Tafsir BASMALAH البسملة

TAFSIR BASMALAH

binSahak.com

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Ungkapan بِسْمِ اللَّهِ yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai “Dengan Nama Allah” merujuk kepada maksud ‘Daku memulakan sesuatu dengan menyebut nama Allah kerana mengharapkan keberkatan, taufiq dan pertolongan agar disempurnakan pekerjaan yang hendak dilakukan dan diterima sebagai ibadah juga kekal kebaikannya[1].”

Susunan kalimah اسم disandarkan kepada kalimah الله (بسم الله) adalah susunan idafah yang boleh merujuk kepada semua nama Allah. Maka بسم الله boleh juga diertikan “dengan semua nama Allah”. Ini kerana kalimah mufrad iaitulah اسم apabila disandarkan kepada sesuatu, ia boleh membawa maksud umum iaitulah semua nama (اسم).

Kalimah الله pula merujuk kepada zat yang disembah dan yang diibadatkan. Dialah zat yang berhak ditunggalkan dalam melakukan ibadah hanya kerana-Nya dengan sebab Dia memiliki segala sifat-sifat ketuhanan yang maha sempurna.

Dua kalimah الرحمن الرحيم adalah kata nama yang menunjukkan Dialah Allah yang Maha Tinggi yang memiliki keluasan rahmah yang tidak bertepi dan tiada tolok bandingnya. Rahmat-Nya itu pula meluas kepada setiap sesuatu dan dikurniakan kepada setiap yang hidup. Rahmat itu keseluruhannya telah ditetapkan kepada sesiapa yang bertaqwa dan mengikuti contoh para nabi. Manakala selain mereka yang tidak beriman pula akan memperolehi bahagian tertentu dari rahmat itu sahaja.

Para ulama telah bersepakat bahawa setiap kata nama Allah merangkumi sifat. Apabila الرحمن dan الرحيم adalah antara nama-nama Allah SWT. ia dalam masa yang sama menunjukkan Allah SWT itu juga bersifat sebagai tuhan yang memiliki sifat rahmat. Dia merahmati para hamba-Nya. Kerana itu Dia mengurniakan nikmat dan pemberian kepada kesemua hamba tanpa mengira siapa mereka. Nikmat dan kurnia itu adalah tanda sifat rahmat-Nya.

al-Rahmah الرحمة atau Rahmat dari sudut bahasa seerti dengan al-Raqiq الرقيق yang boleh diterjemahkan sebahai lembut, lunak, belas dan nipis. Ungkapan orang ‘Arab yang berkata: تراحم القوم iaitulah apabila setiap invividu di dalam kaum tersebut saling berbelas-kasihan sesama mereka. Dengan juga: من رحمة يرحمه iaitulah apabila seseorang itu berbuat lembut dan lunak kepada orang lain. Inilah asal maksud kalimah الرحمة.     

Dari sudut istilah الرحمة ialah رقَّة تقتضي الإحسان إلى الْمَرْحُومِ، وقد تستعمل تارةً في الرِّقَّة المجرَّدة، وتارة في الإحسان المجرَّد عن الرِّقَّة kelembutan dan belas-kasihan yang mendorong berbuat baik kepada pihak yang dibelas. Kadang-kala juga digunakan bagi merujuk kepada rasa belas semata-mata tanpa berbuat-baik. kadang-kala juga merujuk kepada berbuat baik semata-mata tanpa belas.[2] Dikatakan ia juga boleh membawa maksud: “Belas di dalam hati yang terasa sakit apabila mendapat tahu kesusahan dan kepayahan orang lain. Demikian juga merasai gembira dan senang dengan kesenangan yang dirasai oleh orang lain.” Namun sifat rahmat Allah SWT adalah yang layak dengan kesuci dan kemuliaan-Nya dan tidak sama dengan sifat rahmah makhluk.

 

[1] Lihat Tafsir Ibn Kathir dan al-Qurtubi

[2] Lihat Mufradat al-Quran oleh al-Raghib 1/347


Cetak  
Wallahu a'lam