80:TAFSIR SURAH ‘ABASA سورة عَبَسَ
OLEH: USTAZ MOHAMAD ABDUL KADIR BIN SAHAK
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ (1) أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ (2) وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ (3) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكْرَىٰ (4) أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَىٰ (5) فَأَنتَ لَهُ تَصَدَّىٰ (6) وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ (7) وَأَمَّا مَن جَاءَكَ يَسْعَىٰ (8) وَهُوَ يَخْشَىٰ (9) فَأَنتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ (10) كَلَّا إِنَّهَا تَذْكِرَةٌ (11) فَمَن شَاءَ ذَكَرَهُ (12) فِي صُحُفٍ مُّكَرَّمَةٍ (13) مَّرْفُوعَةٍ مُّطَهَّرَةٍ (14) بِأَيْدِي سَفَرَةٍ (15) كِرَامٍ بَرَرَةٍ (16)
Mafhumnya: “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Karena telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau Dia tidak membersihkan diri (beriman). Dan Adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang ia takut kepada (Allah). Maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan. Maka Barangsiapa yang menghendaki, tentulah ia memperhatikannya. Di dalam Kitab-Kitab yang dimuliakan. Yang ditinggikan lagi disucikan. Di tangan Para penulis (malaikat). Yang mulia lagi berbakti. (‘Abasa: 1-16)
SELAYANG PANDANG
Di dalam kebanyakan kitab tafsir dan kitab-kitab hadis, surah ini dinamakan sebagai surah عَبَسَ, Ibn al-‘Arabi menamakan surah ini di dalam tafsirnya sebagai surah ابْنُ أُمِّ مَكْتُوْم, Ibn ‘Asyur di dalam التحرير والتنوير al-Tahrir wa al-Tanwir berkata saya tidak kelihatan ditempat lain dengan nama seperti ini. al-Khafaji berkata: Surah ini dinamakan juga sebagai surah al-Sokkhah الصَّاخّة, al-Safarah السَّفَرَة dan al-A’ma الأعْمَى, merujuk kepada kalimat-kalimat yang hanya disebut di dalam surah ini, atau merujuk kepada individu yang menjadi sebab penurunan ayat. Ia dikira sebagai surah yang ke-24 penurunannya, turun selepas surah al-Najm النجم, dan sebelum surah al-Qadr القدر. Di sisi ulama Madinah, Mekah, dan Kufah, mereka menghitung ayatnya sebanyak empat puluh dua ayat. Manakala ulama Basrah, menghitung ayatnya sebanyak empat puluh satu ayat dan ulama Syam sebanyak empat puluh ayat. Ia merupakan surah pertama dari surah-surah أوَاسِط الْمُفَصَّل.[1]
Surah ini turun bersempena dengan seorang lelaki buta yang bernama ‘Abdullah bin Ummi Maktum عبد الله بن أم مكتوم berdasarkan pandangan yang masyhur. Ada juga ulama yang berpandangan nama beliau adalah ‘Amr bin Ummi Maktum عمرو بن أم مكتوم. Ummi Maktum adalah ibu beliau yang bernama ‘Atikah binti ‘Amir bin Makhzum عاتكة بنت عامر بن مخزوم. ‘Abdullah dinisbahkan kepada ibunya kerana keluarga ibunya Bani Makhzum lebih mulia dan ramai dalam kalangan masyarakat Quraisy berbanding keluarga bapanya Bani ‘Amir bin Lu’ai. Ibunya pula yang bernama ‘Atikah digelar sebagai Ummi Maktum kerana melahirkan ‘Abdullah dalam keadaan buta. Abdullah bin Ummi Maktum termasuk di kalangan individu yang awal memeluk Islam di Mekah. Di samping itu beliau juga memiliki hubungan kekeluargaan dari sebelah ibu Khadijah RA, Isteri Nabi SAW. al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut nama ‘Abdullah bin Ummi Maktum dengan dinasabkan kepada bapanya ialah ‘Abdullah bin Syuraih bin Malik bin Rabi’ah al-Fihri dari Bani ‘Amir bin Lu’ai. Namun al-Imam al-Tobari di dalam tafsirnya menyebut nama ‘Abdullah bin Ummi Maktum sebagai ‘Abdullah bin Za’idah عبد الله بن زائدة. Ibn ‘Asyur pula berkata beliau adalah ‘Abdullah bin Qais bin Za’idah daripada Bani ‘Amir bin Lu’ai dari kaum Quraisy.
Suatu hari ketika baginda SAW sedang menyampaikan dakwah kepada beberapa pembesar Quraisy, ketika itu baginda mengharapkan keislaman mereka, kerana baginda SAW percaya jika para pembesar Quraisy menerima dakwah baginda dan memeluk Islam, sudah tentu akan ramai lagi masyarakat Quraisy yang akan menuruti mereka. Sedang baginda berbicara menerangkan Islam kepada para pembesar tersebut, tiba-tiba ‘Abdullah bin Ummi Maktum datang dan berulangkali memanggil baginda seraya berkata: يَا رَسُوْلَ الله، عَلِّمْنِي مِمَّا عَلَّمَكَ اللَّهُ. “Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku apa yang telah Allah ajarkan kepadamu.” Mendengar teriakan beliau, baginda SAW berasa terganggu lalu bermasam muka dan berpaling. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari berkata:
ولم يختلف السلف في أن فاعل عبس هو النبي صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: “Ulama Salaf tidak ada yang berbeza pandangan bahawa yang bermasam muka itu adalah Nabi SAW.”
Al-Hafiz Ibn Hajar juga menyebut sebuah hadis dari ‘Aisyah RA yang berkata:
نَزَلَتْ فِي ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ الْأَعْمَى فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْشِدْنِي - وَعِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ عُظَمَاءِ الْمُشْرِكِينَ - فَجَعَلَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يُعْرِضُ عَنْهُ وَيُقْبِلُ عَلَى الْآخَرِ فَيَقُولُ لَهُ : أَتَرَى بِمَا أَقُولُ بَأْسًا ؟ فَيَقُولُ : لَا . فَنَزَلَتْ عَبَسَ وَتَوَلَّى
Mafhumnya: “(Surah ‘Abasa) turun bersempena kisah Ibn Ummi Maktum yang buta. Ketika beliau berkata: Wahai Rasulullah, beri bimbingan kepadaku, ketika itu seorang lelaki dari pembesar musyrikin berada di sisi Nabi SAW (baginda sedang berdakwah kepadanya). Hal itu menyebabkan Nabi SAW berpaling daripada beliau, dan menghadap pembesar musyrikin tadi, lalu baginda berkata: Apakah kamu melihat apa yang aku katakan itu bersangatan? Lalu pembesar itu menjawab: tidak (menunjukkan dia tidak berhajat kepada penjelasan dari baginda SAW).” Maka turunlah surah عَبَسَ وَتَوَلَّى.” (Kata al-Tirmizi: Hasan Gharib.)
Baginda tidak bersetuju dengan tindakan ‘Abdullah bin Ummi Maktum tersebut, lalu terus memberikan perhatian untuk menyampaikan dakwah kepada beberapa orang pembesar Quraisy di hadapan baginda. Antara para pembesar yang terdapat di Mekah ketika itu ialah seperti ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Abu Jahl bin Hisham, al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib dan selain mereka. Disebabkan tindakan ini turunlah ayat al-Quran menegur baginda SAW ketika mana baginda pulang ke rumah. Setelah peristiwa ini berlaku baginda SAW sentiasa memuliakan dan memberi perhatian yang sewajarnya kepada ‘Abdullah bin Ummi Maktum. al-Imam al-Qurtubi di dalam Tafsirnya menukilkan perkataan al-Imam al-Thauri yang berkata:
فكان النبي - صلى الله عليه وسلم - بعد ذلك إذا رأى ابن أم مكتوم يبسط له رداءه ويقول : " مرحبا بمن عاتبني فيه ربي " . ويقول : " هل من حاجة " ؟
Makhumnya: “Adalah Nabi SAW selepas berlakunya peristiwa ini, apabila baginda melihat Ibn Ummi Maktum, baginda akan membentangkan kain selendang baginda untuk beliau, dan berkata: Selamat datang kepada individu yang Tuhanku menegurku kerananya.” Seterusnya baginda bersabda: “Apakah anda ada sesuatu keperluan.?”
Baginda juga pernah melantik ‘Abdullah bin Ummi Maktum sebanyak dua kali sebagai pemangku baginda mengimami solat umat Islam Madinah ketika ketiadaan baginda kerana menyertai peperangan. Kata Anas bin Malik RA beliau melihat ‘Abdullah bin Ummi Maktum menyertai peperangan di al-Qadisiyyah pada zaman pemerintahan ‘Umar al-Khattab dan memperolehi syahid pada tahun empat belas atau lima belas Hijrah, ketika itu beliau memegang bendera berwarna hitam
TAFSIR
Allah SWT berfirman عَبَسَ وَتَوَلَّى: “Dia bermasam muka dan berpaling” (‘Abasa: 1). Perkataan عَبَسَ membawa maksud كَلَحَ iaitulah bermasam dan berkerut muka, العُبُوْسُ dengan didhommahkan ع bermaksud: تقطيب الوجه وإظهار الغضب, iaitulah mengerutkan muka dan menzahirkan kemarahan. Arab juga menyebut رجل عَبُوْسٌ dengan difathahkan ع iaitulah mengerutkan muka. Manakala تَوَلَّى pada asalnya ialah berubah sesuatu dari tempatnya. Di dalam ayat ini ia bermaksud أَعْرَضَ iaitulah berpaling. Kedua-dua kalimah ini menunjukkan dua tindakan yang berbeza, iaitulah bermasam dan berkerut mengisyaratkan kepada perubahan muka. Manakala berpaling pula mengisyaratkan kepada tindakan anggota badan yang berpaling dari sesuatu. Ia merupakan isyarat kepada tindak-balas marah dan tidak merestui sesuatu. Namun kedua-dua kalimah ini disebut dengan ganti nama ketiga الغائب: “Dia bermasam muka dan berpaling.” Ayat al-Quran tidak menyebut عَبَسْتَ وَتَوَلَّيْتَ: “Kamu telah bermasam muka dan berpaling.” sedangkan teguran ini dimaksudkan kepada Nabi SAW, bukan kepada individu yang lainnya. Allah SWT tidak mengajukan terus bicara teguranNya kepada Nabi SAW di dalam ayat ini, sebagai memuliakan baginda SAW[2] yang merupakan makhluk pilihan dan yang terbaik. Demikian juga agar teguran itu terlaksana dalam bentuk lembut dan lunak agar baginda SAW tidak tersentak dan terkejut dengan teguran yang diajukan secara terus. Demikian bagaimana Allah SWT menegur kekasihnya Muhammad bin Abdillah SAW agar ia disampaikan dalam bentuk yang lebih ringan dan diterima oleh baginda dalam bentuk beransur dan berperingkat.[3] Setelah itu disebut perihal orang buta, sehingga baginda dapat merasakan teguran itu ditujukan kepadanya dan ayat berikutnya baharulah diajukan teguran secara terus kepada baginda. Uslub teguran ini, sama dengan uslub yang terdapat di dalam surah al-Taubah ketika Allah SWT menegur baginda dalam situasi lain di dalam firmanNya:
عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ (43)
Mafhumnya: “semoga Allah mema'afkanmu. mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?” (al-Taubah: 43)
Al-Imam Muhammad Tohir bin ‘Asyur محمد طاهر بن عاشور di dalam tafsirnya menukilkan perkataan ‘Aun bin ‘Abdillah عون بن عبد الله dan al-Samarqandi السمرقندي yang berkata:
أخبره الله بالعفو قبل أن يخبره بالذنب حتى سكن قلبه
Maksudnya: “Allah SWT memberikan khabar kemaafan sebelum mengkhabarkan kesilapan baginda, agar tenang dan senang hati (jantung) baginda.”
Berikutnya Allah SWT berfirman أَنْ جَآءَهُ اْلأَعْمَى: “Kerana telah datang seorang buta kepadanya” (‘Abasa: 2). Apabila disebutkan tentang orang buta, maka menjadi jelas sasaran teguran kepada baginda SAW. Kalimah الأَعْمَى digunakan oleh Allah SWT di dalam ayat ini, bermaksud seorang yang buta, ia merupakan isyarat daripada Allah Yang Maha Bijaksana Lagi Pengasih dan Penyayang akan kewajaran bersikap lunak dan lemah-lembut kepada ‘Abdullah bin Ummi Maktum yang memiliki kekurangan. Pada masa yang sama beliau yang buta keadaannya lebih baik dan lebih mulia disebabkan keimanan dan kemahuannya membersihkan dirinya, jika dibandingkan dengan para pembesar yang kaya namun tidak beriman dan membesarkan diri. Sekalipun pada pandangan kasarnya sudah tentu tindakan Nabi SAW mengutamakan usaha dakwah baginda kepada pembesar Quraisy memiliki maslahah kepada agama dan umat Islam. Namun Allah SWT tetap menegur perbuatan Nabi SAW tersebut. Al-Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut perkataan ulama yang berpendapat teguran Allah SWT dengan tindakan Nabi SAW ini agar tidak mengguriskan hati Ahli Suffah (dikalangan para sahabat yang susah), atau ia menunjukkan seorang beriman yang fakir lebih baik dari seorang kafir yang kaya, dan memberikan perhatian kepada seorang mukmin adalah lebih utama sekalipun dia fakir berbanding memberikan perhatian kepada orang kafir yang kaya kerana mengharapkan penerimaan mereka untuk beriman. Allah SWT berfirman di dalam ayat yang lain:
وَلَا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظَّالِمِينَ (52)
Mafhumnya: “dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari, sedang mereka menghendaki keridhaanNya. kamu tidak memikul tanggung jawab sedikitpun terhadap perbuatan mereka dan merekapun tidak memikul tanggung jawab sedikitpun terhadap perbuatanmu, yang menyebabkan kamu (berhak) mengusir mereka, (sehingga kamu Termasuk orang-orang yang zalim)” (al-An’am: 52)
Di dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا (28)
Mafhumnya: “dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (al-Kahf: 28)
Seterusnya Allah SWT berfirman وَمَا يُدْرِيْكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى: “Tahukah kamu (Muhammad) barangkali dia ingin membersihkan dirinya.” (‘Abasa: 3). Di dalam ayat ini Allah SWT menukar bicara kepada ganti nama kedua, iaitu memaksudkan terus kepada Nabi SAW sebagai teguran kepada baginda. Allah SWT mempersoalankan apakah yang menyebabkan kamu berpaling dari ‘Abdullah bin Ummi Maktum yang buta itu? Ayat لَعَلَّهُ يَزَّكَّى: “barangkali dia ingin membersihkan diri” adalah ayat baru yang mengisyaratkan keadaan ‘Abdullah bin Ummi Maktum yang ingin membersihkan diri dari dosa yang tidak wajar diketepi, diabai dan dikesampingkan. Dimana beliau mengharapkan penjelasan dari mu wahai Muhammad berkaitan ayat al-Quran dan agama Islam, seterusnya penjelasanmu itu mampu membersihkan lagi jiwanya dan menghilangkan kesamaran yang ada di dalam dirinya, seterusnya menambah dan mengukuhkan lagi imannya. Perkataan لَعَلَّ yang dinamakan sebagai Kalimah al-Tarajji كلمة التَّرَجِّي iaitulah perkataan memaksudkan harapan, merupakan isyarat tidak wajarnya berpaling dari individu yang barangkali dia hendak membersihkan dirinya. Secara tidak langsung ayat ini meletakkan kedudukan yang tinggi kepada mereka yang sentiasa berusaha membersihkan diri dengan mentaati Allah dan menjauhi laranganNya. Benarlah firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ (14)
Mafhumnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman)” (al-A’la: 14)
Berikutnya Allah SWT berfirman: أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى: “Atau dia ingin mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya.” (‘Abasa: 4) Ayat أَوْ يَذَّكَّرُ : “Atau dia ingin mendapatkan pengajaran…” adalah termasuk di dalam harapan. Ia bermaksud barangkali dia ingin membersihkan diri (‘Abasa: 3) atau dia ingin mendapatkan pengajaran. (‘Abasa: 4), lalu jika kamu (Muhammad) memberi peringatan berdasarkan apa yang kamu ketahui, maka sudah tentu peringatan itu dapat memberi manfaat kepadanya.
Berikutnya Allah SWT berfirman: أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَى: “Adapun orang yang merasakan dirinya serba cukup.” (‘Abasa:5). Kalimah الإسْتِغْنَاءُ memaksudkan seseorang yang mengira dirinya telah cukup, kebiasaannya perkataan ini digunakan menunjukkan takabbur atau besar diri dan berbangga dengan kekuatan yang ada. Maka مَنِ اسْتَغْنَى di sini memaksudkan orang yang mengira dirinya tidak memerlukan hidayah atau bimbingan darimu wahai Muhammad. فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّى: “maka kamu melayaninya.” (‘Abasa:6). تَصَدَّى adalah إصغاء yang bermaksud memberi perhatian dan melayaninya. وما عليك إلا يزكى: “padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman).” (‘Abasa: 7) Sekiranya orang yang merasakan dirinya tidak memerlukan apa-apa dari mu itu wahai Muhammad, tidak mahu beriman dan tidak memperolehi petunjuk, maka kamu tidak memikul sebarang kesalahan. Sebaliknya kamu hanyalah bertanggungjawab menyampaikan dakwah tidak lebih dari itu. وأما من جاءك يسعى: “Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera.” (‘Abasa: 8), iaitulah ‘Abdullah bin Ummi Maktum yang datang dalam keadaan bersegera dan bergegas kerana mengharapkan engkau membimbingnya dan memberi peringatan kepadanya. وهو يخشى: “Sedang dia takut kepada Allah.” (‘Abasa: 9) فأنت عنه تلهى: “Maka kamu mengabaikannya.” (‘Abasa: 10). Kamu berpaling dan tidak menghiraukannya. كلا إنها تذكرة: “Sekali-kali jangan, sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah satu peringatan.” (‘Abasa: 11). Perkataan كلا merupakan tegahan dan larangan kepada Nabi SAW, ia membawa maksud: Sekali-kali jangan kamu berpaling lagi selepas ini wahai Muhammad, dari orang fakir dan miskin yang hendak membersihkan jiwa mereka, kerana memberi perhatian kepada orang kaya yang tidak mahukan peringatan dan bimbingan darimu. Al-Syaukani di dalam Fath al-Qadir berkata: “Perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW ini termasuk dalam meninggalkan suatu yang lebih utama, lalu Allah memberi bimbingan kepada baginda agar melakukan suatu yang lebih utama.”
Seterusnya Allah SWT berfirman: إنها تذكرة: “Sesungguhnya ajaran-ajaran tuhan itu adalah suatu peringatan.” (‘Abasa 11) iaitulah ayat-ayat dan surah ini merupakan peringatan, hendaklah diterima dan diamalkan tuntutannya oleh mu, demikian juga oleh umat mu. فمن شاء ذكره: “maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia akan memperhatikannya.” (‘Abasa: 12) iaitulah sesiapa yang hendak mengambil peringatan sudah tentu akan memperhatikan dan mengamalkannya isi kandungan al-Quran, sebaliknya sesiapa yang tidak mahu, dia tidak akan menghiraukan peringatan tersebut.
________________________________________
[1] Sila lihat al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Muhammad Tahir bin ‘Asyur.
[2] Sila lihat Tafsir al-Qurtubi
[3] Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Muhammad Tahir bin ‘Asyur