Thursday, December 19, 2013
Soalan:
Bukankah Madu Lebah itu adalah penawar bagi umat Islam? Tetapi mengapa perkara yang berlainan berlaku kepada anak saudara saya. Setiap kali dia meminum madu sakit ususnya bertambah teruk. Mengapa perkara ini berlaku? sedangkan saya ada mendengar bahawa Rasul SAW menyatakan madu lebah itu adalah penawar dan penyembuh. Mohon penjelasan dari ustaz.
Jawapan:
Allah SWT berfirman:
وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتاً وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ . يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: “buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibina oleh manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap jenis buah-buahan dan tempuhlah jalan tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran tuhan) bagi orang-orang yang memikirkannya.” (al-Nahl: 68-69)
Di dalam ayat ini Allah menyebut kalimah شفاء dalam bentuk Nakirah, ia memberi maksud sebahagian, iaitulah madu itu merupakan ubat atau penyembuh kepada sebahagian penyakit, ia bukan bermaksud ubat kepada seluruh penyakit. Jika ia merupakan ubat kepada semua penyakit, maka sudah tentu tiada keperluan untuk Allah SWT menciptakan ubat yang lain lagi.
Al-Hafidz Ibn Kathir RH berkata:
وقوله : ( فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ ) أي : في العسل شفاء للناس من أدواء تعرض لهم .
قال بعض من تكلم على الطب النبوي : لو قال فيه : " الشفاء للناس " لكان دواء لكل داء ، ولكن قال ( فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ ) أي : يصلح لكل أحد من أدواء باردة ؛ فإنه حار ، والشيء يداوى بضده
Maksdunya: “Dan firman Allah (yang bermaksud): “di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.” Iaitulah pada madu itu merupakan ubat/penyembuh bagi manusia dari beberapa penyakit yang menimpa mereka. sebahagian (ulama) yang berbicara tentang perubatan nabawi menyebut: “Sekiranya (Allah) berfirman: الشفاء للناس, (dengan makrifah) maka ia merupakan ubat kepada semua jenis penyakit, akan tetapi (Allah) berfirman: فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ iatulah membawa maksud ia boleh menjadi ubat kepada seseorang yang terkena penyakit-penyakit yang bersifat sejuk, kerana madu itu panas, dan sesuatu itu menyembuhkan sesuatu yang berlawanan dengannya.” (4/582)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula ketika berbicara tentang faedah madu dan manfaatnya ketika menjawab soalan pada bilangan 9691 berkata:
Maksudnya: “Dan sebahagian pesakit mengambil beberapa teguk madu lebah, dia menyangka madu tersebut dapat menjadi ubat kepada penyakitnya bahkan penyakit-penyakit lain yang dideritainya. Anggapan ini amat jauh dari kebenaran syarak dan dari reality yang berlaku. kadang-kadang terdapat beberapa perkara yang dapat menghalang perawatan dengan menggunakan madu lebah, antaranya:
1. Penyakit itu bukanlah dari jenis yang mana madu menjadi sebab penyembuhannya.
2. Madu lebah diambil dalam jumlah yang sedikit, sedangkan penyakit memerlukan lebih banyak madu dari yang dia ambil.
3. Madu lebah bukan menjadi kebiasaannya
4. Atau ia juga (rawatan tidak berjaya dengan madu) merupakan salah satu ujian, bagi menguji kesabaran pesakit seterusnya ditambah kepadanya pahala.
5. Di dalam tubuh terdapat beberapa penghalang yang menghalang dari menerima faedah-faedah ubat, seperti halnya seorang perokok atau peminum arak. Dari Abi Sa’id RA katanya:
أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : أَخِي يَشْتَكِي بَطْنَهُ فَقَالَ : ( اسْقِهِ عَسَلًا ) ، ثُمَّ أَتَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : ( اسْقِهِ عَسَلًا ) ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ : ( اسْقِهِ عَسَلًا ) ، ثُمَّ أَتَاهُ ، فَقَالَ : قَدْ فَعَلْتُ ، فَقَالَ : ( صَدَقَ اللَّهُ وَكَذَبَ بَطْنُ أَخِيكَ اسْقِهِ عَسَلًا ) فَسَقَاهُ فَبَرَأَ
Maksudnya: “Seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi SAW dan berkata: “Saudaraku menderitai sakit perutnya (cirit-birit).” Baginda bersabda: “Berikan dia minum madu lebah.” (setelah itu) dia datang kali kedua, baginda menjawab: “Berikan dia minum madu lebah.”, kemudian dia datang lagi kali ketiga, baginda bersabda: “Berikan dia minum madu lebah.” Kemudian orang itu datang kepada baginda dan berkata: “Aku telah melakukannya.” jawab baginda SAW: “Sesungguhnya benarlah Allah (dalam berkata-kata tentang madu yang bersifat penyembuhan), namun perut saudaramu mendustainya. Berikan lagi dia minum madu.” Lalu lelaki itu berikan lagi saudaranya meminum madu, lalu saudaranya menjadi sembuh.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Maksud perkataan Nabi (yang diterjemahkan sebagai) “Namun perut saudaramu mendustainya” iaitulah perutnya belum boleh menerima penyembuhan, sebaliknya berpaling darinya. Sebahagian orang yang menyeleweng membantah dengan berkata: “madu lebah boleh menjadikan cirit-birit, maka bagaimana baginda boleh menyuruh dibuat ubat untuk orang yang terkena cirit-birit?” Maka jawapannya ialah: “soalan sebegini menunjukkan kejahilan orang yang bertanya, ianya seperti firman Allah (maksudnya): “Bahkan yang sebenarnya mereka mendustakan apa yang mereka belum mengetahuinya dengan sempurna…” (Yunus: 39), sedangkan para doktor telah bersepakat bahawa sesuatu penyakit berbeza rawatannya kerana berbeza umur, kebiasaan, masa, kebiasaan makanan yang diambil dan kekuatan tabi’at… dan tiada sesuatu yang sama seperti madu, terutamanya jika dicampur dengan air panas. Hanya yang menyebabkan dia tiada memberi kesan ketika mengambilnya kali pertama, kerana ubat semestinya ada kuantiti tertentu bergantung dengan penyakit. Jika ubat itu kurang, maka ia tidak dapat menolak penyakit secara keseluruhan, jika terlebih pula ia akan melemahkan kekuatan dan mendatangkan kemudharatan yang lain pula, seperti seseorang yang meminum madu dalam jumlah yang tidak dapat melawan penyakit. Maka baginda (SAW) menyuruh orang tersebut membiasakan meminum madu, ketikamana diulang meminumnya bersesuaian dengan penyakit, maka akan sembuh dengan izin Allah Ta’ala. Manakala sabda Nabi SAW (yang diterjemahkan): “namun perut saudaramu mendustainya” ia merupakan isyarat bahawa ubat/penawar ini (madu) bermanfaat, manakala kekalnya penyakit bukan kerana kelemahan ubat, akan tetapi disebabkan banyaknya perkara-perkara yang tidak elok, lalu baginda menyuruh untuk membiasakan meminum madu untuk membuangnya, maka dengan perkara tersebut, dia sembuh dengan izin Allah.” (Fath al-Bari 10/169-170)
Perkara seumpama dengan madu yang memiliki penyembuhan, iaitulah yang dinyatakan oleh Nabi SAW tentang al-Habbah al-Sauda’ (bijirin hitam). Baginda bersabda:
في الحَبَّةِ السوْدَاءِ شِفَاءٌ من كل دَاءٍ إلاَّ السَّام
Maksudnya: “Pada al-Habbah al-Sauda adanya ubat bagi setiap penyakit, melainkan kematian.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sighah hadis ini adalah umum, tidak seperti ayat al-Quran ketika menyebut tentang madu. Sekalipun demikian tiada di kalangan ulama yang mengatakan hadis ini difahami secara zahirnya yang umum, iaitu ia bermanfaat untuk semua penyakit. Sebaliknya al-Habbah al-Sauda’ juga sama sepertimana Madu lebah. Al-Hafidz Ibn Hajar RH berkata: “al-Khattabi berkata: “Sabdaan Nabi SAW: “(al-Habbah al-Sauda’) adalah ubat bagi setiap penyakit.” Ia adalah lafaz umum yang memaksudkan khusus, kerana bukan dari kebiasaan sesuatu tumbuhan menghimpunkan ciri-ciri rawatan bagi semua penyakit, sebaliknya maksud ia (Habbatussauda’) ubat bagi semua penyakit yang berlaku dari lembapan.” Abu Bakar bin al-‘Arabiy berkata: “Madu di sisi para doktor lebih hampir menjadi ubat bagi semua penyakit berbanding habbatussauda’. Sekalipun demikian, terdapat juga beberapa penyakit yang jika diminum madu, ia akan mendatangkan mudharat. Maka yang dimaksudkan bagi madu itu ubat kepada semua penyakit ialah kebanyakan dan kebiasaan. Maka demikianlah yang lebih utama difahami dengan habbatussauda’.” Berkata yang lain pula: “Baginda Nabi SAW mensifatkan sesuatu ubat berdasarkan apa yang baginda perhatikan dari keadaan pesakit, maka mudah-mudahan sabdaan baginda tentang habbatussauda’ bersesuaian dengan penyakit yang menimpa seseorang yang bercampur dengan sesuatu yang sejuk. Maka jadilah makna: “Ubat bagi setiap penyakit” ialah penyakit dari jenis yang dinyatakan, dan pengkhususan berdasarkan keadaan sebab (di dalam hadis) adalah banyak lagi tersebar luas.”
Oleh yang demikian kami menasihati puan yang bertanya untuk merujuk penyakit anak saudara puan kepada doktor pakar agar beliau mendapat rawatan yang sewajarnya. Dengan itu kita dapat kenalpasti apakah penyakitnya sesuai dirawat dengan madu ataupun tidak.