SDI 1606: Baca Iyakana'budu Boleh Jadi Kafir?

Soalan:

Benarkan membaca Iyaka nakbudu wa iyaka nasta’in tanpa ditekankan Iyyaka boleh membawa kepada kafir?

 

Jawapan:

          Sebutan yang betul untuk ayat ke-5 dari surah al-Fatihah: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ adalah dengan dibaca bersama tasydid atau sabdu: “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta‘ien.” Membaca ayat ke-5 dari surah al-Fatihah ini tanpa sabdu menjadikan solat tidak sah berdasarkan pandangan sebahagian ulama. Justeru ia adalah satu kesalahan. Jika kesalahan ini berlaku disebabkan kejahilan, maka ia diberi kemaafan. Jika dia mampu membaiki bacaannya, namum dia cuai dari mempelajarinya, maka dia berdosa atas kecuaiannya tersebut. 

Umat Islam dinasihati agar memperuntukkan masa belajar al-Quran bagi memastikan mereka dapat membacanya dengan betul, terutamanya bacaan-bacaan yang membabitkan rukun ibadat seperti surah al-Fatihah.

 

Huraian

Ayat al-Quran yang ditanya adalah ayat ke-5 dari surah al-Fatihah, iaitulah:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Hanya kepada-Mu (إِيَّاكَ) kami sembah dan hanya kepada-Mu (إِيَّاكَ) kami meminta pertolongan.”

Al-Imam Ibn Kathir RH dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim 1/48 menyebut, berdasarkan bacaan al-Sab‘ah dan jumhur adalah dengan tasydid huruf “Ya”; إِيَّاكَ. Manakala berdasarkan bacaan ‘Amr bin Fa’id (عَمْرُو بْنُ فائد) dengan takhfif (tanpa tasydid) huruf “Ya”; إِيَاكَ. Namun bacaan tanpa tasydid; إِيَاكَ adalah bacaan yang syaz dan mardud (ganjil dan tertolak). Ini kerana lafaz; إِيَا tanpa tasydid bermaksud ضَوْءُ الشَّمْسِ iaitulah cahaya matahari.

Dalam Lisan al-‘Arab 14/63 dinyatakan:

وإِيَا الشَّمْسِ وأَيَاؤها: نُورُهَا وَضَوْءُهَا وَحُسْنُهَا، وَكَذَلِكَ إيَاتها وأَيَاتُها، وَجَمْعُهَا آيَاء وإِيَاء كأكَمة وَإِكَامٌ

Maksudnya: “Dan إِيَا الشَّمْسِ وأَيَاؤها adalah cahaya matahari, pancarannya serta keelokannya. Demikian juga maksud yang sama untuk kalimah: أَيَاتُها dan:إيَاتُها  (sama ada huruf hamzah dibaris kasrah atau fathah). Kalimah pluralnya ialah: آيَاء dan: إِيَاء.”

Oleh kerana itu, Huruf ي pada ungkapan; إِيَّاكَ dalam ayat ke-5 surah al-Fatihah, wajib dibaca bersama tasydid atau sabdu (يَّ). Membaca tanpa tasydid mengubah makna ayat al-Quran.

Dr. Abu Bakr Zaid dalam Mu’jam al-Manahiy al-Lafziyyah 1/167 menyebut:

فتشديد الياء في الموضعين مُتَعَيَّنٌ، وفي تخفيفهما قلب للمعنى؛ لو اعتقده الإنسان لكفر

Maksudnya: “Maka tasydid huruf; ي di dua tempat (pada ayat ke-5 surah al-Fatihah) adalah wajib. Membacanya secara takhfif (tanpa sabdu) adalah bacaan mengubah makna. Jika seseorang beri’tikad dengan makna yang berubah itu, ia menjadi kafir.” Seterusnya beliau menukilkan perkataan al-Khattabi RH yang berkata:

ومما يجب أن يراعى في الأدعية: الإعراب، الذي هو عماد الكلام، وبه يستقيم المعنى، وبعدمه يختل ويفسد، وربما انقلب المعنى باللحن حتى يصير كالكفر، إن اعتقده صاحبه، كدُعاءِ من دعا، أو قراءة من قرأ: إياك نعبد، وإيَّاك نستعين، بتخفيف الياء من إياك، فإن الإيا: ضياء الشمس، فيصير كأنه يقول: شمسك نعبد. وهذا كفر. وأخبرني محمد بن بحر الرُّهني، قال: حدثني الشاه بن الحسن، قال: قال أبو عثمان المازني لبعض تلامذته: عليك بالنحو، فإن بني إسرائيل كفرت بحرف ثقيل خففوه، قال الله ﷿ لعيسى: (إني ولَّدْتُك. فقالوا: إني ولدْتُك. فكفروا)

Maksudnya: “Termasuk dalam perkara yang wajib dijaga ketika berdoa ialah berkaitan i’rab yang merupakan sandaran kepada ayat yang menjadikan ayat membawa maksud yang benar. Tidak menjaga peraturan i’rab menjadikan rosak danm engubah maksud ayat sehingga boleh membawa kepada kufur jika penuturnya berkeyakinan dengan maksud yang rosak tersebut, seperti doa atau bacaan orang yang membaca: إِيَاكَ نَعْبُدُ وإِيَاكَ نَسْتَعِينُ dengan takhfif huruf “ya, pada kalimah; إِيَاكَ. Sesungguhnya sebutan; إِيَاِ bermaksud” pancaran atau cahaya matahari”, maka jadilah maksud bacaannya: “(kepada) Matahari-Mu kami sembah,” ungkapan seperti ini adalah satu kekufuran (jika diniatkan kepada maksudnya). Muhammad bin Bahr al-Zuhani menceritakan kepadaku, katanya: “al-Syah bin al-Hasan menceritakan kepadaku, katanya: “Abu ‘Uthman al-Maziniy berkata kepada sebahagian anak muridnya: “Jagalah peraturan ilmu Nahu, sesungguhnya Bani Israil menjadi kafir dengan sebab satu huruf berat (untuk disebut), lalu mereka menyebutnya secara takhfif. (Pada asalnya) Allah SWT berfirman kepada Isa: إنِّيْ وَلَّدْتُكَ maksudnya: “Sesungguhnya Aku menciptakan kamu,” namun Bani Israil membacanya: إِنِّيْ وَلَدْتُكَ maksudnya:”Sesungguhnya Aku yang melahirkan kamu,” sehingga mereka semua (Bani Israil) menjadi kafir.”


Cetak  
Wallahu a'lam