SDI 1734: Perkahwinan Antara Jin Dan Manusia Juga Hakikat Kerasukan Jin

Soalan:

Adakah perkahwinan antara manusia dan jin dianggap sah menurut syarak? Adakah mereka boleh mendapatkan anak? Jika terdapat anak, kepada golongan manakah mereka akan dinasabkan?

Jawapan:

Al-Syeikh Masyhur Hasan Salman

Penterjemah: binSahak

Perkataan "jin" dalam bahasa Arab bermaksud "menutupi" atau "ghaib". Kerana itu kata-kata yang berasal dari kalimah ini, semuanya berkaitan dengan tertutup atau tersembunyi. Sebagai contoh:

  • جنة  "Jannah" bermaksud syurga kerana tanahnya tertutup dan tersembunyi.
  • حجن  "Hijn" bermaksud perlindungan dada dalam pertempuran.
  • مجنون  "Majnun" bermaksud orang yang hilang akal kerana akalnya tertutup.
  • جنين  "Janin" bermaksud bayi dalam kandungan kerana ia tersembunyi dalam perut ibunya.
  • جِنٌ  "Jin" bermaksud makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia.

Kita tiada maklumat terperinci tentang jin melainkan melalui Al-Quran dan Hadis yang sahih. Sesiapa yang menafikan kewujudan jin secara mutlak, dibimbangi terjerumus ke dalam kekufuran dan murtad. Sebahagian pandangan yang mengatakan "jin" adalah virus atau sejenis mikroorganisma adalah suatu kesesatan, dan kita berlindung kepada Allah daripada perkara tersebut.

Allah SWT berfirman mengenai jin:

كنا طرائق قدداً

 "Kami adalah dalam pelbagai jalan (kepercayaan yang berbeza)" (Surah Al-Jinn: 11)

Dalam kalangan jin, terdapat golongan yang soleh dan ada juga yang melakukan kerosakan. "Pelbagai jalan" dalam ayat tersebut, bermaksud mereka berpegang kepada pemikiran-pemikiran yang berbeza. Sebahagian tabi'in ada yang menyatakan bahawa dalam kalangan jin, ada yang bermazhab Syiah, Khawarij, Asya'irah, dan Ahlus Sunnah.

Asal kejadian jin disebut dalam Mustadrak Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Asma' wa As-Sifat, dari hadis Abu Tha'labah Al-Khushani r.a. (أبي ثعلبة الخشني), bahawa Nabi bersabda:

الجن ثلاثة أصناف فصنف لهم أجنحة، يطيرون بها في الهواء، وصنف حيات وكلاب وصنف يحلون ويظعنون

"Jin itu ada tiga golongan: satu golongan yang mempunyai sayap dan mereka terbang di udara, satu golongan berupa ular dan anjing, dan satu golongan lagi yang menetap dan berpindah-randah (bermusafir)."

Jin adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang diberi tanggungjawab dan taklif seperti manusia. Mereka diperintahkan untuk beribadah, dan Nabi Muhammad diutus kepada mereka. Sebahagian daripada mereka beriman kepada Baginda, manakala sebahagian yang lain kufur dan sesat.

Tentang perkahwinan antara jin dan manusia, dari sudut hubungan kelamin, ia boleh berlaku. Dengan kata lain manusia boleh melakukan hubungan dengan jin dan begitu juga sebaliknya. Namun, adakah ia perkahwinan yang sah menurut syariat? Jawapannya hubungan tersebut tidak halal.

Tidak dinafikan semua hadis yang secara jelas menyatakan berlakunya perkahwinan antara manusia dan jin adalah lemah dan tidak thabit dalam sunnah. Bahkan, ramai fuqaha yang melakukan istinbath dalil daripada firman Allah SWT:

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجاً

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri..." (Surah Ar-Rum: 21)

Para fuqaha ini menyatakan pada ayat ini terdapat bukti tidak dibenarkan bagi orang lelaki berkahwin dengan wanita yang bukan dari jenisnya iaitu selain manusia. Dalam Sunan Abu Daud (no. 5107), terdapat hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah pernah bertanya kepadanya:

هل رُئِيَ فيكم الْمُغرِّبون؟

"Adakah dalam kalangan kamu terdapat orang yang ‘mughrribun’?" Aisyah bertanya: "Apakah ‘mughrribun’?" Baginda menjawab:

الذي يشترك فيهم الجنُ

"Orang yang mempunyai keturunan daripada jin." Hadis ini tidak sahih.

Begitu juga, Abu Syaikh dalam kitab Al-‘Azhamah (العظمة) dan Ibnu ‘Adi dalam Al-Kamil, serta lain-lain, meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda:

أحد أبوي بلقيس كان جنياً

"Salah seorang daripada ibu bapa Ratu Balqis adalah jin." Hadis ini juga sangat lemah.

Selain itu, terdapat kisah yang tidak sahih kononnya Imam Malik pernah ditanya:

هل يجوز للرجل أن يتزوج الجنية؟ فسكت ولم يجب، ثم في مجلس خاص سئل: لِمً لَمْ تجب؟ فقال: "يجوز، لكن أخشى أن تأتي المسلمة حاملاً من الزنا، ويقال لها: ماذا فعلت؟ فتقول: تزوجني جني!

"Adakah seorang lelaki boleh berkahwin dengan jin perempuan?" Beliau diam dan tidak menjawab. Namun, dalam satu majlis lain, beliau ditanya: "Mengapa engkau tidak menjawab?" Beliau berkata: "Boleh berkahwin antara jin dan manusia, tetapi aku bimbang nanti ada wanita Muslimah yang mengandung hasil zina, lalu dia berkata: ‘Aku telah berkahwin dengan jin!”

Kisah ini tidak sahih daripada Imam Malik. Riwayat ini berpunca daripada Abu Uthman Sa’id bin Daud Az-Zanbari (سعيد بن داود الزنبري), merupakan perawi yang sangat lemah. Tidak ada riwayat lain yang menyebut kisah ini daripada selain daripadanya.

Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘ani ketika membicarakan kisah Balqis, telah menyebut banyak cerita tentangnya dan beliau berkata:

هي أشبه شيء بالخرافات

Semua cerita tersebut lebih menghampiri khurafat atau cerita dongeng.

Beliau berkata lagi:

Apa yang jelas, jika sekiranya berlaku perkahwinan antara manusia dan jin seperfi yang diceritakan, ditampar orang yang bertanya tentangnya disebabkan kebodohan dan kejahilannya, bahawa tidak akan ada keturunan hasil daripada hubungan tersebut.

Guru saya (al-Albani) pernah menghubungi saya kerana beliau dapat tahu saya sedang mengumpulkan perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah tentang jin. Beliau memberi panduan kepada saya dengan berkata:

"Adakah engkau telah melihat pandangan Al-Alusi tentang perkahwinan manusia dan jin?" Saya menjawab: "Belum." Lalu beliau berkata: "Dengarkanlah pandangan Al-Alusi," Lalu beliau membacakan perkataan al-Alusi yang amat menarik:

ثم ليت شعري إذا حملت الجنية من الإنسي هل تبقى على لطافتها فلا ترى والحمل على كثافته فيرى أو يكون الحمل لطيفا مثلها فلا يريان فإذا تم أمره تكثف وظهر كسائر بني آدم أو تكون متشكلة بشكل نساء بني آدم ما دام الحمل في بطنها وهو فيه يتغذى وينمو بما يصل إليه من غذائها وكل من الشقوق لا يخلو عن استبعاد كما لا يخفى

"Kemudian, aku bertanya-tanya, jika jin perempuan hamil daripada manusia, adakah anak itu akan kekal dalam bentuk halusnya sehingga tidak dapat dilihat, sedangkan kandungannya bersifat padat lalu dapat dilihat? Atau adakah kandungannya juga bersifat halus seperti diri ibunya (sebagai jin) sehingga kedua-duanya tidak dapat dilihat? Kemudian apabila tiba masanya, ia menjadi padat dan muncul seperti manusia biasa? Atau adakah jin Perempuan yang hamil itu akan berubah rupa menjadi seperti wanita manusia sepanjang tempoh kehamilan? sementara kandungan dalam perutnya itu berkembang dan tumbuh dengan makanan yang diterima daripada ibunya? Setiap kemungkinan ini tidak lepas daripada sesuatu yang sukar diterima, sebagaimana yang jelas."

Oleh itu, kehamilan dan perkahwinan tidak mungkin berlaku, tetapi hubungan persetbuhan boleh terjadi. Jin adalah makhluk yang tidak mempunyai jasad yang padat, dan mereka boleh memasuki tubuh manusia. Jika mereka memasuki tubuh seseorang, mungkin akan berlaku kenikmatan, tetapi tidak boleh dikatakan bahawa "pernikahan yang sah menurut syarak boleh berlaku antara manusia dan jin". Selain itu, tidak boleh juga dikatakan bahawa salah seorang ibu bapa seseorang itu adalah jin.

Antara perkara menarik yang disebut oleh Imam al-Dhahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (4/459) menyebut daripada al-Tahawi yang meriwayatkan bahawa Yunus bin ‘Abd al-A‘la (يونس بن عبد الأعلى) yang berkata:

قدم علينا رجل كذاب، اسمه يغنم بن سالم، فجئته فسمعته يقول: تزوجت امرأة من الجن، فقال يونس بن عبد الأعلى فلم أرجع إليه

"Seorang lelaki penipu bernama Yaghnam bin Salim datang kepada kami. Aku pergi menemuinya dan mendengar dia berkata: “Aku telah berkahwin dengan seorang wanita dari kalangan jin.” Maka, kata Yunus bin ‘Abd al-A‘la: “Aku tidak lagi pergi kepadanya."

Ini kerana para ulama terdahulu menganggap dakwaan seperti ini sebagai satu bentuk khurafat dan pembohongan. Maka, sesiapa yang mendakwa bahawa dia telah berkahwin dengan jin dan sering bercakap mengenainya, maka orang seperti itu tidak sepatutnya dijadikan rujukan atau dipercayai untuk berbicara dengannya.

 

Penulis kitab سلك الدرر Silk Ad-Durar (2/12), menyebut bahawa Al-Hamid Al-Imadi  (الحامد العمادي) menulis sebuah risalah berjudul "Taqa’qa'u Asy-Syan fi Nikah Al-Jin" (تقعقع الشن في نكاح الجن), yang menolak sama sekali kemungkinan berlakunya perkahwinan antara manusia dan jin. Adapun mengenai gangguan jin (kerasukan atau seumpamanya), ia boleh berlaku. Kepercayaan bahawa jin boleh mengganggu manusia adalah sebahagian daripada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, dan hanya golongan Mu‘tazilah yang menolaknya. Jadi, orang yang menafikan kemasukan jin boleh berlaku ke dalam tubuh manusia adalah seorang Mu‘tazilah, bukan seorang sunni. Banyak dalil sahih dalam Sunnah Nabi menunjukkan bahawa jin boleh masuk ke dalam tubuh manusia. Bahkan, al-Quran juga menunjukkan perkara ini.

Contohnya, dalam hadis yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim, Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan:

أن امرأة سوداء قالت للنبي صلى الله عليه وسلم: إني أصرع وإني أتكشف فادع الله لي، فقال لها النبي صلى الله عليه وسلم: "إن شئت دعوت الله لك، وإن شئت صبرت ودخلت الجنة"، فقالت: أصبر لكن أدع الله لي ألا اتكشف، فدعى الله لها، فأصبحت تصرع ولا تتكشف

Bahawa seorang wanita berkulit hitam datang kepada Nabi dan berkata: "Aku mengalami sawan (kerasukan), dan aku sering terdedah auratku ketika diserang sawan. Tolonglah doakan aku kepada Allah." Nabi pun bersabda: "Jika kamu mahu, aku boleh berdoa kepada Allah agar menyembuhkanmu. Tetapi jika kamu bersabar, kamu akan mendapat syurga." Wanita itu menjawab: "Aku akan bersabar, tetapi doakan agar auratku tidak terbuka." Lalu Nabi mendoakannya. Sejak itu, dia masih mengalami sawan tetapi auratnya tidak lagi terbuka.”

Dari pemerhatian kepada hadis ini, dapat difahami bahawa kerasukan yang dimaksudkan adalah disebabkan oleh gangguan jin. Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata:

يؤخذ من طرق هذا الحديث أوردتها أن الذي كان بأم زفر كان من صرع الجن،لا من الخلط، فالصرع الذي يطرأ على الدماغ قسمان: بسبب الجن أو بسبب أخلاط في الدماغ ناتجة عن أبخرة فاسدة تخرج من المعدة إلى الدماغ أو أسباب أخرى توقع خلل في الدماغ

"Jika kita meneliti riwayat-riwayat hadis ini, jelaslah bahawa sawan yang dialami oleh Ummu Zufar (wanita kerasukan itu) berpunca daripada jin, bukan disebabkan gangguan pada tubuh seperti ketidakseimbangan unsur dalam otak. Beliau menjelaskan bahawa sawan (ṣar‘) terbahagi kepada dua jenis: Disebabkan gangguan jin, atau disebabkan gangguan dalam otak yang berpunca daripada gas beracun yang naik dari perut ke otak atau faktor lain yang mengganggu sistem saraf.”

Ibnu Hajar menyatakan sawan wanita ini berpunca daripada jin, bukan faktor lain.

Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran:

الذين يأكلون الربا لا يقومون إلا كما يقوم الذي يتخبطه الشيطان من المس

"Orang-orang yang makan riba tidak akan bangkit (dari kubur) kecuali seperti orang yang dirasuk syaitan kerana gila." (Surah al-Baqarah: 275)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa syaitan boleh merasuk manusia. Ibnu Taimiyyah berkata:

"Aku tidak pasti sama ada rasukan syaitan ini bagi mereka yang memakan riba, atau bagi mereka yang berkata: jual beli itu sama seperti riba’. Namun, kemungkinan besar kedua-duanya boleh mengalami gangguan syaitan."

Manakala Az-Zamakhsyari (seorang ahli tafsir Mu‘tazilah) dalam kitab Al-Kasysyaf berkata:

"Rasukan syaitan termasuk dalam dakwaan-dakwaan orang Arab yang percaya bahawa syaitan boleh merasuk manusia sehingga menyebabkan sawan." Al-Zamakhsyari seorang berfahaman muktazilah.

Bagaimanapun, Ibnu Al-Munir dalam kitab Al-Intisaf (الإنصاف فيما تضمنه الكشاف من الاعتزال) membantahnya, dengan berkata:

"Kepercayaan bahawa sawan itu berlaku akibat rasukan syaitan adalah tertolak merupakan rasukan syaitan ke atas golongan Qadariah (yang menolak boleh berlakunya rasukan syaitan). Dakwaan mereka ini tertolak dengan perkara-perkara yang telah diputuskan oleh syarak.  Telah diriwayatkan bahawa Nabi bersabda:

ما من مولود يولد إلا يمسه الشيطان فيستهل صارخاً

"Tidak ada seorang bayi pun yang dilahirkan melainkan akan disentuh oleh syaitan, lalu dia menangis dengan kuat."

Juga beliau menyebut hadis:

التقطوا صبيانكم أول العشاء فإنه وقت انتشار الشياطين

"Ambil anak-anak kamu pada awal waktu malam kerana ketika itu syaitan sedang bertebaran."

Dalam hadis ini Nabi memerintahkan kita untuk menahan anak-anak kita pada waktu bertebarannya syaitan, dan perintah ini dapat difahami dengan makna yang jelas, iaitu berkaitan dengan gangguan (rasukan) syaitan.

Ibnu al-Munir juga selepas menyebutkan kedua-dua hadis ini berkata:

واعتقاد السلف وأهل السنة أن هذه أمور على حقائقها واقعة كما أخبر الشرع عنها، وإنما القدرية خصماء العلانية، فلا جرم أنهم ينكرون كثيراً مما يزعمونه مخالفاً لقواعدهم، من ذلك السحر وخبطة الشيطان، ومعظم أحوال الجن وإن اعترفوا بشيء من ذلك فعلى غير الوجه الذي يعترف به أهل السنة وينبئ عنه بظاهر الشرع في خبط طويل لهم فاحذرهم قاتلهم الله أنى يؤفكون

"Akidah salaf dan Ahlus Sunnah adalah bahawa perkara-perkara ini benar-benar berlaku sebagaimana yang dikhabarkan oleh syariat. Adapun golongan Qadariyyah, mereka adalah musuh kebenaran yang nyata. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa mereka menolak banyak perkara yang mereka anggap bertentangan dengan prinsip mereka, termasuklah sihir, rasukan syaitan, dan kebanyakan perkara berkaitan jin. Jika mereka mengakui sebahagian daripadanya, mereka tidak mengakuinya dengan cara yang sama seperti yang dipercayai oleh Ahlus Sunnah, sebaliknya mereka mentafsirkannya dengan cara yang jauh berbeza daripada zahir syariat. Mereka mempunyai penyelewengan panjang dalam perkara ini, maka berhati-hatilah terhadap mereka. Semoga Allah membinasakan mereka! Bagaimana mereka boleh dipalingkan (daripada kebenaran)?"

Sebahagian orang pula ada yang berhujah dengan kata-kata Imam Asy-Syafi‘i:

من زعم أنه يرى الجن فهو فاسق ترد شهادته

"Sesiapa yang mendakwa bahawa dia melihat jin, dia adalah pendusta, dan kesaksiannya tidak diterima."

Kata-kata ini memang sahih daripada Imam Asy-Syafi‘i, dan ia diriwayatkan dengan sanad yang sahih oleh Imam Al-Baihaqi dalam Manaqib Asy-Syafi‘i. Namun, kata-kata ini tidak bermaksud menafikan rasukan jin, sebaliknya Imam Asy-Syafi‘i hanya menafikan kemungkinan manusia melihat jin dalam bentuk asal mereka sebagaimana Allah menciptakannya. Sebahagian orang salah faham dan menggunakannya untuk menolak kewujudan gangguan jin, sedangkan Allah SWT sendiri telah berfirman:

إنه يراكم هو وقبيله من حيث لا ترونهم

"Sesungguhnya syaitan dan kaumnya dapat melihat kamu dari tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka." (Surah Al-A‘raf: 27)

Oleh itu, jin boleh melihat kita, tetapi kita tidak dapat melihat mereka dalam bentuk asal mereka.

Walau bagaimanapun, jin boleh menjelma dalam bentuk tertentu, seperti wanita, kucing, atau orang tua. Hal ini terbukti dalam hadis sahih dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang meriwayatkan bahawa Abu Hurairah pernah berjumpa dengan jin yang menyerupai seorang lelaki.

Oleh itu berdalilkan dengan perkataan imam Syafie untuk menolak boleh berlakunya rasukan jin ke atas manusia adalah pendalilan yang tertolak dan rosak, ia tiada nilai sama sekali. Kata Abdullah anak kepada imam Ahmad: “Aku pernah bertanya kepada bapaku, terdapat sekumpulan orang yang mendakwan jin tidak boleh merasuki manusia. Jawab beliau: “Wahai anakku, mereka itu berdusta. Syaitan dapat berbicara dengan perantara lidah mereka.”

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-Fatawa (24/267) berkata:

وليس في أئمة المسلمين من ينكر دخول الجني في بدن المصروع وغيره، ومن أنكر ذلك وادعى أن الشرع يكذب ذلك فقد كذب على الشارع وليس في الأدلة الشرعية ما ينفي ذلك

"Tidak ada seorang pun dalam kalangan imam kaum Muslimin yang mengingkari jin boleh masuk ke dalam tubuh orang yang dirasuk dan selainnya. Sesiapa yang mengingkari perkara ini dan mendakwa bahawa syariat menolaknya, maka dia telah berdusta atas nama syariat. Tidak ada satu pun dalil syari‘ah yang menafikan perkara ini."

Beliau juga menyebut dalam Majmu‘ Al-Fatawa (19/12):

أن طائفة من المعتزلة كالجبائي وأبي بكر الرزاي وغيرها ينكرون دخول الجن في بدن المصروع

"Sekumpulan dari Mu‘tazilah seperti Al-Jubba’i dan Abu Bakar Ar-Razi menolak jin boleh masuk ke dalam tubuh manusia.”

Maka, suara yang kita dengar hari ini yang menolak kerasukan jin bukanlah sesuatu yang baru. Ia adalah pendapat lama yang dipegang oleh tokoh-tokoh Mu‘tazilah yang sesat. Sedangkan dalil-dalilnya sangat banyak, jelas, dan sahih yang membuktikan bahawa jin boleh memasuki tubuh manusia. Antara dalil tersebut: Kisah ‘Uthman bin Al-‘Ash (عثمان بن العاص) pernah mengadu kepada Rasulullah bahawa dia sering lupa bacaan al-Quran dan dalam satu riwayat lain, dia berkata: عرض لي شيء في صلاتي حتى أني لا أدري ما أصلي "Sesuatu datang mengganggu dalam solatku sehingga aku tidak tahu apa yang aku baca." Lalu Rasulullah memegangnya dan memukul belakang beliau dan bersabda: يا شيطان أخرج من صدر عثمان "Wahai syaitan, keluar kamu dari dada ‘Uthman!" Hadis ini adalah jelas menunjukkan bahawa jin boleh memasuki tubuh manusia dan mengganggu fikirannya.

Demikian juga Sabda Rasulullah :

إن الشيطان يجري من ابن آدم مجرى الدم

"Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia melalui aliran darah."

Baginda juga bersabda:

إن الشيطان جاثم على قلب ابن آدم

"Sesungguhnya syaitan duduk di atas hati anak Adam.” Baginda juga bersabda: واضع خطمه على قلب ابن آدم، إن ذكر خنس، وإن نسي وسوس Jika anak Adam itu mengingati Allah, syaitan akan berundur menjauhkan diri. Jika anak Adam itu lupakan Allah, syaitan akan membisikkan (waswas)."

Keyakinan ini masyhur di sisi para generasi yang awal. Antara yang menyatakan perkara ini ialah Abu Al-Hasan Al-Asy‘ari dalam kitabnya Maqalat Al-Islamiyyin (hlm. 435-436) berkata:

واختلف الناس في الجن هل يدخلون في الناس على مقالتين؟ فقال قائلون محال أن يدخل الجن في الإنس، وقال قائلون يجوز أن يدخل الجن الناس، لأن أجسام الجن أجسام رقيقة فليس بمستنكر أن يدخلوا في جوف الإنسان من فروقه، كما يدخل الماء والطعام في بطن الإنسان وهو أكثف من أجسام الجن، ويكون الجنين في بطن أمه وهو أكثف من الشيطان، وليس بمستنكر أن يدخل الشيطان إلى جوف الإنسان

"Para ulama berbeza kepada dua pendapat mengenai jin: adakah para jin boleh masuk ke dalam tubuh manusia? Sebahagian mengatakan mustahil jin boleh memasuki tubuh manusia. Tetapi sebahagian lain mengatakan ia boleh berlaku kerana tubuh jin bersifat halus. Maka, tidak mustahil mereka boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui liang-liang tubuh, sebagaimana air dan makanan yang lebih padat berbanding jin dapat masuk ke dalam tubuh manusia. Demikian juga Janin yang berada dalam perut ibunya adalah lebih padat jasadnya berbanding syaitan, maka tidak dapat diingkari syaitan (yang lebih halus daripad aitu dapat) masuk ke dalam perut manusia."

Beliau juga berkata dalam Al-Ibanah (hlm. 32):                     

ونقر أن الشيطان يوسوس للإنسان ويشككه ويخبطه خلافاً للمعتزلة والجهمية، كما قال تعالى: {الذين يأكلون الربا لا يقومون إلا كما الذي يتخبطه الشيطان من المس}.

"Kami mengakui bahawa syaitan boleh membisikkan waswas kepada manusia, membisikkan keraguan, dan menyebabkan dia terasuk, bertentangan dengan pendapat Mu‘tazilah dan Jahmiyyah seperti firman Allah: "Orang-orang yang memakan riba tidak akan bangkit (pada hari kiamat) kecuali seperti orang yang dirasuk syaitan kerana gila (ṣar‘)." (Surah Al-Baqarah: 275)

Imam Al-Biqa‘i (الإمام البقاعي) dalam tafsirnya Nazm Ad-Durarنظم الدرر (4/112) menyebut:

مشاهدة المصروع يخبر بالمغيبات وهو مصروع غائب، وربما كان يلقى في النار وهو لا يحترق، وربما ارتفع في الهواء من غير رافع، فكثيراً جداً مشاهد...

"Melihat seseorang yang dirasuk dengan dia memberitahu perkara-perkara ghaib ketika  dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan mungkin dia dilemparkan ke dalam api tetapi tidak terbakar, atau mungkin dia terangkat ke udara tanpa ada yang mengangkatnya, perkara seperti ini sangat banyak dan dapat disaksikan..."

Semua perkara ini adalah bukti bahawa jin dan syaitan benar-benar dapat merasuki manusia. Allah juga telah berfitman dalam Surah Az-Zukhruf (36-38):

ومن يعش عن ذكر الرحمن نقيض له شيطاناً فهو له قرين * وإنهم ليصدونهم عن السبيل ويحسبون أنهم مهتدون * حتى إذا جاءنا قال يا ليت بيني وبينك بعد المشرقين فبئس القرين

Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah, Kami akan jadikan untuknya syaitan sebagai teman yang selalu bersamanya. Dan syaitan-syaitan itu benar-benar menghalang mereka dari jalan yang benar, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. Hingga apabila orang itu datang kepada Kami (pada hari kiamat), dia berkata: Wahai celakanya aku! Seandainya jarak antara aku dan engkau (wahai syaitan) sejauh timur dan barat. Maka, sejahat-jahat teman adalah engkau."

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia yang lalai daripada mengingati Allah akan dikuasai oleh syaitan. esiapa yang lemah daripada mengingati Allah عز وجل, syaitan akan menguasainya, terutamanya jika dia berada dalam majlis kelalaian atau memakan riba. Jarang sekali seseorang terselamat daripada gangguan syaitan, kerana manusia ibarat sebuah kubu, dan kubu itu mempunyai pintu serta laluan. Jika pintu dan laluan ini tidak dijaga, musuh akan berusaha untuk memasuki kubu tersebut. Jika seseorang tidak memelihara dirinya dengan mengingati Tuhannya عز وجل, menjauhi perkara haram serta majlis yang dipenuhi umpatan dan kelalaian, maka dia terdedah kepada gangguan syaitan, yang boleh mempermainkannya, menjatuhkannya, dan memasuki tubuhnya.

Untuk penutup, saya datangkan perkataan Ibnu Qayyim dalam Zad Al-Ma‘ad (4/63) yang berkata:

وبالجملة فهذا النوع من الصرع وعلاجه لا ينكره إلا قليل الحظ من العلم والعقل والمعرفة، وأكثر تسلط الأرواح الخبيثة على أهله تكون من جهة قلة دينهم، ولو كشف الغطاء لرأيت أكثر النفوس البشرية صرعى هذه الأوراح الخبيثة وهي في أسرها وقبضتها تسوقها حيث شاءت ولا يمكنها الامتناع عنها ولا مخالفتها وبها الصرع الأعظم الذي لا يفيق صاحبه إلا عند المفارقة، والمعاينة، فهناك يتحقق أنه كان هو المصروع حقيقة، والله المستعان فكثير ممن ينكر الصرع مصروع، نسأل الله العفو والعافية

"Secara umumnya, fenomena kerasukan jin dan rawatannya tidak akan dinafikan kecuali oleh mereka yang sedikit ilmunya, kurang akalnya, dan kurang pengetahuannya. Kebanyakan gangguan jin berlaku kepada mereka yang lemah agamanya. Jika tirai ghaib disingkap, pasti kamu akan melihat betapa banyaknya manusia yang sedang dikuasai oleh jin. Hati-hati manusia itu berada dalam tawanan syaitan dan genggaman mereka, syaitan mengarahkannya ke mana sahaja yang syaitan itu mahu, sehingga manusia itu tidak mampu menolak apatah lagi untuk menyalahinya. Inilah rasukan yang paling bahaya di mana orang yang dirasuk itu hanya menyedari hal itu ketika dia hampir mati. Ketika itu, barulah dia benar-benar yakin bahawa dia sebenarnya seorang yang dirasuk sepanjang hidupnya. Hanya Allah tempat memohon pertolongan. Maka betapa ramai yang mengingkari boleh berlakunya rasukan syaitan, sedang dia itu seorang yang dirasuki, hanya kepada Allah kita meminta kemaafan dan kesejahteraan.

Oleh itu mengingkari kewujudan gangguan jin adalah satu kesesatan, dan ia merupakan pegangan golongan sesat sejak dahulu. Adapun dakwaan bahawa terdapat gambar jin yang dirakam oleh kamera dan disiarkan di beberapa akhbar, itu hanyalah khurafat. Berlebihan dalam membuktikan kewujudan jin tanpa dalil yang sahih adalah satu kesilapan, begitu juga dengan berlebihan dalam menggunakan akal dalam perkara ini. Yang benar ialah kita harus berpegang kepada zahir nas-nas syarak.

 


Cetak  
Wallahu a'lam