Kisah Seorang Lelaki Dan Syurga Khayalan Buatan Syaitan
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah RH menceritakan seorang lelaki yang rajin belajar dan menuntut ilmu kepada seorang syeikh, tiba-tiba lelaki itu tidak lagi hadir ke kelas pengajian syeikhnya. Lalu tuan syeikh mencari-cari ke mana pergi anak muridnya itu. Satu hari tuan syeikh buat keputusan untuk pergi menziarahi anak muridnya itu.
Bila berjumpa dengan anak murid di rumahnya, tuan syeikh bertanya: “Apa khabar kamu, lama tak nampak hadir ke kuliah?” Jawab anak muridnya itu: “Wahai tuan syeikh, sebenarnya aku berulang-alik ke kuliah kamu, tiada perkara lain yang aku kehendaki melainkan aku hendak masuk syurga, kerana itu aku hadir ke kuliah. Tetapi sekarang ini, untuk apa aku ke kuliah kamu lagi? kerana sekarang ini aku telahpun masuk ke dalam syurga.” Terkejut tuan syeikh mendengar jawapan anak muridnya itu. Lalu tuan syeikh bertanya: “betul kamu telah masuk ke dalam syurga? Bawalah aku bersama kamu, aku juga yang mengajar orang ramai ilmu agama, kerana ana mahukan syurga.” Kata anak muridnya: “Jika tuan syeikh mahu masuk syurga, tunggu. Nanti dekat dengan malam hari, akan ada seorang lelaki datang ke rumah ku ini, dia akan bawa aku ke syurga dan kita pergi bersama.” Setujulah tuan syeikh dengan cadangan anak muridnya itu.
Bila hampir waktu Maghrib, datanglah seorang lelaki ke rumah anak murid tersebut. Lalu anak murid berkata kepada lelaki itu: “Wahai tuan, ini tuan syeikh saya, yang mengajar saya agama sebelum ini. Dia juga ingin bersama kita untuk masuk ke dalam syurga. Boleh kita bawakan dia bersama?” Lelaki itupun setuju. Lalu pergilah mereka bertiga menuju ke syurga seperti yang didakwa oleh anak murid. Mereka akhirnya sampai ke sebuah taman yang begitu indah. Berseronoklah mereka di dalam taman yang dikatakan syurga itu.
Tapi syurga ini pelik sikit. Apa yang peliknya? Iaitulah apabila hari hampir siang, mereka kena keluar dan balik ke rumah. Tak boleh tinggal lama di dalam syurga.
Oleh itu, apabila hampir waktu siang, lelaki yang membawa mereka ke syurga itupun datang dan meminta mereka segera pulang ke rumah. Anak murid yang jahil segera mengikut arahan lelaki yang tidak dikenali asal-usulnya itu. Kata anak murid kepada tuan syeikhnya: “jom tuan syeikh kita balik ke rumah semula.” Akan tetapi tuan syeikh enggan dan berkata: “kita duduk di sini. Aku tak mahu keluar dari syurga ini.” Sebenarnya tuan syeikh mahu memberi pengajaran kepada anak muridnya itu, akan tipu-daya syaitan. Tindakan tuan syeikh itu menyebabkan lelaki yang membawa mereka ke syurga itu marah dan segera meninggalkan mereka berdua. Namun tuan syeikh tetap berkeras akan tinggal dan beliau tidak mahu keluar dari syurga tersebut.
Bila anak murid mahu bergerak pulang meninggalkan syurga, tuan syeikh tersebut segera memegang tangan anak muridnya dan berkata: “Jangan balik, kita duduk di sini sehingga matahari terbit.” Duduklah anak murid itu bersama tuan syeikhnya sehingga matahari terbit.
Bila matahari terbit, tersingkaplah hakikat sebenar, taman yang disangkakan syurga itu, sebenarnya mereka duduk di tempat himpunan sampah penduduk Baghdad.
Demikianlah syaitan menipu daya menusia. Kerana itu jangan mudah terpedaya dengan apa yang syaitan nampakkan kepada kita di dalam mimpi demikian juga bisikan yang didengarkan kepada telinga kita. Bulatkan pergantungan kita kepada Allah SWT. yang paling penting adalah menuntut ilmu bagi mengenal pasti mana yang benar dan mana pula yang batil.