Ikhlas Kepada Allah SWT

Pengertian Ikhlas

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh para pelajar sekelian.

Kali ini kita akan berbicara apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas. Pasti para pelajar biasa mendengar ibu, bapa dan guru-guru menyebut perkataan ihklas. Tetapi apakah makna sebenarnya? Untuk itu, mari kita belajar tentang ikhlas dan berusaha menjadi seorang yang ikhlas. Di samping itu  kita mempelajari kisah-kisah yang boleh dijadikan pengajaran yang ada kaitannya dengan ikhlas.

           Ikhlas merupakan salah satu daripada akhlak yang mulia, ia juga  merupakan salah satu sifat yang perlu ada bagi setiap Muslim yang taat kepada Allah S.W.T.[1] Lebih penting dari itu, ia merupakan asas utama sesuatu amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah S.W.T. Ini bermakna, tanpa ikhlas, sesuatu amalan tidak akan diterima oleh Allah S.W.T.

Para pelajar sekelian. Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas ini?

            “Ikhlas ialah kita melakukan ibadah atau amal perbuatan kerana Allah S.W.T. dengan kita niatkan melakukan perbuatan tersebut untuk beribadah (mendekatkan diri kepada Allah), taat kepada perintahNya dan mengharapkan pahala daripadaNya.”

            Allah S.W.T. telah mengarahkan kita, melakukan semua perbuatan dan amalan dengan ikhlas. Cuba para pelajar buka tafsir al-Quran berbahasa Malaysia dengan bimbingan guru atau ibu-bapa, dan lihat pada surah al-Zumar iaitu surah yang ke 39 pada ayat 11. Di bawah ini disertakan ayat al-Quran yang mulia itu beserta maksudnya:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

Allah S.W.T. memerintahkan Nabi S.A.W.[2] menyampaikan kepada kita dengan mengatakan, maksudnya: “Katakan, sesungguhnya saya diperintahkan (oleh Allah S.W.T) untuk menyembah Allah dan mengikhlaskan ibadah kepadaNya.”

            Oleh sebab itu, Rasulullah S.A.W. mengajarkan kepada kita, ketika berbicara dengan Allah di dalam solat, iaitu ketika kita membaca doa al-Istiftah untuk menyebut:

إنَّ صَلَاتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hudupku dan matiku adalah untuk Allah tuhan yang mencipta dan mentadbir sekelian Allah.”

Untuk itu para pelajar sekelian.

            Dengan melakukan ibadah dan amal perbuatan lainnya secara ikhlas, kita berhak mendapat pahala daripada Allah dan mendapat keredhaan daripadaNya. Di bawah ini akan diceritakan beberapa kisah sebagai pengajaran kepada kita agar ikhlas dalam melakukan semua ibadah dan amal perbuatan yang lainnya.

 

Kisah Pertama: Tiga Orang Yang Terawal Disoal di Akhirat

Di dalam sebuah hadith, Nabi S.A.W. menceritakan kepada kita tentang kisah tiga orang yang mula-mula akan ditanya oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak. seorang daripada mereka ialah pembaca al-Quran, yang kedua iailah seorang yang kaya, dan yang ketiga seorang pejuang yang berkorban di jalan Allah. Rasulullah S.A.W. menceritakan:

           Allah S.W.T. bertanya kepada seorang yang pandai membaca al-Quran: “Bukankah Aku telah menjadikan kamu pandai (membaca) al-Quran yang Aku turunkan kepada Rasul-Ku.?” Jawab lelaki itu: “Benar, wahai Tuhanku.” Lalu Allah S.W.T. bertanya kepadanya: “Oleh itu, apakah yang telah kamu lakukan dengan ilmu kamu itu?” Jawab lelaki itu lagi: “Saya membacanya setiap malam dan siang hari.” Lalu Allah S.W.T. berfirman kepadanya: “Engkau berdusta, sebaliknya kamu lakukan semua itu supaya orang ramai memuji kamu dengan berkata: Kamu seorang yang pandai dan rajin memaca al-Quran, dan sesungguhnya kamu telah perolehi pujian itu (ketika di dunia dahulu)”

           Kemudian dihadapkan pula seorang yang kaya. Lalu Allah S.W.T. bertanya kepadanya: “Bukankah Aku telah perbanyakkan harta engkau, sehingga engkau tidak perlu meminta kepada orang lain?” orang itu menjawab: “Benar wahai Tuhan-ku.” Allah bertanya kepada orang ini: “Apa yang telah engkau lakukan dengan pemberian Aku itu?” lelaki itu menjawab: “Saya telah menyambungkan Silatur Rahim dan saya sudah bersedekah.” Lalu Allah berfirman; “engkau berdusta, sebalinya engkau lakukan semua itu supaya orang ramai memuji engkau dengan berkata: engkau seorang yang pemurah, dan sesungguhnya kamu telah perolehi pujian itu (ketika di dunia).

           Kemudian dihadapkan pula seorang yang mati kerana berjuang di jalan Allah. Lalu Allah bertanya kepadanya: “Kerana apa engkau mati?” orang itu menjawab: “Saya diarahkan untuk berjihad pada jalan-Mu, lalu sayapun bertempur sehinggalah saya dibunuh oleh musuh.” Kemudian Allah S.W.T. menjawab: “engkau berdusta, sebaliknya engkau berjihad kerana mahukan orang memuji engkau dengan mengatakan engkau seorang yang berani, dan sesungguhnya engkau telah mendapat pujian itu (di dunia dahulu).  Kemudian Allah S.W.T. mengarahkan malaikat mencampakkan mereka bertiga ke dalam neraka.[3] 

Allah berfirman di dalam al-Quran:

أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Mereka itu adalah orang-orang yang tidak akan memperolehi apa-apa di akhirat melainkan azab neraka, dan terbatallah semua yang telah mereka lakukan (di dunia) dan palsulah semua yang telah mereka kerjakan dahulu (di dunia).[4] 

 

Kisah Kedua: Wajah Yang Cantik 

            Satu ketika, ketika  Rasulullah S.A.W. bersiap sedia untuk keluar berperang dengan orang-orang musyrikin.[5] Datang seorang lelaki berkulit hitam menemui baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku seorang lelaki yang berkulit hitam dan berbau busuk, rupaku hodoh dan aku tidak mempunyai harta. Sekiranya aku memerangi orang-orang musyrik (dengan ikhlas dan mengharapkan balasan dari Allah) sehingga aku terbunuh, dimanakah tempat aku di akhirat kelak?

            Lalu Nabi S.A.W. menjawab: “Tempat engkau di akhirat kelak, di dalam syurga.”   Lalu lelaki ini menyertai Nabi S.A.W. dan beliau berperang dengan bersungguh sehinggalah dia dibunuh di dalam peperangan tersebut. Setelah selesai berperang jenazah lelaki itu dibawa kepada Nabi S.A.W. lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memutihkan wajah engkau, menjadikan engkau berbau wangi dan menjadikan engkau kaya.”[6]

 

Kisah Ketiga: Doa Menghilangkan Riya’

          Para pelajar sekelian. Sesiapa yang melakukan apa-apa ibadah tetapi tidak ikhlas kerana Allah S.W.T. seperti riak (menunjukkan-nunjuk), bermakna dia telah melakukan syirik yang kecil, iaitu dia telah menduakan Allah dengan melakukan ibadat kerana tujuan yang lain. Syirik yang kecil ini amat sukar dijauhi. Bagaimanakah caranya untuk kita menjauhinya? Mari kita lihat apakah petunjuk Nabi S.A.W. dalam persoalan ini.

            Satu hari seorang sahabat Nabi S.A.W. yang bernama Abu Musa al-Asy’ari R.A.[7] berkhutbah. Beliau berkata: “Wahai sekelian manusia,berhati-hatilah terhadap syirik, kerana sesungguhnya ia lebih sukar dikesan berbanding seekor semut yang merayap.” Abu Musa menyambung dengan berkata:

            “Suatu hari Rasulullah S.A.W. pernah berkhutbah kepada kami, dan baginda bersabda: Wahai sekelian manusia, berhati-hatilah terhadap syirik, sesungguhnya ia lebih sukar dikesan berbanding seekor semut yang merayap.” Kemudian salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W.:

“Wahai Rasulullah, Bagaimanakah kami hendak berhati-hati darinya, sedangkan ia lebih sukar dikesan berbanding seekor semut yang merayap?” Lalu baginda bersabda: kamu semua bacalah doa:

اللَّهُمَّ إنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ أنْ نُشْرِكَ بِكَ شَيْئًا نَعْلَمُهُ وَنَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا نَعْلَمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan kepada Engkau dari kami mensyirikkan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui, dan kami memohon keampunan kepada Engkau dari kami mensyirikkan Engkau dengan sesuatu yang tidak kami sedari.”

Para pelajar sekelian, marilah sama-sama kita memahai dan mengamalkan  doa ini dalam kehidupan seharian kita.

 

Kisah Keempat: Orang Yang Berhijrah Kerana Ummul Qais

Para pelajar sekelian.

          Dahulu di dalam masyarakat Arab, terdapat seorang lelaki yang ingin berkahwin dengan seorang wanita mulia yang bernama Ummul Qais. Akan tetapi keluarga wanita tersebut tidak bersetuju kerana lelaki tersebut bukan dari golongan yang setaraf dengan mereka.

            Ketika Nabi S.A.W. menyeru masyarakat Arab kepada agama Islam. Ummul Qais adalah antara wanita yang menerima ajakan Nabi tersebut dan beliaupun memeluk Islam. Apabila turunnya perintah daripada Allah S.W.T. agar umat Islam ketika itu berhijrah ke Madinah, kerana mereka ditindas dan sebahagiannya dibunuh di Mekah. Ummul Qais turut serta berhijrah ke Madinah meninggalkan kampung halamannya.

            Kesempatan ini digunakan oleh lelaki yang hendak mengahwini Ummul Qais, dia juga berhijrah dengan harapan dapat berkahwin dengan Ummul Qais, wanita yang dicintainya. Oleh kerana tujuan hijrahnya agar dapat berkahwin dengan Ummul Qais, para sahabat Nabi S.A.W. menggelarkannya dengan gelaran Muhajir li Ummil Qais (Dia yang berhijrah kerana Ummil Qais), kerana hijrahnya bukan kerana Allah dan Rasul sebaliknya untuk mengahwini wanita yang dicintainya.

            Apabila kisah lelaki ini diceritakan kepada Nabi S.A.W. lalu baginda bersabda:

            “Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niatnya, dan sesungguhnya setiap orang itu berdasarkan apa yang dia niatkan, sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka dia akan memperolehi pahala dan keredhaan daripada Allah dan RasulNya, akan tetapi sesiapa yang hijrahnya bertujuan memperoleh habuan dunia atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, hijrahnya akan hanya memperolehi apa yang dia maksudkan.”[8]  

 

Kisah Kelima: Kalimah Ikhlas 

Suatu hari, ketika Nabi S.A.W. sedang duduk bersama dengan para sahabat, baginda bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan lailaha illa Allah – لَا إلهَ إلَّا الله - (tidak ada sembahan melainkan Allah) dengan ikhlas, dia akan masuk ke dalam syurga.”  

Lalu para sahabat bertanya kepada baginda: “Bagaimana ikhlas itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Ungkapan yang diucapkan itu (beserta kefahaman dan keyakinan kepada Allah) menghalangnya dari melakukan apa-apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya.”

 

Kisah Keenam: Sembahyang yang tertolak 

            Suatu hari Nabi S.A.W. bersabda: “Wahai sekelian manusia, hati-hati kamu daripada syirik yang tersembunyi.” Para sahabat bertanya kepada baginda: “Apakah syirik yang tersembunyi itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang berdiri menunaikan sembahyang, dia bersungguh-sungguh memperelokkan sembahyangnya kerana orang ramai melihatnya. Inilah syirik yang tersembunyi.”

            Para pelajar sekelian. Nabi S.A.W. melarang kita memperelokkan sembahyang untuk dilihat oleh orang ramai, jika kita menunaikan sembahyang sendirian kita lakukannya secara buruk dan kita tidak memperelokkanya. Maka setiap orang, hendaklah berusaha memperbaiki sembahyangnya kerana mengharapkan keredhaan daripada Allah S.W.T. samaada ketika kita bersendirian ataupun di hadapan orang ramai. Di dalam sebuah hadith yang lain Nabi S.A.W. bersabda:

“Sesaiapa yang memperelokkan sembahyangnya ketika dilihat oleh orang ramai, dan ketika dia bersendirian, dia tidak memperelokkan sembahyangnya, demikian itu adalah perbuatan meringankan sembahyang, Tuhannya juga meringankan (tidak menerima) sembahyangnya.”

 

Kisah Ketujuh: Pahala Orang Yang Ikhlas

Dalam satu peperangan, terdapat beberapa sahabat Nabi S.A.W. yang tidak dapat ikut serta disebabkan kemiskinan. Mereka tidak dapat menyediakan kenderaan untuk membantu pemergian mereka ke medan perang. Setelah puas mereka berusaha mendapatkannya, meminta pertolongan dari Nabi dan sebagainya, namun malangnya kenderaan tersebut tidak dapat disediakan juga untuk mereka. Mereka pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan yang sedih kerana tidak dapat menyertai peperangan.

Melihat keikhlasan dan kesungguhan mereka. Nabi S.A.W. memberikan khabar gembira dengan mengatakan:

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat beberapa golongan di Madinah yang kita tinggalkan, mereka tidak menempuh lembah yang kita tempuh, akan tetapi mereka bersama dengan  kita memperolehi pahala. Mereka tidak dapat turut serta kerana adanya halangan.”

  

Penutup

Para pelajar sekelian.

Diharapkan anda semua dapat memahami maksud ikhlas seterusnya berusaha menjadi orang yang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah dan mengharapkan balasan pahala daripadaNya.  Sesiapa yang ikhlas, dia akan dikasihi dan disayangi oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. mengarahkan orang Islam untuk berusaha untuk berjaya. Oleh itu orang yang ikhlas akan dimudahkan untuknya memperoleh kejayaan. Dia tidak mengharapkan pujian dan balasan dari kesungguhan dan kerajinannya. Sebaliknya dia yakin Allah akan meredhainya dan akan memberi balasan kepadanya.

Sekian, Selamat beramal.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam