SDI 0665: Tidak Dibawa Kanak-Kanak Belum Mumayyiz Ke Masjid

Soalan:
Sekarang ni ada ibu-bapa yg membawa anak mereka ke masjid sekalipun anak-anak mereka masih kecil. Akibatnya anak-anak tersebut hanya akan mengganggu para jemaah masjid utk solat.

Apakah cara ini bertepatan dengan sunnah. Tkg ustaz jelaskan. Terima kasih.

Jawapan:

Kanak-kanak yang dianjurkan dibawa ke masjid adalah kanak-kanak yang telah mencapai umur mumayyiz. Sila dapatkan risalah terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis "Panduan Membawa Kanak-Kanak Ke Masjid".

Para ulama berbeza pandangan bilakah seorang kanak-kanak dikira mumayyiz? Sebahagian berpandangan berdasarkan umur iaitulah kanak-kanak yang mencecah umur 7 tahun, berdasarkan hadis menyuruh anak menunaikan solat apabila berumur 7 tahun. 

Sebahagian ulama yang lain pula berpandangan anjuran di dalam hadis supaya menyuruh anak yang berumur 7 tahun menunaikan solat adalah anjuran dari sudut kebiasaan, iaitulah pada kebiasaannya kanak-kanak akan bijak dan mula dapat memahami pada umur 7 tahun. Hadis bukan bermaksud memberi penetapan umur mumayyiz kanak-kanak.

Oleh itu, jika seorang kanak-kanak didapati telah menjadi bijak dan memahami tunjuk ajar pada umur sebelum 7 tahun, maka ketika itu, kanak-kanak tersebut dikira mumayyiz sekalipun umurnya baru mencecah 6 atau 5 tahun.

Oleh yang demikian kanak-kanak yang dianjurkan dibawa ke masjid adalah kanak-kanak yang dapat memahami adab-adab masjid. Pernah ditanya kepada Imam Malik tentang kanak-kanak yang dibawa ke masjid. Beliau menjawab:

Maksudnya: "Jika kanak-kanak itu tidak bermain kerana dia masih kecil, dan menolak (enggan patuh) apabila ditegah (bermain di dalam masjid), maka aku berpandangan kanak-kanak itu tidak mengapa dibawa ke masjid. Jika dia bermain kerana umurnya yang masih kecil, aku berpandangan ia tidak dibawa ke masjid." (alMudawwanah 1/195)

Justeru kanak-kanak yang belum mencapai umur mumayyiz TIDAK WAJAR dibawa ke masjid, kerana dia akan mengganggu jemaah lain beribadah kepada Allah. Melainkan ketika ada keperluan yang mendesak.


Cetak  
Wallahu a'lam