Garis Panduan Keterlibatan Umat Islam Dalam Program Melibatkan Mayat Bukan Islam

  1. Majoriti ulama berpendapat seorang Muslim tidak dibenarkan menyertai pengurusan jenazah orang bukan Muslim, seperti yang dinyatakan dalam Fath al-Qadir, Syarh al-Kharashi (3/149), Hashiyah al-Ramli (1/312), dan Kassyaf al-Qina' (2/122). Demikian juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH pernah ditanya:

وقد سئل شيخ الإسلام ابن تيمية عن قوم مسلمين مجاوري النصارى، فهل يجوز للمسلم إذا مرض النصراني أن يعوده؟ وإذا مات أن يتبع جنازته؟ وهل على من فعل ذلك من المسلمين وزر أم لا؟ فأجاب: الحمد لله رب العالمين لا يتبع جنازته، وأما عيادته فلا بأس بها، فإنه قد يكون في ذلك مصلحة لتأليفه على الإسلام، فإذا مات كافراً، فقد وجبت له النار، ولهذا لا يصلى عليه

Soalan: Kaum Muslimin yang berjiran dengan orang Kristian. Adakah boleh bagi seorang Muslim menziarahi orang Kristian yang sakit? Dan jika dia meninggal dunia, adakah dibolehkan untuk mengiringi jenazahnya? Adakah tindakan tersebut berdosa kepada seorang Muslim atau tidak? Jawapan:
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tidak boleh mengiringi jenazah kristian. Tetapi, menziarahi ketika dia sakit tidak mengapa, kerana mungkin ada manfaat untuk menariknya kepada Islam. Namun, jika dia mati dalam keadaan kafir, maka neraka untuk seorang yang mati kafir. Kerana itu tidak ditunaikan solat ke atasnya.

               Larangan menyertai pengurusan jenazah bukan muslim atas alasan menguruskan jenazahnya adalah termasuk dalam perbuatan memuliakannya. Jenazah bukan Islam tidak layak dimuliakan. Kata al-Syeikh Muhammad bin Saleh al-‘Uthaimin RH:

تشييع الجنازة من إكرام الميت، والكافر ليس أهلاً للإكرام، بل يهان، قال الله تبارك وتعالى: مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاء عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاء بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا. فدل هذا على أن غيظ الكفار مراد لله -عز وجل- وقال تعالى: وَلاَ يَطَؤُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلاَ يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَّيْلاً إِلاَّ كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ. وتشييع الكافر إكرام له، وإكرام لذويه، ولهذا يحرم أن يتبع جنازته

Menguruskan jenazah adalah salah satu bentuk memuliakan si mati, namun orang kafir tidak layak dimuliakan, malah mereka dihina. Allah Ta'ala berfirman: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada wajah mereka daripada kesan sujud. Demikianlah sifat mereka dalam Taurat dan sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas pangkalnya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjadikan orang-orang kafir sakit hati kepada mereka. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 29) Ayat ini menunjukkan bahawa perasaan sakit hati orang kafir adalah sesuatu yang dikehendaki oleh Allah. Allah juga berfirman: “Dan mereka (orang beriman) tidak memijakkan kaki di suatu tempat yang dapat membangkitkan kemarahan orang-orang kafir, dan tidak pula memperoleh sesuatu keuntungan dari musuh melainkan dituliskan bagi mereka dengan sebab itu satu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah at-Taubah: 120) Mengiringi jenazah orang kafir adalah bentuk penghormatan kepada mereka dan keluarganya, sebab itulah diharamkan (umat islam) mengiringi jenazah mereka.

Terdapat pengecualian diberikan oleh para fuqaha’, jika si mati dari kalangan kerabat terdekat seperti ayah, ibu, atau saudara-mara. Pengecualian ini berdasarkan perintah Rasulullah SAW kepada Ali bin Abi Talib RA untuk mengebumikan ayahnya, meskipun Baginda tidak turut serta dalam upacara pengebumian atau mengiringi jenazah Abu Talib.  Abu Daud meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA yang berkata:

لما تُوُفِّيَ أبو طالِبٍ، أَتَيْتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ فقُلْتُ: إِنَّ عمَّكَ الشيخَ الضالَّ قدْ ماتَ فمَنْ يوارِيهِ، قال: اذهَبْ فوارِهِ، ثُمَّ لا تُحْدِثْ شيئًا حتَّى تأتِيَنِي، فقال: إِنَّه ماتَ مشرِكًا، فقالَ: اذهبْ فوارِهِ قال: فوارَيْتُهُ ثُمَّ أتَيْتُهُ، قال: اذهبْ فاغتسِلْ ثُمَّ لَا تُحْدِثْ شيئًا حتى تأتِيَنِي، قال: فاغتسلْتُ، ثُمَّ أتيتُهُ، قال: فدَعا لي بدعَوَاتٍ ما يسرُّنِي أنَّ لي بها حُمْرَ النَّعَمِ وسودَها. قال: وكان علِيٌّ إذا غسَّلَ الميتَ اغتسلَ

Maksudnya: Apabila Abu Talib meninggal dunia, aku datang kepada Nabi SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bapa saudaramu, seorang lelaki tua yang sesat, telah meninggal dunia. Siapakah yang akan menguruskan jenazahnya?” Nabi SAW bersabda: “Pergilah dan uruskan pengebumiannya. Kemudian, jangan lakukan apa-apa selepas itu sehingga engkau kembali kepadaku.” Kemudian Ali berkata: “Sesungguhnya dia telah meninggal dalam keadaan musyrik.” Nabi SAW berkata lagi, “Pergilah dan uruskan pengebumiannya.” Kata ‘Ali: Aku pun menguruskan jenazahnya, lalu kembali kepada Nabi SAW. Baginda bersabda, “Pergilah dan mandi (bersuci). Kemudian, jangan lakukan apa-apa sehingga engkau kembali kepadaku.” Aku pun mandi, lalu datang semula kepada baginda. Baginda pun mendoakanku dengan berberapa doa, demi Allah, aku tidak mahu menukarnya dengan unta merah atau hitam sekalipun (harta yang paling berharga pada zaman itu). Ali RA, apabila memandikan jenazah, beliau sendiri akan mandi selepas itu.” (al-Albani dalam Ahkam al-Jana’iz berkata: “Isnadnya sahih.”)

Demikian juga berdasarakan riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf 3/32 daripada Abi Wa’il yang berkata:

مَاتَتْ أُمِّي وَهِيَ نَصْرَانِيَّةٌ فَأَتَيْتُ عُمَرَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: ارْكَبْ دَابَّةً وَسِرْ أَمَامَهَا

Maksudnya: “Ibuku meninggal dunia dalam keadaan beragama Kristian. Lalu aku datang kepada Umar dan menyebutkan perkara itu kepadanya. Umar berkata: "Naiklah kenderaanmu dan berjalanlah di hadapan jenazahnya."

Daripada ‘Atho’ bin al-Sa’ib pula yang berkata:

مَاتَتْ أُمُّ رَجُلٍ مِنْ ثَقِيفٍ، وَهِيَ نَصْرَانِيَّةٌ فَسَأَلَ ابْنَ مُغَفَّلٍ فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَحْضُرَهَا، وَلَا أَتْبَعُهَا قَالَ: ارْكَبْ دَابَّةً وَسِرْ أَمَامَهَا غَلْوَةً، فَإِنَّكَ إِذَا سِرْتَ أَمَامَهَا فَلَسْتَ مَعَهَا

Maksudnya: “Seorang lelaki dari kabilah Tsaqif kematian ibunya yang beragama Kristian. Dia bertanya kepada Ibn Mughaffal: "Aku ingin menghadiri jenazah ibuku, tetapi aku tidak mengiringinya." Ibn Mughaffal menjawab: "Naiklah kenderaanmu, dan berjalanlah di hadapan jenazah itu sejauh satu Ghalwah[1]. Dengan berbuat demikian, kamu tidak dianggap berada bersama jenazah tersebut."

Al-Ramli RH dari mazhab Syafi‘e memasukkan jiran tetangga dalam kategori bukan Islam yang boleh diziarahi. Beliau berkata dalam Nihayah al-Muhtaj:

ولا بأس باتباع المسلم جنازة قريبه الكافر، لما رواه أبو داود عن علي أنه قال: لما مات أبو طالب أتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم فقلت له: إن عمك الشيخ الضال قد مات، قال: انطلق فواره. ولا يبعد كما قاله الأذرعي إلحاق الزوجة والمملوك بالقريب، ويلحق به أيضا المولى والجار كما في العيادة فيما يظهر، وأفهم كلامه تحريم تشييع المسلم جنازة الكافر غير نحو القريب، وبه صرح الشاشي كابتداء السلام، لكن قضية إلحاق الزوجة ونحوها به الكراهة فقط، وما نازع به الإسنوي في الاستدلال بخبر علي في مطلق القرابة، لوجوب ذلك على ولده علي كما كان يجب عليه مؤونته حال حياته يمكن رده بأن الإذن له على الإطلاق دليل الجواز؛ إذ كان متمكنا من استخلاف غيره عليه من أهل ملته

Maksudnya: Tidak mengapa bagi seorang Muslim mengiringi jenazah ahli keluarganya bukan Muslim, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ali RA yang berkata: "Ketika Abu Talib meninggal dunia, aku datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Sesungguhnya bapa saudaramu yang sesat telah meninggal dunia.” Baginda bersabda: 'Pergilah dan uruskan pengkebumiannya." Tidak jauh seperti yang dikatakan oleh al-Azrai‘e memasukkan isteri dan hamba untuk disamakan dengan qarib (keluarga terdekat) dalam hal ini. Begitu juga wali dan jiran, sebagaimana hukum menziarahi orang sakit menurut suatu yang jelas. Ini menunjukkan bahawa haram bagi seorang Muslim mengikuti jenazah bukan Muslim yang bukan dari kalangan ahli keluarga terdekat. Pendapat ini juga disebut oleh al-Syasyi, seperti yang dijelaskan oleh beliau berkaitan hukum memulakan ucapan salam kepada bukan Muslim. Namun, jika melibatkan isteri dan seumpamanya, hukumnya adalah makruh. Mengenai bantahan al-Isnawi terhadap pendalilan dengan hadis Ali dalam konteks saudara secara umum, dengan alasan bahawa adalah wajib bagi anak lelaki seperti Ali menguruskan pengebumian bapanya kerana kewajipannya menanggung nafkah semasa hidup, ini dapat dijawab bahawa izin Rasulullah SAW kepada Ali secara mutlak adalah dalil keharusan. Sebab baginda boleh sahaja meminta orang lain dari kalangan keluarganya yang juga bukan seorang muslim untuk melakukannya.”

  1. Seseorang Muslim boleh menyertai pengebumian dan mengiringi jenazah bukan Muslim jika terdapat manfaat yang jelas dengan kehadiran tersebut. Contohnya, membantu mengebumikan jenazah kerabatnya atau menjaga hubungan kekeluargaan. Dalam keadaan ini, tiada larangan syarak yang nyata.

 

  1. Dalam situasi tertentu, dibenarkan atau diwajibkan seseorang muslim menyertai majlis bukan Islam jika terdapat manfaat agama seperti untuk berdakwah atau mencegah kemudaratan terhadap umat Islam. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

ومثل ذلك اليوم لو أن المسلم بدار حرب أو دار كفر غير حرب لم يكن مأمورًا بالمخالفة لهم في الهدي الظاهر؛ لما عليه في ذلك من الضرر، بل قد يستحب للرجل أو يجب عليه أن يشاركهم أحيانًا في هديهم الظاهر إذا كان في ذلك مصلحة دينية من دعوتهم إلى الدين والاطلاع على باطن أمرهم لإخبار المسلمين بذلك أو دفع ضررهم عن المسلمين ونحو ذلك من المقاصد الصالحة

Begitu juga, pada zaman ini, jika seorang Muslim tinggal di negeri harb atau negeri kafir yang bukan dalam keadaan berperang (dengan orang Islam), dia tidak diwajibkan untuk berbeza dengan mereka dalam penampilan luaran jika hal itu dapat mendatangkan mudarat kepadanya. Bahkan, kadang-kadang dianjurkan, atau mungkin diwajibkan, bagi seseorang untuk menyertai orang kafir kadang-kala dalam beberapa penampilan luaran, sekiranya terdapat manfaat agama seperti untuk mengajak mereka kepada agama Islam, mendapatkan maklumat rahsia mereka dan melaporkannya kepada umat Islam, atau bagi menolak bahaya mereka dari umat Islam, dan tujuan-tujuan lain yang baik dan bermanfaat.” (Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim, 1/176).

 

  1. Tidak dibenarkan seorang Muslim menghadiri majlis pengebumian di gereja, kuil, atau tempat ibadah bukan Islam, kerana kehadiran tanpa sebarang pengingkaran dianggap sebagai satu bentuk persetujuan atau sokongan. Allah SWT berfirman:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ

"Dan sungguh, Dia telah menurunkan kepada kamu di dalam Kitab (al-Quran) bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (jika kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka." (Surah al-Nisa', 4:140)

Kata al-Imam al-Qurtubi:

فدل بهذا على وجوب اجتناب أصحاب المعاصي إذا ظهر منهم منكر، لأن من لم يجتنبهم فقد رضي فعلهم، والرضا بالكفر كفر، قال الله عز وجل: إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ   فكل من جلس في مجلس معصية ولم ينكر عليهم يكون معهم في الوزر سواء، وينبغي أن ينكر عليهم إذا تكلموا بالمعصية وعملوا بها، فإن لم يقدر على النكير عليهم فينبغي أن يقوم عنهم حتى لا يكون من أهل هذه الآية

Ayat ini menunjukkan kewajipan untuk menjauhi mereka yang melakukan maksiat ketika zahir dari mereka perkara yang dilarang. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka, dia dianggap meredai perbuatan mereka, dan keredaan terhadap kekufuran adalah kekufuran. Allah AZWJ berfirman: “Sesungguhnya kamu ketika itu adalah seumpama mereka.” Oleh itu, sesiapa yang duduk di tempat maksiat tanpa mengingkarinya dianggap turut bersama dalam dosa mereka. Jika tidak mampu menegur, maka dia perlu meninggalkan tempat itu agar tidak termasuk dalam ancaman ayat ini (Ahkam al-Quran, 5/417).

  1. Tidak dibenarkan menghadiri atau terlibat dalam ritual agama bukan Islam.

 

  1. Dilarang hadir jika tidak dapat mengingkari ritual yang bertentangan dengan syariat.

 

  1. Kehadiran hanya dibolehkan jika terdapat maslahah (manfaat) yang jelas, dengan syarat tidak melibatkan pelanggaran syariat.

 

  1. Kehadiran Muslim di jenazah bukan Muslim hanya dibolehkan jika tidak melibatkan perkara yang haram seperti mengamalkan ritual keagamaan, atau tindakan lain yang bertentangan dengan syariat Islam. Jika perkara ini berlaku, maka kehadiran menjadi haram.

 

  1. Boleh mengucapkan takziah kepada orang bukan Islam atas kematian kerabat mereka. Dalam takziah ini, boleh diucapkan kata-kata seperti: Semoga Allah menggantikan sesuatu yang lebih baik untukmu (أخلف الله عليك).  

 

  1. Tidak boleh memasuki gereja pada hari pengebumian, kerana hal itu termasuk dalam bentuk ibadah khas orang bukan Islam.

 

  1. Boleh berdiri menghormati setiap jenazah, berdasarkan sabda Nabi SAW:

إذا رأيتم الجنازة فقوموا

"Apabila kamu melihat jenazah, berdirilah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam salah satu riwayat, para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, itu adalah jenazah seorang Yahudi." Baginda menjawab: أليست نفسا؟ "Bukankah ia juga sebuah jiwa?" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam lafaz yang lain, disebut: إنما قمنا للملائكة "Sesungguhnya kami berdiri kerana menghormati para malaikat." (Riwayat Ahmad dan Nasa’i).

  1. Beberapa hadis dan riwayat menunjukkan bahawa dibenarkan bagi seorang Muslim untuk menghadiri pengebumian orang bukan Islam dengan syarat tidak menyertai mereka dalam upacara keagamaan mereka, berada jauh dari majlis mereka, dan memastikan tiada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam mengiringi pengebumian tersebut. Jika terdapat perkara yang bertentangan, maka haram untuk menyertai pengebumian tersebut.

Ibnu Abi Syaibah dalam kitab al-Musannaf (3/228) meriwayatkan daripada al-Sya’bi bahawa:

ماتت أم الحارث بن أبي ربيعة وهي نصرانية، فشهدها أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم.

"Ibu kepada al-Harith bin Abi Rabiah meninggal dunia dalam keadaan beragama Nasrani, lalu para sahabat Nabi SAW menghadiri pengebumiannya."

Begitu juga, riwayat daripada Abu Wail yang berkata:

ماتت أمي وهي نصرانية، فأتيت عمر فذكرت ذلك له فقال: اركب دابة وسر أمامها.

"Ibu saya meninggal dunia dalam keadaan beragama Nasrani. Maka saya menemui Umar RA dan menyebutkan hal itu kepadanya. Umar berkata: Naikilah seekor haiwan tunggangan dan berjalanlah di hadapan jenazahnya."

Ibnu Umar pula apabila ditanya tentang seorang Muslim yang mengiringi jenazah ibunya yang beragama Nasrani, beliau menjawab:

يتبعها ويمشي أمامها

"Hendaklah dia mengikutinya dan berjalan di hadapan jenazah."



[1] al-Ghalwah pada bahasa ialah jarak paling jauh boleh sampai anak panah. Ada yang berpandangan kadarnya sejauh 300 – 400 hasta. Kalimah pluralnya ialah ghalawat غَلَوات. Ia bersamaan dengan satu bahagian dari 25 bahagian farsakh (الفرسخ). Para fuqaha berbeza pandangan dalam menentukan batas ghalwah. Sebahagian mereka mengatakan jarak atau batasnya ialah sejauh 300 hasta. Sebahagian lain mengatakan sejauh 300 – 400 langkah. Ada juga yang berpandangan jaraknya ialah jarak panahan anak panah tanpa menetakkan hadnya secara terperinci. Ibn ‘Abidin menukilkan dari al-Bahr al-Ra-iq daripada al-Mujtaba yang menyatakan jaraknya ialah 300 – 400 hasta dan inilah yang asah (lebih sahih). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/320)


Cetak  
Wallahu a'lam