Bulan Syaaban

BULAN SYA’BAN

Oleh: Mohamad Abdul kadir bin Sahak

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “(Bulan ini) dinamakan sebagai Sya’ban disebabkan orang-orang Arab berselerakan untuk mencari air atau berselerakan dalam menyerang musuh-musuh mereka dalam peperangan setelah mereka keluar dari bulan Rejab yang dimuliakan.”[1]

Daripada Usamah bin Zaid RA katanya: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, daku belum pernah melihat tuan berpuasa dalam sebulan sepertimana tuan berpuasa dalam bulan Sya’ban.” Baginda menjawab:

ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان ، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين ، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

Maksudnya: “Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai, ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Maka daku suka amalanku diangkat, ketika itu aku berpuasa.” (HR al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Sughra. Hadis bilangan: 2329. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Nasa’ie)

Ibn Rajab al-Hambali berkata: “Di dalam hadis ini terdapat beberapa faedah:

  • Sya’ban adalah bulan yang dilalai/diabaikan oleh orang ramai, ia berada di antara Rejab dan Ramadhan. Ia menunjukkan terselindungnya bulan ini dengan dua bulan yang penting iaitulah salah satunya bulan yang haram (Bulan Rejab) manakala yang satu lagi Bulan Ramadhan, menyebabkan orang ramai sibuk merebut kelebihan dalam dua bulan tersebut, lalu menjadikan bulan Sya’ban diabai dan dilalaikan. Di dalam hadis ini baginda bersabda: “Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai” ia satu isyarat yang menunjukkan bahawa ada sebahagian waktu, tempat dan individu yang tersebar (masyhur) kelebihannya, kadang-kala ada perkara lain yang lebih afdhal/lebih utama darinya, sama ada (ia lebih afdhal) secara umum atau kerana khususiah yang ada padanya yang tidak disedari oleh ramai orang, sehingga mereka menyibukkan diri dengan perkara yang masyhur sahaja, sehingga mereka terluput dari memperolehi kelebihan sesuatu yang tidak masyhur di sisi mereka.

Di dalam hadis ini juga terdapat bukti, sunat menghidupkan waktu-waktu yang diabai/dilalaikan oleh orang ramai dengan melakukan ketaatan, dan perkara ini adalah sesuatu yang disukai oleh Allah azza wajalla, seperti yang dinyatakan oleh sekumpulan ulama salaf.

Kemudian Ibn Rejab berkata lagi: “Dan menghidupkan waktu yang diabaikan (oleh orang ramai) dengan melakukan ketaatan terdapat beberapa faedah:

  • Ia menjadi lebih tersembunyi, dimana menyembunyi dan merahsiakan amalan-amalan sunat adalah lebih afdhal. Terutamanya amalan berpuasa yang merupakan rahsia antara seseorang hamba dengan Tuhannya sahaja. kerana itu dikatakan untuk amalan berpuasa ini padanya tiada unsur riya’. Sebahagian Salaf pernah berpuasa selama 40 tahun yang tidak diketahui oleh seseorangpun. Dia akan keluar dari rumahnya menuju ke pasar bersama dua potong tepung roti (رغيفان), lalu dia sedekahkan kedua-duanya dan dia terus berpuasa. Perbuatannya itu menyebabkan ahli keluarganya menyangka dua roti itu dimakannya, manakala orang ramai menyangka dia akan memakan roti itu di rumahnya. Mereka juga (Ulama Salaf) menggalakkan bagi sesiapa yang berpuasa untuk menzahirkan sesuatu yang boleh menyembunyikan puasanya. Daripada Ibn Mas’ud RA katanya:

إذا أصبحتم صياما فأصبحوا مُدْهِنِين

Maksudnya: “Jika kamu semua pada pagi hari dalam keadaan berpuasa, maka jadilah orang yang menzahirkan yang sebaliknya (seperti tidak berpuasa).”  Qatadah pula berkata:

يستحب للصائم أن يدهن حتى تذهب عنه غبرة الصيام

Maksudnya: “Disunatkan bagi yang berpuasa untuk menzahirkan sesuatu yang tidak menunjukkan dia berpuasa, hingga tidak kelihatan darinya kesan puasa.” Abu al-Tayyah (أبو التّيّاح) pula berkata:

أدركت أبي ومَشْيَخَة الحي إذا صام أحدهم ادهن ولبس صالح ثيابه

Maksudnya: “Aku mendapati bapaku dan Mashyakhak al-Hayy (para masyaikh di tempatku), apabila seseorang dari mereka berpuasa, dia akan menzahirkan sebaliknya, dan memakai pakaian yang paling elok.”

  • Menghidupkan waktu yang diabaikan oleh orang ramai itu lebih berat bagi jiwa. Maka amalan yang lebih afdhal ialah yang lebih berat ke atas jiwa. Ini kerana sesuatu jiwa terbiasa mengikuti apa yang disaksikan dari kebiasaan orang lain. Jika ramai yang tidak lalai dan melakukan ketaatan, maka banyaklah orang yang melakukan ketaatan kerana terdapat ramai yang boleh dicontohi, justeru menjadi mudah ketaatan-ketaatan tersebut. Namun jika kelalaian itu banyak, maka ia menjadi contoh kepada orang ramai, seterusnya menjadi berat ke atas jiwa yang hendak menghidupkan ketaatan disebabkan kurangnya mereka yang boleh diikuti/dicontohi. Inilah makna hadis Nabi SAW:

للعامل منهم أجر خمسين منكم، إنكم تجدون على الخير أعوانا ولا يجدون

Maksudnya:  “Bagi seseroang yang beramal dari kalangan mereka (umat Nabi setelah kewafatan baginda) akan memperolehi pahala 50 orang dari kalangan kamu semua (para Sahabah). Sesungguhnya kamu semua melakukan kebaikan kerana mendapati pembantu-pembantu (sahabat lain yang juga melakukan kebaikan), sedangkan mereka tidak mendapatinya.”[2]

  • Seseorang yang melakukan ketaatan dari kalangan orang ramai yang melakukan maksiat dan berada dalam kelalaian, kadang-kala dapat menolak bala’ dari dikenakan ke atas orang ramai tersebut. Ia seolah-olah melindungi mereka semua.[3]

Al-Imam Ibn al-Jauziy berkata: “dan ketahuilah bahawa waktu-waktu yang diabaikan oleh orang ramai memiliki kedudukan yang besar disebabkan orang ramai sibuk dengan perkara-perkara adat dan keinginan. Justeru apabila seseorang yang hendakkan kelebihan berterusan melakukan ketaatan (pada ketika itu) ia membuktikan kesungguhannya memperolehi kebaikan (dari tuhannya). Kerana ini juga adanya kelebihan menunaikai solat Fajar (Subuh) secara berjemaah disebabkan pada ketika itu kebanyakan orang berada dalam keadaan lalai. Demikian juga waktu diantara Maghrib dan Isyak, kelebihan waktu pertengahan malam dan waktu Sahur.”[4]

Ibn Rejab al-Hambali pula berkata: “Dikatakan puasa dalam bulan Sya’ban adalah seperti latihan untuk menghadapi puasa Ramadhan, agar seseorang tidak masuk ke dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berat dan terbeban. Sebaliknya dia telah terbiasa dengan berpuasa, justeru puasa Sya’ban menjadikan seseorang itu dapat merasai kemanisan dan kelazatan berpuasa. Maka dia masuk ke dalam bulan ramadhan dalam keadaan kuat dan cergas. Maka ketikamana Sya’ban menjadi seperti permulaan bagi memasuki Ramadhan, disyariat di dalamnya apa-apa yang disyariatkan di dalam Ramadhan terdiri daripada amalan berpuasa, membaca al-Quran bagi memperolehi kesediaan bertemu dengan Ramadhan dan ketundukan jiwa untuk melakukan ketaatan kepada tuhan yang Maha Pemurah.”[5]

Berkaitan puasa baginda SAW yang lebih banyak di lakukan dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan yang lain, al-Imam Ibn al-Qayyim RH berkata ianya memiliki 3 makna:

Pertama: (Kebiasaannya) baginda akan berpuasa 3 hari dalam setiap bulan. Barangkali  baginda pernah disibukkan (dengan sesuatu urusan) dalam beberapa bulan. Lalu baginda menghimpunkan puasa-puasa tersebut di dalam bulan Sya’ban, bagi dapat melaksanakannya sebelum masuknya puasa fardhu (Ramadhan). Kedua: baginda melakukannya bagi mengagungkan Ramadhan. Puasa dalam bulan Sya’ban ini menyerupai solat sunat sebelum solat fardhu kerana mengagungkan hak solat fardhu. Ketiga: Sya’ban merupakan bulan yang diangkat amalan-amalan. Maka baginda Nabi SAW lebih suka amalan baginda diangkat ketika baginda berpuasa.”[6]

Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Bagaimana Nabi SAW mengkhususkan puasa sunat dalam bulan Sya’ban, sedang baginda pernah bersabda:

أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله المحرم

Maksudnya: “Puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadhan adalah puasa dalam bulan Allah Muharram.” Maka jawapannya: Sekumpulan orang menjawab tentang perkara ini dengan jawapan yang tidak kuat disebabkan keyakinan mereka puasa bulan Muharram dan bulan-bulan Haram (bulan-bulan yang dimuliakan) lebih utama berbanding Sya’ban, seperti yang dijelaskan oleh para ulama dari mazhab al-Syafie dan selainnya. Dan yang lebih zahir adalah sebaliknya iaitulah puasa dalam bulan Sya’ban adalah lebih utama berbanding puasa dalam bulan-bulan yang haram. Bukti dalam perkara ini berdasarkan hadis yang dikeluarkan oleh al-TIrmizi, dari hadis Anas, dimana Nabi SAW pernah ditanya: “Apakah puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadhan?” baginda menjawab:

شعبان تعظيما لرمضان

Maksudnya: “Sya’ban sebagai mengagungkan bulan Ramadhan.”[7]

Kata beliau (Ibn Rejab) lagi: “Jika dikatakan, sesungguhnya baginda juga pernah bersabda:

أفضل الصيام صيام داود كان يصوم يوما ويفطر يوما

Maksudnya: “Puasa yang lebih utama ialah puasa Nabi Daud, dimana baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.” Namun baginda (Nabi Muhammad SAW) tidak berpuasa sedemikian, sebaliknya baginda berpuasa beberapa hari berturut-turut, dan tidak berpuasa dalam beberapa hari berturut-turut, dan baginda (banyak) berpuasa dalam bulan Sya’ban dan setiap Isnin dan Khamis?

Dikatakan juga: (Maksud) Puasa Nabi Daud yang diutamakan oleh Nabi SAW, telah dijelaskan oleh baginda sendiri dalam hadis lain, dimana puasa tersebut ialah puasa sebanyak setengah tahun. Dan baginda Nabi SAW, jika dihimpunkan puasa baginda akan mencecah setengah tahun atau lebih dari itu lagi. Baginda dahulunya telah berpuasa seperti yang telah dijelaskan bersama dengan puasa ‘Asyura dan 9 hari (awal) dalam bulan Zulhijjah. Baginda hanya memisahkan puasa baginda, sebaliknya baginda tidak berpuasa sehari dan berbuka sehari, kerana baginda mencari dan mengharapkan dapat berpuasa pada waktu-waktu yang utama. Tiada masalah memisahkan hari berpuasa dengan tidak berpuasa dengan selang lebih dari satu hari, jika bertujuan untuk menguatkan diri melakukan perkara yang lebih utama dari berpuasa seperti menyampaikan risalah, berjihad dan melaksanakan tuntutannya, jika berpuasa sehari dan berbuka sehari hal ini menjadikan baginda lemah untuk melakukan perkara-perkara ini. Kerana itu baginda pernah ditanya di dalam hadis Abi Qatadah tentang siapa yang berpuasa sehari dan berbuka 2 hari? Baginda  menjawab:

وَدِدْتُ أَنِّي طُوِّقْتُ ذَلِكَ

Maksudnya: “Aku berharap aku diberi kemampuan untuk melakukan demikian itu.”[8] (HR Muslim)

Dahulunya juga Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, apabila sudah tua kadang-kadang beliau tidak berpuasa beberapa hari berturut-turut untuk mendapat kekuatan melakukan puasa (sesudah itu), kemudian berpuasa bagi memelihara hari-hari yang dipisahkan oleh baginda SAW sehingga dapat berpuasa sebanyak setengah tahun, bahkan lebih banyak lagi dengan puasa yang dilakukan secara terpisah-pisah. Lalu baginda memperolehi pahala puasa berturut-turut kerana cita-citanya melakukan perkara tersebut, baginda tidak melakukan (puasa sehari dan berbuka 2 hari) disebabkan kesibukan dengan melakukan perkara yang lebih penting dan lebih utama. Allah sahaja yang lebih mengetahui.”[9]

Namun al-Imam al-Nawawi berpandangan baginda Nabi SAW lebih banyak berpuasa dalam bulan Syaaban berbanding Muharram kerana berkemungkinan baginda diwahyukan tentang kelebihan Muharram berbanding Syaaban di penghujung umur baginda menyebabkan baginda tidak sempat untuk membanyakkan puasa dalam bulan Muharram. Barangkali juga baginda tidak memperbanyakkan puasa dalam bulan Muharram disebabkan kesibukan lain seperti bermusafir, sakit dan seumpamanya yang menghalang baginda memperbanyakkan puasa dalam bulan Muharram.[10]

KELEBIHAN BULAN SYAABAN

  • Bulan diangkat amalan berdasarkan hadis:

Daripada Usamah bin Zaid RA katanya: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, daku belum pernah melihat tuan berpuasa dalam sebulan sepertimana tuan berpuasa dalam bulan Sya’ban.” Baginda menjawab:

ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان ، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين ، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

Maksudnya: “Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai, ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam[11]. Maka daku suka amalanku diangkat, ketika itu aku berpuasa.” (HR al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Sughra. Hadis bilangan: 2329. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Nasa’ie)

  • Baginda SAW memperbanyakkan puasa dalam bulan Syaaban. Aisyah berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم حتى نقول : لا يفطر ، ويفطر حتى نقول : لا يصوم ، وما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان وما رأيته في شهر أكثر منه صياما في شعبان

Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyatakan baginda tidak akan berbuka. Baginda juga tidak berpuasa sehingga kami menyatakan baginda tidak akan berpuasa. Tidaklah aku pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh sama sekali, melainkan dalam bulan Ramadhan, tidak juga aku pernah melihat baginda dalam sebulan lebih banyak berpuasa berbanding Sya’ban.” (HR Muslim – Kitab al-Siyam – Bab Siyam al-Nabiy SAW Fi Ghair Ramadhan – Hadis 2028)

Daripada ‘Aisyah juga yang berkata:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ ، فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ، وَكَانَ يَقُولُ : خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا ، وَأَحَبُّ الصَّلاةِ إِلَى النَّبِيِّ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ ، وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Maksudnya: Tidak pernah Nabi SAW berpuasa dalam sebulan lebih banyak dari bulan Syaaban, sesungguhnya baginda puasa Syaaban keseluruhannya. Baginda juga bersabda: “beramallah mengikut kemampuanmu, kerana sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua yang jemu. Dan solat yang paling disukai oleh Nabi SAW ialah apa yang dilakukan secara berterusan sekalipun sedikit. Adalah baginda apabila menunaikan solat, baginda akan istiqamah melakukannya.” (HR al-Bukhari)

KEADAAN BAGINDA DALAM BULAN SYA’BAN DAN KELEBIHAN BULAN SYA’BAN

Daripada Abu Salamah, bahawa ‘Aisyah pernah menceritakan kepadanya dengan berkata:

لم يكن النبي صلى الله عليه وسلم يصوم شهرا أكثر من شعبان ، فإنه كان يصوم شعبان كله

Maksudnya: “Nabi SAW tidak pernah berpuasa dalam sebulan lebih banyak dari puasa dalam bulan Sya’ban. Sesungguhnya baginda berpuasa dalam keseluruhan Sya’ban.” (HR al-Bukhari – Kitab al-Saum – Bab Saum al-Sya’ban – hadis 1881)

Ibn al-Mubarak ketika menjelaskan tentang berkata: “Diterima di dalam percakapan ‘Arab, apabila seseorang berpuasa kebanyakan hari dalam sesuatu bulan, orang itu dikatakan dia telah berpuasa sebulan keseluruhannya.”[12]

‘Aisyah juga berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم حتى نقول : لا يفطر ، ويفطر حتى نقول : لا يصوم ، وما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان وما رأيته في شهر أكثر منه صياما في شعبان

Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyatakan baginda tidak akan berbuka. Baginda juga tidak berpuasa sehingga kami menyatakan baginda tidak akan berpuasa. Tidaklah aku pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh sama sekali, melainkan dalam bulan Ramadhan, tidak juga aku pernah melihat baginda dalam sebulan lebih banyak berpuasa berbanding Sya’ban.” (HR Muslim – Kitab al-Siyam – Bab Siyam al-Nabiy SAW Fi Ghair Ramadhan – Hadis 2028)

Al-Imam Ibn Hajar RH berkata: “Di dalam hadis ini bukti menunjukkan kelebihan berpuasa dalam bulan Sya’ban.”[13]

Al-Imam Ibn Rejab al-Hambali RH berkata: “Adapun puasa Nabi SAW dalam setahun, baginda (banyak) berpuasa dalam bulan SYa’ban tidak seperti puasa baginda dalam bulan-bulan yang lain.”[14]

Al-Imam al-San’aniy RH berkata: “Di dalam hadis ini terdapat bukti baginda mengkhususkan Sya’ban dengan lebih banyak berpuasa berbanding bulan lain.”[15]

Daripada Abi Salamah katanya: Aku pernah bertanya ‘Aisyah RA berkaitan puasa Rasulullah SAW. lalu beliau berkata:

كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ ، وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلا قَلِيلاً

Maksudnya: “Dahulunya baginda berpuasa sehingga kami mengatakan baginda benar-benar berpuasa[16]. Baginda juga tidak berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa[17]. Dan tidaklah pernah aku melihat baginda berpuasa dalam satu bulan sama sekali sebagaimana baginda banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban, baginda berpuasa Sya’ban keseluruhannya,[18] melainkan sedikit sahaja (yang baginda tidak berpuasa).” (HR Muslim – Kitab al-Siyam – Bab Siyam al-Nabiy SAW Fi Ghair Ramadhan – hadis: 2029)

Daripada ‘Aisyah RA juga, katanya:

لم يكن رسول الله صلى الله عليه وسلم في الشهر من السنة أكثر صياما منه في شعبان

Maksudnya: “Tidaklah pernah Rasulullah SAW pada satu bulan dalam setahun lebih banyak berpuasa berbanding Sya’ban.” (HR Muslim – Kitab al-Siyam – Bab Siyam al-Nabiy SAW Fi Ghair Ramadhan – hadis: 2030)

Justeru sewajarnya setiap muslim berusaha memperbanyakkan puasa atau ibadah yang lain di dalam bulan Syaaban. Sebabnya:

Pertama: Supaya terbiasa dengan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan mungkar. Mu’awiyah bin Abi Sufian meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda:

الْخَيْرُ عَادَةٌ وَالشَّرُّ لَجَاجَةٌ وَمَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Kebaikan itu suatu yang terbiasa dilakukan, manakala kejahatan itu adalah suatu yang dibantah. Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, Dia akan fahamkan orang itu dengan agama.” (HR Ibn Majah. Tersenarai di dalam Sahih Ibn Hibban. Al-Albani menilainya sebagai Hasan di dalam Sahih al-Jami’)

Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadis ini berkata:

“Seorang yang beriman yang tetap di atas kandungan iman dan takwa, dadanya akan terbuka dan lapang kepada kebaikan, sehingga kebaikan itu  menjadi kebiasaannya. Adapun keburukan, dadanya tidak terbuka dan lapang untuknya, keburukan itu tidak masuk ke dalam jantung hatinya melainkan disebabkan keraguan syaitan dan nafsu ammarah.”[19]

Kedua: Persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan dipenuhi dengan kemuliaan, kelebihan dan rahmat dari Allah SWT yang perlu direbut oleh setiap muslim. Dimana biasanya kelebihan-kelebihan ini akan diperolehi oleh mereka yang mempersiapkan diri untuk memperolehinya. Nabi SAW bersabda:

 افْعَلُوا الْخَيْرَ دَهْرَكُمْ ، وَتَعَرَّضُوا لِنَفَحَاتِ رَحْمَةِ اللَّهِ ، فَإِنَّ لِلَّهِ نَفَحَاتٍ مِنْ رَحْمَتِهِ يُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ، وَسَلُوا اللَّهَ أَنْ يَسْتُرَ عَوْرَاتِكُمْ ، وَأَنْ يُؤَمِّنَ رَوْعَاتِكُمْ

Maksudnya: “Lakukanlah kebaikan sepanjang hidupmu. Bersedialah untuk memperolehi tiupan-tiupan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah memiliki tiupan-tiupan dari rahmatNya yang akan mengenai sesiapa yang dikehendaki dari kalangan hambaNya. dan mohonlah kepada Allah untuk ditutup keaiban-keaibanmu dan mententeramkan kamu dari kebimbanganmu.” (dikeluarkan oleh Ibn Abi al-Dunya dan al-Tabarani dari Hadis Anas. al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawa’id berkata: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan para periwayatnya adalah para periwayat al-Sahih, melainkan ‘Isa bin Musa bin Iyas bin al-Bukair. Dan ia adalah seorang yang thiqah”)

Di sisi al-Tabaraniy di dalam al-Awsath dari hadis Muhammad bin Maslamah, dikatakan Nabi SAW bersabda:

إِنَّ لِرَبِّكُمْ فِي أَيَّامِ دَهْرِكُمْ نَفَحَاتٍ فَتَعَرَّضُوا لَهُ ، لَعَلَّهُ أَنْ يُصِيبَكُمْ نَفْحَةٌ مِنْهَا فَلَا تَشْقَوْنَ بَعْدَهَا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesungguhnya tuhanmu memiliki tiupan-tiupan pada tiap-tiap hari setahunmu, maka bersedialah untuk memperolehinya, mudah-mudahan mengenai kamu satu tiupan dari tiupan-tiupan tersebut, maka kamu tidak akan ditimpa kecelakaan selepas dari itu selama-lamanya.” (Hadis ini dinilai Dhoief atau lemah oleh al-Suyuthi. Demikian juga al-Albani di dalam Dhoief al-Jami’ al-Soghir wa Ziyadatuh dan di dalam al-Daiefah)

Justeru sepatutnya setiap muslim berusaha merebut kelebihan-kelebihan yang disediakan oleh Allah SWT ini. kerana itu kita dapati baginda Nabi SAW banyak berpuasa dalam bulan Syaaban sehingga terdapat riwayat dari ‘Aisyah RA yang berkata:

Maksudnya: “Pernah diberitahukan kepada Rasulullah SAW, tentang orang ramai berpuasa dalam bulan Rejab. Lalu baginda bersabda:

فأين هم عن شعبان؟

Maksudnya: “Dimana mereka dari bulan Syaaban?” (HR ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Syaibah di dalam Musannaf mereka berdua)

Diceritakan pernah satu ketika salah seorang dari generasi Salaf telah menjual seorang hambanya kepada orang lain. Apabila tiba bulan Ramadhan, tuannya yang baharu mempersiapkan makanan dan minuman untuk menyambut kehadiran bulan Ramadhan, seperti yang dilakukan orang ramai orang pada hari. Apabila si hamba melihat persediaan tersebut dia bertanya: “Mengapa kamu semua melakukan semua ini?” Jawab tuannya: “Untuk menyambut kehadiran bulan Ramadhan.” Lalu si hamba itu menjawab:

وأنتم لا تصومون إلا في رمضان، والله لقد جئت من عند قوم السَّنَة عندهم كأنها كلها رمضان، لا حاجة لي فيكم، رُدُّوني إليهم

Maksudnya: “(Rupanya) kamu semua tidak berpuasa melainkan dalam bulan Ramadhan. Demi Allah sesungguhnya aku datang dari sekumpulan kaum yang mana di sisi mereka setahun itu kesemuanya seolah-olah Ramadhan (mereka banyak berpuasa sekalipun di luar Ramadhan). Jika demikian tiada apa-apa keperluan bagiku untuk bersama dengan kamu semua. kembalikan aku kepada mereka.” Lalu hamba itu dikembalikan kepada tuannya yang awal.

BEBERAPA HADIS TENTANG KELEBIHAN PUASA SUNAT

  • Daripada Abi Sa’ied al-Khudriy RA, Nabi SAW bersabda:

لا يصوم عبد يوماً في سبيل الله إلا باعد الله بذلك اليوم وجهه عن النار سبعين خريفاً

Maksudnya: “Tidak berpuasa seseorang hamba satu hari pada jalan Allah, melainkan Allah akan jauhkannya dengan sebab hari puasanya itu mukanya dari neraka sejauh 70 tahun.” (HR al-Bukhari – Kitab al-Jihad wa al-Siyar – Bab Fadhl al-Saum Fi Sabilillah – Hadis: 2705. Muslim – Kitab al-Siyam – Bab Fadhl al-Siyam Fi Sabilillah Liman Yuthiquh – Hadis: 2021)

Demikian balasan yang dijanjikan bagi yang berpuasa sunat sehari sahaja kerana Allah SWT, sedangkan di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Maka sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya. (Ali Imran: 185)

Maka bagaimana beruntungnya orang yang dijauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun???

  • Daripada Abi Umamah RA katanya: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan, dengannya Allah memberi manfaat kepadaku. Baginda bersabda:

عليك بالصوم فإنه لا عدل له

Maksudnya: “Hendaklah kamu banyakkan berpuasa, kerana tiada yang sebanding dengannya.” (HR al-Hakim di dalam al-Mustadrak – Hadis: 1466. Al-Nasa’ie di dalam sunannya – Kitab al-Siyam – Hadis: 2204. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Nasa’ie, hadis: 2221 dan di dalam Sahih al-Jami’, hadis: 4044)

  • Daripada Huzaifah RA, katanya: “Rasulullah SAW bersabda:

من خُتم له بصيام يوم دخل الجنة

Maksudnya: “Siapa yang meninggal dunia dalam keadaan berpuasa pada hari tersebut, maka dia akan masuk ke dalam syurga.”[20] (HR al-Bazzar di dalam al-Musnad – Hadis: 2476. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, hadis: 6224)

  • Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi SAW bersabda:

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة ، يقول الصيام : أي رب منعته الطعام والشهوة ، فشفعني فيه ، ويقول القرآن : رب منعته النوم بالليل فشفعني فيه ، قال: فيشفعان

Maksudnya: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Puasanya akan berkata: “Wahai Tuhan, aku menghalangnya dari makanan dan syahwat, maka jadikan aku dapat memberi syafaat kepadanya.” al-Quran pula akan berkata: “Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya dari tidur malam hari, maka jadikan aku boleh memberi syafaat kepadanya.” lalu Allah berfirman: “Kamu berdua berilah syafaat kepadanya.” (HR al-Hakim di dalam al-Mustadrak – Kitab Fadhail al-Quran – Akhbar Fi Fadhail al-Quran Jumlatan. Hadis: 1979. Ahmad di dalam al-Musnad, hadis: 6454. Dinilah Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, hadis: 3882, dan Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis: 1429)

NISFU SYA’BAN

Allah SWT telah melebihkan malam Nisfu Sya’ban, dimana Allah SWT memerhatikan kesemua para hambaNya pada malam tersebut, lalu Dia memberikan keampunan kepada mereka semua melainkan seorang musyrik dan seorang yang memutuskan perhubungan. Perkara ini berdasarkan hadis daripada Abu Ta’labah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَطْلُعُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى عِبَادِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala memerhatikan para hambanya pada malam Nisfu Sa’ban, lalu Dia mengampunkan orang-orang yang beriman, dan membiarkan orang-orang kafir dan meninggalkan orang-orang yang bermusuhan kerana permusuhan mereka sehinggalah mereka meninggalkan permusuhan tersebut.” (HR Ahmad di dalam al-Musnad. Ibn Hibban di dalam Sahihnya. Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf. Al-Tabaraniy di dalam al-Kabir dan al-Awsath. Al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Al-Haithami di dalam al-Majma’ berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabaraniy di dalam al-Kabir dan al-Awsath dan periwayatnya adalah Thiqaat.” Hadis ini juga tersenarai di dalam Sahih al-Jami’, hadis: 771)

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ariy, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala melihat (dengan penuh rahmah dan keampuan) pada malam nisfu Sa’ban, lalu Dia mengampunkan kesemua hambaNya melainkan seorang musyrik dan yang bermusuhan.” (HR Ibn Majah. Di nilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’ hadis bilangan: 1819)

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abi ‘Aasim di dalam al-Sunnah, Nabi SAW bersabda:

ينزل ربنا تبارك وتعالى إلى سماء الدنيا ليلة النصف من شعبان، فيغفر لأهل الأرض، إلا مشرك أو مشاحن

Maksudnya: “Tuhan kita Tabaraka wa taala akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban. Lalu Dia memberi keampunan kepada penduduk dunia, melainkan seorang musyrik dan yang bermusuhan.” (al-Albani menilai hadis ini sebagai Sahih lighairih di dalam Dhilal al-Jannah)

Perlu diberi perhatian bahawa tidak terdapat puasa khusus sempena nisfu Sa’ban, demikian juga tiada qiyamullail khusus pada malam nisfu Sa’ban dan seumpamanya. Hal ini kerana Nabi SAW tidak pernah mengkhususkan sebarang ibadah pada hari ini. adapun hadis-hadis yang menyatakan tentang sesuatu amalan khusus pada nisfu Sa’ban adalah hadis yang tidak sahih.

Dari hadis tentang kelebihan malam Nisfu Syaaban ini. Dapat diambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Allah SWT turun ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban iaitulah bermula dari tenggelamnya matahari hinggalah terbitnya fajar.[21]
  • Wajar diperbanyakkan doa pada malam Nifsu Syaaban. Ibn Hajar al-Haitami al-Syafie di dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra ketika berbicara tentang malam Nisfu Syaaban berkata:

وَالْحَاصِلُ أَنَّ لِهَذِهِ اللَّيْلَةِ فَضْلًا، وَأَنَّهُ يَقَعُ فِيهَا مَغْفِرَةٌ مَخْصُوصَةٌ، وَاسْتِجَابَةٌ مَخْصُوصَةٌ، وَمِنْ ثَمَّ قَالَ الشَّافِعِيُّ رَضِيَ الله عَنْهُ: إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِيهَا

Maksudnya: “Maka hasilnya, bahawa bagi malam ini (nisfu Syaaban) terdapat kelebihan. Ada padanya pemberian keampunan dan perkenan doa yang khusus. Justeru kata al-Syafie RA: “Sesungguhnya doa akan diperkenankan pada  malam tersebut.”[22]

  • Keampunan Allah yang amat luas. Dimana Dia amat suka memberi keampunan dan kemaafan. Inilah yang disifatkan oleh Baginda Nabi SAW di dalam hadis baginda, antaranya:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda berdasarkan apa yang baginda hikayatkan dari Allah Azza wa jalla:

أَذْنَبَ عَبْدٌ ذَنْبًا فَقَالَ: اللهمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي. فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا، فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ. ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ، فَقَالَ: أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي. فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: عَبْدِي أَذْنَبَ ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ. ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ، فَقَالَ:  أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي. فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا، فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ، اعْمَلْ مَا شِئْتَ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ

 Maksudnya: “Seorang hamba melakukan doa, lalu dia berkata: “Ya Allah ampunkanlah dosaku.” Lalu Allah yang Maha berkat berfirman: “HambaKu telah melakukan dosa. Dia mengetahui bahawa dia memiliki tuhan yang mahu mengampunkan dosa, dan boleh mengenakan hukuman terhadap dosa.” Setelah itu hamba tadi mengulangi dan berdosa sekali lagi. Lalu dia berkata: “Wahai tuhan, ampunkan dosaku.” Lalu Allah yang Maha berkat berfirman: “HambaKu telah melakukan dosa. Dia mengetahui bahawa dia memiliki tuhan yang mahu mengampunkan dosa, dan boleh mengenakan hukuman terhadap dosa.” Setelah itu hamba tadi mengulangi dan berdosa sekali lagi. Lalu dia berkata: “Wahai tuhan, ampunkan dosaku.” Lalu Allah berfirman lagi: “HambaKu telah melakukan dosa. Dia mengetahui bahawa dia memiliki tuhan yang mahu mengampunkan dosa, dan boleh mengenakan hukuman terhadap dosa. Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepada kamu[23].” (HR Muslim)

Di dalam hadis lain baginda bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ قَالَ: وَعِزَّتِكَ يَا رَبِّ، لَا أَبْرَحُ أُغْوِي عِبَادَكَ مَا دَامَتْ أَرْوَاحُهُمْ فِي أَجْسَادِهِمْ. قَالَ الرَّبُّ: وَعِزَّتِي وَجَلَالِي، لَا أَزَالُ أَغْفِرُ لَهُمْ مَا اسْتَغْفَرُونِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan berkata: Demi kemuliaanMu wahai tuhan. Pasti aku akan berterusan memesongkan para hambaMu selama-mana nyawa berada di dalam tubuh badan mereka. Allah berfirman: “Dan demi kemuliaanKu dan keagunganKU, aku akan sentiasa memberi keampunan kepada mereka jika mereka meminta ampun daripadaku.” (Hadis Sahih riwayat Ahmad 10974)

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “dan sesiapa Yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa’: 110)

  • Tiada habuan keampunan untuk orang musyrik. Rahmat dan keampunan Allah tidak akan diberikan kepada mereka. firmanNya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar.” (al-Nisa’: 48)

FirmanNya lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang Yang mempersekutukanNya Dengan sesuatu (Apa jua), dan akan mengampunkan Yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu (Apa jua), maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh.” (al-Nisa’: 116)

  • Demikian juga tiada habuan keampunan untuk mereka yang bermusuhan. Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Maksudnya: “Dibuka pintu-pintu syurga pada hari isnin dan khamis. Lalu diberi keampunan kepada setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain, melainkan seorang lelaki yang ada permusuhan diantara dia dengan saudaranya. Lalu dikatakan: “Lihatlah kepada 2 orang ini sehinggalah mereka berdua berbaik semula. Lihatlah kepada 2 orang ini sehingga mereka berbaik semula. Lihatlah kepada 2 orang ini sehingga mereka berbaik semula.” (HR Muslim)

HADIS-HADIS YANG TIDAK SAHIH TENTANG MALAM NISFU SYAABAN

  • Dikatakan dari ‘Ali bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلا كَذَا أَلا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ

Maksudnya: “Apabila malam Nisfu Sya’ban, maka lakukanlah qiyamullail pada malam harinya dan berpuasalah pada siang harinya. Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala akan turun pada malam tersebut ke langit dunia seraya berfirman: “Siapa yang memohon ampun, Aku akan mengampunkannya. Siapa yang meminta rezki kepadaKu, Aku akan memberi rezeki kepadanya. Siapa demikian dan demikian… sehinggalah terbitnya fajar.” (HR Ibn Majah. Di dalam Sanadnya ada perawi bernama Abu Bakr bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Abi Busrah al-Qurasyi al-‘Amiriy al-Madaniy dikenali sebagai Ibn Abi Busrah (بسرة). Ia seorang yang menerima tohmahan melakukan pendustaan terhadap hadis-hadis Nabi SAW seperti yang dinyatakan di dalam al-Taqrib. Imam Ahmad dan Ibn Ma’ien berkata tentangnya: Dia memalsukan hadis)

  • dikatakan dari ‘Aisyah RA yang berkata:

فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ : يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ ؟ قَالَتْ : قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ ، فَقَالَ : إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Maksudnya: “Aku pernah kehilangan Nabi SAW pada suatu malam. Lalu aku keluar untuk mencari baginda. Rupanya baginda berada di perkuburan al-Baqii’ sedang mendongak kepala baginda ke langit. Lalu baginda bertanya kepadaku: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu bimbang Allah dan Rasul menzalimi kamu?” Aku menjawab: “Telah aku nyatakan bukanlah aku sedemikian, akan tetapi aku menyangka dikau menemui sebahagian isterimu yang lain.” Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah Taala turun pada malam nisfu Syaaban ke langit dunia, lalu mengampunkan hambaNya lebih banyak berbanding bilangan bulu Ghanam Kalbin.” (HR Ibn Majah, al-Tirmizi dan selain mereka. al-Tirmizi berkata: “Aku telah mendengar Muhammad (iaitulah al-Imam al-Bukhari) mendhoiefkan hadis ini.”[24])

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA berkata:

كَانَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوم ثَلاثَة أَيَّام مِنْ كُلّ شَهْر , فَرُبَّمَا أَخَّرَ ذَلِكَ حَتَّى يَجْتَمِعَ عَلَيْهِ صَوْم السَّنَة فَيَصُوم شَعْبَان

Maksudnya: “Rasulullah SAW sentiasa berpuasa 3 hari dalam setiap bulan. Maka kadang-kala baginda melewatkan puasa tersebut sehinggalah terhimpun selama setahun. Lalu baginda berpuasa dalam bulan Syaaban.” (al-Hafidz Ibn Hajar berkata di dalam Fath al-Bari (4/252): “Hadis Lemah, dikeluarkan oleh al-Tabaraniy di dalam al-Awsath dari jalan Ibn Abi Laila dan beliau adalah seorang yang lemah.”)

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA, Bahawa Nabi SAW sentiasa berpuasa dalam bulan Syaaban keseluruhannya. Kata beliau: “Lalu aku bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah bulan yang paling engkau suka untuk berpuasa di dalamnya adalah bulan Syaaban?” lalu baginda menjawab:

إِنَّ اللَّهَ يَكْتُبُ كُلَّ نَفْسٍ مَيِّتَةٍ تِلْكَ السَّنَةَ , فَأُحِبُّ أَنْ يَأْتِيَنِي أَجَلِي وَأَنَا صَائِم

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mencatit (dalam bulan Syaaban) setiap jiwa yang mati pada tahun itu, maka aku suka ajal aku datang ketika aku berpuasa.” (Dikeluarkan oleh Abu Yaala dan dinilai Dhoief oleh al-ALbani di dalam Dhoief al-Targhib 619. Ada juga lafaz yang menyebut:

إن الله يكتب على كل نفس منيته تلك السنة

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (dalam bulan tersebut) mencatit ke atas setiap jiwa akan ajalnya dalam tahun itu.” Kata al-ALbani di dalam al-Dhoiefah (5086): “(Hadis ini)Munkar.”

  • Dikatakan daripada Mu’az bin Jabal RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

من أحيا الليالي الخمس وجبت له الجنة ليلة التروية وليلة عرفة وليلة النحر وليلة الفطر وليلة النصف من شعبان

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam-malam yang lima, wajib untuknya syurga. (iaitulah) malam al-Tarwiah, malam Arafah, Malam al-Nahr (Raya korban), malam al-Fitr (Raya puasa) dan malam Nisfu Syaaban.” (Kata al-Albani di dalam al-Dhoiefah (522): “(Hadis ini) Palsu. Hadis ini disenaraikan oleh al-Munziri di dalam al-Targhib dan beliau mengisyaratkan kelemahan atau kepalsuan hadis ini. hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Asbahaniy di dalam al-Targhib.”)

  • Dikatakan dari Anas RA katanya:

تدرون لم سمي شعبان ؟ لأنه يشعب فيه خير كثير . وإنما سمي رمضان لأنه يرمض الذنوب أي : يدنيها من الحر

Maksudnya: “Tahukah kamu semua mengapa dinamakan Syaaban? Kerana di dalamnya disebar luaskan kebaikan yang banyak. Dan dinamakan pula Ramadhan kerana di dalamnya dosa-dosa dihapuskan.” (al-Albani berkata di dalam al-Doiefah 3223: “Palsu. Ia diriwayatkan oleh al-Dailami dan al-Rafi’ie di dalam Tarikhnya.”)

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA katanya:

شعبان شهري ورمضان شهر الله وشعبان المطهر ورمضان المكفر

Maksudnya: “Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah Bulan Allah. Syaaban bulan pembersih dan Ramadhan bulan penghapus.” (Riwayat Ibn ‘Asakir. Al-Albani berkata di dalam al-Dhoiefah 3746: “Dhoief Jiddan (Terlalu lemah).”

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA, Rasulullah SAW dikatakan telah bersabda:

هل تدرين ما هذه الليل ؟ " يعني ليلة النصف من شعبان قالت : ما فيها يا رسول الله فقال : " فيها أن يكتب كل مولود من بني آدم في هذه السنة وفيها أن يكتب كل هالك من بني آدم في هذه السنة وفيها ترفع أعمالهم وفيها تنزل أرزاقهم " . فقالت : يا رسول الله ما من أحد يدخل الجنة إلا برحمة الله تعالى ؟ فقال : " ما من أحد يدخل الجنة إلا برحمة الله تعالى " . ثلاثا . قلت : ولا أنت يا رسول الله ؟ فوضع يده على هامته فقال : " ولا أنا إلا أن يتغمدني الله برحمته " . يقولها ثلاث مرات

Maksudnya: “Apakah kamu semua tahu malam apakah ini? iaitulah malam Nisfu Syaaban. ‘Aisyah seterusnya bertanya: “Ada apa padanya wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Pada malam tersebut ditetapkan setiap anak Adam yang akan dilakirkan pada tahun ini, dan ditetapkan juga setiap daripada anak Adam yang akan mati pada tahun ini. Pada malam itu juga diangkat amalan-amalan mereka semua dan diturunkan rezeki-rezeki mereka.” Tanya ‘Aisyah lagi: “Wahai Rasulullah apakah tiada seorangpun yang akan masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah Taala?” Jawab baginda: “Tiada seorangpun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat Allah Taala.” Baginda mengulang tiga kali. Lalu aku berkata: “Demikian juga engkau wahai Rasulullah?” lalu baginda meletakkan tangan baginda di atas kepala baginda seraya berkata: “Sekalipun daku, melainkan Allah telah memenuhkan/memasukkan daku dengan rahmatNya.” Baginda mengulanginya sebanyak 3 kali.” (HR al-Baihaqi di dalam al-Da’aawaat al-Kabir. Dinilai Dhoief (lemah) oleh al-ALbani di dalam al-Misykah 1305)

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

أتاني جبرائيل عليه السلام فقال هذه ليلة النصف من شعبان ولله فيها عتقاء من النار بعدد شعور غنم بني كلب ولا ينظر الله فيها إلى مشرك ولا إلى مشاحن ولا إلى قاطع رحم ولا إلى مسبل ولا إلى عاق لوالديه ولا إلى مدمن خمر

Maksudnya: “Jibril AS mendatangiku dan berkata: “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Padanya terdapat mereka yang dibebaskan dari neraka oleh Allah sebanyak bulu kambing bani Kalb[25], namun Allah tidak akan memerhatikan (tidak memberi kelebihan ini) kepada orang musyrik, yang bertelagah, yang memutuskan Silaturrahim, orang yang isbal, yang derhaka kepada dua orang tua dan peminum arak.” (HR al-Baihaqi. Dinilai Dhoief oleh al-Albani di dalam Dhoief al-Targhib)

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA, yang berkata:

قام رسول الله صلى الله عليه وسلم من الليل فصلى فأطال السجود حتى ظننت أنه قد قبض فلما رأيت ذلك قمت حتى حركت إبهامه فتحرك فرجعت فسمعته يقول في سجوده أعوذ بعفوك من عقابك وأعوذ برضاك من سخطك وأعوذ بك منك إليك لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنيت على نفسك فلما رفع رأسه من السجود وفرغ من صلاته قال يا عائشة أو يا حميراء أظننت أن النبي صلى الله عليه وسلم قد خاس بك قلت لا والله يا رسول الله ولكني ظننت أنك قبضت لطول سجودك فقال أتدرين أي ليلة هذه قلت الله ورسوله أعلم قال هذه ليلة النصف من شعبان إن الله عز وجل يطلع على عباده في ليلة النصف من شعبان فيغفر للمستغفرين ويرحم المسترحمين ويؤخر أهل الحقد كما هم

Maksudnya: “Rasulullah SAW berdiri menunaikan solat pada suatu malam, lalu baginda sujud dengan lama sehingga aku menyangka beliau seperti telah wafat. Ketikamana aku melihat demikian itu, aku bangun dengan menggerakkan jari ibu baginda lalu baginda menggerakkannya, lalu aku kembali ke tempatku, aku mendengar baginda membaca di dalam sujud: “Aku berlindung dengan kemaafanMu dari hukumanMu, aku berlindung dengan redhaMu dari kemurkaanMu, aku berlindung denganMu dariMu dengan mendekatkan diri kepadaMu, tidak dapat ku hitung pujaan kepadaMu, Engkaulah sepertimana yang Engkau puji diriMu sendiri.” Apabila baginda mengangkat kepala dari sujud dan menghabiskan solat baginda berkata: “Wahai ‘Aisyah atau (baginda sebut) Wahai Humaira’, apakah kamu menyangka bahawa Nabi SAW telah mengkhianatimu?” aku menjawab: “tidak demi Allah wahai Rasulullah, akan tetapi menyangka engkau telah wafat disebabkan lamanya engkau sujud.” Seterusnya Baginda bersabda: “Tahukah kamu malam apakah ini?” aku menjawab: “Allah dan rasulNya sahaja yang lebih mengetahui.” Sabda baginda: “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban, sesungguhnya Allah Azza wa jalla memerhatikan para hambaNya pada malam nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan orang-orang yang memohon keampunan kepadaNya dan merahmati orang-orang yang memohon rahmatNya dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan dengki mereka.” (HR al-Baihaqi. Dinilai Dhoief (lemah) oleh al-ALbani di dalam Dhoief al-Targhib)

  • Dikatakan dari ‘Aisyah RA, yang berkata:

دخل علي رسول الله صلى الله عليه وسلم فوضع عنه ثوبيه ثم لم يستتم أن قام فلبسهما فأخذتني غيرة شديدة ظننت أنه يأتي بعض صويحباتي فخرجت أتبعه فأدركته بالبقيع بقيع الغرقد يستغفر للمؤمنين والمؤمنات والشهداء فقلت بأبي وأمي أنت في حاجة ربك وأنا في حاجة الدنيا فانصرفت فدخلت حجرتي ولي نفس عال ولحقني رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال ما هذا النفس يا عائشة قلت بأبي وأمي أتيتني فوضعت عنك ثوبيك ثم لم تستتم أن قمت فلبستهما فأخذتني غيرة شديدة ظننت أنك تأتي بعض صويحباتي حتى رأيتك بالبقيع تصنع ما تصنع ،  فقال يا عائشة أكنت تخافين أن يحيف الله عليك ورسوله أتاني جبريل عليه السلام فقال هذه ليلة النصف من شعبان ولله فيها عتقاء من النار بعدد شعور غنم كلب لا ينظر الله فيها إلى مشرك ولا مشاحن ولا إلى قاطع رحم ولا إلى مسبل ولا إلى عاق لوالديه ولا إلى مدمن خمر ،  قال ثم وضع عنه ثوبيه فقال لي يا عائشة أتأذنين لي في قيام هذه الليلة ، قلت بأبي وأمي فقام فسجد ليلا طويلا حتى ظننت أنه قد قبض فقمت ألتمسه ووضعت يدي على باطن قدميه فتحرك ففرحت وسمعته يقول في سجوده أعوذ بعفوك من عقابك وأعوذ برضاك من سخطك وأعوذ بك منك جل وجهك لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنيت على نفسك فلما أصبح ذكرتهن له فقال يا عائشة تعلميهن فقلت نعم فقال تعلميهن وعلميهن فإن جبريل عليه السلام علمنيهن وأمرني أن أرددهن في السجود

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemuiku, lalu baginda membuka dua pakaian baginda namun belumpun sempat baginda menyempurnakannya, baginda tiba-tiba bangun dan mengenakan semula pakaian tersebut, lalu datang rasa cemburu yang bersangatan kepadaku. Aku menyangka baginda akan pergi mendatangi madu-maduku yang lain. Lalu aku keluar dan mengikut baginda dari belakang dan aku dapati baginda pergi ke perkuburan al-Baqi’ iaitulah Baqi’ al-Gharqad, baginda memohon keampunan untuk orang-orang beriman lelaki, perempuan dan para syuhada di perkuburan tersebut. Aku berkata: “Demi bapa dan ibuku, engkau wahai Rasulullah benar-benar mengharapkan tuhanmu sedangkan aku berhajatkan dunia. Lalu aku pulang dan masuk ke bilikku. Setelah itu rasulullah pulang dan menemuiku. Baginda bersabda: “Mengapa wahai ‘Aisyah?” Aku menjawab: “demi bapa dan ibuku, engkau mendatangiku, lalu engkau membuka dua bajumu, namun sebelum selesai engkau berdiri dan memakainya semula. Lalu datang rasa cemburu yang kuat terhadapku, aku menyangka engkau mendapatkan maduku yang lain, sehinggalah aku melihat kamu pergi ke perkuburan al-Baqi’ dan melakukan apa yang telah engkau lakukan.” Lalu baginda bersabda: “Wahai ‘A’isyah, apakah engkau bimbang Allah dan RasulNya akan menzalimu? Sebaliknya Jibril telah datang kepadaku pada waktu itu dan berkata: “Malam ini adalah malam nisfu Syaaban, padanya terdapat orang-orang yang akan dibebaskan dari neraka sebanyak bilangan bulu kambing. Namun Allah tidak melihat pada malam itu seorang musyrik dan yang berbalah, tidak juga orang yang memutuskan silaturrahim, orang yang melakukan isbal, yang derhaka kepada dua orang tua dan peminum arak.” Kemudian baginda membuang dua pakaian baginda dan berkata kepadaku: “Wahai ‘Aisyah, bolehkah kamu izinkan untuk aku berqiyamullail pada malam ini?” Jawab ‘Aisyah: “Demi bapa dan ibuku (silakan).” Lalu baginda solat, baginda sujud dengan lama pada malam itu sehingga aku menyangka baginda telah wafat, lalu aku bangun dan meletakkan tanganku di atas perut dua kaki baginda, lalu baginda bergerak, akupun gembira dan aku mendengar baginda membaca di dalam sujud:

أعوذ بعفوك من عقابك وأعوذ برضاك من سخطك وأعوذ بك منك جل وجهك لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنيت على نفسك

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kemaafanMu dari balasanMu, dan aku berlindung dengan redhaMu dari kemuerkaanMu, dan aku berlindung denganMu dariMu, Maha Agung wajahMu, tidak mampu untuk aku menghitung pujaan ke atasMU, Engkau sepertimana PujianMu ke atas diriMu sendiri.”

Apabila pagi hari, aku menyebut semula bacaan-bacaan ini kepada baginda. Lalu baginda bersabda: “Wahai A’isyah, kamu menghafalnya?” Aku menjawab: “Ya.” Sabda baginda: “Wahai ‘Aisyah pelajarilah (hafallah) ia dan ajarkan ia kepada orang lain, kerana sesungguhnya Jibril telah mengajarkannya kepada ku dan menyuruh agar aku membacanya (mengulang-ulanginya) di dalam sujud.” (HR al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Dinilai Lemah oleh al-Albani di dalam Dhoief al-Targhib dan berkata: “Dhoief Jiddan dan di dalam sanadnya terdapat dua periwayat Matruk.”)

  • Dikatakan ‘Uthman bin Abi al-‘Ash berkata, baginda Nabi SAW bersabda:

إذا كان ليلة النصف من شعبان نادى مناد : هل من مستغفر فأغفر له ؟ هل من سائل فأعطيه ؟ فلا يسأل أحد شيئا إلا أعطي إلا زانية بفرجها أو مشرك

Maksudnya: “Apabila malam nisfu Syaaban, akan berseru satu seruan: “Apakah ada orang yang meminta keampunan, AKu akan mengampunkannya. Apakah ada orang yang meminta sesuatu, aku akan mengurniakannya?” tidak meminta seseorang hamba (pada malam tersebut) melainkan akan ku berikan, melainkan seorang wanita penzina dan seorang musyrik.” (HR al-Baihaqi. Dinilai Dhoief (Lemah) oleh al-Albani di dalam Dhoief al-Jami’)  

  • Dikatakan dari al-Hasan:

رجب شهر الله و شعبان شهري و رمضان شهر أمتي

Maksudnya: “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.” (HR Abu al-Fattah di dalam Amalinya. Al-Albani berkata: “Dhoief (Lemah).” Ada juga riwayat dari ‘Aisyah namun riwayat itu Maudhu’ (Palsu). Lihat Dhoief al-Jami’.)

  • Dikatakan daripada Rasyid bin Sa’ad:

في ليلة النصف من شعبان يوحي الله إلى ملك الموت يقبض كل نفس يريد قبضها في تلك السنة

Maksudnya: “Pada malam Nisfu Syaaban Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut setiap jiwa yang akan dicabut dalam tahun itu.”  (Riwayat al-Dinawariy (الدينوري) di dalam al-Mujalasah. Kata al-Albani: “Dhoief (Lemah).” Di dalam Dhoief al-Jami’)

  • Dikatakan daripada Anas:

كان صلى الله عليه وسلم : إذا دخل رجب قال : اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان و كان إذا كانت ليلة الجمعة قال : هذه ليلة غراء و يوم أزهر

Maksudnya: “Dahulunya Baginda SAW apabila masuk bulan Rejab, akan membaca: “Ya Allah berkatilah kami di dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Apabila malam Jumaat, baginda bersabda: “Malam ini adalah malam yang sangat bercahaya dan hari yang cerah.” (HR al-Baihaqi dan Ibn ‘Asakir. Kata al-ALbani: “Dhoief (lemah).” Di dalam Dhoief al-Jami’)

KEPALSUAN SOLAT AL-ALFIYYAH (صلاة الألفية)

Pada kurun ke-5 hijrah, wujud sekumpulan manusia yang mula mereka-reka solat khusus yang ditunaikan pada malam Nifsu Syaaban. Mereka menamakan solat tersebut sebagai Solat al-Alfiyyah. Orang pertama yang mereka-reka solat ini adalah Ibn Abi al-Hamraa’ pada tahun 448H di Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis. Beliau seorang pembaca al-quran yang merdu. Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata: “Solat ini direka dalam Islam selepas berlalu 400 tahun, ia bermula di Baitul Maqdis, lalu direka untuknya beberapa hadis (palsu).” (al-Manar al-Munif, 98)

Abu Syamah pula berkata: “Bagi  orang-orang awam solat tersebut menjadi fitnah yang besar… lalu syaitan menghiasinya sehingga menjadikan ia termasuk dalam asas syiar umat Islam.” (al-Ba’ith, 124)

KaifiyyahNya:

Di sini disebutkan kaifiyatnya untuk dijauhi. Iaitulah seperti yang disebut di dalam riwayat-riwayat yang palsu lagi dusta, kononnya Nabi SAW bersabda kepada ‘Ali RA:

Maksudnya: “Wahai ‘Ali, sesiapa yang menunaikan solat 100 rakaat pada malam nisfu Syaaban, dalam setiap rakaat dia membaca al-Fatihah dan QulhuwaAllhu Ahad 10 kali. Wahai ‘Ali tiada seorang hamba yang menunaikan solat ini, melainkan Allah akan menunaikan setiap hajat yang dimintanya pada malam tersebut.” (Ibn al-Jauzi menyenaraikan hadis ini di dalam al-Maudhu’aat (senarai hadis palsu) dari beberapa jalan periwayatan. Setelah itu beliau berkata: “Hadis ini kami tidak ragu lagi ia adalah palsu.”)

Kata Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya hadis yang ada tentang Solat al-Alfiyyah adalah palsu dengan kesepakatan Ahli Ilmu tentang hadis.” (Iqtidha’ al-Sirath al-Mustaqim 2/632)

Abu Syamah pula berkata: “Ia adalah satu solat yang panjang lagi menjadi berat, tidak ada tentang pensyariatannya walau satu khabar mahupun athar, melainkan dhoief (lemah) atau palsu.” (al-Ba’ith ‘Ala Inkar al-Bida’. Lihat juga al-Amr bi al-Ittiba’ oleh al-Suyuthi)

Kata Abu SYamah lagi: “Yang dilarang dan diingkari adalah mengkhususkan sebahagian malam dengan solat khusus berdasarkan sifat tertentu dan menzahirkannya sepertimana yang thabit untuk syari’at-syariat islam yang lain seperti solat Jumaat, hari raya, solat tarawih. Lalu mereka menyebarkannya kepada orang ramai dan mendidik anak-anak kecil melakukannya, bapa-bapa mereka pula telah terbiasa melakukannya seperti mereka melakukan kefardhuan yang lain bahkan lebih dahsyat lagi… mereka mencampur adukkan cahaya kebenaran dengan kegelapan kebatilan.” (al-Ba’ith: 132)

PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN

Terdapat larangan dari berpuasa selepas berlalu setengah Sya’ban melainkan bagi sesiapa yang sememangnya telah terbiasa dengan berpuasa. Hal ini berdasarkan beberapa hadis antaranya diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُومُوا حتى يكون رمضان

Maksudnya: “Apabila pertengahan Sya’ban, maka jangan kamu semua berpuasa sehinggalah masuknya Ramadhan.” (Sahih al-Jami’. bil. 397)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah RA yang berkata, Nabi SAW pernah bersabda:

لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ، إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: “Jangan kamu semua mendahulukan puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari lebih awal, melainkan bagi seseorang yang sememangnya hari tersebut hari dia berpuasa, maka bagi dia boleh berpuasa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam al-Nawawi berkata: “Di dalam hadis ini adalah menjelaskan larangan menyambut Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari lebih awal bagi sesiapa yang hari tersebut bukan bertepatan dengan kebiasaan hari dia berpuasa atau menyambung puasa yang telah dilakukannya sebelum itu, maka bagi orang yang sebegini puasa tersebut adalah haram. Inilah pandangan  yang sahih dalam mazhab kami berdasarkan hadis ini dan hadis lain yang terdapat di dalam Sunan Abi Daud dan selainnya yang menyatakan:

إذا انتصف شعبان فلا صيام حتى يكون رمضان

Maksudnya: “Apabila pertengahan Sya’ban, maka tiada puasa lagi hinggalah masuknya Ramadhan.” Namun jika dia menyambung dengan puasa yang telah dilakukan sebelumnya atau hari tersebut bertepatan dengan kebiasaan dia berpuasa, seperti kebiasaannya berpuasa pada hari Isnin atau seumpamanya, lalu hari tersebut bertepatan dengan hari Isnin, lalu dia berpuasa sunat dengan niat tersebut (sunat Isnin) maka ia adalah harus berdasarkan hadis ini.” (Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi 7/194)

Al-Munawi pula berkata di dalam al-Faidh al-Qadir: “Hikmah larangan ini adalah untuk memberi kekuatan melakukan ibadah puasa Ramadhan, dan menyambut kehadirannya dengan cergas dan kesungguhan penuh. Telah berlaku perbezaan pendapat tentang puasa sunat selepas setengah Sya’ban kepada 4 pandangan:

  • Harus secara mutlak sama ada pada hari Syak atau sebelumnya. Sama ada puasa pada keseluruhan hari selepas setengah Syaban atau dipisahkan dengan sehari tidak berpuasa atau menunggalkan puasa pada hari syak sahaja atau pada hari-hari yang lain selepas setengah Syaaban.
  • Ibn ‘Abd al-Barr berkata dan inilah pandangan para imam yang memberi fatwa iaitulah tidak mengapa berpuasa sunat pada hari syak seperti yang dikatakan oleh Malik.
  • Tidak boleh. Sama ada pada hari syak atau sebelumnya selepas setengah Syaaban melainkan bagi mereka yang menyambung puasa sunat yang telah dimulakan sebelum setengah syaaban atau hari itu bertepatan dengan hari kebiasaan dia berpuasa. Inilah pandangan Asah di sisi para ulama mazhab Syafie.
  • Diharamkan puasa pada hari syak sahaja dan tidak diharamkan pada hari yang lain selepas setengah syaaban. Inilah pandangan kebanyakan ulama.

‘Ali al-Qariy berkata di dalam al-Mirqah: Larangan itu adalah larangan tanzih (Makruh) sebagai satu rahmat ke atas ummat supaya mereka tidak mengabaikan hak melaksanakan puasa Ramadhan dalam bentuk penuh dengan kecergasan.

Namun hukum ini tidak berlaku dalam 3 keadaan:

  • Bagi sesiapa yang telah terbiasa berpuasa pada hari tersebut, sekalipun telah masuk sebahagian Syaaban, berdasarkan hadis:

لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ، إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: “Jangan kamu semua mendahulukan puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari lebih awal, melainkan bagi seseorang yang sememangnya hari tersebut hari dia berpuasa, maka bagi dia boleh berpuasa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  • Bagi sesiapa yang hendak berpuasa pada kebanyakan hari dalam bulan Syaaban seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW.
  • Sesiapa yang ada puasa qadha yang masih belum dilaksanakan. Maka baginya wajib menunaikan qadha tersebut sekalipun telah berlalu sebahagian Syaaban.

PERISTIWA PERUBAHAN KIBLAT BERLAKU DALAM BULAM SYAABAN

Ibn Ishak berkata: “Dikatakan bahawa kiblat diubah dalam bulan Syaaban penghujung bulan ke-18 sampai baginda Rasul SAW ke Madinah.” Pandangan ini juga dinyatakan oleh Ibn Jarir dari jalan al-Sudiy dengan sanadnya daripada Ibn ‘Abbas, Ibn Mas’ud dan sekumpulan sahabat lainnya. Beliau juga berkata inilah pandangan majority ulama, dimana perubahan kiblat berlaku pada setengah Syaaban penghujung bulan ke-18 hijrah.

Al-Imam al-Bukhari berkata: “Menceritakan kepada kami Abu Nu’aim, beliau mendengar Zuhair daripada Abi Ishak daripada al-Barra’: “(Yang berkata) Bahawa Nabi SAW menunaikan solat dengan menghadap ke Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan. Manakala baginda lebih teruja jika kiblat baginda menghadap ke al-Bait (Haram Mekah). Ketikamana baginda menunaikan solat ‘Asar (suatu hari), orang ramai juga menunaikan solat bersama dengan baginda. Maka keluar seorang lelaki yang solat bersama baginda (setelah selesai solat), dan menemui jemaah masjid (yang lain di Quba’), ketika itu mereka sedang rukuk. Lalu lelaki itu berkata:

أشهد بالله لقد صليت مع النبي صلى الله عليه وسلم قبل مكة فداروا كما هم قبل البيت وكان الذي مات على القبلة قبل أن تحول رجال قتلوا لم ندر ما نقول فيهم فأنزل الله: " وما كان الله ليضيع إيمانكم إن الله بالناس لرءوف رحيم

Maksudnya: “Aku bersaksikan dengan Allah, sesungguhnya aku telah menunaikan solat bersama Nabi SAW (sebentar tadi) dengan menghadap ke arah Mekah. Lalu mereka semua bergerak menghadap ke arah Mekah. (bahagian mereka ada yang berkata) Terdapat beberapa orang lelaki yang meninggal dunia sebelum perubahan Kiblat, kami tidak tahu bagaimana keadaan solat mereka. lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “Dan tidaklah Allah akan mensia-siakan solat kamu semua (yang dilakukan sebelum perubahan kiblat), sesungguhnya Allah amat pengasih lagi maha penyayang.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

LARANGAN MENGKHUSUSKAN MALAM NISFU SYAABAN DENGAN SESUATU IBADAH

Ibn Taimiyyah dan al-Haitami ada menyebut terdapat sebahagian Salaf yang mengkhususkan ibadah pada malam Nisfu Syaaban. Namun terdapat juga sebahagian daripada mereka yang melarangnya. Al-Haitami berkata di dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra:

وأما الصَّلَاةِ الْمَخْصُوصَةِ لَيْلَتهَا – ليلة النصف - وَقَدْ عَلِمْت أَنَّهَا بِدْعَةٌ قَبِيحَةٌ مَذْمُومَةٌ يُمْنَعُ مِنْهَا فَاعِلُهَا، وَإِنْ جَاءَ أَنَّ التَّابِعِينَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ كَمَكْحُولٍ وَخَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانَ وَغَيْرِهِمْ يُعَظِّمُونَهَا وَيَجْتَهِدُونَ فِيهَا بِالْعِبَادَةِ، وَعَنْهُمْ أَخَذَ النَّاسُ مَا ابْتَدَعُوهُ فِيهَا وَلَمْ يَسْتَنِدُوا فِي ذَلِكَ لِدَلِيلٍ صَحِيحٍ وَمِنْ ثَمَّ قِيلَ أَنَّهُمْ إنَّمَا اسْتَنَدُوا بِآثَارٍ إسْرَائِيلِيَّةٍ وَمِنْ ثَمَّ أَنْكَرَ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ أَكْثَرُ عُلَمَاء الْحِجَازِ كَعَطَاءٍ وَابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ وَفُقَهَاء الْمَدِينَة وَهُوَ قَوْلُ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ وَمَالِكٍ وَغَيْرِهِمْ قَالُوا: وَذَلِكَ كُلُّهُ بِدْعَةٌ؛ إذْ لَمْ يَثْبُت فِيهَا شَيْءٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا عَنْ أَحَدٍ مِنْ أَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Adapun solat yang khusus pada malam nisfu Syaaban, maka telah anda ketahui bahawa ianya adalah bid’ah yang buruk lagi tercela, ditegak dari melakukannya. sekalipun terdapat para tabi’ien dari kalangan ahli Syam seperti Makhul, Khalid bin Ma’dan, Luqman dan selain mereka mengagungkannya dan bersungguh-sungguh beribadah pada malam nisfu Syaaban. Daripada mereka ini orang ramai mengambil apa-apa yang diada-adakan pada malam tersebut, dan mereka tidak menyandarkannya kepada satu dalil yang sahih (sama sekali). dikatakan mereka menyandarkan perkara tersebut dengan athar israiliyyah, kerana itu ramai ulama Hijaz yang telah mengingkari mereka seperti ‘Ato’, Ibn Abi Mulaikah dan para fuqaha Madinah. Inilah juga pandangan para sahabat al-Syafie, Malik dan selainnya. Mereka berkata: “Semua perkara tersebut adalah bid’ah.” Kerana tidak thabit tentangnya sesuatupun dari Nabi SAW, tidak juga dari salah seorang sahabat baginda.” (al-Fatawa al-Fiqhiyya al-Kubra 2/80)

Di dalam al-quran Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (al-Nisa’: 59)

Justeru, di dalam ayat ini mengarahkan supaya dirujuk kepada Allah dan al-Rasul jika terdapat sesuatu perselisihan. Maka kita akan dapati bahawa Rasul SAW juga telah melarang dari melakukan sesuatu perkara rekaan iaitulah perkara atau amalan yang tiada dalil atau petunjuk dari Nabi Muhammad SAW. baginda bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini sesuatu yang bukan darinya, maka perkara itu adalah tertolak.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian itu, kita dilarang mengkhususkan malam Nisfu Syaaban dengan sebarang ibadat ataupun mengkhususkan siangnya dengan berpuasa kerana perbuatan itu tidak dikhususkan oleh Nabi SAW. Sesuatu ibadah pada masa ataupun tempat tertentu yang tidak dikhususkan oleh baginda SAW adalah satu larangan. Contoh dalam larangan ini ialah hadis Baginda SAW:

لَا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي، وَلَا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ، إِلَّا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Jangan kamu semua mengkhususkan pada malam Jumaat dengan berqiyamullail berbanding malam-malam yang lain. Jangan juga kamu semua mengkhususkan puasa pada hari jumaat berbanding pada hari-hari yang lain, melainkan bagi sesiapa yang puasanya jatuh pada hari tersebut.” (HR Muslim)

Wallahu a’lam.

 

[1] Fath al-Bari 4/213

[2] Di sisi al-Tirmizi, hadis Abu Ta’labah al-Khusyaniy RA, daripada Abi Umayyah al-Sya’baniy (الشعباني) katanya: “Aku datang kepada Abu Tha’labah al-Khusyaniy (الخشني) dan berkata kepadanya: “Bagaimana anda lakukan (apa yang anda faham) kepada ayat ini?” beliau bertanya: “Ayat yang mana satu?” katanya: “Firman Allah Ta’ala:

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ لاَ يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman , jagalah dirimu. Tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk.” (al-Maidah: 105). Kata Abu Ta’labah: “Adapun demi Allah, kamu telah bertanya tentang ayat itu kepada orang yang mengetahui, kerana aku pernah bertanya tentangnya kepada Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda:

بل ائتمروا بينكم بالمعروف وتناهوا عن المنكر ، حتى إذا رأيت شَّحاً مطاعاً ، وهوىً متبعاً ، ودنيا مؤثَرة ، وإعجاب كل ذي رأي برأيه ، فعليك بخاصة نفسك ودع العوامَّ ، فإن من ورائكم أياماً الصبر فيهن كالقبض على الجمر ، للعامل فيهن مثل أجر خمسين رجلاً يعملون مثل عملكم

Maksudnya: “bahkan saling menyuruhlah kamu semua dengan  al-Ma’ruf (kebaikan), dan saling cegah dari kemungkaran. Sehingga apabila kamu melihat  kekikiran itu ditaati, hawa nafsu itu diikuti, dunia itu diutamakan, dan menjadi takjub/kagum setiap orang dengan pandangannya. Maka hendaklah kamu menjaga dirimu dan tinggalkan orang awam/orang ramai. Sesungguhnya pada masa akan datang, hari-hari yang memerlukan kesabaran tinggi. Pada hari-hari tersebut seperti menggengam bara api. Bagi seorang yang beramal (memperolehi pahala) seumpama pahala 50 orang yang beramal dari kalangan kamu semua.”  (HR al-Tirmizi dan beliau menilai hadis ini sebagai Hasan Gharib. Namun al-Albani menilai hadis ini sebagai Lemah). Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda:

إنَّ مِن ورائِكم أيامَ الصَّبرِ ، لِلمُتَمَسِّكِ فيهنَّ يومئذٍ بما أنتم عليه أجرُ خمسين منكم ، قالوا ، يا نبيَّ اللهِ أو منهم ؟ قال ، بل منْكم

Maksudnya: “Sesungguhnya akan datang, terdapat hari-hari yang menuntut kesabaran tinggi. Bagi seseorang yang berpegang  teguh (dengan kebenaran atau boleh melakukan amalan soleh) pada ketika itu berbanding kamu semua hari ini, akan mendapat pahala seperti 50 orang dari kalangan kamu semua (yang melakukan kebaikan).” Sahabat bertanya: “Wahai Nabi Allah, atau seperti 50 dari kalangan mereka (yang melakukan kebaikan)?” Baginda menjawab: “Bahkan 50 dari kalangan kamu semua (para sahabat).” (Sanad hadis ini dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

[3] Lihat Lato’if al-Ma’arif 191-193

[4] Al-Tabsirah. Jld. 2. h. 50

[5] Latoif al-Ma’arif. h. 196

[6] Tahzib al-Sunan. Jld. 3. h. 318

[7] Namun Sanad hadis ini ada pertikaian. Sila lihat Lato’if al-Ma’arif. h. 188

[8] Hadis ini bukan bermaksud baginda tidak mampu untuk berpuasa sehari dan berbuka 2 hari, sebaliknya baginda bimbang jika baginda melakukan puasa seperti itu menyebabkan baginda mengurangkan hak orang lain terdiri dari hak para isteri baginda dan umat baginda lainnya yang memerlukan baginda. Lihat Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi dan ‘Aun al-Ma’bud oleh Muhammad Syams al-Hak al-‘Azhim Abadiy.

[9] Lato’if al-Ma’arif 189

[10] Lihat Fath al-Bari 4/253

[11] Kata para ulama: “Terdapat tiga bentuk diangkat amalan: PERTAMA:  diangkat dalam bentuk harian, iaitulah ketika solat Subuh dan Asar berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “

يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل وملائكة بالنهار ، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر ، ثم يعرج الذين باتوا فيكم ، فيسألهم وهو أعلم بهم : كيف تركتم عبادي ؟ فيقولون : تركناهم وهم يصلون ، وأتيناهم وهم يصلون

Maksudnya: “akan bergilir para malaikat malam dan para malaikat siang kepada kamu semua. mereka akan berkumpul pada solat Subuh dan solat ‘Asar. (pada waktu Subuh) malaikat bersama kamu semua pada malam hari akan naik (ke langit), lalu mereka akan ditanya (oleh) Allah) sedang Dia Yang Maha Mengetahui: “Bagimana hamba-hamba-Ku ketika kamu semua meninggalkan mereka? Lalu para malaikat tersebut menjawab: “Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang menunaikan solat, dan ketika kami pergi kepada mereka (pada waktu Asar) mereka juga sedang menunaikan solat.” (HR al-Bukhari – Kitab Mawaqit al-Solah – Bab Fadhl Solah al-‘Asr – 540. Muslim – Kitab al-Masajid Wa Mawadhi’ al-Solah – Bab Fadhl Solatai al-Subh wa al-‘Asr – 1035. KEDUA: Diangkat dalam bentuk mingguan, iaitulah pada hari Khamis berdasarkan hadis riwayat Ahmad di dalam Musnadnya dengan Sanad yang Hasan daripada Abu Hurairah RA, katanya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إن أعمال بني آدم تعرض كل خميس ليلة الجمعة ، فلا يقبل عمل قاطع رحم

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan Bani Adam akan dibentang pada setiap Khamis malam Jumaat, maka tidak akan diterima amalan sesiapa yang memutuskan Silaturrahim.” (Musnad Ahmad bin Hambal. 10079. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib: 2538). KETIGA: Diangkat dalam bentuk tahunan, iaitulah dalam bulan Sya’ban berdasarkan hadis yang dibincangkan ini. Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Sughra – Kitab al-Siyam – Bab Saum al-Nabiy SAW Bi Abiy Huwa Wa Ummiy: 2329. Dinilai Hasan oleh al-Albani didalam Sahih Sunan al-Nasa’ie: 2356.

 

[12] Sunan al-Tirmizi 3/114

[13] Fath al-Bari. Jld. 4. h. 253

[14] Lato’if al-Ma’arif. h. 186

[15] Subul al-Salam. Jld. 2. h. 342

[16] Ia bermaksud baginda berterusan berpuasa. Lihat Hasyiah al-Sindiy ‘Ala Ibn Majah

[17] Bermaksud baginda berterusan tidak berpuasa. Ibid.

[18] Keseluruhan di sini membawa maksud kebanyakan hari dalam bulan Sya’ban, kerana ‘Aisyah menjelaskan selepas itu dengan berkata: “Melainkan sedikit sahaja (yang baginda tidak berpuasa).

[19] Lihat Hasyiah al-Sindiy ‘Ala Ibn Majah. Kitab al-Muqaddimah. Bab Fadhl al-Ulama wa al-Hath ‘Ala Tolab al-‘Ilmi

[20] Kata al-Munawi RH:  “Iaitulah sesiapa yang meninggal dunia dengan berpuasa pada hari tersebut, atau dia meninggal selepas berbuka puasa, dia akan masuk ke dalam syurga bersama dengan al-Sabiqin al-Awwalin. Atau dia masuk ke dalam syrga tanpa dikenakan azab terlebih dahulu.” (Lihat Faidh al-Qadir. Jld: 2. h. 805

[21] Lihat Risalah Dr. Mahran Mahir Uthman bertajuk Syahr Syaaban disiarkan di dalam http://saaid.net/

[22] Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. 2/80. Cetakan Dar al-Fikri

[23] Ia bermaksud selama mana seorang hamba itu terus meminta ampun kepadaNya apabila berdosa.

[24] Lihat Misykah al-Masobih 1299.

[25] Kabilah Bani Kalbin adalah kabilah yang paling banyak memelihara kambing berbanding kabilah Arab yang lain. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi)


Cetak  
Wallahu a'lam