Para pelajar sekelian;
Pasti kamu semua pernah merasa berat hendak melakukan sesuatu perkara. Diketika yang lain pula kamu berfikir untuk menangguhkan sahaja melakukan sesuatu perkara. Tahukah kamu? rasa berat dan suka menangguh-nangguhkan sesuatu kerja itulah yang dinamakan sebagai Malas. Orang yang sering melakukannya adalah seorang Pemalas
Sikap malas akan memusnahkan kehidupan, seorang pemalas akan menjadi berat untuk bergerak dan berusaha. sikap malas akan membunuh sifat aktif yang ada di dalam diri kita. Lebih teruk Ia merupakan penyakit yang akan menyebabkan kita menjadi fakir dan dianggap hina oleh orang lain. Mahukah kamu menjadi seorang yang miskin lagi fakir dan dipandang hina oleh masyarakat? Lebih teruk dari itu seorang pemalas dibenci dan dipandang hina oleh Allah S.W.T.
Malas merupakan penyakit di dalam masyarakat. Orang yang malas hanya mahu menerima sesuatu dari orang lain, dalam masa yang sama dia langsung tidak dapat memberi sesuatu kepada orang lain. Seorang pemalas hanya menghabiskan sesuatu, sebaliknya tidak menghasilkan sesuatu.
Ini merupakan sifat yang hina. Ini bermakna seorang yang malas, telah menghinakan dirinya sendiri. Oleh kerana itu, Islam melarang kita bersifat malas dan menyuruh kita supaya rajin bekerja, berusaha dan sentiasa cergas. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada seseorang yang memakan sesuatu makanan yang lebih baik, berbanding makanan yang diperolehinya dari usahanya sendiri.”[1]
Hadith ini menunjukkan Nabi S.A.W. mahu kita berusaha sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Baginda menegaskan sebaik-baik makanan ialah makanan yang kita usahakan sendiri dengan kerajinan dan tenaga kita, tanpa perlu meminta-minta kepada orang lain.
Baginda S.A.W. melarang kita dari bersifat malas. Baginda mengajar kita doa memohon perlindungan dari sifat malas, doa itu ialah:
اللَّهُمَّ إنِّيْ أعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ
Maksudnya: “Ya Allah, saya berlindung kepada MU dari gelisah dan bersedih, sifat lemah dan malas, sifat penakut dan kedekut.”[2]
Salah seorang sahabat Nabi S.A.W., juga merupakan seorang pemimpin umat Islam ‘Umar R.A. pernah menasihati umat Islam dengan katanya yang bermaksud:
“Jangan seseorang daripada kamu duduk sahaja, tanpa mahu mencari rezeki. Sebaliknya hanya berdoa: Ya Allah berilah rezeki kepada ku. Sedangkan kamu semua tahu langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.”[3]
Perkataan saiyidina Umar ini mahu mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kesenangan itu tidak datang dengan sendirinya. Sebaliknya ia perlu diusahakan dengan penuh kerajinan dan bersungguh-sungguh.
Agama Islam Memerangi Sikap Malas
Pada pandangan agama Islam, malas ialah sikap suka mengabai dan melengah-lengahkan dari melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang diwajibkan oleh Allah ke atas kita.
Sebagai contoh, tabiat mengabai dan melengah-lengah dari melaksanakan kefardhuan-kefardhuan seperti solat lima waktu, puasa dan lain-lain. Termasuk juga mengabai dan melengah-lengah dari melakukan perbuatan yang mendatangkan kebaikan kepada kita seperti menolong ibu-bapa, mengulangkaji pelajaran dan seumpamanya yang merupakan aktiviti yang dapat menjamin kehidupan yang lebih mulia
Sikap malas yang diperangi oleh agama Islam itu merangkumi perbuatan mengabai dan melengah-lengahkan setiap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kita, samaada di dunia mahupun di akhirat.
Seorang yang rajin menunaikan perintah Allah akan disayangi oleh Allah dan seorang yang rajin membantu ibu-bapanya akan disayangi oleh ibu-bapanya. Seterusnya dia disenangi oleh orang ramai dan disayangi oleh Allah S.W.T. disebabkan kerajinannya.
Seorang Pelajar Tidak Boleh Bersifat Malas
Para pelajar sekelian.
Setelah kamu mengetahu, malas adalah satu sifat yang tercela, maka menjadi kewajipan ke atas kamu untuk menjauhkan diri dari sifat malas. Bagaimanakah caranya untuk kita menjauhkan sifat malas dari diri kita?
Sikap malas boleh dijauhkan dari kita dengan cara kita mengisi dan menghiasi diri dengan sikap rajin berusaha dan sanggup bekerja keras. Sikap ini perlu diasuh dari kecil. Jika sikap ini tidak dilatih dan diusahakan ia akan hilang dan tempatnya akan diganti pula dengan sifat malas.
Agama Islam tidak suka umatnya malas, sebaliknya Islam mengarahkan umatnya supaya rajin dan sanggup bekerja keras untuk mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.
Menyedari perkara ini perlu dilatih dari kecil. Maka Rasulullah S.A.W. melatih umatnya sejak kecil untuk rajin dan sentiasa cergas, agar apabila besar, kita tidak menjadi seorang yang malas.
Di dalam hadith Rasulullah S.A.W. menarahkan kepada ibu-bapa dengan sabda baginda:
“Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat apabila mereka sampai umur tujuh tahun, kemudian pukullah mereka jika mereka tidak mahu solat ketika umur mereka sampai sepuluh tahun.”[4]
Para pelajar sekelian, mengapa sampai begitu sekali arahan baginda kepada ibu-bapa kita? Jawapannya ialah supaya kita dilatih agar terbiasa dengan sifat rajin sejak dari kecil lagi. Dan agar kita terbiasa menjauhi sifat malas.
Jika kamu tetap juga malas!!! Maka ibu-bapa ada hak untuk memukul kamu apabila umur kamu mencapai sepuluh tahun. Mengapa sedemikian? Jawapannya kerana malas adalah sikap yang buruk. Nabi S.A.W. tidak mahu umatnya bersifat dengan sifat malas yang buruk dan hina ini.
Jangan Suka Menangguh-nangguhkan kerja
Para pelajar sekelian.
Jauhkan diri dari sikap suka bertangguh. Sebahagian dari para pelajar pasti ada yang berkata:
“Alah, tak apalah, sekarang saya masih kecil, nanti bila saya sudah dewasa saya akan belajar bersungguh-sungguh.”
Awas!
Itu adalah bisikan syaitan yang suka melihat kita malas dan ketinggalan. Syaitan adalah musuh kita, kerana itu dia tidak mahu melihat kita berjaya. Dia sentiasa bisikkan di dalam jiwa kita rasa malas agar kita terus ketinggalan. Allah S.W.T. berfirman di dalam al-Quran:
“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia sebagai musuh. Dia hanyalah mahu menyeru orang-orang yang mahu mengikutnya termasuk di dalam penghuni neraka.” (Fatir: 6)
Mahukah kamu mengikut musuh kamu Syaitan? Seorang pelajar yang bijak sudah tentu tidak mahu mengikut Syaitan yang sentiasa mahukan kita malas dan ketinggalan.
Syaitan mahu kita menemaninya, ketika dia diazab oleh Allah S.W.T. di dalam neraka kelak.
Malas Belajar
Para pelajar sekelian.
Satu kewajipan ke atas kamu adalah belajar dengan bersungguh-sungguh. Allah S.W.T. berfirman:
“Dan Allahlah yang telah mengeluarkan kamu semua dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, kemudian Dia menjadikan untuk kamu pendengaran, penglihatan dan hati, mudah-mudahan kamu semua bersyukur.”[5]
Setiap kita dilahirkan dalam keadaan yang lemah tanpa mampu untuk berbuat apa-apa. Kita tidak mampu untuk mendengar, melihat dan tidak mampu juga berfikir. Setelah itu Allah memberikan pendengaran dan penglihatan kepada kita untuk menempuh ujian dalam menjalani kehidupan.
Kita membesar sedikit demi sedikit. Dengan pendengaran, penglihatan dan hati yang dikurniakan oleh Allah itu, kita gunakannya untuk belajar dan memahami. Allah mengurniakan semua itu untuk kita belajar dan terus belajar bagi beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Islam amat menitik beratkan kemajuan penganutnya dan untuk memajukan diri kita, tidak ada jalan lain melainkan kita perlu menguasai berbagai ilmu pengetahuan. Oleh kerana itu ayat al-Quran pertama yang diturunkan menyuruh kita berusaha memperolehi ilmu dengan membaca:
Firman Allah: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha mencipta.”[6]
Nabi S.A.W. pula bersabda: “Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim.”[7]
Siapa yang malas menuntut ilmu bermakna dia telah menghalang dirinya sendiri memperoleh kelebihan dan kebaikan. Demikian juga dia memilih jalan yang sukar untuk memasuki syurga. Kerana Nabi S.A.W. memberitahu kepada kita jalan mudah ke syurga adalah dengan menuntut ilmu:
Sabda baginda S.A.W.: “Sesiapa yang menempuh jalan menuntut ilmu, Allah akan mudahkan untuknya jalan menuju ke syurga.”[8]
Malas Bekerja
Para pelajar sekelian.
Allah S.W.T. telah menjadikan Nabi Adam A.S. dan meletakkan tanggungjawab kepadanya dan anak-cucunya untuk bekerja keras. Allah menjanjikan kepada mereka yang bekerja keras akan memperolehi rezeki kurniaanNya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu (untuk mencari rezeki), maka berjalanlah disegenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya, dan kepadaNya kamu akan dibangkitkan. (al-Mulk: 15)
Untuk memperolehi rezeki daripada Allah, syaratnya mestilah rajin bekerja keras. Jika malas kita akan menjadi fakir dan hina, seterusnya kita terpaksa meminta-minta dari orang lain. Ini bertentang dengan kehendak agama Islam yang mahu penganutnya menjadi seorang muslim yang hebat dan mulia, tidak perlu meminta-minta dari orang lain.
Perbuatan suka meminta-minta dari orang lain adalah satu kerja yang amat hina. Nabi S.A.W. menerangkan di akhirat kelak, orang yang suka meminta-minta akan dibangkitkan dalam rupa yang huduh dan buruk. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Seseorang yang sering meminta-minta (kepada orang lain), apabila dia bertemu dengan Allah (di akhirat), di wajahnya tidak ada walau seketul daging.”[9]
Hadith ini menunjukkan kepada kita orang yang suka meminta-minta akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan hina sehingga dia berhadapan dengan Allah dalam keadaan tidak memiliki wajah. Atau dalam keadaan mukanya tidak berdaging sebaliknya hanya tulang dan tengkorak muka sahaja yang ada sebagai tanda kehinaan kerana dosanya yang suka menghadapkan mukanya tanpa rasa malu dan meminta-minta dari orang lain.[10]
Oleh sebab itu Islam melarang umatnya tidak bekerja dan bersikap malas. Seterusnya mengarahkan kita supaya rajin berusaha dan bekerja keras yang merupakan sebab kepada kejayaan dan kemuliaan di dunia. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan kami adakan bagi mu di muka bumi itu (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah daripada kamu yang bersyukur.”[11]
Para pelajar sekelian.
Rajin berusaha dan sanggup bekerja keras ini adalah satu sifat yang amat penting dan mulia. Allah S.W.T. mengarahkan kita berusaha untuk mendapatkan kebaikan di dunia beriringan selepas Allah menyuruh kita munaikan solat. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Maka apabila kamu selesai menunaikan solat (fardhu Jumaat), maka bertebaranlah ke atas muka bumi, dan carilah kelebihan daripada Allah, dan ingatilah Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya.”[12]
Allah Menyukai Tangan yang Melakukan Kerja
Para pelajar sekelian.
Allah S.W.T. dan Rasul S.A.W. amat suka kepada orang yang rajin berusaha dan sanggup bekerja keras. Sekalipun dengan kerja keras itu menyebabkan tangannya menjadi kasar.
Satu ketika, sesudah Nabi dan para sahabat pulang dari peperangan Tabuk. Salah seorang sahabat baginda yang bernama Mu’az bin Jabal datang bertemu dengan baginda dan bersalaman dengan baginda. Ketika bersalaman itu baginda S.A.W. dapat merasakan tapak tangan Mu’az agak kasar, lalu Baginda bertanya:
“Telah menjadi kasar tangan engkau, wahai Mu’az?” Mu’az menjawab: “Ya, wahai Rasulullah S.A.W., Ia kerana saya bekerja menggunakan alat memajak untuk membiayai keluarga saya.”
Lalu Rasulullah S.A.W. mencium Mu’az sambil bersabda:
“Tangan mu ini, disayangi oleh Allah.” Seterusnya Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Mana-mana lelaki berusaha mencari harta yang halal, untuk diberi makan dan pakaian kepada dirinya dan orang lain, perkara itu merupakan sedekah baginya.”[13]
Baginda S.A.W. juga bersabda di dalam hadith yang lain: “Sesungguhnya makanan yang lebih baik di makan oleh seseorang adalah dari usahanya sendiri.”[14]
Ini menunjukkan Nabi tidak suka kita meminta-minta dari orang lain. Kerana perbuatan meminta-minta ini adalah kerja orang-orang yang malas.
Para pelajar sekelian.
Lihatlah… bagaimana Nabi S.A.W. benar-benar mahukan kita menjadi umat yang rajin berusaha dan bekerja keras. Ini kerana sikap malas dan tidak mahu berusaha itu merupakan jalan kepada kehinaan, sedangkan rajin berusaha dan bekerja keras itu adalah jalan kepada kejayaan dan kemuliaan. Maka Allah S.W.T. dan Rasul S.A.W. mahukan kita umat Islam menjadi umat yang rajin berusaha dan bekerja keras.
Oleh itu, marilah kita semua menjadi orang yang rajin berusaha dan bekerja keras melaksanakan setiap tanggungjawab kita. Supaya memperolehi kehidupan yang baik di dunia dan balasan pahala di akhirat. Firman Allah S.W.T:
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan melakukan amalan yang soleh dari kalangan kamu, bahawa DIa sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana DIa telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…”[15]
Rajin Berusaha dan Bertawakkal
Bertawakkal bermaksud menyerahkan segala urusan kepada Allah S.W.T.
Tawakkal bukan bermakna menyerahkan semuanya kepada Allah tanpa perlu berusaha dan bekerja keras. Ini adalah kefahaman yang salah. Sebaliknya Tawakkal perlu didahulukan dengan berusaha keras.
Para pelajar sekelian. Bagaimanakah cara untuk kita berjaya?
Caranya ialah, kita perlulah melakukan sebab-sebab yang boleh membawa kepada kejayaan. Sebagai contoh, jika para pelajar lapar, para pelajar perlulah makan, kerana makan itu adalah sebab yang membawa kepada kenyang. Bolehkah kamu semua berkata saya tak payah makanlah, saya bertawakkal sahaja kepada Allah?
Tentu tidak boleh, kerana untuk kenyang, Allah menyuruh kita mencari sebab yang boleh menjadikan kita kenyang, iaitulah dengan mengambil makanan.
Demikian juga untuk berjaya. Kita perlulah rajin berusaha dan bekerja keras, kerana rajin dan bekerja keras itu merupakan sebab kepada kejayaan, seterusnya barulah kita bertawakkal. Inilah yang disuruh oleh Allah S.W.T.
Sebahagian orang, ada berkata. Kita tidak perlu bekerja keras di dunia sebaliknya kita hanya perlu beribadah sebanyak mungkin. Benarkah begitu?
Ketahuilah para pelajar sekelian…
Sesungguhnya dakwaan ini bukan dari agama Islam. Dakwaan ini diucapkan oleh orang yang malas dan suka berputus asa. Sebenarnya umat Islam disuruh rajin berusaha dan bekerja keras untuk memperbaiki keadaan diri sendiri dan umat Islam keseluruhannya.
Umat Islam yang berjaya dalam kehidupannya, bermakna dia telah meletakkan diri dia dan agama Islam di tempat yang mulia. Bukankah kejayaan itu satu kemuliaan?
Islam tidak mahu penganutnya menjadi seorang rahib. Tahukah para pelajar sekelian, siapakah yang dinamakan sebagai Rahib? Rahib ialah individu yang hanya sibuk beribadah dan tidak mahu kepada dunia. Islam tidak mahu penganutnya meninggalkan dunia.
Sebaliknya agama Islam menyuruh kita melakukan amalan baik yang berfaedah. Jika ia dilakukan dengan bersungguh dan mengharapkan balasan Allah, ia juga dikira sebagai ibadah. Allah S.W.T. berfirman:
“…Dia mengetahui bahawa akan ada di kalangan kamu orang-orang yang sakit dan yang lainnya berjalan di muka bumi mencari sebahagian daripada kurniaan Allah dan orang-orang lain yang berperang di jalan Allah…”
Para pelajar sekelian… cuba para pelajar buka tafsir al-Quran dengan bimbingan ibu-bapa ataupun guru dan lihat pada surah al-Muzammil ayat 20.
Ayat ini bercerita tentang galakan menunaikan solat pada malam hari. Namun Allah menegaskan, Dia mengetahui akan ada sebahagian daripada kita yang tidak dapat menunaikan solat malam kerana disebabkan sakit, mencari rezeki daripada Allah atau berjihad di jalanNya.
Ini menunjukkan Allah S.W.T. tidak mencela orang-orang yang mencari rezeki untuk kehidupan dunianya sehingga dia terpaksa meninggalkan solat malam yang amat besar kelebihannya kerana keletihan.
Lebih hebat dari itu Allah menggandingkan sebab keletihan mencari rezeki ini dengan berjihad di jalan Allah apabila ia dilakukan dengan bersungguh dan mengharapkan keredhaan dan balasan daripada Allah S.W.T.
Ada diriwayatkan seorang lelaki pernah berkata kepada al-Hasan al-Basri[16]:
“Sesungguhnya saya akan membaca keseluruhan al-Quran pada siang hari.”
Mendengar perkataan lelaki itu, al-Hasan al-Basri menasihatinya dengan berkata:
“Bacalah al-Quran di waktu pagi dan petang (bukan sepanjang hari), dan jadikan hari siang kamu untuk bekerja, sesungguhnya Allah S.W.T. menjadikan siang hari untuk berusaha dan bekerja, dan Dia berfirman: “Dan Kami telah jadikan siang untuk mencari penghidupan.”[17]
Malas Menunaikan Solat Adalah Dosa Besar
Para pelajar sekelian.
Malas menunaikan solat adalah satu kesalahan dosa yang besar. Ini kerana perintah menunaikan solat adalah arahan daripada Allah S.W.T. tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dan mengatur urusannya. Allah S.W.T. berfirman:
“Peliharalah kamu semua akan fardhu-fardhu solat dan solat ‘Asar.”[18]
Allah S.W.T. juga mencela orang-orang yang menunaikan solat dalam keadaan malas dan tidak bersungguh-sungguh.
FirmanNya: “Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima nafkah-nafkah mereka, melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan rasulNya dan mereka tidak mengerjakan solat melainkan dalam malas dan tidak pula menafkahkan (harta) mereka melainkan dalam keadaan terpaksa.”[19]
Ayat ini menceritakan Allah tidak akan menerima nafkah dari orang yang malas menunaikan solat di akhirat kelak. Ini menunjukkan Solat adalah satu perkara yang amat besar di dalam Islam. Ia sama sekali tidak boleh dipisahkan dari setiap orang Muslim. Nabi S.A.W. bersabda:
“Perbezaan diantara seorang muslim dengan yang bukan muslim adalah mendirikan solat.”
Di dalam hadith yang lain baginda bersabda:
“Jika kamu melihat seorang membiasakan diri sentiasa ke masjid, maka saksikanlah dia seorang yang beriman.”[20]
Para pelajar sekelian, siapakah orang-orang yang beriman? Orang-orang yang beriman ialah mereka yang disayangi oleh Allah S.W.T.
Para pelajar sekelian. Jadilah orang-orang yang disayangi oleh Allah S.W.T. dengan rajin menunaikan solat dan menjauhi sifat malas.
Hukum Bersikap Malas
Malas hukumnya adalah haram. Bermakna orang yang malas telah melakukan satu kesalahan kepada Allah S.W.T. dan dia dikira telah melakukan dosa dan dia berhak mendapat azab di akhirat kelak jika dia berterusan dalam keadaan malas.
Islam mahu umatnya berada pada kedudukan yang tinggi dan mulia di kalangan umat lain. Kemuliaan dan ketinggian ini tidak akan tercapai melainkan dengan memperolehi ilmu.
Cara Mengubati Sikap Malas
- Berusaha melakukan kerja yang bermanfaat seperi membaca buku, menolong ibu-bapa, mengemas bilik dan seumpamanya.
- Membiasakan diri bangun tidur awal pagi kerana ketika awal pagi itu adanya keberkatan dan kebaikan. Nabi S.A.W. bersabda:
اللّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا
“Ya Allah, berilah keberkatan kepada umatku di waktu awal pagi mereka.”
- Memohon supaya Allah membantu kita dalam usaha menjadi seorang yang rajin.
- Mencontohi orang-orang yang berjaya, kerana mereka adalah orang-orang yang rajin. Mencontohi mereka akan menjadikan kita seperti mereka.
Pesanan
- Biasakanlah diri bangun awal pagi supaya dapat memanfaatkan waktu pagi dan dapat memperolehi keberkatan hari tersebut seperti doa Nabi S.A.W.
- Belajarlah bersungguh-sungguh. Kerana kejayaan itu tidak akan datang berterbangan kepada kita. Sebaliknya kejayaan diperolehi dari usaha yang bersungguh tanpa jemu.
- Jangan berkawan dengan orang-orang yang malas. Kerana seseorang biasanya akan terikut sikap kawannya. Jika kawannya orang yang malas ia akan menjadi seorang yang malas. Oleh itu pilihlah kawan-kawan yang rajin belajar dan bersungguh-sungguh, kita akan menjadi seperti mereka juga.
- Biasakan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Jangan biasakan diri dengan melepak tanpa sebarang aktiviti. Ingat:
“Aktiviti itu mendatangkan keberkatan, melepak itu membinasakan diri dan malas itu mendatangkan kecelakaan.”
- Jangan abaikan kewajipan agama seperti solat dan seumpamanya disebabkan sibuk dengan melakukan kerja-kerja yang lain. Perbuatan ini akan merugikan kita di akhirat kelak dan akan menimbulkan kemurkaan Allah S.W.T.
- Ketahuilah para pelajar sekelian, malas itu akan menjauhkan kita dari kebaikan. Untuk itu hendaklah kita berusaha sedaya upaha menjadi orang yang rajin, kerana kerajinan itu mendekatkan kita kepada kebaikan.
- Berusaha melakukan kerja yang dapat memberi kebaikan kepada orang lain, seperti menolong kawan-kawan dalam memahami pelajaran dan seumpamanya.
-----------------------------------------------------------
[1] H.R. Ahmad
[2] H.R. Ahmad
[3] Di sebut oleh al-Ghazali di dalam Ihya ‘Ulum al-Din 2/65
[4] Hadith ini disahihkan oleh al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’, 3/10
[5] Al-Nahl: 78
[6] Al-‘Alaq: 1
[7] Hadith disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah, 184
[8] H.R. Muslim
[9] Al-Bukhari dan Muslim
[10] Lihat Syarah Sahih Muslim
[11] Al-A’raf: 10
[12] Al-Jumu’ah: 10
[13] H.R. Ibn Hibban di dalam Sahihnya. Namun al-Albani menilai hadith ini sebagai Lemah. Lihat Dhaief al-Targhib wa al-Tarhib, bil 1069
[14] Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil, 2162.
[15] Al-Nur: 55
[16] Al-Hasan al-Basri adalah seorang ulama umat Islam.
[17] Al-Naba’: 11
[18] Al-Baqarah: 238
[19] Al-Taubah: 54
[20] Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan katanya: “Hadith ini Hasan Gharib.”