إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِه اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ؛ تَعْظِيمًا لِشَأْنِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولَهُ وَخَلِيلُهُ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ، وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَسَلَّمَ تَسْلِيمًا كَثِيرًا.
أَمَّا بَعْدُ: فَأُوصِيكُمْ: بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، ﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا * يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا ﴾ [الأحزاب: 70، 71].
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian
Perbanyakkanlah memuji dan memuja Allah SWT, bersyukurlah kepada-Nya atas anugerah nikmat kepada kita yang tidak pernah putus. Perbaharukanlah keazaman pada setiap hari untuk terus mentaati-Nya. Hadirkanlah kesedaran, bahawa setiap hari Allah telah memanjangkan usia kita dan mengizinkan kita mengecap nikmat-nikmat dari-Nya, termasuklah Dia telah mengizinkan kepada kita sekali lagi untuk bertemu dengan 1 Zulhijjah pada tahun ini.
Sidang Jumaat sekalian;
Hari ini 1 haribulan Zulhijjah. Hari ini, adalah termasuk dalam hari-hari yang diberkati, hari ini termasuk dalam kumpulan hari-hari yang paling utama dalam setahun, hari ini termasuk dalam hari-hari yang paling mulia dan agung di dunia ini. Allah SWT berfirman:
وَالْفَجْرِ * وَلَيَالٍ عَشْرٍ
Demi waktu fajar, dan demi malam-malam yang sepuluh.
Firman-Nya lagi:
وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ
Dan sebutlah nama Allah pada hari-hari ma’lumat.
Ibn ‘Abbas RA menyatakan وَلَيَالٍ عَشْرٍ dan أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ adalah sepuluh hari yang awal dalam bulan Zulhijjah.
Sidang Jumaat sekalian;
Nabi SAW telah menyatakan kemuliaan bulan ini, baginda juga menggalakkan umat Islam agar memperbanyakkan amalan soleh dalam sepuluh hari yang awal bulan Zulhijjah. Telah Sahih sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya, baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ »؛ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: «وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ».
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang mana amalan saleh dilakukan di dalamnya lebih disukai oleh Allah berbanding 10 hari yang awal dalam bulan Zulhijjah ini. Para sahabat bertanya: “wahai Rasulullah, sekalipun berjihad di jalan Allah? Baginda menjawab: “Ya, sekalipun berjihad di jalan Allah. Melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad membawa diri dan hartanya, setelah itu dia tidak pulang lagi.”
Jika dibaca kisah para ulama salaf, kita akan mendapati, mereka amat bersungguh-sungguh melakukan amalan saleh ketika 10 hari awal dalam bulan Zulhijjah ini. Sehingga dinyatakan Sa‘ied bin Jubair (سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ) RH: إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ اجْتَهَدَ اجْتِهَادًا حَتَّى مَا يَكَادُ يَقْدِرُ عَلَيْهِ “apabila bermula 1 Zulhijjah, beliau akan bersungguh-sungguh melakukan amalan saleh sehingga dalam bentuk melakukan sesuatu yang beliau hampir tidak dapat melakukannya.”
Sidang Jumaah sekalian;
Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi membuktikan 10 hari awal bulan Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling utama berbanding hari-hari lain dalam setahun. Sehinggakan ia lebih utama dan besar kedudukannya jika dibandingkan dengan 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Hanyasanya sepuluh akhir Ramadan lebih utama pada malam harinya dan sepuluh malam Ramadan lebih utama berbanding 10 malam pada awal bulan Zulhijjah disebabkan pada 10 malam terakhir Ramadan terdapat malam al-Qadar.
Oleh kerana itu, marilah kita berusaha untuk memperbanyakkan amalan soleh di 10 hari awal bulan Zulhijjah ini. Antara amalan soleh yang boleh dilakukan ialah:
Pertama: Berusaha menunaikan solat di awal waktu dan dilakukan secara berjemaah di masjid. Ditambah dengan solat solat-sunat yang lain terutamanya solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardhu. Thauban (ثَوْبَانُ) RA pernah berkata, Nabi SAW telah bersabda:
عَلَيْكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ لِلَّهِ، فَإِنَّكَ لَا تَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً إِلَّا رَفَعَكَ إِلَيْهِ بِهَا دَرَجَةً، وَحَطَّ عَنْكَ بِهَا خَطِيئَةً
Maksudnya: “Hendaklah kamu semua memperbanyakkan sujud – yakni memperbanyakkan solat – kerana sesungguhnya kamu tidak melakukan satu sujud kepada Allah di dalam solat, melainkan Allah akan mengangkat kedudukanmu satu darjat lebih hampir kepada-Nya, dan Allah akan menghapuskan satu dosa kesalahanmu.” (HR Muslim)
Kedua: Memperbanyakkan puasa sunat, kerana puasa adalah amalan soleh yang lebih utama berbanding amalan soleh yang lain. Kerana itu Allah SWT telah menyandarkan ibadah puasa kepada diri-Nya yang mulia, sebagai satu isyarat akan kemuliaan ibadah puasa. Dalam sebuah hadis Qudsi, Nabi SAW bersabda:
قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ بَنِي آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ
Maksudnya: “Allah berfirman: “setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasannya.”
Hadirin ,sidang Jumaat sekalian;
Sunat puasa pada 10 hari awal Zulhijjah ini lebih ditekankan pada hari 9 Zulhijjah yang dikenali sebagai hari ‘Arafah. Tentang puasa pada hari ‘Arafah ini, Nabi SAW telah bersabda:
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Daku berharap kepada Allah dengan puasa ‘Arafah ini, agar menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan pengharapan dari Rasulullah SAW pasti akan berlaku.
Hunaidah bin Khalid (هُنَيْدَةَ بْنِ خَالِدٍ) juga ada menceritakan, isterinya memberitahu, bahawa sebahagian isteri Rasulullah SAW menyatakan:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ، وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ؛ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ
Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW akan perpuasa pada 9 Zulhijjah, pada hari ‘Asyura, tiga hari pertengahan setiap bulan dan pada hari Isnin dan Khamis.”
Kata al-Imam al-Nawawi RH berkenaan dengan puasa sunat pada 10 hari awal dalam bulan Zulhijjah:
إِنَّهُ مُسْتَحَبٌّ اسْتِحْبَابًا شَدِيدًا
Maksudnya: Sesungguhnya puasa sunat pada 10 hari awal bulan Zulhijjah adalah puasa yang digalakkan dengan galakan yang bersangatan.”
Ketiga: Memperbanyakkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Disunatkan juga bertakbir secara terang-terangan ketika berada di masjid, di rumah dan di tempat-tempat lainnya bagi merealisasikan firman Allah SWT:
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ
Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta supaya mereka banyak menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, dengan sebab rezeki yang telah Allah kurniakan kepada mereka terdiri dari binatang-binatang ternak.” (al-Hajj: 28)
Majoriti ulama menyatakan hari-hari tertentu yang disebut di dalam ayat ini adalah 10 hari awal bulan Zulhijjah berdasarkan tafsiran seorang sahabat Nabi, Abdullah bin ‘Abbas RA.
Anak kepada Saiyidina ‘Umar bin al-Khattab RA pula yang bernama ‘Abdullah berkata; bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah, dan tiada juga amalan soleh yang lebih disukai di sisi-Nya, berbanding apa-apa yang dilakukan dalam 10 hari awal Zulhijjah ini. Kerana itu perbanyakanlah pada 10 hari awal Zulhijjah dengan bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
Sidang Jumaat sekalian;
Memperbanyakkan bertakbir pada 10 hari awal bulan Zulhijjah ini telah menjadi satu amalan yang ditinggalkan dan tidak diendahkan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Kita hampir tidak mendengar laungan takbir dilaungkan oleh sesiapapun terutamanya hari-hari awal bulan Zulhijjah.
Justeru, sesiapa yang berusaha menghidupkan amalan sunnah ini, ketika amalan ini ditinggalkan, orang itu berhak mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda dari Allah SWT. Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي قَدْ أُمِيتَتْ بَعْدِي فَإِنَّ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلَ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ غَيْرِ أَنْ يُنْقِصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yangmenghidupkan satu sunnah dari sunnahku yang telah dimatikan pengamalannya selepas kewafatanku, maka sesungguhnya untuknya pahala seumpama jumlah orang yang mengamalkan sunnah itu semula tanpa dikurangkan pahala mereka semua itu sedikitpun.”
Marilah kita menghidupkan amalan bertakbir ini. Mulakan di rumah-rumah kita, sama ada ketika berehat bersama keluarga, ketika memandu kereta dan menunggang motosikal, dan di kesempatan-kesempatan lain. Dahulukan dengan keluarga kita, agar amalan bertakbir pada 10 hari awal bulan Zulhijjah yang mula dihidupkan di rumah ini, menjadi amalan yang dizahirkan dalam masyarakat.
Ibn ‘Umar dan Abu Hurairah RA pernah pergi ke pasar orang ramai pada 10 hari awal Zulhijjah. Apabila mereka mendapati orang ramai tiada yang bertakbir di pasar, maka mereka berdua memulakan bertakbir secara lantang di pasar, sehingga menyebabkan orang ramai juga turut bertakbir disebabkan takbir yang dimulakan oleh mereka berdua, sehingga suasana di pasar tersebut bergema dengan suaru takbir.
Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dari kalangan orang-orang yang dikurniakan taufik menyibukkan diri beramal pada hari-hari awal bulan Zulhijjah kali ini. Semoga amalan-amalan yang dilakukan itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, seterusnya memperolehi redha dan rahmat dari-Nya jua.
أَسْأَلُ اللهَ أَنْ يَرْزُقَنَا تَقْوَاهُ حَتَّى نَلْقَاهُ... بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِي الْوَحْيَيْنِ، وَنَفَعَنَا وَإِيَّاكُمْ بِهَدْيِ سَيِّدِ الثَّقَلَيْنِ. وَأَقُولُ مَا تَسْمَعُونَ، وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ فَاسْتَغْفِرُوهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ