SDI 0613: Baca Surah al-Ikhlas Menyamai Membaca alQuran?

Soalan: 
 
Tolong Cari Perbezaan 3 Ayat Surah Al Ikhlas dibawah ini. baca betul2 ya.
--------------------------------------
Bismillahirahmannirahim...
1. Qul Huwallahu Ahad; Allahus-Samad; Lam Yalid Walam Yulad; Walam Yakul Lahu Kufuwan Ahad.
---------------------------------------
2. Qul Huwallahu Ahad; Allahus-Samad; Lam Yalid Walam Yulad; Walam Yakul Lahu Kufuwan Ahad.
-------------------------------------
3. Qul Huwallahu Ahad; Allahus-Samad; Lam Yalid Walam Yulad; Walam Yakul Lahu Kufuwan Ahad.
-------------------------------------
Jika tidak ada...
Selamat....Anda Baru saja Membaca 3 kali......
Surah Al Ikhlas..
- Barangsiapa Yang membaca
Surah Al Ikhlas 3 kali.
-Pahalanya sama seperti
Membaca Al Quran 30 Juz.
--------------------------------------
share supaya sahabat anda mendapat pahala... ☺😊
Betulker ust???
 
Jawapan: 
 
Pertama: Membaca tiga kali surah al-Ikhlas dengan maksud mencari kesalahan atau perbezaan yang ada seperit yang diarahkan adalah tidak sama membacanya kerana beribadah kepada Allah dan mengharapkan pahala dari-Nya. Ini kerana setiap amalan berdasarkan niat. Maka niatnya bukan hendak beribadah dengan membaca alQuran tetapi untuk mencari kesalahan. 
 
Masej seperti ini wujud hasil dari salah faham terhadap konsep pahala di dalam Islam. Oleh itu, sesiapa yang membaca masej di atas tidak dikira mendapat pahala membaca tiga kali surah al-Ikhlas, tidak juga seperti membaca seluruh alQuran. 
 
Kedua: Pandangan ulama yang lebih benar tentang hadis membaca surah al-Ikhlas menyamai 1/3 alQuran adalah yang menyatakan surah al-Ikhlas merangkumkan 1/3 dari bahagian alQuran. Ini kerana alQuran diturunkan dalam tiga bahagian: 
 
i) 1/3 tentang hukum-hakam.  
ii) 1/3 tentang janji surga dan ancaman siksa neraka. 
iii) 1/3 tentangg asmaa' dan sifat
 
Maka surah al-Ikhlas menghimpunkan bahagian asmaa' dan sifat Allah SWT. Inilah pandangan Abi alAbbas bin Suraij. Pandangan ini dinilai baik oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH (lihat Majmu' alFatawa 17/103) 
 
Ketiga: Sememangnya terdapat hadis tentang kelebihan surah al-Ikhlas. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh alBukhari daripada Abi Sa'ied bahawa ada seorang lelaki mendengar seorang lelaki lain membaca Qul huwa Allahu Ahad, dan mengulang-ulangnya. Apabila subuh dia datang kepada Rasulullah menceritakan hal lelaki tadi, seperti memandang kecil apa yang lelaki itu baca dan ulangkan. Maka sabda Rasulullah SAW: 
 
"Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya surah al-Ikhlas itu menyamai 1/3 alQuran." 
 
Yang dimaksudkan surah al-Ikhlas menyamai 1/3 alQuran di sini ialah dari sudut pahala membacanya. Bukan bermaksud menyamai membaca 1/3 alQuran. Contoh mudah yang dapat diberi di sini, andaikan.... Seseorang memiliki wang tunai RM300 ribu dengan seorang lain yang memiliki makanan, pakaian, rumah dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM300 ribu juga. Apakah sama antara mereka berdua? Sudah tentu tidak sama, di mana seorang yang memiliki tunai RM300 ribu tetap memerlukan rumah, pakaian dan makanan. Demikian juga dengan seorang ygan hanya memiliki sebuah kenderaan mewah bernilai RM300 ribu dengan seorang yang memiliki rumah, kenderaan, pakaian dan makanan yang jumlah keseluruhannya RM300 ribu. Orang yang memiliki tunai belum tentu dapat memperolehi kesemua keperluan yang dihajatinya. 
 
Oleh itu, seorang yang membaca tiga kali surah al-Ikhlas tidak bermaksud dia tidak perlu lagi membaca alQuran. Kerana dalam keseluruhan ayat alQuran terdapat banyak lagi perkara-perkara yang diperlukan oleh seseorang muslim.

Cetak  
Wallahu a'lam