Surah al-Fatihah

SURAH AL-FATIHAH

Nama-namanya seperti yang sabit:

  1. Faatihatul Kitaab (فاتحة الكتاب)

Bermaksud Pembukaan Kitab, kerana ia adalah surah pertama dalam susunan Al-Quran dan dibaca dalam setiap rakaat solat. Ibnu Jarir At-Tabari dalam kitab tafsirnya menyebut:

سُمِّيت فاتحةَ الكتاب؛ لأنَّها يُفتَتَح بكتابتها المصاحف، ويُقرأ بها في الصلوات؛ فهي فواتح لِمَا يتلوها من سُور القرآن في الكتابة والقِراءة

"Ia dinamakan 'Faatihatul Kitaab' (Pembukaan Kitab) kerana ia menjadi pembukaan dalam penulisan mushaf dan juga dibaca sebagai pembukaan dalam solat. Maka, ia menjadi pembuka bagi surah-surah Al-Quran yang lain, sama ada dalam penulisan mahupun bacaan." (Tafsir Ibnu Jarir, 1/105)

  1. Ummul Qur’an (أمُّ القرآن)

Bermaksud Induk Al-Quran, kerana ia mengandung intisari ajaran Al-Quran, seperti tauhid, ibadah, dan petunjuk kepada jalan yang lurus. Ibnu Jarir At-Tabari menjelaskan dalam tafsirnya:

سمِّيت أمَّ القرآن؛ لتقدُّمها على سائر سُور القرآن غيرها، وتأخُّر ما سواها خلفها، في القراءة والكتابة، وذلك من معناها شبيهٌ بمعنى فاتحة الكتاب، وإنَّما قيل لها لكونِها كذلك أمَّ القرآن؛ لتسمية العربِ كلَّ جامع أمرًا، أو مُقدَّمًا لأمر، إذا كانت له توابعُ تتبعه، هو لها إمام جامعٌ أُمًّا، فتقول للجلدة التي تجمع الدماغ: أمُّ الرأس

"Ia dinamakan 'Ummul Qur'an' (Induk Al-Quran) kerana kedudukannya mendahului seluruh surah lain dalam bacaan dan penulisan, dan surah-surah lain mengikutinya. Nama ini berkaitan dengan makna 'Faatihatul Kitaab' (Pembukaan Kitab). Dinamakan demikian kerana dalam istilah Arab, segala sesuatu yang menghimpunkan urusan atau yang menjadi pendahulu kepada sesuatu yang lain, jika ada yang mengikutinya, disebut sebagai 'Umm' (induk). Misalnya, kulit yang melindungi otak disebut sebagai 'Ummur Ra’s' (induk kepala)." (Tafsir Ibnu Jarir, 1/105)

  1. Ummul Kitaab (أُمُّ الكِتاب)

Bermaksud Induk Kitab, kerana ia menjadi inti dan permulaan bagi Al-Quran. Kata al-Bukhari:

سُمِّيت أمَّ الكتاب؛ لأنَّه يبدأ بكِتابتها في المصاحِف، ويُبدأ بقراءتها في الصَّلاة)) ((صحيح البخاري -كتاب التفسير. باب ما جاء في فاتحة الكتاب

"Ia dinamakan 'Ummul Kitab' (Induk Kitab) kerana penulisannya menjadi permulaan dalam mushaf-mushaf, dan ia juga menjadi pembukaan dalam bacaan solat." - Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir, Bab mengenai Surah Al-Fatihah, sebelum hadis bilangan 4474 -

  1. As-Sab’ul Mathaani (السَّبْع المَثاني)

Bermaksud Tujuh Ayat yang Diulang-ulang, kerana ia terdiri daripada tujuh ayat yang dibaca berulang kali dalam solat. Ibnu Jarir At-Tabari menjelaskan dalam tafsirnya:

أمَّا تأويل اسمها أنَّها السَّبع؛ فإنَّها سَبعُ آيات، لا خِلاف بين الجميع من القرَّاء والعلماء في ذلك... وأمَّا وصْف النبيِّ صلَّى الله عليه وسلَّم آياتِها السَّبعَ بأنهنَّ مثانٍ؛ فلأنَّها تُثنَّى قراءتها في كلِّ صلاة تطوُّع ومكتوبة، وكذلك كان الحسنُ البصري يتأوَّل ذلك

"Maksud penamaan Surah Al-Fatihah sebagai 'As-Sab’ul Mathani' adalah kerana ia terdiri daripada tujuh ayat. Tidak ada perselisihan pendapat di kalangan para qari dan ulama mengenai hal ini. Mengenai sifat dari Nabi Muhammad SAW terhadap tujuh ayat ini sebagai 'Mathani', ia adalah kerana Surah Al-Fatihah dibaca berulang-ulang dalam setiap solat, sama ada solat sunat mahupun solat fardu. Demikian inilah tafsiran dari al-Hasan Al-Basri." (Tafsir Ibnu Jarir, 1/106-107)

  1. Al-Qur’anul ‘Azheem (القُرآن العظيم)

Bermaksud Al-Quran yang Agung, kerana ia mencakup inti dari seluruh kandungan Al-Quran. Imam Al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya:

سُمِّيت بذلك؛ لتضمُّنها جميعَ علوم القرآن؛ وذلك أنها تشتمل على الثَّناء على الله عزَّ وجلَّ بأوصاف كماله وجلاله، وعلى الأمر بالعبادات والإخلاصِ فيها، والاعترافِ بالعجز عن القِيام بشيءٍ منها إلَّا بإعانته تعالى، وعلى الابتهالِ إليه في الهدايةِ إلى الصِّراط المستقيم، وكفايةِ أحوال الناكثين، وعلى بَيانِ عاقبة الجاحِدين

"Surah Al-Fatihah dinamakan demikian kerana ia mengandungi semua ilmu Al-Quran. Surah ini mencakup pujian kepada Allah SWT dengan sifat-sifat kesempurnaan dan keagungan-Nya, perintah untuk beribadah dengan ikhlas, pengakuan kelemahan manusia dalam melaksanakan ibadah kecuali dengan pertolongan Allah, doa kepada-Nya dengan penuh kerendahan hati dan pengharapan untuk memperoleh hidayah ke jalan yang lurus, perlindungan daripada keadaan orang-orang yang menyeleweng, serta penjelasan tentang akibat yang akan dihadapi oleh golongan yang ingkar." (Tafsir Al-Qurtubi, 1/112)

  1. Suratul Hamd (سورة الحَمْد)

Bermaksud Surah Pujian, kerana surah ini dimulai dengan pujian kepada Allah: "Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen" (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam). Menurut Tafsir Ibnu Katsir (1/101):

وسُمِّيت بذلك؛ لكونها مُفتَتحةً بالحَمْد.

Ia dinamakan "Surah Al-Hamd" kerana surah ini dimulai dengan pujian kepada Allah SWT: "الحمد لله رب العالمين".

 

DALIL BERKAITAN

  1. Dari Ubadah bin As-Samit RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صلاةَ لِمَن لم يقرأْ بفاتحةِ الكِتاب

"Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Al-Fatihah." (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim)

  1. Dari Aisyah RA, beliau berkata:

كان النبيُّ صلَّى الله عليه وسلَّم يُخَفِّفُ الرَّكعتَينِ اللَّتَينِ قبلَ صلاةِ الصُّبحِ، حتى إني لأقولُ: هل قرَأ بأمِّ الكتابِ

"Nabi SAW meringankan dua rakaat solat sunat sebelum Subuh sehingga aku berkata: pakah baginda membaca Ummul Kitab?" (Sahih al-Bukhari)

  1. Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أمُّ القُرآنِ هي السَّبْع المثاني، والقرآنُ العَظيم

"Ummul Quran adalah As-Sab’ul Mathani dan Al-Quran yang agung." (Sahih al-Bukhari)

  1. Dari Abu Said bin Al-Mu’alla (أبي سَعيدِ بن المعلَّى) RA, beliau berkata:

مرَّ بي النبيُّ صلَّى الله عليه وسلَّم وأنا أُصلِّي، فدَعاني فلم آتِهِ حتى صلَّيتُ، ثم أتَيتُ فقال: ما منَعك أن تأتيَ؟ فقلتُ: كنتُ أُصلِّي، فقال: ألم يقُلِ اللهُيَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ؟! ثم قال: ألَا أُعَلِّمُك أعظمَ سورةٍ في القرآنِ قبلَ أن أخرُجَ منَ المسجدِ؟ فذهَب النبيُّ صلَّى الله عليه وسلَّم ليخرُجَ منَ المسجدِ فذَكَّرتُه، فقالالْحَمْدُ لله رَبِّ الْعَالَمِينَ هي السَّبعُ المَثاني، والقرآنُ العظيمُ الذي أوتيتُه

"Nabi SAW melalui berhampiran denganku ketika aku sedang solat, lalu baginda memanggilku. Aku tidak datang sehingga selesai solat. Kemudian aku datang kepada baginda. Baginda bersabda: Apa yang menghalangmu untuk datang? Aku berkata: Aku sedang solat. Baginda bersabda: Bukankah Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu”? Kemudian baginda bersabda lagi: “Mahukah aku ajarkan kepadamu surah yang paling agung dalam Al-Quran sebelum aku keluar dari masjid ini? Ketika Nabi SAW hendak keluar dari masjid, aku mengingatkan baginda apa yang baginda sebutkan kepadaku. Lalu baginda bersabda: “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin (Surah Al-Fatihah), ia adalah As-Sab’ul Mathani dan Al-Quran yang agung yang diberikan kepadaku." (Sahih al-Bukhari)


Cetak  
Wallahu a'lam