Malu
Para pelajar sekelian.
Seorang muslim yang sebenar adalah seorang yng memiliki sifat malu. Ini kerana malu adalah salah satu daripada cabang iman seperti yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w.
إنَّ لِكُلِّ دِيْنٍ خُلُقًا، وَخُلُقُ الْإِسْلَامِ الْحَيَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap agama itu ada akhlaknya, dan akhlak Islam itu ialah malu.”
Oleh itu para pelajar sekelian, marilah kita menjadikan malu itu sebahagian daripada akhlak kita. Orang yang memiliki sifat malu akan disayangi oleh Allah s.w.t.
Seorang muslim yang ada perasaan malu akan sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. dan akan menghiasi dirinya dengan rasa takut melanggar perintah Allah s.w.t. dan akan berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNYa. Dia akan berasa malu untuk melakukan sebarang maksiat kerana dia sedar Allah s.w.t. sentiasa memerhatikannya walau dimana sahaja dia berada.
Orang yang melanggar arahan Allah dan melakukan larangannya adalah orang yang kurang rasa malunya kepada Allah. Kita memohon kepada Allah supaya menyelamatkan kita dari termasuk di dalam kalangan orang yang hilang rasa malu.
Para pelajar sekelian.
Alangkah mulianya seorang muslim yang memiliki rasa malu dengan sesama muslim yang lain. Orang yang memiliki sifat malu tidak akan melihat perkara-perkara yang tidak baik, dia tidak akan berbicara perkara-perkara yang buruk dan dia tidak akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang buruk dan kotor. Dia malu kepada Allah dan malu kepada kawan-kawannya jika dia melanggar arahan Allah s.a.w.
Cuba para pelajar perhatikan beberapa kisah ini sebagai pengajaran.
Malu Menghalangnya dari berbohong
Satu ketika, Abu Sufian bin Harb bersama ahli rombongan perniagaannya singgah di negeri Syam untuk berniaga. Ketibaan mereka ke negeri Syam diketahui oleh raja Syam ketika itu yang dipanggil Hirekel. Lalu dia menghantar utusan kepada mereka, menjemput kesemua mereka hadir menghadapnya di istana. Abu Sufian bersama ahli rombongannya menerima jemputan maharaja tersebut.
Sesampai sahaja Abu Sufian bersama rombongannya di Istina raja. Raja itu bertanya kepada Abu Sufian:
Maharaja Rom: “Siapakah di kalangan kamu yang memiliki hubungan nasab yang lebih hampir dengan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Nabi?”
Tahukah para pelajar sekelian, siapakah lelaki yang dimaksudkan oleh maharaja tersebut? Tidak lain dan tidak bukan, beliau ialah Muhammad bin Abdillah s.a.w. Nabi kita yang mulia. Lalu Abu Sufian menjawab:
Abu Sufian: “Aku adalah orang yang lebih hampir nasab dengannya.”
Lalu maharaja Rom berkata: “Hampirkan dia kepadaku.” Lalu ahli rombongan perniagaan yang lainnya terdiri dari orang-orang Arab Quraisyh arahkan ke belakang, dan membiarkan Abu Sufian berdiri di hadapan untuk berbicara dengan maharaja Rom. Maharaja Rom berkata kepada Ahli Rombongan yang bersama Abu Sufian:
Maharaja Rom: “Aku akan bertanya kepada lelaki ini (Abu Sufian), jika dia berbohong, janganlah kamu membenarkannya.”
Mendengar perkataan Maharaja Rom itu, Abu Sufian berkata sendirian: “Demi Allah, sekiranya bukan kerana malu, dari aku dikatakan orang yang berdusta, sudah tentu aku akan berdusta.”
Setelah itu Maharaja Rom bertanyakan beberapa soalan kepada Abu Sufian dan Abu Sufian menjawab kesemua soalan itu dengan benar tanpa berdusta.
Tahukan para pelajar sekelian…?
Ketika peristiwa ini berlaku, Abu Sufian bukanlah seorang Muslim, bahkan dia termasuk antara orang yang menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Namun ketika berlakunya peristiwa Fath al-Makkah, Allah telah memberi hidayah kepada Abu Sufian dan akhirnya dia memeluk Islam dan menjadi salah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang baik.
Keberanian dan Sifat Malu Seorang Tentera Islam
Para pelajar sekelian!
Seorang pemalu tidak semestinya seorang penakut. Sebaliknya kita hendaklah menjadi seorang yang berani, dalam masa yang sama kita memiliki sifat malu yang bersesuaian dengan tuntutan agama Islam yang mulia.
Mari kita lihat bagaimana sifat keberanian dan pemalu yang ada pada salah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama ‘Ali ibnu Abi Tolib r.a.
Kisah ini berlaku ketika terjadinya peperangan Khandak. Iaitulah peperangan antara umat Islam yang berhadapan dengan puluhan ribu tentera musuh yang berpakat untuk menyerang mereka di Madinah.
Setelah mengetahui perancangan musuh. Nabi s.a.w. menghimpunkan para sahabat baginda untuk berbincang bagaimanakah tindakan yang wajar diambil untuk mempertahankan Madinah dan umat Islam yang menetap di dalamnya. Hasil dari perbincangan tersebut, Nabi s.a.w. dan semua para sahabat bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh seorang sahabat yang mulia bernama Salman al-Farisi r.a. iaitulah dengan cara menggali parit besar mengelilingi Madinah sebagai benteng menghalang tentera musuh masuh dari masuk ke dalam kampung halaman mereka.
Ketika peperangan, para musuh umat Islam terkejut melihat parit besar yang digali mengelilingi kota Madinah. Sebahagian daripada mereka mencari-cari bahagian parit yang agak kecil untuk dapat terus mara ke hadapan. Akhirnya salah seorang daripada mereka yang bernama ‘Amr bin ‘Abd Wadd berjaya melepasi parit tersebut, seterusnya dia mencabar salah seorang daripada tentera Islam untuk beradu pedang dengannya.
Lalu cabarannya disahut oleh Saidina ‘Ali r.a. setelah mendapat keizinan dari dari Nabi s.a.w. Akhirnya Saidina ‘Ali r.a. berjaya mengalahkan ‘Amr bin ‘Abd Wadd, seraya kembali ke kumpulan tentera muslim dengan bertakbir dan bertahlil. Setelah itu Saidina ‘Umar r.a. berkata kepada Saidina ‘Ali, mengapa engkau tidak mengambil baju besi yang dipakai olehnya? Lalu Saidina ‘Ali berkata: “Ketika aku mengalahkannya, dia terjatuh dan auratnya terbuka, lalu aku berasa malu untuk mengambil baju besinya.”
Lihatlah para pelajar sekelian. Walaupun Saidina ‘Ali r.a. berjaya mengalahkan musuhnya, namun beliau berasa malu untuk mengambil baju besi musuhnya yang tewas itu disebkan rasa malu melihat aurat musuhnya yang terbuka.