al-Kauthar Dan al-Haudh

Al-Kawthar dalam bahasa Arab ialah satu sifat yang menunjukkan sangat banyak, manakala di sudut Syarak, ia mempunyai dua makna:

Makna Pertama:

Al-Kawthar ialah sungai di dalam syurga yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Inilah makna yang dimaksudkan dalam firman Allah Ta'ala:

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ

"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kawthar." (Surah Al-Kawthar: 1) 

Nabi ﷺ sendiri telah mentafsirkan ayat ini, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim (607) daripada Anas r.a., katanya:

بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ إِذْ غَفَا إِغْفَاءَةً ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ مُتَبَسِّمًا فَقُلْنَا مَا أَضْحَكَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ نَزَلَتْ عَلَيَّ سُورَةٌ فَقَرَأَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ إِلَى آخِرِهَا ثُمَّ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْكَوْثَرُ قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ نَهْرٌ وَعَدَنِيهِ رَبِّي عَلَيْهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ هُوَ حَوْضٌ تَرِدُ عَلَيْهِ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Ketika kami sedang bersama Nabi ﷺ, Baginda tiba-tiba tertidur ringan sebentar. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kami pun bertanya: ‘Apa yang membuatkan engkau tertawa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Telah diturunkan kepadaku satu surah.’ Lalu Baginda membaca bismillahirrahmanirrahim dan  Surah Al-Kawthar hingga akhirnya. Kemudian Baginda bertanya: ‘Tahukah kalian apakah al-Kawthar?’ Kami menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Baginda bersabda: ‘Ia adalah sungai yang dijanjikan Tuhanku kepadaku, padanya terdapat kebaikan yang banyak, dan ia juga merupakan telaga tempat umatku akan datang pada Hari Kiamat.’"

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi (3284) daripada Ibnu Umar r.a., Nabi ﷺ bersabda:

الكوثر نهر في الجنة حافتاه من ذهب ومجراه على الدر والياقوت ..

"Al-Kawthar adalah sungai di dalam syurga, di kedua-dua tebingnya daripada emas, dan tepat mengalirnya dari batu permata dan yaqut.” At-Tirmizi menyatakan hadis ini hasan sahih, dan ia juga disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan At-Tirmizi (3/135).

 

Makna Kedua:

Al-Kauthar juga merujuk kepada sebuah kolam atau telaga  (haudh) yang sangat besar, tempat takungan air di Padang Mahsyar setelah berlaku kiamat. Umat Nabi Muhammad SAW akan datang ke kolam ini untuk meminum airnya. Air kolam ini mengalir dari Sungai Al-Kauthar di dalam syurga, oleh sebab itu ia juga dikenali sebagai Haudh Al-Kauthar.

Dalilnya adalah hadis riwayat Muslim (4255) daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ الْحَوْض يَشْخَب فِيهِ مِيزَابَانِ مِنْ الْجَنَّة

"Kolamku dicurahkan air ke dalamnya dari dua saluran yang mengalir dari syurga."

Hadis ini menunjukkan kolam atau telaga Nabi SAW tersebut berada di sisi syurga, sehingga airnya dapat tercurah dari sungai di dalamnya, seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari (11/466).

Adakah Al-Kauthar khusus untuk Nabi SAW sahaja?

Sungai Al-Kauthar yang mengalir airnya ke kolam atau telaga di mahsyar itu tidak terdapat sebarang nukilan yang menunjukkan berlaku kepada telaga atau kolam untuk nabi-nabi yang lain. Oleh itu, tidak jauh untuk dikatakan ia adalah keistimewaan khas bagi Baginda SAW yang tidak diberikan kepada nabi-nabi lain.

Adapun Haudh Al-Kauthar (kolam Al-Kauthar), para ulama berpandangan bahawa ia adalah khusus untuk Nabi Muhammad SAW. Imam al-Qurtubi dalam kitabnya Al-Mufhim juga berpendapat demikian.

Namun, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2367) daripada Samurah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ لكل نَبِيٍّ حَوْضًا وَإِنَّهُمْ يَتَبَاهَوْنَ أَيُّهُمْ أَكْثَرُ وَارِدَةً وَإِنِّي أَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ

"Setiap nabi mempunyai kolam, dan mereka berbangga siapa yang paling ramai umatnya datang ke kolamnya. Aku berharap akulah yang paling ramai."

Walaupun sanad hadis ini lemah, sebahagian ulama menerimanya kerana ia mempunyai banyak jalur periwayatan. Al-Albani menganggapnya sebagai hadis yang boleh diterima dalam Silsilah al-Sahihah (1589), tetapi ada juga ulama yang tetap menganggapnya lemah.

Sekiranya hadis ini sahih, maka keistimewaan khusus bagi Nabi SAW adalah sungai Al-Kauthar, bukan kolamnya. Namun, jika hadis ini tidak sahih, maka tidak mustahil bahawa kolam itu juga khusus untuk Baginda SAW.

Sifat Sungai Al-Kauthar di dalam syurga:

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda:

بَيْنَا أَنَا أَسِيرُ فِي الجنَّةِ إِذا أَنا بنهر حافتاه الدُّرِّ الْمُجَوَّفِ قُلْتُ: مَا هَذَا يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: الْكَوْثَرُ الَّذِي أَعْطَاكَ رَبُّكَ فَإِذَا طِينُهُ مِسْكٌ أذفر

"Ketika aku berjalan di dalam syurga (pada malam isra’ dan mikraj), aku melihat sebuah sungai yang kedua hujungnya terdapat mutiara-mutiara yang berongga. Aku bertanya kepada Jibril: ‘Sungai apakah ini?’ Jibril menjawab: ‘Ini adalah Al-Kauthar yang telah diberikan Tuhanmu kepadamu.’ ternyata bau tanahnya seperti kasturi yang sangat harum."

Dalam riwayat Ahmad (12084), daripada Anas bin Malik RA, Baginda SAW bersabda:

أعطيت الكوثر ، فإذا هو نهر يجري على ظهر الأرض ، حافتاه قباب اللؤلؤ ، ليس مسقوفاً فضربت بيدي إلى تربته ، فإذا تربته مسك أذفر ، وحصباؤه اللؤلؤ

"Aku dikurniakan Al-Kauthar, ia adalah sungai yang mengalir di permukaan syurga (tanpa ada lurah di tanahnya), dua hujungnya dari kubah-kubah mutiara, tidak beratap, dan aku masukkan tanganku ke dalamnya, aku mendapati haruman kasturi yang harum, serta batu-batunya adalah mutiara." (Dnilai sahih oleh al-Albani dalam al-Sahihah 2513)

Dalam riwayat lain daripada Ahmad (12828), Nabi SAW ditanya tentang Al-Kauthar, lalu Baginda menjawab:

ذاك نهر أعطانيه الله يعني في الجنة أشد بياضا من اللبن وأحلى من العسل فيه طير أعناقها كأعناق الجزر ( الإبل ) قال عمر إِنَّ تِلْكَ لَطَيْرٌ نَاعِمَةٌ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "أَكَلَتُهَا أَنْعَمُ مِنْهَا يَا ‏‏عُمَر

"Ia adalah sungai yang Allah berikan kepadaku di dalam syurga. Airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu, dan di dalamnya terdapat burung yang lehernya seperti unta." Umar RA berkata: “Burung itu hidup dengan sungguh enak.” Lalu Nabi menjawab: “Yang memakannya lebih enak lagi, wahai Umar.” (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib 3740) 

Sifat Haudh Al-Kauthar (Telaga Nabi di Mahsyar):

Dalam hadis al-Bukhari (6093) dan Muslim (4244) daripada Abdullah bin Amr RA, Nabi bersabda:

حَوْضِي مَسِيرَةُ شَهْرٍ وَزَوَايَاهُ سَوَاءٌ مَاؤُهُ أَبْيَضُ مِنْ اللَّبَنِ وَرِيحُهُ أَطْيَبُ مِنْ الْمِسْكِ وَكِيزَانُهُ كَنُجُومِ السَّمَاءِ مَنْ شَرِبَ مِنْهَا فَلَا يَظْمَأُ أَبدا

"Telagaku sepanjang perjalanan sebulan. Panjang dan lebarnya adalah sama, Airnya lebih putih daripada susu, lebih wangi daripada kasturi, dan gayungnya sebanyak bintang-bintang di langit. Sesiapa yang meminumnya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya."

Dalam riwayat Muslim (4261) daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda:

تُرَى فِيهِ ‏أَبَارِيقُ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ كَعَدَدِ نُجُومِ السماء

"Di dalamnya terdapat gayung-gayung emas dan perak sebanyak bintang di langit.” Dalam riwayat lain dinyatakan: أَكْثَرُ مِنْ عَدَدِ نُجُومِ السَّمَاءِ “Ia bahkan lebih banyak lagi dari bilangan bintang di langit."

Dalam riwayat Muslim (4256) daripada Thauban (ثَوْبَاَن) RA, Nabi SAW ditanya tentang minuman telaga baginda tersebut, lalu Baginda bersabda:

أَشَدُّ بَيَاضًا مِنْ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنْ الْعَسَلِ ‏يَغُتُّ ‏( يصب ) ‏فِيهِ ‏مِيزَابَانِ ‏ ‏يَمُدَّانِهِ ‏ ‏مِنْ الْجَنَّةِ أَحَدُهُمَا مِنْ ذَهَبٍ وَالآخَرُ مِنْ ‏ ‏وَرِق (فضة ) 

"Ia lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu, ia dicurahkan ke dalam telaga itu dari dua saluran dari syurga ke dalamnya, salah satunya dari emas dan satu lagi dari perak."

Riwayat berkaitan al-Haudh sampai ke darjat mtawatir. Tiada sebarang keraguan tentangnya dalam kalangan ulama-ulama hadis. Ia telah diriwayatkan oleh lebih dari lima puluh orang sahabat. Al-Hafiz Ibnu Hajar telah menyebutkan nama-nama sahabat yang meriwayatkan hadis ini dalam kitab Fath al-Bari (11/468). Sehinggakan al-Qurtubi berkata dalam kitab al-Mufhim Syarh Sahih Muslim:

مما يجب على كل مكلف أن يعلمه ويصدق به أن الله سبحانه وتعالى قد خص نبيه محمدا صلى الله عليه وسلم بالحوض المصرح باسمه وصفته وشرابه في الأحاديث الصحيحة الشهيرة التي يحصل بمجموعها العلم القطعي ..

“Termasuk dalam perkara yang wajib diketahui dan diyakini oleh setiap mukallaf ialah bahawa Allah سبحانه وتعالى telah mengkhususkan Nabi-Nya, Muhammad ﷺ, dengan Haudh (telaga) yang disebut secara jelas akan namanya, sifatnya, dan airnya dalam hadis-hadis sahih yang masyhur. Hadis-hadis ini, apabila dihimpunkan, memberikan ilmu yang pasti (qat‘i).”

Adapun mengenai kedudukan Haudh (telaga Nabi) di Mahsyar:

Para ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan haudh. Sebahagian mereka berpendapat kedudukannya selepas Sirat (titian).

Manakala sebahagian yang lain berpendapat kedudukannya sebelum Sirat. Inilah pendapat majoriti ulama dan yang lebih rajih (kuat), dan Allah lebih mengetahui. Hal ini kerana terdapat bukti yang menunjukkan sebahagian orang yang datang ke telaga turut akan diheret ke neraka. Sekiranya telaga tersebut terletak selepas Sirat, pasti mereka tidak akan dapat lagi menghampirinya kerana mereka sudah pun terjatuh ke dalam neraka – semoga Allah melindungi kita daripadanya.

Siapakah yang akan minum dari Haudh Al-Kauthar?

Tidak semua orang yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW akan diberi peluang untuk minum dari telaga Nabi ﷺ ini. Sebaliknya, ada yang akan dihalau daripadanya, sebagaimana disebut dalam hadis Muslim (367) daripada Abu Hurairah RA yang menyebut suatu hari ketika Nabi ﷺ menziarahi tanah perkuburan, baginda bersabda:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحِقُونَ وَدِدْتُ أَنَّا قَدْ رَأَيْنَا إِخْوَانَنَا" قَالُوا : أَوَلَسْنَا إِخْوَانَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَال: " أَنْتُمْ أَصْحَابِي وَإِخْوَانُنَا الَّذِينَ لَمْ يَأْتُوا بَعْدُ " فَقَالُوا كَيْفَ تَعْرِفُ مَنْ لَمْ يَأْتِ بَعْدُ مِنْ أُمَّتِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ فَقَالَ : " أَرَأَيْتَ لَوْ أَنَّ رَجُلا لَهُ خَيْلٌ غُرٌّ مُحَجَّلَةٌ بَيْنَ ظَهْرَيْ خَيْلٍ دُهْمٍ بُهْمٍ أَلا يَعْرِفُ خَيْلَهُ ؟ " قَالُوا : بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ : " فَإِنَّهُمْ يَأْتُونَ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ الْوُضُوءِ وَأَنَا فَرَطُهُمْ عَلَى الْحَوْضِ أَلا لَيُذَادَنَّ رِجَالٌ عَنْ حَوْضِي كَمَا يُذَادُ الْبَعِيرُ الضَّالُّ أُنَادِيهِمْ أَلا هَلُمَّ فَيُقَالُ إِنَّهُمْ قَدْ بَدَّلُوا بَعْدَكَ فَأَقُولُ سُحْقًا سُحْقًا

"Salam sejahtera ke atas kalian, wahai penghuni negeri kaum yang beriman. Dan sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kalian.” Sesungguhnya daku benar-benar ingin bertemu dengan saudara-saudara kami.” Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Baginda menjawab, "Kamu semua adalah sahabat-sahabatku, tetapi saudara-saudara ku ialah mereka yang belum lagi datang (yakni generasi selepas kamu semua)." Para sahabat bertanya lagi, "Bagaimana engkau mengenali orang yang belum datang daripada umatmu, wahai Rasulullah?" Baginda bersabda, "Apa pendapat kalian, jika seseorang memiliki kuda yang putih berkilauan di antara sekumpulan kuda yang hitam pekat, tidakkah dia akan mengenali kudanya sendiri?" Para sahabat menjawab, "Ya (sudah pasti orang itu kenal kuda putihnya tersebut), wahai Rasulullah." Baginda pun bersabda, "Mereka (umatku) akan datang dalam keadaan bercahaya putih bersinar pada wajah, tangan, dan kaki mereka disebabkan kesan wuduk. Dan aku akan mendahului mereka di Haudh (telaga)." "Ketahuilah! Sesungguhnya ada sekumpulan orang yang akan diusir dari telagaku, sebagaimana seekor unta sesat dihalau dari kawanan ternakan. Aku akan memanggil mereka, ‘Marilah ke sini!’ tetapi akan dikatakan kepadaku, ‘Sesungguhnya mereka telah mengubah ajaranmu selepas peninggalanmu.’ Maka aku pun akan berkata, ‘Pergilah! Pergilah jauh-jauh!’"

Dalam hadis al-Bukhari 6528 dan Muslim 4243 daripada Abi Hazim (أَبِي حَازِمٍ) katanya, aku mendengar sahl berkata dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda:

أَنَا فَرَطُكُمْ ( أي : سابقكم ) عَلَى الْحَوْضِ مَنْ وَرَدَ شَرِبَ وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا وَلَيَرِدَنَّ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ " قَالَ أَبُو حَازِمٍ فَسَمِعَ النُّعْمَانُ بْنُ أَبِي عَيَّاشٍ وَأَنَا أُحَدِّثُهُمْ هَذَا الْحَدِيثَ فَقَالَ هَكَذَا سَمِعْتَ سَهْلا يَقُولُ قَالَ فَقُلْتُ نَعَمْ قَالَ وَأَنَا أَشْهَدُ عَلَى أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ لَسَمِعْتُهُ يَزِيدُ فَيَقُول [ أي النبي صلى الله عليه وسلم  ] : " إِنَّهُمْ مِنِّي" فَيُقَالُ : إِنَّكَ لا تَدْرِي مَا عَمِلُوا بَعْدَكَ . فَأَقُولُ : "سُحْقًا سُحْقًا لِمَنْ بَدَّلَ بَعْدِي

"Aku akan mendahului kalian (yakni, akan sampai terlebih dahulu) di Haudh (telaga). Sesiapa yang datang ke telaga tersebut akan dapat meminumnya, dan sesiapa yang telah minum daripadanya tidak akan dahaga selama-lamanya. Dan pasti akan datang kepadaku beberapa kaum yang aku mengenali mereka, dan mereka juga mengenaliku, tetapi kemudian mereka akan dihalang daripada menemuiku." Abu Hazim berkata: "Ketika aku menyampaikan hadis ini, Nu‘man bin Abi Ayyash mendengarnya lalu berkata: 'Adakah engkau mendengar Sahl berkata demikian?' Maka aku menjawab, 'Ya.' Nu‘man pun berkata, 'Aku juga bersaksi bahawa aku mendengar Abu Sa‘id al-Khudri menambah dalam riwayatnya bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Mereka itu dari kalanganku." Maka dikatakan kepada baginda, "Engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan selepas pemergianmu." Maka aku pun berkata: 'Pergilah! Pergilah jauh-jauh bagi mereka yang mengubah (ajaran) selepas peninggalanku!'"

Dalam Sahih al-Bukhari (2194) dan Sahih Muslim (4257), daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لأَذُودَنَّ رِجَالا عَنْ حَوْضِي كَمَا تُذَادُ الْغَرِيبَةُ مِنْ الإِبِلِ عَنْ الْحَوْضِ 

"Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman tangan-Nya, sungguh aku akan mengusir beberapa orang dari telagaku sebagaimana unta asing dihalau dari telaga minuman."

Imam al-Qurtubi رحمه الله berkata dalam kitabnya at-Tadhkirah (hlm. 306):

قال علماؤنا رحمهم الله أجمعين : فكل من ارتد عن دين الله أو أحدث فيه ما لا يرضاه الله ، ولم يأذن به فهو من المطرودين عن الحوض المبعدين عنه ، وأشدهم طردا من خالف جماعة المسلمين وفارق سبيلهم كالخوارج على اختلاف فرقها ، والروافض على تباين ضلالها ، والمعتزلة على أصناف أهوائها [ ومن نحا نحوهم أو سلك طريقهم ] وكذلك الظلمة المسرفون في الجور والظلم وتطميس الحق وقتل أهله وإذلالهم والمعلنون بالكبائر المستخفون بالمعاصي ، وجماعة أهل الزيغ والأهواء والبدع ..

"Ulama kami – رحمهم الله أجمعين – berkata: Setiap orang yang murtad daripada agama Allah atau mengada-adakan perkara dalam agama yang tidak diredhai Allah dan tidak diizinkan-Nya, maka orang itu termasuk dalam golongan yang akan diusir dari Haudh (telaga Nabi) dan dijauhkan daripadanya. Golongan yang paling dahsyat diusir ialah mereka yang menyalahi jemaah kaum Muslimin dan menyimpang dari jalan mereka, seperti golongan Khawarij dan pecahan-pecahannya, Rafidhah dengan pelbagai kesesatannya, dan Mu‘tazilah dengan pelbagai hawa nafsunya – serta sesiapa yang mengikuti jalan mereka dan menelusuri cara mereka. Begitu juga para penguasa zalim yang berlebihan dalam kezaliman dan penindasan, yang menutupi kebenaran, membunuh ahli kebenaran, serta menghinakan mereka; juga mereka yang terang-terangan melakukan dosa besar, menganggap remeh perlakuan maksiat, dan seluruh ahli kesesatan, hawa nafsu, serta bid‘ah…"

 


Cetak  
Wallahu a'lam