Fatwa-Fatwa Berkaitan Membedah Dan Memotong Mayat Muslim Untuk Tujuan Kajian Perubatan

[1] Fatwa Laman Islamweb.net

Seorang Muslim, selepas kematiannya, tetap memiliki hak ke atas umat Islam untuk dimuliakannya, seperti dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan. Haram juga mengganggu jasadnya dengan memotong, mencacatkan, atau tindakan seumpamanya. Bedah siasat ke atas jenazah selepas kematian bertentangan dengan hak ini, maka ia tidak dibenarkan kecuali atas dasar keperluan atau darurat. Perkara ini memiliki beberapa contoh dalam fiqh terdahulu. Ulama mazhab Hanafi dan sebahagian ulama mazhab Maliki, mazhab Syafii, menjadi pilihan Al-Syaukani dan Ibn Hazm, membenarkan membelah perut jenazah wanita untuk mengeluarkan janin yang ada harapan hidup. Contoh lain yang disebut oleh fuqaha Hanbali, seperti dalam kitab Kashf al-Qina' dan Al-Mughni, iaitulah bahawa jika seseorang meninggal di dalam perigi, maka jika dia boleh dikeluarkan jenazahnya tanpa mencacatkan tubuhnya, perkara itu wajib, supaya dapat dilaksanakan kefardhuan memandi dan mengkafankannya. Namun, jika tidak boleh dikeluarkan sama sekali melainkan perlu memotong anggota tubuhnya, maka ada dua situasi: jika perigi tersebut tidak diperlukan lagi, perigi tersebut dikambus dan menjadi kubur baginya; tetapi jika perigi itu diperlukan oleh penduduk kampung atau orang yang melaluinya, jenazah dikeluarkan walaupun mengakibatkan anggota tubuhnya terpotong kerana ia memenuhi banyak hak, seperti keperluan orang yang melaluinya dan ahli kampung serta kewajipan memandikan dan mengebumikan jenazah.

Berkenaan bedah siasat jenazah untuk tujuan pembelajaran, ia mempunyai manfaat besar dan umum, ia juga dapat menjadi menyelamatkan nyawa manusia, menjaga kesihatan, dan lain-lain. Oleh itu, dibenarkan bagi seorang Muslim mendermakan jasadnya untuk tujuan ini. Keizinan ini selaras dengan prinsip umum Islam, yang berdasarkan menjaga maslahat yang lebih rajih dan menanggung mudarat kecil demi meraih manfaat yang jika diabaikan, lebih besar keburukannya daripada mudarat tersebut (membedah sati jenazah muslim).

(sumber: https://www.islamweb.net/ar/fatwa/30237/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%AA%D8%A8%D8%B1%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85-%D8%A8%D8%AC%D8%AB%D8%AA%D9%87-%D9%84%D8%BA%D8%B1%D8%B6-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%85#:~:text=%D9%81%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85%20%D8%A8%D8%B9%D8%AF%20%D9%85%D9%88%D8%AA%D9%87%20%D9%8A%D8%A8%D9%82%D9%89%20%D8%B9%D9%84%D9%89,%D8%AD%D8%B2%D9%85%20%D8%A5%D9%84%D9%89%20%D8%AC%D9%88%D8%A7%D8%B2%20%D8%B4%D9%82%20%D8%A8%D8%B7%D9%86)

 

[2] Majlis Fiqh Dan Jawatankuasa Ilmiah

Majlis-majlis fiqh dan jawatankuasa ilmiah telah melaksanakan kajian terperinci bagi mengenal pasti hukum melakukan bedah siasat ke atas mayat manusia untuk tujuan pendidikan perubatan. Hal ini kerana isu ini melibatkan dua prinsip utama:

  1. Kemuliaan mayat dalam syariat Islam yang menekankan memelihara penghormatan dan kemuliaan mayat.
  2. Kepentingan yang mendesak membabitkan bedah siasat dalam banyak keadaan.

Berikut adalah ringkasan fatwa yang dikeluarkan oleh badan-badan ilmiah dan beberapa ulama semasa. Ringkasannya: Tiada halangan menggunakan mayat bagi menjalankan pembedahan untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran perubatan, dengan syarat:

  • Mayat bukan daripada individu yang darahnya dilindungi (Ma'sum al-Dam).
  • Pembedahan dilakukan setakat yang diperlukan dan tidak berlebihan dari kadar keperluan dan dharurat.

Keputusan Majlis Fiqh Islam Mekah sebagaimana yang dipetik dalam Fiqh al-Nawazil oleh al-Jizani (4/208-209):

Berdasarkan keperluan mendesak yang membawa kepada perlunya bedah siasat ke atas mayat, di mana maslahah bedah siasat melebihi kemudaratan pelanggaran kehormatan mayat, maka Majlis Fiqh Islam yang bernaung di bawah Rabitah Alam Islami telah memutuskan perkara berikut.

  1. Harus melakukan bedah siasat ke atas mayat untuk tujuan berikut:

a. Menyiasat kes jenayah untuk mengenal pasti punca kematian atau jenayah yang dilakukan, apabila punca kematian tidak dapat dikenal pasti kecuali melalui bedah siasat.


b. Mengenal pasti penyakit yang memerlukan bedah siasat bagi mengambil langkah pencegahan dan rawatan yang sesuai.


c. Pendidikan dan pembelajaran perubatan, seperti di kuliah-kuliah perubatan.

  1. Bagi tujuan pembelajaran, syarat-syarat berikut mesti dipatuhi:

a. Jika mayat itu diketahui identitinya, ia hanya boleh dibedah jika:

  • Mendapatkan persetujuannya sebelum kematiannya, atau
  • Mendapat persetujuan waris mayat selepas kematian jenazah.
  • Tidak boleh melakukan pembedahan ke atas mayat yang terpelihara darahnya kecuali dalam keadaan darurat.

b. Pembedahan hanya dilakukan menurut kadar keterpaksaan yang diperlukan sahaja bagi mengelakkan berlaku perkara sia-sia terhadap mayat.

c. Mayat wanita hanya boleh dibedah oleh doktor wanita kecuali jika sememangnya tiada doktor wanita.

  1. Dalam semua keadaan (di atas), semua bahagian mayat yang telah dibedah mesti dikebumikan.

Dalam Kitab al-Buhuth al-'Ilmiyyah oleh Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi (2/83-84), disebutkan:

Topik ini dibahagikan kepada tiga bahagian:

  1. Bedah siasat untuk menyiasat kes jenayah.
  2. Bedah siasat untuk menyiasat penyakit berwabak, bagi mengenal pasti langkah pencegahan yang sesuai dapat diambil.
  3. Bedah siasat untuk tujuan ilmiah, sama ada pembelajaran atau pengajaran.

Keputusan:
Untuk bahagian pertama dan kedua, iaitu bedah siasat untuk kes jenayah dan penyakit wabak, majlis berpendapat bahawa keharusan kedua-dua bahagian bedah siasat ini akan menghasilkan banyak manfaat dalam bidang yang membabitkan keamanan, keadilan, dan pencegahan penyakit berjangkit. Kemudaratan menceroboh kehormatan mayat dianggap terlindung berbanding manfaat umum yang lebih besar dan menyeluruh yang terlaksana. Oleh itu, majlis memutuskan secara sebulat suara:
Dibenarkan bedah siasat bagi kedua-dua tujuan ini, sama ada mayat tersebut darahnya dilindungi (ma’sum) atau tidak.

Bagi bahagian ketiga iaitu bedah siasat untuk tujuan pendidikan, setelah mempertimbangkan bahawa:

  • Syariat Islam mementingkan penghasilan maslahah dan memperbanyakkannya, menolak mudarat dan meminimumkannya, memilih mudarat yang lebih ringan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.
  • Bedah siasat manusia tidak boleh digantikan dengan haiwan bagi tujuan pembelajaran.
  • Banyak manfaat daripada bedah siasat diperolehi hasil kemajuan ilmu perubatan yang berbagai.

Majlis berpandangan bahawa, bedah siasat mayat adalah dibenarkan dalam beberapa keadaan. Namun, kerana syariat sangat menjaga kehormatan seorang Muslim, baik semasa hidup atau selepas mati, seperti hadis Nabi SAW:

‘Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkannya semasa hidup.’ (HR Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah), dan kerana bedah siasat melibatkan menceroboh kehormatan mayat, sedangkan keperluan tersebut boleh dipenuhi melalui mayat yang tidak terpelihara darahnya, maka:

Majlis berpandangan agar berpada menggunakan mayat yang tidak terpelihara darahnya untuk tujuan ini, dan tidak melibatkan mayat mereka yang darahnya dilindungi.”

Dalam Majmu’ Fatawa Syaikh Ibn Baz (22/349):

"Jika mayat itu adalah seorang yang darahnya dilindungi semasa hidupnya — sama ada Muslim atau kafir, lelaki atau perempuan — maka tidak dibenarkan melakukan bedah siasat ke atasnya kerana ia adalah satu penghinaan dan pelanggaran kemuliaannya. Rasulullah SAW bersabda:

‘Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkannya semasa hidup.’ (HR Abu Dawud).
Namun, jika mayat tersebut adalah seorang yang tidak dilindungi darahnya, seperti mayat orang murtad atau orang kafir yang memerangi Islam, saya tidak mengetahui sebarang halangan untuk melakukan bedah siasat ke atasnya demi kepentingan perubatan.”

Wallahu a’lam.

(sumber: https://islamqa.info/ar/answers/92820/%D8%AA%D8%B4%D8%B1%D9%8A%D8%AD-%D8%A7%D9%84%D8%AC%D8%AB%D8%AB-%D9%84%D8%BA%D8%B1%D8%B6-%D8%AA%D8%B9%D9%84%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%B7%D8%A8)

 

[3] Laman IslamQa

Maksudnya: Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim mendermakan jasadnya untuk kajian perubatan selepas kematian. Demikian ini kerana kajian perubatan melibatkan pembedahan, pemotongan, dan pemeriksaan jasad, serta menjalankan eksperimen dan ujian ke atasnya. Perkara-perkara seperti ini tidak halal dilakukan ke atas jasad seorang Muslim.

Berikut adalah beberapa alasan yang menyokong larangan ini:

Pertama:

Jasad seorang Muslim selepas kematiannya tetap mempunyai kehormatan yang mesti dijaga dan dilindungi. Tidak dibenarkan mencabuli jasad tersebut dengan apa-apa bentuk aza, sama ada dengan mencederakan, mematahkan, membedah, atau  seumpamanya, kecuali dengan sebab yang dibenarkan menurut syarak. Rasulullah SAW bersabda: (Mematahkan tulang jenazah sama seperti mematahkannya ketika hidup).
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 3207, dan Ibn Majah, no. 1617 dengan lafaz: (Mematahkan tulang jenazah sama seperti mematahkannya ketika hidup dari segi dosa)). Hadis ini disahkan sahih oleh AL-Imam al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam (2/1035) dan oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (no. 763).

Al-Tibi berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa jenazah tidak boleh dihina, sebagaimana dia tidak boleh dihina semasa hidupnya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/18).

Al-Baji pula menyatakan: Maksudnya ialah jenazah mempunyai kehormatan selepas kematiannya sebagaimana dia mempunyai kehormatan semasa hidupnya. Mematahkan tulangnya selepas mati adalah haram, sebagaimana ia haram semasa hidupnya. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 2/63).

Kedua:

kewajipan terhadap jasad seorang Muslim selepas kematiannya adalah memandikan, mengkafankan, menyolatkannya, kemudian mengebumikannya. Mendermakan jasadnya untuk kajian perubatan akan menggugurkan kewajiban-kewajiban ini.

Ketiga:

Menjadikan jasad seorang Muslim sebagai objek pembedahan, latihan, dan pembelajaran menafikan penghormatan yang diberikan Allah kepadanya.

Keperluan Kajian Perubatan:

Adapun berkaitan adanya keperluan untuk membedah jasad-jasad untuk penyelidikan ilmu, keperluan ini dapat dipenuhi dengan jasad mereka yang tidak dilindungi kehormatannya. (Ini merujuk kepada kafir harbi dan mereka yang murtad daripada Islam).

Majlis Kibar Ulama telah mengeluarkan keputusan berkenaan perkara ini, dengan menyatakan:

“…Memandangkan pembedahan jenazah padanya terdapat penghinaan terhadap kehormatannya (jenazah seorang Muslim), dan kerana keperluan mendesak terhadap hal ini boleh dipenuhi melalui jasad mereka yang tidak dilindungi kehormatannya, maka majlis berpandangan bahawa memadai untuk melakukan pembedahan ke atas jasad-jasad tersebut dan tidak melibatkan jenazah mereka yang dilindungi kehormatannya.” (Lihat Abaāth Hay’ah Kibār al-‘Ulamā, 2/84).

(sumber: https://islamqa.info/ar/answers/140779/%D9%87%D9%84-%D9%8A%D8%AC%D9%88%D8%B2-%D9%84%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%A8%D8%B1%D8%B9-%D8%A8%D8%AC%D8%B3%D8%AF%D9%87-%D9%84%D9%84%D8%A8%D8%AD%D8%AB-%D8%A7%D9%84%D8%B7%D8%A8%D9%8A-%D8%A8%D8%B9%D8%AF-%D9%88%D9%81%D8%A7%D8%AA%D9%87)


Cetak  
Wallahu a'lam