Hukum Kerjasama Dengan NGO Budha & Tanggungjawab Siapa Jika Orang Islam Terabai?

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Soalan dari Jamiah Hanif yang bertanya, sahabat saya seorang penganut Budha tegar telah memulakan kerja kebajikan dalam bidang jagaan pesakit terminal atas saranan tok sami dia yang kata dia dah cukup ilmu kena beramal. Itu kisah lebih 10 tahun yang lalu. Kini yayasan kasih beliau, Budish Organisation ada 100 orang staf menyantuni tanpa mengira bangsa dan agama pesakit-pesakit seperti kanser dan sebagainya di hujung-hujung hayat mereka. Beliau banyak kali mempelawa saya bergabung dengannya. Soalan: apakah hukum orang Islam belajar bekerjasama dengan organisasi yang terang-terang berasaskan ajaran bukan Islam?

Jawapan:

Wallahu taala a’lam, untuk menjawab soalan ini, pada nisbah kita masyarakat Malaysia, amat tidak wajar seorang muslim bekerjasama dengan organisasi yang terang-terang berasaskan ajaran bukan Islam. Kerana dalam negara kita Malaysia, banyak lagi organisasi-organisasi lain yang melaksanakan kerja-kerja kebajikan seperti yang ditanya, yang dilakukan oleh orang Islam, dan perkara itu lebih terpelihara agama kita dan demikian juga kerja kebajikan yang kita lakukan bersama orang Islam itu adalah lebih baik dari kita bekerjasama dengan organisasi bukan Islam yang terang-terangan berasaskan ajaran bukan agama Islam. Sudah tentulah perkara itu juga, kalau tidak banyak, ada juga sedikit mempromote agama mereka. Maka tidak wajar seorang muslim bekerjasama dalam kerja-kerja yang ada kempen untuk agama selain agama Islam.

Adapun soalan kedua, adakah berdosa jika kita orang Islam membiarkan saudara seislam kita dijaga oleh  non muslim terutama pada saat-saat akhir hayat mereka yang merupakan masa yang begitu kritikal bagi seorang yang beriman? Jika berdosa, ia atas individukah atau pemerintah atau pertubuhan Islam? untuk maklumat, setakat pengetahuan saya khidmat Islamik Paliatif belum wujud di negara kita.

Jawapan:

Wallahu taala a’lam. Jika benar berlaku seperi yang ditanya, ada orang yang Islam di saat-saat akhir hayat mereka, dijaga oleh orang-orang yang bukan Islam, maka sudah tentulah orang-orang Islam bertanggungjawab di atas perkara yang berlaku. Setiap kita bertanggungjawab, setiap kita tidak sama bahagian kesalahan yang kita terpalit jika perkara itu benar-benar berlaku. Mustahil seorang islam boleh membiarkan saudaranya yang seislam dijaga dan dipelihara oleh non muslim. Apatah lagi jika non muslim itu bukan keluarga orang Islam tersebut. Perkara ini tidak wajar berlaku, bahkan ia merupakan satu tanggungjawab sosial yang telah diabaikan oleh masyarakat Islam. Saya merasakan perkara ini jika benar-benar berlaku, ia tidak sampai kepada pengetahuan umat Islam. Apapun jika perkara itu berlaku disebabkan kecuaian umat Islam, maka setiap umat Islam terutamanya pemerintah jika mengetahui perkara ini, termasuklah badan-badan, organisasi-organisasi pihak berwajib di bawah kerja mereka, mereka mengabaikan perkara ini, maka telah berlaku satu amanah yang telah diabaikan. Jadi semua mereka terpalit dengan dosa, cumanya dosa tidak sama bagi seorang yang berada di kampung yang tidak dapat berbuat apa-apa, maka mustahil untuk kita kata mereka juga turut berdosa. Tetapi jika orang Islam yang ada kuasa dan kemampuan untuk melakukan perkara itu, namun dia biarkan dilakukan oleh orang lain, maka perkara itu termasuk di dalam kerja yang telah diabaikan, terutamanya pihak-pihak berwajib seperti badan kebajikan dan seumpamanya.   


Cetak  
Wallahu a'lam