Muharram Bulan Yang Mulia

بسم الله، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Yang berbahagia DJ Atikah pada petang ni, seterusnya pendengar PerlisFM sekalian.

Baik, kita sekarang seperti yang diberitahu oleh DJ Atikah tadi, kita sekarang berada pada 7 Muharram, dan Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar Hijriyyah.

Jadi kita sekarang seperti dalam bulan Januari kalendar Masihi. Bila kita keluar dari bulan Zulhijjah iaitulah bulan ke-12 dalam kalendar HIjriyyah, maka kita masuk dalam bulan pertama dan tahun baharu Hijri.

Bulan Muharram ada memiliki kedudukan yang besar di dalam Islam. Antara isyarat yang menunjukkan Muharram itu memiliki kedudukan yang besar dan mulia di dalam Islam iaitulah hadis yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW:

أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله المحرم

 “Seutama-utama puasa selepas puasa Ramadan adalah puasa dalam bulan ALlah al-Muharram.”

Bila Nabi SAW sebut "bulan Allah al-Muharram", maknanya Nabi SAW telah menyandarkan bulan ini kepada Allah SWT, dan kita kena tahu, bila Nabi SAW ataupun Allah SWT sendiri, apabila menyandarkan sesuatu kepada nama Allah, ia mengisyaratkan kepada kemuliaan dan keutamaan perkara tersebut. Seperti kita kata masjid itu adalah Baitullah. Bukan bermaksud Allah tinggal di dalam masjid itu. Maha suci Allah dari memerlukan tempat, maha suci ALlah dari tinggal di dalam masjid. Demikian juga Kaabah, kita sebut Baitullah. Susunan sebegini dalam bahasa Arab dinamakan susunan al-Idhafah. Susunan sebegitu bukan menunjukkan rumah Allah yang Allah berada di dalamnya, tetapi susunan begitu mengisyaratkan kepada تشريفا وتعظيما iaitulah kemuliaan dan keagungan sesuatu tersebut.

Jadi bila Nabi SAW sebut bulan Muharram itu bulan Allah, maksudnya bulan Muharram adalah lebih mulia dari bulan-bulan yang lain, dari sudut keutamaan bulan. Tapi kalau tengak dari sudut hari-hari yang ada di dalam sesuatu bulan, bukan hari dalam Muharram pulak, kerana ada hari lain di luar Muharram yang lebih mulia, seperti hari Arafah yang berada dalam bulan Zulhijjah. Sekalipun kita tidak nafikan, ada hari ‘Asyura dalam bulan Muharram, tetapi hari ‘Asyura tidaklah lebih mulia dari hari ‘Arafah. Hari ‘Arafah pada 9 Zulhijjah, iaitulah bulan lepas, di mana puasa pada hari ‘Arafah adalah lebih utama berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Kerana kelebihan puasa ‘Arafah, Nabi SAW bersabda "diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang". Maknanya dua tahun keampunan dosa. Manakala puasa pada hari ‘Asyura kelebihannya adalah diampunkan dosa setahun akan datang. Menunjukkan puasa pada hari ‘Arafah lebih mulia dan lebih besar kedudukannya berbanding puasa pada hari ‘Asyura.

Tetapi sekarang ini kita bercakap berkaitan bulan Muharram yang nabi sebut sebagai SyahrulLah iaitulah bulan Allah, menunjukkan bulan Muharram adalah bulan yang paling mulia dalam setahun. Itu tentang kedudukan bulan Muharram.

Bulan Muharram ini juga merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT sendiri. di dalam al-Quran Allah SWT menyebut dalam surah al-Taubah ayat 36:

 عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ada 12 bulan” maknanya setahun 12 bulan yang kita kira itu, bukan zaman moden ni sahaja yang tahu dalam setahun ada 12 bulan. Bahkan sejak zaman Nabi Adam lagi, manusia pada zaman itu telah tahu dalam setahun ada 12 bulan. Kerana itulah ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Di dalam ayat ini Allah kata “Bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan ALlah SWT, sejak hari Allah taala ciptakan langit dan bumi ini lagi dah, dalam setahun ada 12 bulan.”

Berikutnya Allah SWT berfirman: مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ "dalam 12 bulan itu ada empat bulan haram". Maksud empat bulan haram di sisi ialah empat bulan yang dimuliakan.

Dalam al-Quran juga, dalam 30 juzuk al-Quran tidak dinytakan apakah empat bulan tersebut, tak ada dinyatakan. Pemberitahuan apakah empat bulan tersebut, Allah telah wakilkan, Allah telah pikulkan tanggungjawab itu kepada Nabi Muhammad SAW, dan baginda telah menyempurnakan amanah tersebut, di mana dalam peristiwa hajjatul wada’ ketika baginda berkhutbah, Nabi SAW telah memberitahu kepada kita dengan sabda baginda:

إنَّ الزَّمانَ قد استدار كهيئتِه يومَ خَلَق اللهُ السَّمواتِ والأرضَ، السَّنةُ اثنا عَشَرَ شَهرًا، منها أربعةٌ حُرُمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya zaman telah beredar sepertimana keadaan dia, ketika Allah taala menciptakan langit dan bumi.” Sebahagian ulama mengatakan maksud hadis Nabi ini, iaitulah orang-orang Arab musyrikin Mekah dulu ni, mereka suka tukar-tukar bulan. Kenapa? Sebenarnya empat bulan yang dimuliakan ini telah ditetapkan oleh Allah sejak zaman Nabi Adam lagi. Baginda telah diberitahu dan diajar oleh Allah, dalam 12 bulan itu ada empat bulan yang mulia. Jadi sejak zaman Nabi Adam begitulah syariatnya, sampailah ke syariat Nabi Muhammad. Jadi dalam empat bulan yang mulia itu tak boleh berperang, tak boleh menceroboh, kalau buat dosa, akan berdepan dengan hukuman yang lebih besar. Kerana dalam ayat yang saya baca sebentar tadi, dalam surah al-Taubah, Allah SWT kata: فلا تظلموا فيهن أنفسكم "dalam 12 bulan itu ada empat bulan yang dimuliakan maka jangan kamu semua menzalimi dari kamu semua pada empat bulan tersebut." Jadi jangan buat dosa. Ia bukan bermaksud boleh buat dosa dalam selain empat bulan yang dimuliakan ini. Tetapi ayat al-Quran ini menunjukkan, kalau buat dosa dalam empat bulan yang mulia ini, bakal berdepan dengan ancaman dan azab yang lebih berat. Jadi sejak zaman Nabi Adam, dah ada empat bulan yang dimuliakan ini, tak boleh buat pencerobohan dan macam-macam perkara yang tak elok.

Orang Arab ini, mereka tahu tentang empat bulan yang dimuliakan ini. Tetapi dalam beberapa keadaan, ketika mereka perlu juga berperang. Kerana orang Arab dahulu memang hidup mereka dengan peperangan. Kadang-kala, makan masa bertahun, berperang yang berterusan. Jadi katakan sekarang bulan Muharram, berlaku perbalahan sesama mereka, dan mereka akan berperang. Tetapi bulan tersebut bulan Muharram sebagai contoh, lalu mereka ubah. Ubah bagaimana? Mereka kata bulan Muharram sekarang ni, kita jangan anggap ia bulan Muharram. Kita pindahkan Muharram ke bulan hadapan, tukar dengan bulan Rabiul Awwal. Jadi mereka tukar dan terbalikkan bulan-bulan untuk kepentingan mereka. Isyarat ini ada di dalam al-Quran, iaitulah dalam surah yang sama, ayat yang berikutnya, ayat yang ke-37, Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ  

“Sesungguhnya nasi’ – iaitulah perbuatan suka mengubah-ubah bulan -  itu adalah satu kekufuran.”

Berikutnya Allah berfirman:

يُحِلُّونَهُ عَامًا وَيُحَرِّمُونَهُ عَامًا

 “Pada tahun ini mereka menghalalkan – iaitulah mereka kata boleh perang pada bulan Muharram sebagai contoh, kerana mereka dah ubah kedudukannya – pada tahun lain mereka mengharamkannya"  Iaitulah mereka kata tak boleh pula berperang dalam bulan Muharram, kerana Allah tak bagi berperang dalam bulan haram dan mereka pula tak ada apa-apa kepentingan untuk ubah kedudukan bulan Muharram.

Sebab apa mereka tukar-tukar bulan begitu? Allah taala berfirman:

لِّيُوَاطِئُوا عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلُّوا مَا حَرَّمَ اللَّهُ

Maksudnya, tujuan mereka lakukan ubah-ubah kedudukan bulan itu: “Supaya mereka bagi sama dengan jumlah empat bulan yang Allah muliakan.” Pada mereka yang penting bagi mereka, bilangan empat bulan sama seperti yang Allah sebut. Tetapi kedudukan bulan ikut suka mereka. Ini perangai mereka.

Kesannya, apabila mereka suka ubah-ubah bulan, akhirnya mereka melaksanakan haji bukan pada bulan Zulhijjah. Jadi apabila Rasulullah melaksanakan haji dalam peristiwa Hajjatul Wada’, sebab tu Nabi kata: 

إنَّ الزَّمانَ قد استدار كهيئتِه يومَ خَلَق اللهُ السَّمواتِ والأرضَ

Maksudnya: “Sesungguhnya zaman itu telah berlegar, telah berada seperi kedudukan sebenarnya ketika Allah menciptakan langit dan bumi.” Maknanya haji yang baginda lakukan itu adalah haji yang bertepatan dengan hari yang dikehendaki oleh Allah SWT. Inilah maksud hadis ini, seperti yang dihuraikan oleh sebahagian ulama.

Kemudian setelah nabi nyatakan perkara itu, Nabi SAW menyambung dengan berkata:

السَّنةُ اثنا عَشَرَ شَهرًا، منها أربعةٌ حُرُمٌ، ثلاثٌ متوالياتٌ: ذو القَعْدةِ، وذو الحِجَّةِ، والمحَرَّمُ، ورَجَبُ مُضَرَ الذي بين جُمادى وشَعبانَ

Maksudnya: “Dalam setahun itu ada 12 bulan, dalam 12 bulan itu pula ada empat bulan yang dimuliakan. Tiga bulan berturut-turut iaitulah Zul Qa’dah, Zul Hijjah, Muharram dan Rejab Mudhar yang berada di antara Jumada dan Sya’ban.”

Kenapa Nabi SAW sebut Rejab Mudhar? Ia berpunca dari masalah nasi’ yang saya terangkan tadi. Iaitulah sikap orang Arab yang suka mengubah-ubah susunan bulan.

Ada dua kabilah Arab yang besar iaitulah Rabi’ah dan Mudhar, di mana kabilah Rabi’ah dan Mudhar ini berbeza dalam meletakkan kedudukan bulan Rejab. Perkara ini berlaku disebabkan perbuatan nasi’ di atas, yang suka uabh-ubah bulan. Akhirnya sesama mereka timbul perbezaan. Di mana kabilah Mudhar mengira bulan adalah; Muharram, Safar, Rabiul Awwal, Rabiul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban seterunya Ramadan. Mereka meletakkan Rejab selepas Jamadil Akhir, setelah itu Syaaban dan seterusnya. Ini bagi kabilah Mudhar.

Manakala kabilah Rabi’ah, mereka tidak menghitung bulan seperti Mudhar, mereka menghitung; Muharram, Safar, Rabiul Awwal, Rabiul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Saaban, Rejab. Mereka meletakkan bulan Rejab selepas bulan Syaaban. Jadi di sisi Rabi’ah Rejab itu berada di antara Syaban dan Syawal, iaitulah kedudukan bulan Ramadan. Ini perkiraan bulan bagi kabilah Rabi’ah. Jadi Nabi bagitahu ورجب مضر iaitulah “Rejab seperti yang dihitung oleh kabilah Mudhar” itulah yang sebenarnya ikut susunan yang tepat.

Jadi dalam hadis, Nabi SAW kata bulan yang dimuliakan itu iaitulah Zul Kaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Tajuk kita pada hari ini adalah Muharram.

Jadi Muharram ini selain dari Nabi sebut sebagai bulan Allah, ia juga termasuk di dalam salah satu dari bulan-bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Bila kita sebut bulan Muharram ini termasuk dalam bulan yang dimuliakan oleh Allah, maka sesuatu tempat, masa dan perkara yang dimuliakan, bila kita lakukan ibadah padanya, kita bakal menerima pahala yang berlipat kali ganda. Sebagai contoh kita melakukan solat dalam masjid Alwi Kangar Perlis. Katakan kita solat Zohor dalam masjid Alwi di Kangar Perlis, dengan solat Zohor empat rakaat di masjidil haram, sama sahaja empat rakaat, tetapi mana yang lebih besar pahalanya? Maka sudah tentulah solat Zohor empat rakaat dalam masjidil haram lebih besar pahalanya, sebab apa? Kerana kemuliaan tempat. Maka mana-mana amalan saleh yang dilakukan pada tempat dan masa yang lebih mulia, maka kita berhak mendapat pahala yang berlipat-kali ganda.

Jadi bila Muharram ini bulan yang dimuliakan berbanding bulan Rabi’ul awal, rabi’ul akhir dan berikutnya, maka apa-apa amalan soleh yang dilakukan dalam bulan Muharram, bakal menerima pahala yang berlipat kali gandi di sisi Allah SWT. Kerana itu para ulama salafus soleh, akan mempergiatkan amalan dalam bulan-bulan ini, terutamanya bulan Muharram kerana banyak kelebihannya. Maka orang Islam sepatutnya bijak dalam beribadat. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:

إن الدين يسر، ولن يشاد هذا الدين أحد إلا غلبه، فسددوا أو قاربوا، واستعينوا بالغدوة والروحة وشيئ من الدلجة

“Sesungguhnya agama itu mudah, tidak ada orang yang memberat-beratkan agama ini melainkan dia akan kalah” - Maknanya dia akan kalah dengan cara berat-berat mengamalkan agama yang dia pilih itu. Satu hari dia akan kata, aku tak boleh buat, aku tak boleh amalkan agama ini kerana berat sangat. Jadi Nabi kata jangan bagi berat-berat. Seterusnya Nabi SAW bersabda – “beramallah dengan amalan agama itu bagi tepat, atau bagi dekat-dekat dengan tepat. – kerana manusia biasanya mustahil untuk dia lakukan semua perintah agama sama ada perintah wajib mahupun sunat, kerana mustahil kita mampu lakukan semuanya. Kerana manusia penuh dengan kelemahan. Dia tak mampu nak laksanakan semua perintah. Kerana itu Nabi SAW kata – “Maka minta tolonglah dengan ghadwah, rawhah dan sesuatu dari duljah.Orang Arab dahulu, bila mereka nak bermusafir, bagi memastikan permusafiran mereka itu berjaya, mereka akan pilih waktu, seolah-olah mereka memilih waktu agar dapat tolong mereka menjayakan permusafir mereka, iaitulah dengan memilih waktu, di mana mereka tidak akan bermusafir pada waktu tengahari, sebaliknya mereka akan memulakan permusafiran, sama ada pada waktu ghadwah, iaitulah waktu awal pagi (selepas Subuh sehingga terbit matahari), atau pada waktu rauhah, iaitu waltu selepas Asar, di mana panas matahari dah lemah, kemudian duljah, iaitulah waktu sebelum subuh atau waktu sahur, waktu-waktu ni, cuaca sejuk dan waktu kita mampu untuk berjalan.

Sebab tu Atikah, dalam hadis ini ada banyak pengajaran. Kalau kita bercakap dari sudut kerja kita, kalau kita nak berjaya dalam kerja, kita tak boleh mula kerja pada pukul 11 pagi. Kerana 11 pagi tu dah panas dan kita tak akan mampu mula kerja ketika sedang panas, kita tak akan mampu. Tapi kalau kita mula buat kerja pada pukul 8 atau 9 pagi sebagai contoh, bila pukul 10, matahari datang, maka badan kita akan biasa dengan kepanasan yang datang secara peringkat demi peringkat, sehingga matahari jam 11 atau 12 pun badan kita dah terbiasa. Kita akan dapat memanfaatkan waktu yang maksimum untuk bekerja. Tapi bagi orang yang baru nak mula kerja pukul 11, dia tak akan mampu berdepan dengan matahari pukul 11 itu, apatah lagi matahari pukul 12 tengahari.  

Kerana itu Nabi SAW kata “Minta tolong dengan waktu” maksudnya pilih waktu yang boleh memastikan kerja kita berjaya, permusafiran kita berjaya.

Demikianlah dengan ibadah, kita pilih waktu, iaitulah kita pilih waktu-waktu utama seperti bulan Muharram. Untuk kuat beribadah, setiap bulan agak mustahil, tetapi bagi orang yang tak biasa dengan kuat ibadat, bila datang Muharram dia kena beri tumpuan. Kemudian bila masuk bulan Rabi’ul awal, dia kendur semula, bukan bermaksud dia tinggalkan kewajipan, sebaliknya ibadah yang tidak menjadi kelaziman, kadang-kadang dia buat, kadang-kadang tidak buat. Begitulah. Jadi dalam bulan Muharram ini, dia agak aktif untuk merebut kemuliaan yang ada dalam bulan Muharram. Jadi orang Islam kena bijak dalam melakukan ibadat. Samalah dengan tiga lagi bulan yang mulia iaitulah Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab.

Jadi dalam empat bulan ini, kita perlu ambil perhatian untuk menggiatkan lagi ibadah kita kepada Allah SWT.

Sekali lagi, bila tajuk kita berkaitan Muharram, selain kita dah tahu ia bulan Allah yang menunjukkan kemuliaannya. Dalam bulan Muharram ini juga ada satu hari yang istimewa dalam bulan Muharram ini, iaitulah hari yang ke-10 Muharram yang disebut sebagai hari ‘Asyura, sehingga masyarakat kita buat bubur ‘Asyura.

Hari ‘Asyura maksudnya hari yang ke-10. Bulan Muharram itu bulan yang mulia, hari yang ke-10 itu pula lebih mulia. Hari ‘Asyura ini pula Akitah, kalau kita baca dalam sejarah, kita akan dapati, orang Arab dahulu, hatta di zaman Jahiliyyah, mereka telah tahu tentang ‘Asyura ini. Kerana orang Arab ni mereka mewarisi ajaran Nabi Allah Ibrahim dan Ismail yang menetap di Mekah. Kita semua tahu kisah Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim dan emak kepada Nabi Ismail, mereka tinggal di Mekah, mereka yang mula tinggal di situ. Mekah asalnya satu tempat, atau wadi atau lembah yang tidak ada tumbuh-tumbuhan, tidak ada kehidupan. Yang mula tinggal di situ adalah Hajar, isteri Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Ketika Hajar bimbangkan keselamatan anaknya Ismail, Hajar berulang-alik di antara bukit Safa dan Marwah mencari pertolongan dan makanan. Akhirnya Hajar dapati malaikat Jibril, diutuskan oleh Allah, dan malaikat Jibril memukulkan sayap atau tumitnya ke bumi sehingga memancarkan air Zam-Zam sehingga menjadi telaga sampai ke hari ini. Lalu dengan kebijaksanaan Hajar, beliau terus mengepung air zam-zam yang keluar dari bumi, sehingga terbentuklah telaga sampai ke hari ini. Bermula dari hari itu, wujudlah kehidupan di Mekah.

Jadi Arab Mekah ni, mereka keturunan nabi Ismail dan mereka dari kumpulan Arab Musta’rabah iaitulah Arab yang asalnya bukan Arab, kemudian bila bergaul dengan orang Arab, mereka membiasakan diri dengan budaya Arab, maka mereka menjadi Arab. Kerana Nabi Ismail, anak Nabi Ibrahim, di mana Nabi Ibrahim bukan orang Arab. Bila Nabi Ismail duduk di Mekah bersama dengan Hajar ibu baginda, lalu orang Arab yang suka berpindah randah mendapati Hajar memiliki air, air pula keperluan penting dalam kehidupan manusia, lalu mereka minta izin dari Hajar untuk tinggal di situ, lama-lama jadi kampung, seterusnya bandar sehinggalah membangun seperti yang ada pada hari ini.

Jadi orang Arab dahulu, bila Nabi Ismail meninggal, berlakulah perubahan dalam agama yang dibawa oleh Nabi Ismail, sehingga ke tahap berlaku penyembahan berhala. Namun beberapa ajaran Nabi Ismail masih berbaki, antaranya ialah memuliakan dan berpuasa pada hari ‘Asyura. Puasa pada hari ‘Asyura ini telah dilakukan oleh orang Mekah sebelum Islam lagi. Mereka juga tahu apa yang dimaksudkan dengan puasa. Kerana itu ketika kefarduan puasa, Nabi SAW tak perlu terang kepada orang Mekah apa yang dimaksudkan dengan puasa. Kerana mereka telah sedia maklum.

Nabi SAW juga turut berpuasa pada hari ‘Asyura, sehinggalah apabila berlaku peristiwa hijrah, Nabi SAW kekal berpuasa pada hari ‘Asyura, bahkan ada riwayat yang menunjukkan di peringkat awal orang Islam berada di Madinah, Nabi SAW telah memerintahkan semua orang Islam berpuasa pada hari 10 Muharram, iaitulah hari ‘Asyura dalam bentuk perintah wajib. Sehinggalah pada tahun ke-2 hijriyyah, iaitulah setelah turunnya perintah puasa Ramadan, maka batallah hukum wajib untuk puasa ‘Asyura dan ia berpindah kepada hukum sunat, kerana telah ada puasa wajib sebulan Ramadan.

Ketika Nabi SAW sampai di Madinah, Nabi dapati orang Yahudi juga berpuasa pada hari yang sama. Lalu Nabi SAW tanya kepada orang Yahudi, kenapa kamu semua juga berpuasa pada hari ‘Asyura ini? Orang Yahudi jawab: “hui, buat tanya lagi” begitulah dalam bahasa kita. Kata mereka, hari ini adalah hari yang agung dan besar. Lalu nabi tanya hari apa? Kata mereka, pada hari ini Allah telah memenangkan Musa terhadap Firaun, Firaun ditenggelamkan ke dalam laut pada hari ‘Asyura ini.

Jadi berdasarkan riwayat ini, apabila orang Yahudi bagitahu kepada Nabi SAW, hari ini hari agung, di mana Allah telah memenangkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun, Nabi SAW senyap dan baginda tidak membantah fakta itu. Maka kita boleh faham, Firaun ditenggelamkan ke dalam laut pada hari 10 Muharram atau hari ‘Asyura. Bila Nabi tidak bantah menunjukkan ada perakuan dari baginda tentang fakta itu. Maka kalau ada orang tanya hari apakah ALlah menenggelamkan Firaun ke dalam laut Merah? maka jawapannya ialah pada hari ‘Asyura atau 10 Muharram.

Orang Yahudi kata kepada Nabi SAW: فصام موسى شكرا لله “maka Nabi Musa AS berpuasa pada hari tersebut sebagai bersyukur kepada Allah yang telah memberi kemenangan kepada baginda.” Bila Nabi SAW dengar perkara itu, Nabi SAW bersabda: نحن أحق بموسى منكم “kami orang Islam, lebih berhak sama dengan Nabi Musa berbanding kamu semua (orang Yahudi)” kerana agama yang dibawa oleh Nabi Musa juga adalah agama Islam. Maka orang Islam lebih berhak sama dengan Nabi Musa. Lalu Nabi SAW menganjur atau menggalakkan orang Islam untuk berpuasa pada hari ‘Asyura. Namun pada akhir hayat Nabi SAW, baginda telah perintahkan orang Islam untuk berbeza dengan orang Yahudi. Maka antara perintah yang baginda keluarkan ialah “InsyaAllah, pada tahun yang berikutnya صمنا التاسع “kita berpuasa bermula 9 Muharram” iaitulah puasa bermula pada 9 diikuti 10 Muharrram.

Maka sesiapa yang nak dapat pahala maksimum dalam bab puasa pada hari ‘Asyura, dia digalakkan berpuasa bermula 9 dan diikuti 10 Muharram. Kalau dia tak boleh 9 dan 10, maka digalakkan dia berpuasa pada 10 dan 11 Muharram. Kalau seseorang tanya, boleh tak ustaz, kalau saya berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja? maka jawapannya: "boleh, tak ada masalah", dapat pahala, mudah-mudahan dapat pahala diberi keampunan setahun yang akan datang.

Saya ingat itu sahaja beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh masyarakat Islam berkaitan dengan bulan Allah al-Muharram, yang kita sekarang berada  pada hari ke-7 Muharram tahun 1444H.      


Cetak  
Wallahu a'lam