Nasab Ulama Yang Direkapun Didakwa Boleh Dibuat Jampi

Semak maklumat agama terlebih dahulu, jika tidak nama ulama yang direkapun boleh dibuat jampi

Tahukah anda para pemalsu telah mereka-reka sehinggakan kepada nama susur galur seorang perawi Sahih alBukhari iaitulah alImam Musaddad bin Musarhad alSadusi RH مسدد بن مسرهد السدوسي yang meninggal dunia pada tahun 228H.

Kata alZahabi di dalam Tazkirah alHuffaz (Cetakan pertama Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah 1418H/1998M, Beirut Lebanon, jld: 2, hal: 8-9):

"Sesungguhnya sebahagian para penipu telah memalsukan nasabnya (alImam Musaddad bin Musarhad) kepada beberapa (nama) susur galurnya (yang palsu)... menceritakan kepada kami Ahmad bin Salamah, daripada 'Abd al-Ghaniy al-Hafidz... menceritakan kepada kami Mansur bin 'Abdullah alKhalidi - (kata alZahabi) dia ini seorang yang binasa - katanya: "Menceritakan kepada kami Ibrahim bin Ahmad bin Musaddad bin Musarhad bin Musarbal bin Mugharbal bin Mura'bal bin Arandal bin Sarandal bin 'Arandal bin Masik bin Mustaurid alAsadi مسدد بن مسرهد بن مسربل بن مغربل بن مرعبل بن ارندل بن سرندل بن عرندل بن ماسك بن مستورد الأسدي... (lalu disertakan hadis Nabi SAW yang menerima hadiah)" 

Kata al-Zahabi: "Adapun (di sisi) al-Bukhari di dalam (kitab) Tarikhnya tiada penambahan selepas Musarbal, anak kepada Mura'bal." Demikian juga Muslim di dalam al-Kuna, hanya beliau berkata: "Mugharbal, bahkan yang sebenarnya Mura'bal." Demikian juga al-Kalabazi (الكلاباذي) menyebut nasabnya dan menambah selepas Mugharbal: Ibn Ramik bin Mahik (ابن رامك بن ماهك)."

Seterusnya al-Zahabi berkata: "Dikatakan bahawa sebahagian para penuntut ilmu pernah melihat alKhalidi menyebut nama ini, lalu dia berkata: "Kalau ditulis di hadapan susur galur nama-nama ini: "Bismillahir rahmanir rahim", pasti ia dapat menjadi jampi untuk sembuhkan sengatan kala jengking."


Cetak  
Wallahu a'lam