Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

DALAM PERSPEKTIF

AHLU AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Jabatan Mufti Negeri Perlis

Pendahuluan

            Amar Ma’ruf Nahi Mungkar termasuk dalam asas besar dalam syariat Islam. Kesejahteraan para hamba dalam kehidupan di dunia dan akhirat amat berhubung dapat dengan ketaatan mereka kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Kesempurnaan ketaatan kepada Allah dan Rasul ini bergantung kuat kepada Amar Ma’ruf Nahi Mungkar. Ia juga merupakan salah satu ciri-ciri keutamaan umat Nabi SAW. Allah SWT berfirman:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ … ١١٠

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Ali Imran: 110)

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar di dalam al-Quran dan al-Sunnah:

  • Amar Makruf Nahi Mungkar membuktikan hubungan al-Wilayah antara orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٧١

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi (Wali) penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Taubah: 71)

  • Menjadi salah satu sebab turunnya bantuan Allah SWT ke atas orang-orang yang beriman bagi menghadapi musuh mereka. Allah SWT berfirman:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

Maksudnya: “Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.(al-Hajj: 40-41)

  • Menolak turunnya azab ke atas manusia. Allah SWT berfirman:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩

Maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (al-Maidah: 78-79)

  • Menyelamatkan diri. Allah SWT berfirman:

وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٞ مِّنۡهُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًا ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُهُمۡ عَذَابٗا شَدِيدٗاۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ ١٦٤

164. Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa.” (al-A’raf: 164)

  • Menjadi sebab diperkenankan doa. Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA, daripada nabi SAW yang bersabda:

 وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا مِنْ عِنْدِهِ ثُمَّ لَتَدْعُنَّهُ وَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ 

 Maksudnya: “Demi zat yang jiwaku berada dalam gengaman tanganNya, hendaklah kamu semua melaksanakan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar atau hampir Allah akan mengutuskan azab kepada kamu semua dari sisiNya. Kemudian apabila kamu berdoa kepadaNya, lalu tidak dimustajabkan.” (Riwayat al-Tirmizi,katanya: “Hadis Hasan.”)

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar berperanan menghidupkan sunnah dan menghapuskan bid’ah, melemahkan ahli batil dan pengikut hawa nafsu. Ia juga merupakan ciri-ciri orang-orang yang beriman. Ia berupa wasilah memperkuatkan sesama orang-orang yang beriman. Mengabai dan meringan kewajipannya mendatangkan keburukan dan kerosakan yang banyak, demikian juga akan mendatangkan kemudharatan. Malangnya perkara yang memiliki peranan besar ini kebelakangan ini dilaksanakan oleh sebahagian pihak yang tidak memiliki ilmu. Justeru ia menghodohkan gambaran sebenar Amar Ma’ruf Nahi Mungkar, seterusnya buah yang sepatutnya dituai tidak berhasil. Kita dapati ada sebahagian pihak yang melakukan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar tanpa dalil dan ilmu, melakukan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar kerana tugas dan rasa marah, melakukan kerana cemburu, melakukannya dalam keadaan tidak sabar dan gopoh hendakkan hasil segera dan seumpamanya. Hal ini menatijahkan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar dilakukan dalam bentuk menyalahi manhaj Nabi SAW dalam berdakwah. Mereka mendatangkan keburukan kepada agama Islam, dakwah, umat Islam dan kepada diri mereka sendiri. Lalu berlakulah keburukan yang lebih banyak daripada kebaikan hasil dari Amar Ma’ruf Nahi Mungkar yang mereka lakukan.

PENGERTIAN

Al-Ma’ruf المعروف dimaksudkan kepada setiap sesuatu yang dikenali oleh jiwa sebagai sebahagian daripada perkara-perkara yang baik dan menenangkan. Ia adalah kata nama yang menghimpunkan setiap yang dikenali termasuk dalam ketaatan kepada Allah, mendekatkan diri kepada Allah dan berlaku ihsan kepada makhluk. Ia tergolong dalam budi-pekerti tinggi, diterima dalam kalangan orang ramai dan mereka tidak mengingkarinya.  

            Ibn Jarir al-Tobari berkata: “Dan Asal al-Ma’ruf ialah setiap sesuatu yang diketahui (dikenali dan diterima), melakukannya suatu yang indah dan dianggap baik tanpa sebarang kejelekan dalam kalangan orang-orang yang beriman kepada Allah. Kerana itu dinamakan ketaatan kepada Allah itu suatu yang ma’ruf kerana ia tergolong dalam perkara yang diketahui oleh orang-orang yang beriman dan mereka tidak mengingkarinya.[1]

            Ada juga yang mengatakan al-Ma’ruf itu ialah: “Apa-apa yang diketahui (dikenali) keelokannya menurut syara’ dan akal.”[2] Oleh itu al-Ma’ruf adalah apa-apa yang akal sejahtera menganggap baik dan tidak mengingkarinya. Maksud ini terangkum di dalam jawapan seorang Arab Badwi ketika beliau ditanya:

بما عرفتَ أنه رسول الله؟ فقال: ما أمر بشيء فقال العقل ليته ينهى عنه، ولا نهى عن شيء فقال ليته أمر به

Maksudnya: “dengan apa kamu mengenali baginda adalah Rasulullah? Jawab Badwi itu: “Tidak baginda perintahkan satu perkara, apa-apa yang akal mengatakan mudah-mudahan baginda akan melarangnya. Tida juga baginda melarang dari melakukan sesuatu apa-apa (akal mengatakan) mudah-mudahan baginda memerintahkannya.”[3]

Namun ma’ruf yang dapat dikenali melalui akal ini tidak merangkumi perkara-perkara al-Ta’abbudiyyah al-Mahdhoh (التعبدية المحضة) yang mana keelokannya tidak dapat dicapai melalui akal semata-mata. Sebaliknya perkara-perkara al-Ta’abbudiyyah al-Mahdhoh berpada dengan al-Naql (النقل) semata-mata, seterus akal wajib beriman dan menerimanya, anggota pula melaksanakannya.  

            Manakala al-Mungkar المنكر pula adalah berlawanan dengan al-Ma’ruf, iaitulah apa-apa yang dikenali kejelekannya melalui Naqlan (نقلا) dan akalan (عقلا).[4]

            Kata Ibn Jarir: “Dan asal al-Munkar ialah apa-apa yang diingkarri oleh Allah dan orang-orang yang beriman melihat sebagai jelek perbuatannya. Kerana itu dinamakan maksiat kepada Allah sebagai mungkar, kerana orang-orang yang beriman kepada Allah mengingkari perlakuannya dan menganggap besar kesalahan pelakunya.”[5]

Al-Mungkar adalah lebih umum berbanding maksiat. Ia merangkumi setiap perbuatan yang ditegah atau meninggalkan setiap perkara yang disuruh oleh agama, tanpa melihat kepada siapa pelakunya. Tidak dilihat apakah pelaku jika melakukan kemungkaran itu dia dikira berdosa atau tidak. Sebagai contoh berlaku kecurian yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak atau orang gila. Atau pencerobohan terhadap harta milik seseorang yang dilakukan oleh haiwan sekalipun ia termasuk di dalam kemungkaran yang perlu dicegah jika berkeupayaan.

Kata Ibn al-Jauzi: “al-Mungkar adalah lebih umum dari maksiat. Ia adalah yang dicegah dari berlaku oleh agama. Siapa yang melihat seorang kanak-kanak atau seorang gila meminum khamar, maka wajib dia menumpahkan arak tersebut dan melarang diminum. Demikian juga hendaklah dia melarangnya (kanak-kanak atau orang gila) dari melakukan zina.”[6]

Berbeza dengan perintah dimana perintah hanya terkait dengan orang yang meukallaf. Siapa yang meninggalkannya bukan dari kalangan mukallaf, maka peninggalannya itu tidak termasuk kemungkaran. Sebaliknya dia hanya perlu diberi galakan, seperti perintah menyuruk kanak-kanak berpuasa agar mereka terbiasa dengan melakukan ibadah puasa. Demikian juga dalam bab perintah yang dituntut dilaksanakan oleh sebahagian bukan sebahagian yang lain dan tuntutan itu dilakukan bagi pihak kanak-kanak yang tidak mukallaf oleh wali mereka seperti kewajipan zakat.

ASAL PENSYARIATAN

            Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah perintah Syara’. Ia termasuk dalam ajaran yang utama seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Ia juga telah difardhukan ke atas umat terdahulu. Allah SWT berfirman:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩

Maksudnya: “Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.” (al-Maidah: 78-79)

Firman Allah SWT lagi:

لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ ٦٣

Maksudnya: “Mengapa orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu.” (al-Maidah: 63)

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memamg tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahwa mereka akan menerima siksa yg pedih. (Ali Imran: 21)

Kata al-Imam al-Qurtubi: “Ayat ini menunjukkan bahawa al-Amr Bi al-Ma’ruf Wa al-Nahy ‘An al-Mungkar dahulunya adalah satu kewajipan dalam kalangan umat terdahulu.”[7]

            Allah SWT juga telah memuji sekumpulan ahli kitab dengan firmanNya:

يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ ١١٤

Maksudnya: “Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma´ruf, dan mencegah dari yang munkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang saleh.” (Ali Imran: 114)

Nasihat Luqman kepada anaknya yang dirakamkan di dalam firman Allah SWT:

يَٰبُنَيَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ ١٧

Maksudnya: “Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Luqman: 17)

HUKUM AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

            Pada asalnya Ia termasuk kewajipan yang agung dan utama. Melainkan kadang-kala ia boleh menjadi sunat ataupun haram. Terdapat bukti daripada al-Quran dan al-Sunnah yang mewajibkannya.[8] Kewajipan ini juga telah dinukilkan sebagai ijmak oleh Ibn ‘Atiyyah[9], al-Nawawi dan Abu al-Ma’ali al-Juwaini.[10]

            Hukum Amar Makruf Nahi Mungkar menjadi Fardhu Kifayah[11] apabila terdapat sebahagian umat Islam melakukannya. Jika tiada sesiapa yang melaksanakannya maka dikira berdosa seluruh umat Islam yang ada kemampuan melakukannya.

Perbezaan Hukum Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

  • Amar ma’ruf nahi Mungkar menjadi wajib apabila:

Amalan yang hendak diperintahkan itu suatu kewajipan atau yang hendak ditegah itu suatu pengharaman.[12] Maka pada ketika ini ia menjadi wajib selama-mana tiada keuzuran untuk meninggalkannya.

  • Menjadi sunat dalam dua keadaan:
  • Perkara yang hendak diperintakan itu termasuk dalam perkara sunat dan masyarakat tidak bersepakat meninggalkannya. Atau perkara yang hendak ditegah itu termasuk dalam perkara yang dimakruhkan.[13]
  • Perkara yang hendak diperintakan itu perkara wajib atau perkara yang hendak ditegah itu perkara haram. Akan tetapi dibimbangi akan berlaku kemudharatan lain[14] atau kecelakaan. Maka ketika ini gugur kewajipan dan menjadi sunat baginya[15] jika dia masih mengharapkan manfaat[16] dari keberaniannya dalam menyuruh melakukan kebaikan atau mencegah kemungkaran berdasarkan satu pandangan. Kata al-Imam Ahmad RH:

إن عرضت على السيف لا أجيب، وقال فيها أيضا إذا أجاب العالم تقية والجاهل بجهل فمتى يتبين الحق 

Maksudnya: “JIka dihunuskan pedang kepadaku, aku tidak menjawab.” Beliau berkata lagi: “Apabila seorang alim memberi jawapan secara taqiyyah, manakala seorang jahil memberi jawapan berdasarkan kejahilannya, maka bilakan akan jelasnya kebenaran?”[17]

                  Dalil membuktikan sunat Amar Makruf Nahi Mungkar dalam situasi ini iaitulah kisah di dalam al-Quran tentang umat terdahulu yang dikenakan kezalimah dari musuh mereka. Demikian juga sabdaan Nabi SAW kepada Khabbab bin al-Arat (خبّاب بن الأَرَتّ) yang berkata:

 شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ قُلْنَا لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوْ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Maksudnya: “Kami pernah mengadu kepada Rasulullah SAW yang ketika itu baginda sedang berlapikan kain burdah di bawah bayangan kaabah. Kami berkata: “Mengapa tidak dikau mohon pertolongan untuk kita, mengapa tidak dikau berdoa kepada Allah untuk membantu kita?” jawab Nabi SAW: “Dahulu seorang lelaki dari kalangan umat terdahulu, digali lubang dan dimasukkan dia ke dalamnya, lalu didatangkan gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan dibelah menjadi dua. Tidaklah tindakan itu menghalang dia dari agamanya. Disikat dengan sikat besi sehingga masuk ke dalam  daging dan tulangnya, perkara itu tidaklah mengahalang dia dari agamanya. Demi Allah pasti akan sempurna dakwah ini sehingga seorang yang menaiki tunggangan dari San’aaa ke Hadramaut tidak takutkan apa-apa kemerbahayaan melainkan dia hanya takutkan Allah atau serigala yang membahayakan kambing-kambingnya. Akan tetapi kamu semua ini golongan yang gopoh.” (riwayat al-BUkhari)

Kata al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT tentang wasiat Luqman kepada anaknya:

وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ

“Ia menunjukkan ada dorongan untuk mengubah kemungkaran, sekalipun menimpa kamu kemudharatan. Ia menunjukkan bahawa seorang pengubah akan disakiti kadang-kala. Kadar amar makruf nai mungkar ini dalam bentuk sunat dan kekuatan dalam kebergantungan kepada Allah. Adapun dalam bentuk wajib, maka tidak.”[18]

Kata al-Jassas berkaitan ayat:

وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ ... ٢١

Maksudnya: “…dan mereka membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil dari kalangan manusia,..” (Ali Imran: 21)

“Di dalam ayat ini terdapat keharusan mengingkari kemungkaran beserta bimbangkan dibunuh, dan bahawa ia adalah kedudukan yang mulia berhak memperolehi pahala dan balasan, kerana Allah telah memuji mereka yang terbunuh ketika menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran…”[19]

Orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran lalu menerima kemudharatan disebabkan  perbuatannya itu adalah lebih mulia dan lebih utama berbanding selainnya. Hal ini berdasarkan hadis sahih dari Nabi SAW yang bersabda:

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَرَجُلٌ قَامَ إلَى إمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ، فَقَتَلَهُ 

Maksudnya: “Penghulu para syuhadaa’ adalah Hamzah bin ‘Abd al-Mutallib dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim lalu menyuruh pemimpin itu melakukan kebaikan dan mencegahnya dari melakukan kemungkarang. Lalu pemimpin itu membunuhnya.”[20]

Kata Abu Tahir: “Aku mendengar Syeikh al-Islam al-Harawi berkata: “Pernah dihunuskan pedang kepadaku sebanyak lima kali. Tidak diminta dariku: TInggalkan mazhabmu.” Akan tetapi diminta dariku: “Kamu diamkan diri dari sesiapa yang berbeza pandangan denganmu.” Lalu aku berkata: “Aku tidak akan berdiri diri.”[21]

  • Amar makruf Nahi mungkar menjadi haram[22] apabila:

Amar makruf Nahi mungkar menyebabkan hilangnya maslahah yang lebih besar dari perkara yang hendak di perintah atau akan mendatangkah keburukan yang lebih besar berbanding perkara yang ditegah. Sebagai contoh seperti seseorang melarang seorang yang meminum arak, sedangkan dia tahu orang itu jika tidak mabuk akan membunuh seorang muslim lain. Maka orang seperti ini dibiarkan meminum arak dan mabuk. Sama juga seorang menyuruh seorang lain agar melaksanakan tomakninah di dalam solat yang akan membawa kepada orang itu terus meninggalkan solat.

Demikian juga seseorang pendakwah menyuruh orang ramai melakukan sesuatu kebaikan sedangkan orang ramai tidak bersedia melakukannya. Lalu perkara itu mendatangkan fitnah yang lebih besar. Inilah yang dimaksudkan oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Tolib RA ketika beliau berkata:

حدثوا الناس بما يعرفون أتحبون أن يكذب الله ورسوله

Maksudnya: “Berbicaralah kepada orang ramai dengan apa-apa yang mereka tahu, apakah kamu suka didustai Allah dan RasulNya?”[23]

Kata al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH: “Dan antara mereka yang membenci al-tahdis pada sebahagian hadis adalah Ahmad dalam hadis-hadis yang zahirnya al-Khuruj ‘Ala al-Sultan, Malik pada hadis-hadis sifat, Abu Yusuf pada hadis-hadis yang pelik (الغرائب), dan sebelum mereka seperti Abu Hurairah seperti yang terdahulu (penjelasan) daripada beliau tentang al-Jirabain, dan bahawa yang dimaksudkan apa-apa yang akan mendatangkan fitnah. Demikian juga seumpama itu dari Huzaifah, daripada al-Hasan yang mengingkari penyampaian hadis oleh Anas kepada al-Hajjaj dengan kisah al-‘Uraniyyin, kerana beliau akan menjadikan kisah itu jalan bagi menyokong perbuatan melampaunya dalam menumpahkan darah dengan takwilan yang lemah.”[24]

Demikian juga riwayat oleh Imam Muslim[25] daripada Ibn Mas’ud RA secara mauquf yang berkata:

مَا أَنْتَ مُحَدِّثًا قَوْمًا حَدِيثًا لَا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ إِلَّا كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Tidaklah kamu membicarakan satu perkara kepada satu kaum yang tidak sampai akal mereka untuk memahaminya, melainkan akan berlaku fitnah kepada sebahagian dariapda mereka.”

Kerana itu Nabi SAW bersabda kepada ‘Aisyah RA:

لَوْلَا حَدَاثَةُ عَهْدِ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَنَقَضْتُ الْكَعْبَةَ وَلَجَعَلْتُهَا عَلَى أَسَاسِ إِبْرَاهِيمَ فَإِنَّ قُرَيْشًا حِينَ بَنَتْ الْبَيْتَ اسْتَقْصَرَتْ وَلَجَعَلْتُ لَهَا خَلْفًا 

Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana baharunya kaum kamu meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku akan meruntuhkan kaabah dan pasti aku akan menjadikannya berasaskan binaan Ibrahim. Sesungguhnya Quraish dahulu ketika membina semula kaabah, telah mengurangkan binaannya, dan pasti aku akan jadikan bagi kaabah itu (satu lagi pintu) di belakangnya.” (Riwayat Muslim) dalam sebahagian riwayat baginda bersabda: مخافة أن تنفر قلوبهم.

Al-Hafidz Ibn Hajar berkata: “dan diambil istifadah daripada hadis ini meninggalkan maslahah kerana bebas dari berada dalam keburukan. Daripadanya juga meninggalkan ingkaran terhadap kemungkaran kerana bimbang berada dalam perkara yang lebih mungkar daripadanya (kemungkaran yang hendak dicegah), dan bahawa seorang pemimpin memimpin rakyatnya dengan sesuatu yang padanya terdapat maslahah untuk mereka, sekalipun perkara itu al-Mafdhul selagi bukan diharamkan.”[26]

Oleh yang demikian jika perbuatan meningkari kemungkaran dari seorang pemerintah akan membawa kepada terhalang solat berjemaah di masjid sebagai contoh. Atau akan membawa kepada terhalangnya pengajaran agama, atau akan membawa kepada terbunuhnya orang-orang lain yang menunaikan solat. Maka mengingkari kemungkaran tersebut adalah satu kemungkaran lain yang boleh mendatangkan dosa kepada pelakunya.[27]

Jika disimpulkan, terdapat empat keadaan yang menjadikan Amar Makruf Nahi Mungkar itu terlarang:

  • Nahi mungkar yang menjadikan hilangnya satu perkara makruf yang lebih besar dan pending. Seperti seorang mencegah seorang lelaki dari menghisap rokok sehingga menyebabkan dia terluput dari menunaikan solat berjemaah, atau akan menyebabkan dia menunaikan solat di luar waktu.
  • Nahi mungkar yang menghasilkan kemungkaran yang lebih besar. Seperti perbuatan Ibn Taimiyyah yang membiarkan tentera Tatar meminum arak bagi mengelakkan mereka membunuh umat Islam.[28]
  • Amar makruf yang akan menghilangkan perkara makruf lain yang lebih besar daripadanya. Seperti seorang memberi galakan kepada saudaranya agar bersedekah kepada orang miskin yang bukan dari ahli keluarga. Sedangkan dia mengetahui sedekah dari saudaranya itu diambil dari bahagian nafkah wajib untuk keluarghanya.

Amar Makruf yang mendatangkan kemungkaran yang lebih besar. Seperti seseorang yang menyuruh orang lain datang awal ke masjid yang akan membawa dia sendiri meninggalkan solat. Atau seperti seorang yang menyuruh muallaf yang baru memeluk Islam berkhatan yang akan menjadi sebab orang itu meninggalkan agama Islam.

Melihat kepada besarnya peranan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar, maka di bawah akan dibincangkan beberapa kaedah yang perlu ada agar ia bertepatan dengan tuntutan Syarak. 

Kaedah Pertama: Syara’ Menjadi Sukatan

            Mizan untuk mengenal sesuatu itu ma’ruf atau Mungkar adalah syara’. Iaitulah al-Quran dan al-Sunnah al-Thabitah dari Nabi SAW, demikian juga menurut contoh dari al-Salaf al-Soleh. Oleh itu apa-apa yang diperintahkan, digalakkan, yang dipuji ke atas pelakunya, terdapat pemberitahuan Allah suka dan redha kepada pelakunya, pelakunya diberi kemuliaan dan kelebihan dengan pemberian pahala atau ganjaran sama ada di dunia atau di akhirat yang terdapat di dalam al-Quran atau al-Sunnah,  maka itulah al-Ma’ruf yang diperintahkan. Manakala apa-apa yang terdapat larangan dari melakukannya, diberi ancaman, penjelasan tentang besarnya kemudharatannya dan bahayanya sama ada di dunia ataupun di akhirat, atau terdapat celaan dan ancaman kepada pelakunya dengan kemurkaan, Azab Allah atau kehinaan dan seumpamanya di dalam al-Quran atau al-Sunnah, maka itulah mungkar yang ditegah.

Kata Ibn Manzhur:   “berulangan sebutan al-Mafruf di dalam al-hadis. Ia adalah kata nama yang menghimpunkan setiap apa yang diketahui dari ketaatan kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya demikian juga berbuat ihsan kepada manusia, juga setiap apa yang syarak galakkannya.”[29]

Kaedah Kedua: Memiliki ilmu yang jelas akan perkara yang makruf dan yang mungkar.

            Sesiapa yang hendak melaksanakan amar makruf nahi mungkar mestilah dari kalangan mereka yang mempunyai ilmu akan perkara yang hendak disuruh atau yang hendak dicegah. Jika amar makruf nahi mungkar dilakukan oleh mereka yang jahil. Maka mudharatnya lebih besar berbanding manfaatnya. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH ketika berbicara tentang syarat perintah dan tegahan: “Dan amalannya tidak menjadi salih jika dia bukan dilakukan dengan ilmu dan fiqh (faham)… hal ini jelas, kerana amalan jika dilakukan tanpa ilmu adalah satu kejahilan, kesesatan dan mengikut hawa nafsu. Inilah perbezaan antara ahli jahiliyyah dan ahli islam, maka tidak boleh tidak mesti memiliki ilmu perkara-perkara yang makruf dan yang mungkar dan dapat membezakan antara keduanya. Tidak boleh tidak juga mestilah mengetahui akan hal yang hendak disuruh  dan yang hendak dicegah.”[30]

Al-Qadhi Abu Ya’la berkata di dalam al-Mu’tamad:

لا يأمر بالمعروف وينهى عن المنكر إلا من كان فقيها فيما يأمر به، فقيها فيما ينهى عنه، رفيقًا فيما يأمر به، رفيقا فيما ينهى عنه، حليما فيما يأمر به، حليما فيما ينهى عنه)

Maksudnya: “Tidak menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran melainkan seorang yang faqih terhadap apa yang hendak disuruh, faqih terhadap apa yang hendak di cegahnya. Lembut dalam apa yang hendak disurhnya dan apa yang hendak dicegahnya. Santung dalam apa yang hendak disuruh dan dicegahnya.”[31]

Kata Samahah al-Syeikh ‘Abdul Aziz Bin Baz RH:

أن تكون على بينة في دعوتك أي على علم، لا تكن جاهلا بما تدعو إليه  

Maksudnya: “Hendaklah kamu berada dalam keadaan jelas dalam seruan kamu iaitulah dalam keadaan berilmu, tidak jahil dengan apa yang kamu serukan قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ  (katakanlah: "Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata,)[32] maka semestinya dengan ilmu, ilmu itu satu kefardhuan, jauhi kamu berdakwah di atas kejahilan, jauhi kamu dari berkata-kata dalam perkara yang kamu tidak tahu. Seorang yang jahil itu membinasakan, dia tidak membina, dia merosakkan bukan memperbaikan. Jauhi kamu dari berkata-kata tentang Allah tanpa ilmu. Jangan kamu menyeru sesuatu melainkan setelah kamu memiliki ilmu tentangnya dan basirah dengan apa-apa yang difirmankan Allah dan rasulNya. Basirah itu adalah ilmu…”[33]

Kaedah Ketiga: mengetahuiu syarat-syarat mengingkari kemungkaran.

            Mencegah kemungkaran memilik syarat yang mesti diketahui agar ketika melakukannya tidak terjebak ke dalam kemungkaran yang lain yang sama dengannya atau yang lebih berat.  Syarat-syarat tersebut:

  • Memastikan sesuatu yang hendak dicegah itu adalah kemungkaran.
  • Kemungkaran itu berlaku. Ada tiga keadaan:
  • Kemungkaran yang dijangkakan akan berlaku. Seperti seorang yang belajar cara-cara membuat arak. Maka orang seperti ini hendaklah diberi peringatan, nasihat dan bimbingan agar takut kepada Allah SWT.
  • Orang yang sedang berada dalam kemungkaran. Seperti seorang yang di hadapannya terdapat arak dan meminumnya. Atau seorang lelaki dilihat memasukkan seorang perempuan ajnabiy di dalam biliknya lalu ditutupnya pintu.
  • Pelaku kemungkaran telah melakukan kemungkaran dan hanya ada kesannya sahaja. Dalam keadaan ini diserahkan orang tersebut kepada pihak berkuasa.
  • Kemungkaran itu berlaku secara zahir dan jelas, bukan diketahui dengan jalan Tajassus.
  • Keingkaran dalam perkara mungkar yang disepakati dan tiada khilaf. Kata al-Imam al-Ghazali RH:

أن يكون كونه منكرا معلوما بغير اجتهاد، فكل ما هو محل الاجتهاد فلا حسبة فيه

 Maksudnya: “Hendaklah kemungkaran itu suatu yang sedia diketahui bukan perkara ijtihad. Setiap yang berada pada ruang ijtihad maka tiada hisbah padanya.”[34]

Kaedah Keempat: Mengetahui kedudukan mengingkari kemungkaran.

            Amar makruf nahi mungkar dilakukan menurut kemampuan. Dengan tangan jika berkemampuan. Iaitulah bagi mereka yang memiliki kuasa Seterusnya dengan lidah dan seterusnya dengan jantung hati.

Kaedah Kelima: mengambilkira maslahah dan mafsadah.

            Syariat islam dibina di atas dasar ini. Amar makruf nahi mungkar tidak boleh mendatangkan keburukan atau menghilangkan maslahah yang lebih besar.

Kaedah Keenam: Mendapatkan kepastian dan tidak gopoh. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (al-Hujurat: 6)

----------------------------------- 

[1] Lihat Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran 7/105

[2] Al-Mufradaat pada madah عرف 331.

[3] Al-Tafsir al-Qayyim 279

[4] Lihat al-Mufradaat, madah نكر 505

[5] Jami’ al-Bayan ‘An takwil Aayi al-Quran 3/100

[6] Ghizaa’ al-Albab 1/325-327

[7] Tafsir al-Qurtubi 4/47

[8] Lihat al-Ihyaa’ 2/303-308, al-Fatawa al-‘Iraqiyyah 1/99, al-Adab al-Syar’iyyah 1/171-173 dan Jami; al-‘Ulum Wa al-Hikam, hlmn: 281.

[9] Tafsir Ibn ‘Atiyyah 5/166

[10] Syarh Muslim 2/22

[11] Lihat Ahkam al-Quran oleh al-Jassas 2/315

[12] Lihat al-Adab al-Syar’iyyah 1/174

[13] Ibid

[14] Namun ia bukan bermaksud gugur pengingkaran di dalam jantung hati, bahkan ia wajib dalam keadaan sebegini. Lihat Tafsir Ibn ‘Atiyyah 5/166

[15] Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlmn: 47-62

[16] Terdapat empat keadaan:

  • Tiada harapan manfaat beserta ditimpa mudharat dengan sebab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar tersebut. Ketika ini ia menjadi haram.
  • Tiada harapan manfaat berserta tidak ditimpa mudharat. Ketika ini wajib mengingkari kemungkaran atau menyuruh kebaikan dan mengaharapkan pahala di sisi Allah dengan syarat-syaratnya.
  • Ada harapan mendatangkan manfaat beserta ditimpa mudharat. Ketika ini sunat Amar ma’ruf Nahi mugkar.
  • Ada harapan mendatangkan manfaat beserta selamat dari ditimpa mudharat. Ketika ini wajib Amar ma’ruf nahi mungkar. (lihat al-Amr al-Ma’ruf Wa al-Nahy ‘An al-Mungkar: Usuluh Wa Dhawabituh Wa Adabuh, hlmn: 127)

[17] Lihat al-Adab al-Syar’iyyah 1/159

[18] Tafsir al-Qurtubi 14/68

[19] Ahkam al-Quran oleh al-Jassas, hlmn: 55

[20] Al-Hakim di dalam al-Mustadrak 3/195. Al-Haithami menyertakannya di dalam al-Majma’ 9/368. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam SIlsilah al-Ahadith al-Sahihah  bilangan 374 dan Sahih al-Jami’ 3569.

[21] Siyar A’lam al-Nubalaa’ 18/509

[22] Lihat perinciannya dalam al-Furuq oleh al-Qarafi 4/257-258

[23] Riwayat al-Bukhari

[24] Fath al-Bari 1/225

[25] Riwayat Imam Muslim di dalam Muqaddimahnya 1/11

[26] Fath al-Bari 1/225

[27] Lihat al-Amr Bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar: Usuluh wa Dhawabituh wa Adabuh, hlmn: 132

[28] Lihat I’lam al-Muwaqqi’ien 3/ 4-7

[29] Lisan al-‘Arab 9/240

[30] Al-Amr bil Ma’ruf wa al-nahy ‘an al-Mungkar, hlmn: 17

[31] Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin oleh Ibn Qudamah, hlmn: 131

[32] Yusuf: 108

[33] Alpdakwah Ila Allah SWT wa Akhlaq al-Du’aah, hlmn: 35

[34] Ihyaa’ Ulum al-Din 2/286


Cetak  
Wallahu a'lam