Allah SWT berfirman:
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضٗاۖ
Maksudnya: “Dalam jantung hati mereka (golongan munafik itu) terdapat penyakit, lalu Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka” (al-Baqarah: 10)
Penyakit yang dimaksudkan ialah penyakit nifaq itu sendiri berdasarkan riwayat dari Ibn ‘Abbas RA. Boleh juga difahami penyakit itu adalah syak atau keraguan seperti pandangan Ibn Kathir. Lalu Allah tambah lagi nifaq dan keraguan yang sedia ada di dalam hati mereka.
Kesimpulannya ia merujuk kepada penyakit hati yang kotor berdasarkan perkataan ‘Abdul Rahman bin Aslam yang menyatakan penyakit ini sekitar keyakinan dan iktikad mereka terhadap agama Islam, bukan penyakit pada jasad. Lalu Allah tambah lagi kekotoran di dalam hati mereka disebabkan penyakit mereka itu. (Lihat tafsir Ibn Kathir dan al-Qurtubi)
Berpenyakit hati ini adalah salah-satu sifat orang-orang munafiq. Cahaya iman tidak masuk ke dalam hati mereka, menjadikan mereka tidak mampu melihat kebenaran, kerana bimbangkan kepentingan mereka tergugat disebabkan mengandaikan ancaman sekitar mereka jika mereka menuruti perintah agama. Mereka sentiasa memikirkan kepentingan diri. Dalaman dan luaran mereka sentiasa berkonflik. Hati mereka lemah dan tiada kekuatan disebabkan penyakit yang dialaminya. Hati mereka tidak dapat menetapkan pendirian bersama dengan kebenaran. Demikian juga lidah mereka tidak mampu menzahirkan pendirian yang kukuh membela kebenaran.