Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini (al-Baqarah: 12) menukilkan perkataan Ibn Jarir yang berkata:
Maksudnya: “Orang-orang munafiq melakukan kerosakan di muka bumi dengan penderhakaan mereka terhadap tuhan, melakukan perkara yang ditegah, mensia-siakan kefardhuan, keraguan terhadap agama, mendustai orang-orang yang beriman dengan dakwaan terhadap sesuatu yang mereka syak dan ragu terhadapnya dan membantu golongan yang mendustakan Allah, kitab-kitab-Nya dan Rasul berdepan dengan orang-orang yang beriman ketika mereka berpeluang. Semua ini adalah perbuatan melakukan kerosakan yang dilakukan oleh golongan munafiqin di atas muka bumi. Sedang mereka menyangka perbuatan mereka itu adalah melakukan pembaikan. Golongan munafiq yang pada zahirnya kelihatan orang yang beriman dan pengakuan dusta mereka menimbulkan kesamaran terhadap orang-orang yang beriman. Demikian juga dengan tindakan mereka yang bermuwalah terhadap orang-orang kafir menentang orang-orang yang beriman. Kerana itu Allah berfirman yang bermaksud: "Janganlah kamu membuat fasad (kerosakan) di muka bumi", mereka menjawab: "Sesungguhnya kami hanya membuat kebaikan" iaitulah mereka menyatakan mereka hendak memperelokkan hubungan antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang kafir. Kata Ibn ‘Abbas (maksud perkataan mereka itu) “kami hanya mahu melakukan perdamaian” iaitulah perdamaian antara orang-orang beriman dengan ahli kitab (orang-orang kafir). Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat fasad (kerosakan), tetapi mereka tidak menyedarinya” iaitulah golongan munafiq yang mendakwa mereka melakukan perdamaian ini sebenarnya punca kerosakan. Akan tetapi disebabkan kejahilan, mereka tidak menyedari keadaan mereka itu satu kerosakan.”