rasulullah ﷺ adalah:

  1. Para fakir dari kalangan Muhajirin 
  2. Para fakir dari kalangan Ansar 
  3. Fakir miskin dari umat Islam – Mereka yang hidup dalam kesusahan tetapi tetap beriman dan beramal soleh.

Golongan kaya akan ditangguhkan masuk ke Syurga kerana mereka akan ditahan lebih lama untuk menjalani perhitungan berkaitan harta yang mereka miliki dan bagaimana mereka membelanjakannya.


Cetak  
Wallahu a'lam