SDI 1666: Maksud Gunung-ganang Berjalan Seperti Awan Dalam Surah al-Naml: 88

Soalan:

apakah maksud gunung2 berjalan seperti awan dalam surah an naml ayat 88?

Jawapan:

 

Surah al-Naml yang dimaksudkan iaitulah firman Allah SWT:

وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap dan kukuh, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan. Demikianlah perbuatan Allah yang telah membuat setiap sesuatu dengan serapi-rapinya dan sebaik-baiknya. Sesungguhnya Dia mendalam pengetahuan-Nya dengan apa yang kamu semua lakukan.”

Penyoal bertanya, apa maksud gunung-ganang itu bergerak? Para ulama tafsir berbeza pandangan tentang ayat ini. Sebahagian mereka mengatakan ayat ini menceritakan akan hal keadaan atau suasana yang belum berlaku. Suasana itu akan berlaku ketika hampir berlaku kiamat nanti. Iaitulah ia memaksudkan gunung-ganang itu akan gancur dan berterbangan ketika berlaku goncangan kiamat, dia akan hancur berterbangan ketika goncangan kiamat sekalipun sekarang ini kamu melihatnya tetap kukuh. Ini pandangan pertama.

Pandangan kedua mengatakan ayat ini menceritakan apa yang sedang berlaku pada hari ini. Setakat yang saya tahu, antara ulama yang menyebut perkara ini ialah al-Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi, seorang tokoh ulama tafsir Mesir. Dia sebut perkara ini dalam tafsirnya dengan mengatakan ayat al-Quran ini menceritakan tentang apa yang berlaku pada hari ini. Ia juga mensabitkan penemuan moden yang mengatakan setiap yang berada di alam ini bergerak dan beredar. Termasuk yang beredar dan bergerak itu adalah bumi yang kita duduki ini. Apabila bumi itu beredar dan bergerak, maka sudah tentu gunung-ganang itu juga bergerak bersama dengan pergerakan bumi. Itu antara perkataan al-Sya’rawi. Demikian juga antara tokoh yang masih hidup yang menyebut perkara yang sama ialah al-Syeikh Soleh Ibn ‘Awwad al-Maghamisi. Alasan mereka, di dalam ayat al-Quran menyebut: تَحْسَبُهَا جَامِدَةً “engkau menyangka gunung-ganang itu tetap dan kukuh di tempatnya,” mereka berkata, kalau ayat ini merujuk kepada perkara yang akan berlaku iaitulah ketika berlaku goncangan hari kiamat kelak, mengapa ayat menyebut: “kamu menyangka”? ini menunjukkan ayat ini sebenarnya menceritakan tentang apa yang sedang berlaku sekarang ini. Kita menyangka gunung-ganang itu tetap di tempatnya, sedangkan yang sebenarnya ia bergerak dan beradar seperti peredaran awan kerana ia turut beredar bersama bumi. Namun kita tidak merasainya disebabkan besarnya bumi. Kata mereka ayat ini lebih sesuai jika ia merujuk kepada apa yang sedang berlaku sekarang ini. Sekalipun begitu, al-Maghamisi ketika ditanya tentang ayat ini menyebut: “Aku tidak menyatakan dengan jazam dan pasti itulah yang dimaksudkan oleh ayat.”


Cetak  
Wallahu a'lam