Menghentikan Operasi Jual-Beli Hari Jumaat

OPERASI AKTIVITI JUAL-BELI PADA WAKTU JUMAAT

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

-----------------------------------------------

1) Hukum Jual-Beli Waktu Jumaat

Terdapat tegahan berjual-beli pada hari Jumaat berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-Jumu‘ah: 9:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ﴾

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru kepada solat pada hari Jumu‘at, maka bersegeralah kamu semua kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Demikian itu lebih baik untuk kamu jika kamu semua mengetahui.”

Arahan meninggalkan jual beli dalam ayat al-Quran yang mulia ini membawa maksud tegahan berjual-beli. Oleh itu, tiada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama ayat ini menunjukkan hukum haram berjual-beli pada hari Juma‘at. Wujud perbezaan dalam menentukan bila tegahan haram itu berlaku, seperti berikut:

Pandangan pertama: Majoriti fuqaha termasuk al-Tahawi dari kalangan al-Hanafiyyah berpandangan larangan itu bermula dengan azan Jumaat yang diwarisi dari Nabi SAW, iaitulah azan yang dilaungkan di hadapan mimbar setelah khatib berada di atas mimbar. Azan Jumaat ini disebut sebagai azan kedua dalam kalangan ulama al-Malikiyyah dan al-Hanabilah. Dalil bagi pandangan ini antaranya berdasarkan hadis al-Sa’ib bin Yazid (السَّائِب بْن يَزِيد) RA yang berkata:

كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ، عَلَى عَهْدِ رَسُول اللَّهِ ﷺ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رضي الله عنه، فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رضي الله عنه وَكَثُرَ النَّاسُ، زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ – وفي رواية - زَادَ الثَّانِيَ – وفي رواية - عَلَى دَارٍ فِي السُّوقِ، يُقَال لَهَا: الزَّوْرَاءُ

Maksudnya: “Dahulunya azan pertama pada hari Jumaat apabila imam telah duduk di atas mimbar berlaku di zaman Rasulullah SAW, Abu Bakr, dan ‘Umar. Apabila zaman ‘Uthman dan orang semakin ramai, beliau menambah azan ketiga di al-Zaura – dalam satu riwayat – ‘Uthman tambah azan kedua – dalam satu riwayat lain – (azan tersebut) di atas sebuah rumah di pasar dinamakan al-Zaura’.” (al-Bukhari) Tambahan riwayat kedua terdapat dalam al-Bukhari. Tambahan riwayat ketiga terdapat dalam Ibn Majah.

Azan ketiga atau kedua dalam riwayat ini memaksudkan azan yang dikenali sebagai azan pertama pada hari ini. Ia disebut azan ketiga kerana mengambil kira iqamah sebagai azan seperti dalam hadis: بَيْنَ كُل أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ. Manakala di sebut sebagai azan kedua pula kerana tidak mengambil kira iqamah sebagai azan.

Pandangan kedua: Pandangan al-Asah dan al-Mukhtar di sisi al-Hanafiyyah dan pilihan Shams al-A’immah (al-Sarakhsi W490H), mengatakan jual-beli terlarang ketika azan pertama iaitulah azan yang dilaungkan di atas al-Manarah. Azan pertama ini apabila dilaungkan, maka wajib bersegera menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Pandangan ini juga yang diriwayatkan oleh al-Hasan (الحسن بن زياد اللؤلؤي) daripada Abu Hanifah, jika azan pertama itu dilakukan selepas zawal. Ta’lil yang diberikan ialah terhasilnya pemberitahuan (الإعلام) dengannya. Demikian juga jika ditunggu sehingga azan yang dilaungkan di sisi mimbar dan ketika khatib berada di atas mimbar, akan menjadi sebab tertinggalnya solat sunat dan mendengar (sebahagian) khutbah. Barangkali juga akan menyebabkan terluput Jumaat terutama bagi mereka yang tinggal jauh dari masjid.  Al-Tahtawi menukilkan pandangan penulis kitab al-Bahr al-Ra’iq yang mengatakan pandangan al-Tahawi adalah lemah.

Pandangan ketiga: Satu riwayat dari Imam Ahmad berdasarkan hikayatkan al-Qadhi yang berpandangan jual-beli diharamkan dengan zawal matahari, sekalipun imam masih belum berada di atas mimbar. Namun Ibn Qudamah menyatakan ia tidak benar dengan alasan, ayat al-Quran kaitkan larangan jual-beli dengan laungan azan bukan waktu, kerana tujuannya supaya dapat menyertai Jumaat dan ia terhasil dengan laungan azan sebaik imam berada di atas mimbar. Al-Quran tidak kaitkan dengan sesuatu waktu. Riwayat kaitkan larangan dengan zawal bersalahan dengan pandangan Ahmad tentang waktu solat jumaat yang bermula setelah zawal sehingga akhir waktu zohor.

 

2) Hukum Taklifi

2.1) Majoriti fuqaha berpandangan larangan berjual-beli apabila azan jumaat dilaungkan membawa hukum haram. Inilah hukum yang dinaskan di sisi Malikiyyah, Syafi‘e dan Hanabilah.

2.2) Hanafiah berpandangan makruh tahrim, ke atas pembeli dan penjual.

 

3) Quyud Haram Jual-Beli

3.1) Jual-beli dilakukan oleh mereka yang wajib Jumaat. Tidak haram ke atas orang perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.

3.2) Mereka yang berjual-beli mengetahui larangan aktiviti jual-beli.

3.3) Tiada keperluan mendesak (dharurah) untuk berjual-beli seperti seorang mudhtar terhadap makanan, jual-beli kafan untuk jenazah yang akan berubah jika ditangguhkan pengurusannya.

3.4) Jual-beli itu dilakukan apabila bermula azan khutbah.

 

4) Larangan Akad Selain Jual-beli Pada Hari Jumaat

Majoriti ulama berpandangan larangan tidak khas untuk akad jual-beli sahaja, bahkan ia merangkumi akad-akad lain seperti akad nikah dan lainnya. Secara ringkasnya seperti berikut:

4.1) Al-Hanafiah berpandangan wajib meninggalkan semua perkara yang boleh menyibukkan diri dari segera ke solat Jumaat.

4.2) Al-Malikiyyah berpandangan difasakh akad jual-beli, ijarah, tauliah, syarikah, iqalah dan syuf‘ah. Tidak termasuk akad nikah, hibah, sedekah, kitabah dan khulu’.

4.3) Al-Syafi‘iyyah berpandangan haram melakukan akad-akad dan kerja-buat lainnya yang boleh menyibukkan diri dari hadir jumaat.

4.4) Al-Hanabilah berpandangan haram melakukan perkara selain dari akad jual-beli seperti ijarah, sulh dan nikah yang berbentuk akad mu‘awadhah menyerupai dan ia menyerupai akad jual-beli. Pandangan al-Mazhab  di sisi al-Hanabilah mengkhususkan akad jual-beli pada hari jumaat sebagai haram dan tidak sah setelah syuru’ fi al-Azan al-Thani. Manakala akad-akad yang lain seperti nikah, ijarah, sulh dan seumpamanya seperti qardh, rahn, dhaman dan seumpamanya adalah sah. Ini kerana larangan menyebut jual-beli sahaja, maka akad lain tidak tidak boleh disamakan dengan larangan terhadap jual-beli disebabkan ia jarang berlaku. Maka tidak boleh keharusan akad-akad selain jual-beli dijadikan zari‘ah kepada terlepasnya jumaat. Justeru tidak boleh diqiyaskan dengan jual-beli.


5) Haram Jual-Beli Sehingga Selesai Solat Jumaat

Hampir tiada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama akan haramnya jual-beli ketika bermula azan dan berterusan sehingga solat Jumaat selesai ditunaikan. Antara teks yang mereka nyatakan adalah seperti berikut:

5.1) Dalam al-Qawanin al-Fiqhiyyah, 57:

وَيَحْرُمُ الْبَيْعُ وَالنِّكَاحُ وَسَائِرُ الْعُقُودِ، مِنْ جُلُوسِ الْخَطِيبِ إِلَى انْقِضَاءِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Dan diharamkan jual-beli, akad nikah dan akad lainnya bermula duduknya khatib (di atas mimbar) berterusan sehingga selesai solat.”

5.2) Dalam Hasyi‘ah al-Jamal, 2/54:

يَسْتَمِرُّ التَّحْرِيمُ إِلَى الْفَرَاغِ مِنَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Berterusan pengharaman sehingga selesai Jumaat.”

5.3 Dalam Kassyaf al-Qina’ 3/181:

وَيَسْتَمِرُّ تَحْرِيمُ الْبَيْعِ وَالصِّنَاعَاتِ مِنَ الشُّرُوعِ فِي الأَذَانِ الثَّانِي أَوْ مِنَ الْوَقْتِ الَّذِي إِذَا سَعَى فِيهِ أَدْرَكَهَا مِنْ مَنْزِلٍ بَعِيدٍ، إِلَى انْقِضَاءِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Dan berterusan pengharaman jual-beli dan kerja-kerja lainnya bermula dari bermula azan kedua atau bermula dari waktu keluar dari rumah yang jauh dan sempat mendapatkan jumaat, sehinggalah selesai solat jumaat.”  

 

6) Hukum Jual-Beli Antara Mereka Yang Wajib Jumaat Dan Yang Tidak Wajib

Para fuqaha bersetuju siapa yang tidak wajib Jumaat terkecuali dari hukum haram jual-beli ketika azan Jumaat. Oleh itu, tiada hukum haram mahupun makruh berjual-beli antara dua orang yang tidak wajib. Perkara ini disebut secara jelas dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah[1].

          Adapun jika jual-beli berlaku antara salah seorang yang wajib Jumaat, maka pandangan fuqaha adalah seperti berikut:

6.1) Majoriti fuqaha dalam kalangan Syafi‘iyyah dan Hanafiyyah berpandangan kedua-dua mereka berdosa. Orang yang wajib Jumaat berdosa kerana melakukan perkara yang ditegah. Manakal yang tidak wajib Jumaat berdosa kerana membantu saudaranya melakukan perkara yang ditegah.

6.2) Satu pandangan dha‘if di sisi Syafi‘eyyah mengatakan orang yang tidak wajib Jumaat tersebut melakukan perkara yang makruh.

6.3) Fuqaha Malikiyyah berpandangan jual-beli tersebut difasakhkan (أَنَّ الْبَيْعَ وَغَيْرَهُ يُفْسَخُ فِي هَذِهِ الْحَال), kerana terbabit dengan orang yang wajib Jumaat.

6.4) Fuqaha Hanabilah berpandangan jual-beli tidak sah bagi orang yang wajib Jumaat. Dimakruhkan jual-beli bagi pihak yang tidak wajib Jumaat kerana membantu dalam perbuatan dosa.

 

7) Hukum Jual-Beli Yang Dilakukan Ketika Menuju Ke Masjid Manakala Azan Sedang Dilaungkan

Para fuqaha berbeza pandangan dalam masalah ini disebabkan seorang yang bergerak menuju ke masjid ketika azan dilaungkan telah mematuhi perintah. Dalam masa yang sama dia melakukan perkara yang ditegah.

7.1 Pandangan rajih dari mazhab Hanafiyyah, Syafi‘iyyah dan salah satu dari dua pandangan Malikiyyah mengatakan jika pihak yang menjual dan yang membeli kedua-duanya dalam keadaan berjalan menuju ke masjid, maka jual-beli itu tidak diharamkan. Ibn Nujaim dari kalangan Hanafiyyah membuat nukilan dari al-Siraj yang mengatakan tiada hukum makruh jika tidak menjadikan orang tersebut sibuk (لاَ يُكْرَهُ إِذَا لَمْ يَشْغَلْهُ). Manakala al-Haskafi (الْحَصْكَفِيُّ) pula berkata: “Tidak mengapa dengan perkara tersebut.”

          Alasan yang diberikan ialah, larangan jual-beli ketika azan Jumaat adalah kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu bersegera menuju ke tempat Jumaat. Apabila tidak mengganggu perbuatan bersegera, maka ternafilah larangan. Selain itu fuqaha Hanafiyyah juga mengatakan nas al-Quran yang umum melarang jual-beli, dikecualikan dari mereka yang tidak wajib Jumaat. Sesuatu yang umum, apabila berlaku pengkhususan pengecualian, maka menjadikan nas tersebut dhanni. Nas yang dhanni boleh dikhususkan lagi kali kedua dengan ijtihad.      

Fuqaha Malikiyyah pula memberikan alasan keharusan ini dengan mengatakan jual-beli dalam keadaan ini tidak menjadikan kedua-dua pihak sibuk sehingga memalingkan mereka dari bersegera menuju ke tempat didirikan Jumaat. Mereka juga menukilkan pandangan ini daripada Ibn ‘Umar RA. 

8) Larangan Jual-Beli Merangkumi Semua Aktiviti Yang Sama Maksud

Para fuqaha bersepakat, tegahan jual-beli setelah azan Jumaat merangkumi semua aktiviti yang boleh menyibukkan diri dari segera menuju ke tempat Jumaat, seperti mempersiapkan diri untuk bermusafir, makan, menjahit, menulis dan seumpamanya, sekalipun kekal bersama keluarga di rumah, meskipun rumahnya berada amat hampir dengan masjid. Sebaliknya hendaklah segera menuju ke tempat didirikan Jumaat sebagai mengamalkan perintah yang ada dalam al-Quran.

9) Larangan Bermula Di Awal Azan Atau Setelah Azan Sempurna

Ulama Malikiyyah menyatakan dengan jelas, larangan jual-beli pada hari Jumaat sebaik sahaja bermula laungan azan. Apabila muazzin melaungkan takbir, maka diharamkan jual-beli. Ini kerana larangan tersebut terikat dengan azan.  

 

 

  1. Akad Jual-Beli Ketika Azan Jumaat

Majoriti ulama dari kalangan Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan sebahagian Malikiyyah berpandangan akad jual-beli yang dilakukan tersebut adalah sah. Ini kerana larangan jual-beli tersebut kerana sesuatu makna yang juga ada pada aktiviti selain jual-beli, iaitu tidak bersegera menuju ke tempat didirikan Jumaat (تَرْكُ السَّعْيِ).

 

  1. Penutupan Kedai Pada Hari Jumaat

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

فإن الشريعة جاءت بتحصيل المصالح وتكميلها، وتعطيل المفاسد وتقليلها بحسب الإمكان، ومطلوبها ترجيح خير الخيرين إذا لم يمكن أن يجتمعا جميعا، ودفع شر الشرين إذا لم يندفعا جميعا

Maksudnya: “Sesungguhnya syariah itu membawa ajaran bertujuan mendatangkan masalih dan menyepurnakannya, menghilangkan mafasid atau mengurangkannya menurut kemampuan dan dituntut melakukan tarjih untuk memilih yang terbaik dari dua perkara yang baik apabila tidak mungkin menghimpunkan kedua-duanya dan menolak perkara yang lebih buruk dari dua perkara buruk jika tidak dapat dielak kedua-duanya.” (Majmu’ al-Fatawa 23/343)

Penutupan kedai pada hari Jumaat dilihat suatu yang dapat merealisasikan maksud usaha menghimpunkan dua anjuran agama iaitulah mengimarahkan bumi dan menyediakan bekalan akhirat.

Terdapat beberapa petunjuk yang boleh dijadikan sandaran, antaranya:

10.1) Para sahabat segera meninggalkan perniagaan apabila dilaungkan azan. Ibn Mardawaih meriwayatkan perkataan Ibn ‘Abbas RA ketika menafsirkan firman Allah SWT: رجال لا تلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله, kata Ibn ‘Abbas RA:

كانوا رجالاً يبتغون من فضل الله يشترون ويبيعون فإذا سمعوا النداء بالصلاة ألقوا ما بأيديهم وقاموا إلى المساجد فصلوا

Maksudnya: “Dahulunya para sahabat berusaha mencari limpah-kurnia Allah, mereka membeli dan menjual. Apabila mereka mendengar seruan menunaikan solat, mereka tinggalkan apa yang ada di tangan mereka dan segera ke masjid untuk menunaikan solat.” (al-Durr al-Manthur, surah al-Nur: 37) Sabit juga perkataan seumpama ini daripada Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Umar dan selainnya RA.

‘Abd al-Razzaq, Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Amr bin Dinar daripada Salim daripada Ibn ‘Umar RA

أَنَّهُ كَانَ فِي السُّوقِ فَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَأَغْلَقُوا حَوَانِيتَهُمْ وَدَخَلُوا الْمَسْجِد فقال ابن عمر: فيهم نزلت: جال لا تلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله

Maksudnya: “Bahawa dahulunya di pasar apabila dilaungkan solat, mereka semua menutup kedai-kedai mereka dan masuk ke dalam masjid. Kata Ibn ‘Umar: “Pada merekalah diturunkan ayat al-Quran: Para lelaki yang tidak dapat melalaikan mereka aktiviti perniagaan, tidak juga jual-beli dari mengingati Allah.”

10.2) Tidak mempedulikan seruan menunaikan solat berjemaah di masjid termasuk dalam perbuatan yang layak dikenakan ancaman berdasarkan hadis Abu Hurairah RA riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ، فَيُحْطَبَ، ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلاَةِ، فَيُؤَذَّنَ لَهَا، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ، ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى رِجَالٍ، فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ، أَنَّهُ يَجِدُ عَرْقًا سَمِينًا، أَوْ مِرْمَاتَيْنِ حَسَنَتَيْنِ، لَشَهِدَ العِشَاءَ

Maksudnya: “Demi jiwaku berada dalam gengaman-Nya, sesungguhnya daku benar-benar berhasrat menyuruh agar dibawakan kayu api lalu dikumpulkan. Kemudian aku menyuruh didirikan solat, lalu dilaungkan azan, kemudian aku memerintahkan seseorang untuk mengimamkan solat dengan orang ramai. Setelah itu aku pergi ke rumah mereka yang tidak datang menunaikan solat berjemaah, lalu aku membakar rumah mereka...”

Jika Nabi SAW bercita-cita hendak membakar rumah mereka yang tidak hadis menunaikan solat berjemaah tanpa sebab. Maka sudah tentu menutup kedai perniagaan yang dapat melengahkan orang ramai dari segera hadir ke masjid pada hari Jumaat lebih besar. Justeru penutupan kedai adalah lebih ringan berbanding hasrat membakar rumah.

10.3) Berlaku seruan peringatan agar menunaikan solat kepada orang ramai. Anas bin Malik RA berkata:

كانت الصلاة إذا حضرت على عهد رسول الله ﷺ سعى رجل في الطريق فنادى: "الصلاة، الصلاة، الصلاة

Maksudnya: “Dahulunya di zaman Rasulullah SAW, apabila masuk waktu solat, seseorang lelaki akan segera menuju ke masjid dan ketika dijalanan dia akan berseru: “solah, solah, solah.” (Sahih Ibn Khuzaimah. Hadis bilangan 369)  

10.4) Pasar di zaman Nabi SAW dibuka pada awal pagi serentak dengan waktu solat Subuh. Terdapat perkataan sahabat yang menunjukkan perkara ini. Ibn Abi ‘Asim (W287H) meriwayatkan dalam al-Wuhdan (الوُحْدَان). Dari sanad Ibn Abi ‘Asim ini juga, Abu Nu‘aim (W430H) meriwayatkan dengan sanad yang sahih, daripada Mitham (مِيثَمٍ), seorang lelaki dari kalangan sahabat Nabi SAW yang berkata:

بَلَغَنِي أَنَّ الْمَلَكَ يَغْدُو بِرَايَةٍ مَعَ أَوَّلِ مَنْ يَغْدُو إِلَى الْمَسْجِدِ، فَلَا يَزَالُ بِهَا مَعَهُ حَتَّى يَرْجِعَ يَدْخُلُ بِهَا مَنْزِلَهُ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَغْدُو بِرَايَتِهِ إِلَى السُّوقِ مَعَ أَوَّلِ مَنْ يَغْدُو، فَلَا يَزَالُ بِهَا حَتَّى يَرْجِعَ فَيُدْخِلَهَا مَنْزِلَهُ

Maksudnya: “Telah sampai kepadaku bahawa ada malaikat yang keluar di awal pagi membawa bendera bersama orang yang keluar awal pagi menuju ke masjid. Sentiasalah malaikat itu bersamanya sehingga orang itu pulang ke rumahnya dan masuk bersama malaikat dengan benderanya itu. Demikian pula syaitan akan keluar di awal pagi dengan benderanya ke pasar bersama sesiapa yang paling awal keluar pagi ke pasar. Sentiasalah orang itu bersama bendera syaitan tersebut sehingga dia pulang, lalu dia masukkan ke dalam rumahnya syaitan denga benderanya.” (Ibn Abi ‘Asim juga meriwayatkan dalam الآحاد والمثاني, Abu Nu‘aim dalam Ma’rifah al-Sahabah. Kata Ibn Hajar dalam al-Isabah 3/496: “Mauquf Sahih al-Sanad.” Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Targhib)

Oleh itu, Nabi SAW sendiri memberi peringatan dan mengejutkan orang ramai agar mengerjakan solat. Baginda tidak menyerahkan setiap orang menurut kekuatan imannya. Antara bukti dalam perkara ini;

10.5) Hadis daripada Muslim bin Abi Bakrah daripada bapanya yang berkata:

 خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَكَانَ لَا يَمُرُّ بِرَجُلٍ إِلَّا نَادَاهُ بِالصَّلَاةِ أَوْ حَرَّكَهُ بِرِجْلِهِ

Maksudnya: “Aku keluar bersama Nabi SAW untuk menunaikan solat Subuh. Baginda tidak melalui seseorang lelaki melainkan baginda akan menyeru lelaki itu untuk hadir menunaikan solat atau menggerakkan lelaki itu dengan kaki baginda.” (Abu Daud. Kata al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam 1/269: “Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan isnad yang ada kelemahan, namun tidak dinyatakan lemah oleh Abu Daud.”) Al-Tarifi dalam risalahnya إغلاق الْمَتاجر للصلاة هدي النبي وأمراء الإسلام menyebut tentang riwayat: Diriwayatkan oleh Abu Daud dan beliau tidak memberi komen kerana menjadikannya sebagai hujah. Beliau juga berkata dalam risalahnya kepada penduduk Mekah: Setiap riwayat yang aku diamkan tentangnya, maka ia saleh” iaitulah salih untuk dijadikan hujah.”)

10.6) Ahmad dalam musnadnya daripada Abdillah bin Tihfah (عبدِ اللَّهِ بنِ طِهْفَةَ)

أنَّ رسولَ اللَّه ﷺ كان إذا خرَجَ، جعَلَ يُوقِظُ الناسَ: (الصلاةَ، الصلاةَ!)

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW apabila keluar, bagainda akan mengejutkan orang ramai (dengan melaungkan): dirikan solat, dirikan solat.”

10.7) Bergerak memberi peringatan kepada orang ramai agar mengerjakan solat berlaku di peringkat awal dakwah Nabi SAW di Madinah. Hal yang sama berlaku di penghujungnya. Abu Nu‘aim dalam Ma’rifah al-Sahabah daripada Muslim bin Yasar, daripada bapanya yang berkata:

خرَجْتُ مع مَوْلايَ فَضَالَةَ بنِ هِلَالٍ في حَجَّةِ الوداعِ، فسَمِعْتُ رسولَ اللَّهِ ﷺ يقولُ: (الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ!)

Maksudnya: “Aku keluar bersama tuanku, Fadhalah bin Hilal dalam peristiwa Haji Wada’. Aku mendengar Rasulullah SAW memperingatkan orang ramai dengan berkata: “Tunaikan solah, tunaikan solah.”

10.8) Di zaman al-Khulafa’ al-Rasyidun juga berlaku perkara yang sama, iaitulah peringatan diberikan kepada orang ramai agar menunaikan solat. Hatta ‘Umar bin ‘Ali sendiri melakukan perkara ini. Kata Abu Zaid al-Mujjaji (أبو زَيْدٍ المجاجيُّ) dalam syarahnya ke atas Mukhtasar Ibn Abi Jamrah:

ذكَرَ غيرُ واحدِ ممَّن ألَّفَ في السِّيَرِ أنَّ عمرَ بنَ الخطَّابِ وعليًّا كانا مِن عادتِهما إذا طلَعَ الفجرُ، خرَجَا يُوقِظانِ الناس لصلاةِ الصبحِ

Maksudnya: “Telah menyebut lebih dari seorang dari kalangan mereka yang menulis sirah, bahawa ‘Umar bin al-Khattab dan ‘Ali, dahulunya kedua-dua mereka menjadi kebiasaan apabila terbit fajar, mereka keluar membangunkan orang ramai untuk menunaikan solat.” (al-Taratib al-Idariyyah oleh ‘Abd al-Hayy al-Kattani 1/134)

10.9 Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi: “Ramai dari kalangan pemilik kitab al-Masanid dan al-Siyar seperti al-Tabari, Ibn ‘Asakir dan al-Khatib meriwayatkan dengan sanad-sanad yang berbagai, tidak mampu disertakan dalam satu tempat (disebabkan banyaknya), dan dalam kitab-kitab mutun yang masyhur, sukar untuk dikatakan ada keraguan lemah padanya, antaranya daripada Thabit al-Bunani daripada Abi Rafi’ yang berkata:

كان عمرُ يَخْرُجُ يُوقِظُ الناس للصَّلاةِ صلاةِ الفجرِ

Maksudnya: “Dahulunya ‘Umar akan keluar membangunkan orang ramai untuk menunaikan solat Subuh.”

          Ibn Sa‘ad meriwayatkan dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Tarifi dalam al-Tafsir wa al-Bayan 4/1868 sehingga kepada al-Zuhri:

خرَجَ عمرُ يُوقِظُ الناسَ للصَّلاةِ صلاةِ الفجرِ، وكان عُمَرُ يَفعلُ ذلك

Maksudnya: “Umar keluar membangunkan orang ramai untuk menunaikan solat Subuh. ‘Umar sering melakukan perkara itu.”

10.10) Dahulunya Arab Badwi yang datang ke Madinah membawa barang untuk diniagakan di pasar Madinah, ketika dia sampai pada waktu solat, dia tidak mendapati ada orang di pasar, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dalam Islah al-Mal, hal: 75, daripada Asba’ bin Nubatah (أَصْبَع بنِ نُبَاتَةَ) yang berkata:

خرَجتُ أنا وأبي من ذِرْوَدٍ -وهو جبلٌ مِن أطرافِ الباديةِ- حتى ننتهيَ الى المدينةِ في غَلَسٍ والناسُ في الصلاةِ، فانصرَفَ الناسُ مِن صلاتِهم، فخرَجَ الناسُ على أسواقِهم، ودفَع الينا رجلٌ معه دِرَّةٌ له، فقال: يا أعرابيُّ، أتبيعُ؟ فلم أزَلْ أساوِمُ به حتى أرضاهُ على ثَمَنٍ، وإذا هو عمرُ بنُ الخطَّابِ، فجعَلَ يطوفُ في السُّوقِ يأمُرُهُم بتقوى اللَّهِ تعالى يُقبِلُ فيها ويُدبِرُ

Maksudnya: “Aku keluar bersama bapaku dari Zirwad – satu bukit dari kawasan hujung badiah – sehingga sampai ke Madinah pada waktu gelap malam, ketika itu orang ramai sedang menunaikan solat. Apabila orang ramai beredar selepas menunaikan solat, mereka menuju ke pasar. Seorang lelaki sampai kepada kami, bersamanya dirrah (cemeti) miliknya dan berkata: “Wahai badwi, kamu mahu jual (barang jualan kamu ini)? Berterusanlah ia tawar-menawar sehingga kami bersetuju atas satu harga. Rupanya orang itu adalah ‘Umar bin al-Khattab. Beliau terus mengelilingi pasar menyuruh orang ramai di pasar agar bertakwa kepada Allah. Beliau bergerak datang dan pergi di sekitar pasar tersebut memberi peringatan.”

 10.11) Hal yang sama sabit dilakukan oleh tabi‘ien seperti Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiyani (أيُّوب بنِ أبي تَمِيمةَ السَّخْتيَانيِّ) seperti yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Syu‘ab, hadis bilangan: 3005 daripada Dhamrah (ضَمرة) , daripada Ibn Syauzab (ابنِ شَوْذَبٍ) yang berkata:

كان أيوبُ يَؤُمُّ أهلَ مسجدِهِ -يعني: في البصرةِ- ويقولُ هو للناسِ: الصلاةَ الصلاةَ!»

Maksudnya: “Dahulunya Ayyub mengimamkan jemaah masjidnya di Basrah. Beliau berkata kepada orang ramai: “Tunaikan solah, tunaikan solah.” Iaitulah beliau mengelilingi orang ramai memberi peringatan kepada mereka semua.

10.12) Dianjurkan kepada pemerintah memberi sesuatu ganjaran kepada pembawa orang buta dan orang lemah sehingga mereka dapat menunaikan solat berjemaah di masjid. Ibn Sa‘ad dalam al-Tabaqat al-Kubra, hal: 362 meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin al-Miswar bin Makhramah (عبدِ الرحمنِ بنِ المِسْوَرِ بنِ مَخْرَمةَ) yang berkata:

جاء عمرُ رضي الله عنه سعيدَ بنَ يَرْبُوعٍ إلى منزلِه، فعزَّاهُ في ذَهَابِ بصرِهِ، وقال: لا تَدَعِ الجُمُعةَ ولا الصلاةَ في مسجِدِ رسولِ اللَّهِ ﷺ، قال: ليس لي قائدٌ، فقال الفاروقُ: فنحن نَبْعَثُ إليك بقائِدٍ، فبعَثَ إليه بغلامٍ مِن السَّبْيِ

Maksudnya: “Umar menziarahi Sa‘id bin Yarbu’ di rumahnya untuk menyampaikan ta’ziah atas musibah buta yang menimpanya. ‘Umar berkata: “Jangan kamu tinggal Jumaat dan solat berjemaah di masjid Rasulullah SAW.” Kata Sa‘id bin Yarbu’: “Aku tidak ada orang yang dapat membawa ke masjid.” Jawab ‘Umar: “Kami akan hantarkan untuk kamu seorang pembawa ke masjid.” Lalu ‘Umar kirimkan seorang budak dari tawanan perang yang dapat memimpin Sa‘id ke masjid.”

10.13) Pasar-pasar menjadi lengang ketika waktu solat fardhu. Hal ini berdasarkan riwayat Ahmad dalam al-Musnad 3/472 dan al-Baihaqi dalam al-Syu‘ab, 10620 daripada al-Mughirah bin Abdillah al-Yasykuri (المغيرةِ بنِ عبدِ اللَّهِ اليشكُريِّ) daripada bapanya yang berkata:

قَدِمتُ الكُوفةَ أنا وصاحبٌ لي لِأَجلِبَ منها نعالًا، فغدَوْنا إلى السُّوقِ ولمَّا تُقَمْ، فقلتُ لصاحبي: لو دخَلْنا المسجدَ

Maksudya: “Aku sampai di Kufah bersama seorang sahabatku untuk mendapatkan selipar. Lalu kami keluar pagi hari ke pasar dan mendapati aktiviti di pasar belum bermula. Aku berkata kepada sahabatku: “Bagaimana jika kita masuk dahulu ke dalam masjid.”

Dirwiayatkan juga dari al-Hasan yang berkata:

واللَّهِ، لقد كانوا يَتبايَعُونَ في الأسواقِ، فإذا حضَرَ حقٌّ مِن حقوقِ اللَّهِ، بدؤوا بحقِّ اللَّهِ حتى يَقْضُوهُ، ثمَّ عادُوا إلى تجارتِهم

Maksudnya: “Demi Allah sesungguhnya mereka dahulu berjual-beli di pasar. Apabila bertembung dengan hak Allah, mereka semua laksanakan hak Allah terlebih dahulu sehingga selesai. Kemudian mereka kembali kepada perniagaan mereka.” (Ahkam al-Quran oleh al-Jassas 5/189)

Dalam al-Hilyah 7/15 oleh Abi Nu‘aim, daripada Sufyan al-Thauri yang berkata:

كانوا يَشْتَرُونَ وَيَبِيعُونَ، ولا يَدَعُونَ الصلواتِ المكتوباتِ في الجماعةِ

Maksudnya: “Dahulunya mereka membeli dan menjual. Mereka tidak meninggalkan solat-solat fardhu berjemaah.”

                            Sekumpulan ulama tafsir dari kalangan tabi‘ien dari bandar-bandar yang berbeza memahami firman Allah: ﴿رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ﴾  “Para lelaki yang perniagaan dan jual-beli tidak melalaikan mereka dari mengingati Allah” merujuk kepada meninggalkan jual beli untuk menunaikan solat fardhu berjemaah. Antara yang menyebut tafsiran ini ialah ‘Atha bin Abi Rabah, Abu al-‘Aliah Rufai’ bin Mihran, Ayyub, al-Hasan, Qatadah, Mithr al-Warraq, al-Rabi’ bin Anas, al-Suddiy, al-Thauri, Muqatil bin Hayyan dan Dahhak bin Makhlad.

10.14 Pasar-pasar menjadi lengang ketika waktu solat fardhu dan diambil alih oleh kanak-kanak dan ahli zimmah menjaganya dengan upah. Abu Talib al-Makki (أبو طالبِ المَكِّيُّ) dalam Qut al-Qulub (قُوتِ القلوبِ) 2/437, ketika menyebut keadaan pasar-pasar dahulu dengan katanya:

إذا سَمِعوا الأذانَ، ابتدَرُوا المساجِدَ، وكانتِ الأسواقُ تخلو مِن التجارِ، وكان في أوقاتِ الصلاةِ معايشُ للصِّبْيانِ وأهلِ الذِّمَّةِ، وكانوا يستأجِرُونَهم التجارُ بالقراريطِ والدوانيقِ؛ يَحْفَظُونَ الحوانيتَ إلى أوانِ انصرافِهم مِن المساجدِ

Maksudnya: “Apabila mereka mendengar azan, mereka akan bersegera ke masjid. Pasar-pasar akan menjadi kosong dari para peniaga. Ketika waktu-waktu solat, kanak-kanak dan non muslim mendapatkan belanja kehidupan mereka. Mereka dibayar upah menurut timbangan 1/6 wang perak (dirham) oleh para peniaga untuk menjaga kedai-kedai sehingga tiba waktu para peniaga beredar dari masjid setelah selesai menunaikan solat.”

Kata Abu Hamid al-Ghazali dalam al-Ihya’ 2/85 berkata:

كان السلفُ يَبتدِرونَ عندَ الأذانِ، ويُخلُونَ الأسواقَ للصِّبْيانِ وأهلِ الذِّمَّةِ، وكانوا يُستأجَرُونَ بالقراريطِ لحفظِ الحوانيتِ في أوقاتِ الصلواتِ

Maksudnya: “Dahulunya salaf, bersegera ke masjid ketika azan dilaungkan. Mereka tinggalkan pasar-pasar kepada budak-budak dan ahli zimmah. Mereka memberi upah dengan timbangan tertentu untuk dijaga kedai-kedai pada waktu-waktu solat fardhu.”

Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi dalam al-Tafsir wa al-Bayan Li Ahkam al-Quran 4/1871:

وأكثرُ المؤرخينَ لا يَنُصُّونَ عليه؛ لاشتهارِهِ؛ وإنَّما يذكُرونَه على سبيلِ مناقبِ الأفرادِ المخصوصِينَ ببعضِ الوِلَاياتِ، وبَلَغَ عملُ الحكَّامِ به أقاصيَ بلادِ الإسلامِ حتى بلادِ المغرِبِ الأقصى؛ كالسُّلطانِ أبي عنانَ المَرِينِيِّ حاكمِ المغرِبِ الأوسطِ كلِّه في القرنِ الثامنِ، كما ذكَرَهُ أبو زيدٍ الفاسيُّ في تاريخِهِ «تاريخ بيوتاتِ قاسٍ» لدى كلامِه على بيتِ بَنِي زَنْبَقٍ؛ ذكَر أنَّ السُّلْطانَ يُنِيبُ أبا المكارمِ منديلَ بنَ زَنْبَقٍ؛ ليُحرِّضَ الناسَ في الأسواقِ على الصلاةِ في أوقاتِها، ويَضرِبَ عليها بالسِّياطِ والمَقَارعِ بأمرِ أميرِ المؤمنينَ أبي عنانَ

Maksudnya: “Kebanyakan ahli sejarah tidak menyebut perkara ini kerana ia suatu yang masyhur. Sebaliknya keadaan ini disebut dalam bentuk ketika menyebut kelebihan individu-individu tertentu di sebahagian tempat. Inilah yang dilakukan oleh para pemerintah di seluruh tanah air orang seperti Sultan Abu ‘Inan al-Maribi, pemerintah Maghrib Tengah seluruhnya pada kurun ke-8 seperti yang disebut oleh Abu Zaid al-Fasi dalam tarikhnya “Tarikh Buyutat Qas”, melalui bicaranya tentang rumah Bani Zanbaq. Beliau menyebut: “Sultan melantik pembantu, iaitulah Abu al-Makarim, Mindil bin Zanbaq untuk mendorong orang ramai di pasar menunaikan solat pada waktunya. Pembantu sultan itu memukulkan cemetinya di pasar atas perintah pemimpin orang beriman Abu ‘Anan.”

 

11) Penutupan Kedai Pada Waktu Jumaat Perbuatan Yang Terpuji

Terdapat beberapa kebaikan dari penutupan kedai pada waktu Jumaat, antaranya:

11.1) Memuliakan perintah Allah SWT, menzahirkan syi‘ar agama memantapkan amalan islam yang zahir yang dapat mendatangkan kebaikan dan pembersihan jiwa. Tindakan ini juga dapat memberi gambaran perintah agama itu sentiasa dijunjung.

11.2) Membantu para peniaga dan para pekerja mendirikan Jumaat tanpa sebarang gangguan. Membiarkan kedai-kedai dibuka sekalipun ketika azan Jumaat dilaungkan memberi ruang kepada orang ramai bertindak sambil lewa dari segera menyahut seruan Allah agar ke masjid menunaikan Jumaat. Penutupan kedai ketika Jumaat juga dapat mengembalikan mereka yang alpa dan lalai kepada perintah Allah SWT dan Nabi SAW:

إنَّ أول ما دخل النَّقصُ على بني إسرائيل: كان الرجُلُ يلقى الرجلَ فيقولُ: يا هذا اتَّقِ اللهَ ودَعْ ما تصنَعُ؛ فإنَّه لا يحِلُّ لك، ثمَّ يلقاه من الغَدِ فلا يمنَعُه ذلك أن يكونَ أكِيلَه وشَرِيبَه وقَعيدَه! فلما فعلوا ذلك ضَرَب اللهُ قُلوبَ بَعضِهم ببَعضٍ، ثمَّ قال: {لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ} [المائدة: 78] إلى قوله: {فَاسِقُونَ} [المائدة: 81] ثمَّ قال: كلَّا واللهِ لتأمُرُنَّ بالمعروفِ ولتَنْهَوُنَّ عن المنكَرِ ولتأخُذُنَّ على يدَيِ الظالمِ ولَتَأْطُرُنَّه على الحَقِّ أطْرًا ولَتَقْصُرُنَّه على الحَقِّ قَصرًا

Maksudnya: “... dan hendaklah kamu memegang tangan orang zalim dan mengembalikannya kepada kebenaran bersungguh-sungguh dan menjadikannya tetap di atas kebenaran bersungguh-sungguh.” (Riwayat Abu Daud tanpa sebarang komentar – سكت عنه، وقد قال في رسالته لأهل مكة كل ما سكت عنه فهو صالح)

11.3) Memuliakan solat dan menzahirkan kedudukannya yang tinggi. Ia termasuk dalam التعاون على البر والتقوى. Ditambah dengan realiti yang berlaku hari ini, sekalipun laungan azan Jumaat mula dilaungkan, masih ramai yang berlengah-lengah dari segera mematuhi perintah Allah SWT.

 



[1] Dalam Hasyi‘ah al-Jamal 2/54 dinyatakan: فلَوْ تَبَايَعَ اثْنَانِ مِمَّنْ لَمْ تَلْزَمْهُ لَمْ يَحْرُمْ وَلَمْ يُكْرَهْ


Cetak  
Wallahu a'lam