Tafsir Basmalah
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani
Al-Basmalah (البسملة) adalah nama untuk kalimah باسم الله yang terdiri باسم dan الله. Kaedah perletakan nama seperti ini dinamakan sebagai al-Nahtu (النَّحْت) dalam bahasa Arab.
Ibn Faris menyatakan al-Nahtu ialah mengambil dua kalimat, lalu dikeluarkan dari keduanya itu menjadi satu kalimat. (أن تؤخذ كلمتان وتنحت منهما كلمة تكون آخذة منهما جميعا بحظ). Beliau berkata lagi: “orang arab mengolah dari dua kalimat, sehingga mereka menuturkannya menjadi satu. Ia sejenis ringkasan (dalam sebutan).” (العرب تنحت من كلمتين كلمو واحدة، وهو جنس من الاختصار). Tujuan mengolah bahasa sebegini dalam bahasa Arab adalah untuk memberi keringanan sebutan bagi perkataan-perkataan yang banyak digunakan dan yang sering-kali diucapkan pada lidah. al-Nahtu juga digunakan dalam menyebut sebahagian penisbahan seperti ‘Abd Shams (عبد شمس) disebut sebagai عَبْشَمِيّ, ‘Abd al-Dar disebut ‘Abdari (عَبْدَرِيّ), Hadramaut disebut Hadrami (حضرمي).
Semua ulama bersepakat, ungkapan: بسم الله الرحمٰن الرحيم adalah lafaz quran. Ini kerana, ia adalah satu bahagian dari ayat إنه من سليمان وإنه بسم الله الرحمٰن الرحيم di dalam surah al-Naml ayat 30. Selain itu majoriti ulama juga bersepakat bahawa mushaf al-Quran ditulis basmalah di awal setiap surah kecuali surah al-Bara-ah. Ulama juga tidak berbeza pandangan menyatakan basmalah di tulis di awal surah al-Fatihah di dalam mushaf. Ia bukanlah berada pada kedudukan memisahkan surah al-Fatihah dengan surah lain kerana tiada surah lain di dalam mushaf sebelum al-Fatihah. Hanya yang menimbulkan perbezaan dalam kalangan ulama ialah apakah basmalah satu ayat dari surah al-Fatihah dan semua surah selain al-Bara-ah?
Perbezaan yang wujud di kalangan ulama bukan dari sudut basmalah sebagai satu ayat dari ayat-ayat al-Quran. Akan tetapi yang diperselisihkan ialah, pengulangannya yang terdapat di dalam mushaf dan ia merupakan satu ayat al-Quran.
Pandangan Malik, al-Auza‘ie, fuqaha Madinah, Syam dan Basrah - ada dakwaan yang mengatakan kecuali ‘Abdullah bin ‘Amr dan Ibn Syihab dari kalangan fuqaha Madinah - mengatakan basmalah bukanlah ayat awal dari setiap surah, melainkan ia adalah sebahagian dari ayat 30 surah al-Naml.
Salah satu pandangan Syafie, Ahmad, Ishak, Abu Thaur, fuqaha Mekah dan Kufah - kecuali Abu Hanidah - mengatakan basmalah adalah ayat pertama dari surah al-Fatihah. Manakala ‘Abdullah bin Mubarak, al-Syafie dalam salah satu pandangan beliau yang dianggap Asah, menyatakan basmalah adalah ayat pertama dari setiap surah.
Tidak terdapat nukilan pandangan Abu Hanifah yang termasuk dalam kumpulan fuqaha Kufah dalam persoalan ini. Namun penulis kitab al-Kassyaf mengambil pandangan dari Abu Hanifah yang mengatakan basmalah bukanlah termasuk satu ayat (awal) bagi mana-mana surah. Berdasarkan hal ini, Abu Hanifah tergolong dalam kalangan ulama yang tidak menganggap basmalah sebagai ayat awal mana-mana surah. Kata Abdul Hakim; "hal ini kerana Abu Hanifah berpandangan tidak perlu dijaharkan basmalah ketika membaca al-Fatihah di dalam solat. Beliau juga berpandangan makruh membaca basmalah di awal mana-mana surah yang bersambungan bacaannya dengan al-Fatihah dalam solat pada dua rakaat awal (yang dibaca jahar)."