Masuk Islam Secara Mudah
- Soalan:
Di tempat kita, sebahagian orang lebih suka memberat-berat dan menakut-nakutkan orang yang ingin memeluk islam. Jauh sekali untuk membimbing mereka dan memberi tunjuk ajar yang sepatutnya. Yang mereka tahu, apabila ada yang hendak memeluk Islam, perkara pertama yang perlu ditanya ialah sudah ‘potong’ ke belum? Perkara awal pula yang perlu diberitahu; “bila you masuk Islam, you mesti kena solat lima waktu sehari semalam, pagi-pagi lagi you mesti kena bangun tidur dan you mesti kena berpuasa, tidak boleh makan dan minum selama sebulan Ramadhan. Hah macamana? You sanggup masuk Islam atau tidak? Lebih baik you fikir dulu sebelum buat keputusan.”
Orang kita nampaknya bukan hendak memudahkan urusan pengislaman seseorang, tetapi mereka sebenarnya sering mudah terpengaruh dengan buruk sangka mereka sendiri terhadap saudara baru, sehingga mendorong mereka melayan saudara-saudara baru sedemikian rupa.
Saya sendiri pernah mendengar beberapa soalan yang diajukan kepada seorang yang baru memeluk Islam, yang saya bawa untuk mendaftarkan keislamannya di pejabat agama salah sebuah negeri lebih beberapa tahun yang lalu. Termasuk soalan yang ditanya tersebut ialah: “kenapa you hendak masuk Islam?” Apabila soalan ini diajukan kepada hamba Allah tersebut, saya lihat jelas di wajahnya rasa tidak selesa.
Pendekatan kita sebegini, bagi saya tidak bersifat mesra saudara baru. Sepatutnya kita menyambut saudara baru dengan ucapan tahniah dan mengalu-alukan pendiriannya memilih agama Islam yang menyelamatkan dia di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kita tanya tujuannya, seolah-olah kita ragu dengan niat ikhlasnya.
Dari segi cara yang kita amalkan, seolah-olah memperlihatkan Muslim hari ini, semuanya benar-benar ikhlas memeluk Islam kerana Allah swt, benarkah begitu? Saya tidak berniat mempersoalkan keikhlasan umat Islam hari ini, kerana soal ikhlas ataupun tidak ini adalah urusan Allah swt. Kita tidak disuruh untuk menyelidik hati setiap orang, cukuplah kita menghukum seseorang yang menzahirkan Islamnya sebagai muslim dan demikianlah sebaliknya.
Cuma jika benar orang muslim hari ini semuanya benar-benar ikhlas kerana Allah swt, sehingga jika ada yang hendak memeluk Islam kita terpaksa bertanyakan tujuannya, maka nampaknya umat yang memeluk Islam hari ini lebih baik dari umat yang memeluk Islam di zaman Nabi saw. Ini kerana di zaman baginda saw, ada juga yang memeluk Islam pada zahirnya sahaja sedang hatinya tetap kufur kepada Allah swt seperti yang terjadi kepada golongan munafik di Madinah.
Apakah kita berani memperkatakan orang yang memeluk Islam hari ini lebih baik keadaannya berbanding di zaman Nabi saw? Perkara ini adalah suatu yang mustahil.
Soalan Yang Tidak Sesuai
Ada orang beranggapan, kita perlu selidik tujuan setiap orang yang nak masuk islam. Supaya tidak ada yang memeluk Islam disebabkan tujuan-tujuan lain selain kerana Allah swt sahaja. Pemahaman sebegini bersalahan dengan sunnah Nabi saw.
al-Imam al-Bukhari dan selainnya telah meriwayatkan sebuah hadith mengisahkan tentang Usamah bin Zaid yang telah membunuh seorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam peperangan, orang tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Usamah, ketika Usamah mengangkat pedang untuk membunuhnya. Namun Usamah tetap membunuhnya walaupun mendengar orang tersebut mengucap dua kalimah syahadah. Apabila berita ini sampai kepada Nabi saw, baginda benar-benar mengingkari tindakan Usamah ini, baginda bersabda: “Apakah kamu membunuhnya, walau selepas dia mengucap laa ilaha illallaah?” Jawab Usamah: “Sesungguhnya dia mengucapkan kalimah itu kerana takutkan pedangku.” Lalu baginda bertanya kepada Usamah: “Apakah kamu telah belah dadanya (sehingga kamu boleh tahu ia mengucapkan kalimah tersebut kerana takutkan pedangmu)?” Di dalam sebahagian riwayat yang lain, Nabi saw bertanya kepada Usamah: “Apa yang hendak kamu katakan dengan kalimah ‘laa ilaha illallaah’(yang diucapkan)nya itu pada hari kiamat nanti?”
Jika ikutkan cara kita, sudah tentu kita akan kata tindakan Usamah itu adalah benar, kerana orang tersebut melafazkan dua kalimah syahadah setelah Usamah mengangkat pedangnya. Ini menunjukkan orang itu tidak ikhlas mengucap dua kalimah syahadah kerana Allah. Namun perkara yang sebaliknya dilakukan oleh Nabi saw. Ini kerana urusan hati, tidak ada manusia yang dapat membacanya, cukuplah kita mengiktiraf keislaman seseorang dengan kesediaannya mengucapkan dua kalimah syahaadah. Setelah itu kita berusaha bagaimana menjelaskan secara hikmah kepadanya tentang kefardhuan-kefarduan yang lain di dalam Islam, termasuklah ikhlas.
Masuk Islam Dengan Dua Kalimah SyahadahSebenarnya mempersoalkan tujuan seseorang yang hendak memeluk Islam bukan sahaja perbuatan yang sia-sia, bahkan ia adalah tindakan cuba mencampuri urusan hati seseorang. Semua orang boleh memberi jawapan yang berbagai dengan soalan kita, persoalannya, apakah kita boleh pastikan jawapan lisannya itu sama dengan isi hatinya? kerana itu untuk apa ditanya tujuannya memeluk Islam?
Praktik agama sebegini sama sekali jauh tersasar dari petunjuk Nabi saw. Mengapa perlu ditanya tujuan dia memeluk Islam? Lebih malang apabila ada yang beranggapan kalau tak tanya, kita dikira berdosa kerana membiarkan orang yang tidak ikhlas memeluk agama Islam, biarlah mereka berpura-pura, yang penting kita dah tanya.
Perbuatan ini sama sekali jauh dari petujuk Nabi saw. Ini kerana Nabi saw menerima Islamnya seseorang yang memperakui dua kalimah syahadah dan baginda tidak menunggu sehingga masuk waktu solat, untuk orang itu bersolat, tidak juga menunggu tibanya waktu mengeluarkan zakat untuk orang itu menunaikan zakat, kemudian barulah menghukumkan orang itu sebagai muslim kerana telah terbukti dia bersedia menunaikan kefarduan-kefarduan tersebut.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir di bawah tajuk dengan apa insan masuk ke dalam Islam menyebut:“Hakikat atau kaedah yang pertama: Bahawa insan masuk ke dalam agama Islam dengan dua kalimah syahadah, Syahadah tidak ada ilah melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah Rasulullah. Maka siapa yang memperakui dua kalimah syahadah dengan lisannya, maka sesungguhnya dia telah masuk Islam, dan terlaksana atasnya hukum-hakam orang-orang muslim, walaupun hatinya masih kafir. Ini kerana kita disuruh untuk berhukum berdasarkan zahirnya dan kita serahkan kepada Allah perkara-perkara yang tersembunyi.”
Beliau menyambung:
“Bahawa Nabi saw menerima islam sesiapa yang memperakui dua kalimah syahadah, dan baginda tidak menunggu sehingga masukya waktu solat, atau zakat atau bulan Ramadhan sebagai contoh, sehingga orang itu melaksanakan kefardhuan-kefardhuan tersebut, kemudian barulah dia dihukum sebagai Islam, sebaliknya memadai dia beriman dengan kefarduan-kefarduan tersebut, dan tidak zahir daripadanya keingkarannya (terhadap kefarduan-kefarduan tersebut).” (Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir, m.s. 31-32)
Di zaman Nabi saw, terdapat berbagai orang yang datang menyatakan keinginan mereka memeluk Islam, sebahagiannya dengan tujuan yang berbagai, namun baginda saw tidak pernah bertanya apakah mereka ingin memeluk Islam kerana Allah atau kerana tujuan-tujuan yang lain? Jauh sekali dari baginda meletakkan syarat untuk menerima keislaman mereka.
Ibn Rajab al-Hambali di dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam berkata: “Tidak pernah Nabi saw meletakkan syarat terhadap orang yang datang kepadanya untuk mereka beriltizam dengan solat dan zakat.”
Bahkan pernah berlaku seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya, seorang utusan dari kaum Thaqif datang kepada Nabi saw ketika hendak berbai’ah (janji taat setia) kepada baginda, utusan tersebut meletakkan syarat keislaman mereka untuk tidak dikenakan membayar zakat dan tidak diwajibkan jihad ke atas meeka, lalu Nabi saw menerima syarat mereka tersebut dan baginda bersabda: “Mereka akan menunaikan zakat dan akan berjihad apabila mereka memeluk Islam.” (Sahih : al-Albani di dalam Sahih Abu Daud)Sesiapa yang memerhatikan sunnah Nabi saw, ia akan melihat betapa baginda menerima sesiapa sahaja yang datang kepada baginda menyatakan hasrat memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja. Dengan dua kalimah ini, terpelihara darah dan harta mereka.
al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. sabdaan Nabi saw yang bermaksud: “Aku di suruh untuk memerangi manusia, sehinggalah mereka mengucapkan “Laa ilaha illallaah”, apabila mereka mengucapkannya, maka sesungguhnya telah terselamat darah dan harta mereka, melainkan dengan haknya, dan perhitungan mereka terserah kepada Allah.”
Di dalam riwayat al-Imam Muslim Nabi saw bersabda: “Sehinggalah mereka bersaksikan bahawa tidak ada ilah melainkan Allah dan mereka beriman denganku dan dengan apa yang aku bawa.”
Di dalam sahih al-Bukhari dari Anas secara marfu’ disebut: “Sehinggalah mereka menyaksikan tidak ada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu hambaNya dan RasulNya.”
Hadith-hadith ini menjadi bukti yang jelas, dengan mengucap kalimah tauhid seseorang itu dikira telah memeluk Islam kerana darah dan harta mereka dikira telah terpelihara. Terpeliharanya darah dan harta mereka menunjukkan mereka dikira sebagai Islam, kerana jaminan terpelihara darah dan harta hanya ada bagi orang Islam atau yang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam atau yang berada di bawah perjanjian dan perlindungan.
Hadith ini sahih dari beberapa sahabat dengan lafaz-lafaz yang saling berdekatan maksudnya, al-Hafiz al-Suyuthi berkata di dalam al-Jami’ al-Saghir: “Ianya adalah hadith yang mutawatir.” Al-Munawi pula yang mensyarahkan al-Jami’ al-Soghir menyebut: “ (ia mutawatir) Kerana ia diriwayatkan oleh 15 orang sahabat.” (lihat al-Qaradhawi, Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir, m.s. 33)
Melihat kepada hadith-hadith ini dan kekuatannya, menunjukkan kepada kita urusan memeluk Islam itu adalah sesuatu yang mudah, ianya lebih menepati ruh Islam yang mudah. Kerana itu sebahagian ulama salaf menyebut al-Islam al-Kalimah sebagai menggambarkan betapa mudahnya proses memeluk Islam. Hanya dengan mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan lisan, seseorang itu telah dikira sebagai seorang Muslim.
WA
(Artikel 26 Ogos 2008
http://bin-sahak.blogspot.com/2008/08/masuk-islam-secara-mudah.html?m=1)
- Wallahu a'lam