Huraian Air Dan Pembahagiannya

Para ulama berbeza pandangan dalam persoalan pembahagian air. Pandangan yang terkuat dan yang utama ialah 2:

Pandangan Pertama: Air terbahagi kepada 3 bahagian: Tahur (طَّهُوْر)[1], Tahir (طاهر) [2] dan Najis[3]. Inilah pandangan para ulama dari keemat-empat mazhab, Hanafi[4], Maliki[5], Syafie[6] dan Hambali[7]. Melainkan ada perbezaan antara mereka pada sebahagian air samada termasuk di dalam kumpulan air Tahur atau Tahir.

DALIL DARIPADA AL-SUNNAH

Pertama: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang air laut. Lalu baginda menjawab:

هو الطَّهورُ ماؤُه

Maksudnya: “Laut itu Tahur airnya…”[8]

Bentuk Pendalilan

Pertama: Kesemua para sahabat mengetahui bahawa air laut suci bukan najis. Soalan mereka tersebut adalah bertujuan bertanyakan apakah air laut yang suci itu dapat digunakan untuk mensucikan perkara lain ataupun tidak. Ini menunjukkan terdapat air yang hanya Tahir iatulah air yang hanya suci tetapi tidak dapat menyucikan perkara lain. Terdapat pula air Tahur iaitulah yang suci dan dapat menyucukan perkara lain[9].

Kedua: Hadis-hadis larangan dari mandi di dalam air bertakung yang tidak mengalir seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA secara marfu’:

لا يَبولنَّ أحدُكم في الماء الدَّائِمِ الذي لا يَجري ثُمَّ يَغتسِل منه

Maksudnya: “Jangan salah seorang daripada kamu kencing di dalam air bertakung yang tidak mengalir, kemudian dia mandi pula dengan air tersebut.”

Demikian juga larangan dari mencelup tangan ke dalam bekas air apabila bangun dari tidur sebelum membasuh tangan terlebih dahulu sebanyak 3 kali.

إذا استيقظ أحدكم من نومِه فليغسل يدَه قبل أن يُدخِلَها في وَضوئِه، فإن أحدَكم لا يدري أين باتت يده

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu bangun dari tidurnya, maka hendaklah dia membasuh tangannya sebelum memasukkan tangannya ke dalam air wudhunya. Kerana sesungguhnya seseorang daripada kamu tidak tahu di mana menetap tangannya malam tadi ketika dia tidur.” [10]

Bentuk Pendalilan:

Air yang disebut di dalam hadis ini bukanlah air najis. Akan tetapi baginda Nabi SAW melarang dari mandi di dalamnya. Ini menunjukkan terdapat bahagian air yang bukan najis namun ia tidak boleh digunakan untuk bersuci yang dinamakan oleh para ulama sebagai air Tahir.

Pandangan Kedua: Air terbahagi kepada 2 sahaja. Iaitulah Tahur dan Najis. Pandangan ini dinukilkan dari sebahagian ulama mazhab Hanafi[11]. Menjadi pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah[12], Ibn Baz[13] dan Ibn ‘Uthaimin[14].

Dalil Daripada al-Kitab

Pertama: Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…dan Kami telah turunkan dari langit air yang Tahur” (al-Furqan: 48)

Dan firmanNya:

Maksudnya: “(ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu …” (al-Anfal: 11)

Dalil Daripada al-Sunnah

Kedua: daripada Abi Sa’ied al-Khudriy RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:

إنَّ الماءَ طَهورٌ لا يُنجِّسه شيءٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya air itu Tahur (suci lagi  menyucikan), tidak dapat menajiskannya sesuatupun.“ [15]

Ketiga: Sesuatu air yang bercampur dengan sesuatu lain yang suci sehingga menjadikan hilang sifat air daripadanya maka ia bukan lagi air mutlak. Adapun juka ia tidak sampai menghilangkan sifat airnya, maka harus bersuci dengan menggunakannya. Bukti dalam perkara ini  boleh diambil melalui hadis daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansoriyyah RA yang berkata:

دخل علينا رسولُ الله صلَّى الله عليه وسلَّم حين تُوفِّيت ابنته فقال: اغسلْنَها ثلاثًا أو خمسًا أو أكثر من ذلك إن رأيتُنَّ ذلك بماءٍ وسِدر، واجعلْنَ في الآخِرة كافورًا أو شيئًا من كافور، فإذا فرغتُنَّ فآذنَّنِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah masuk menemui kami, ketika kewafatan anak perempuan baginda dan berkata: “Mandikan dia dengan 3 kali atau 5 kali atau lebih dari itu jika kamu semua melihatnya perlu dengan air dan daud Bidara. Jadikan pada akhir (mandian) campuran kafur atau sedikit dari kafur. Apabila selesaikan maklumkan kepadaku.”  (al-BUkhari (1253) dan Muslim (939))

Air yang disebut di dalam hadis ini adalah air yang bercampur dengan daun Bidara. Akan tetapi ia tidak sampai hilang dari air tersebut nama air mutlak. [16]

------------------

[1] Air Tahur adalah air yang memiliki 2 sifat: Suci pada dirinya dan menyucikan perkara yang lain. Pada hakikatnya air Tahur ialah Air Mutlak yang kekal di atas sifat asal penciptaannya (الماء المطلق الباقي على أصل خِلْقته). Sumbernya ialah: Air laut, air sungai, air hujan, air mata air, air telaga dan seumpamanya terdiri dari air yang turun dari langit atau keluar dari bumi. (Risalah al-Miyah Aqsamuha wa Ahkamuha oleh Ustaz Dr. Hasan ‘Abd al-Ghaniy Abu Ghuddah. Laman fiqh.islammessage.com)

[2] Air Tahir adalah air yang suci pada zatnya, namun tidak dapat mensucikan perkara lain. Terdapat dua keadaan:

  • Air yang telah dihilangkan dengannya hadath Hukmi – samada digunakan untuk wudhu atau mandi – dan air itu telah terpisah dari jasad. air ini dinamakan juga air Musta’mal ia suci pada zatnya namun tidak dapat menyucikan yang lain. Tidak boleh berwudhu dan mandi buat kali kedua bagi tujuan bertoharah. Ia juga tidak mensucikan najis hissi seperti air kencing dan darah.
  • Air Mutlak yang bercampur dengan apa-apa yang suci yang pada kebiasaannya apa-apa yang suci itu tidak bersama dengannya. Apabila dicampurkan, apa-apa yang suci itu telah mengubahkan beberapa sifat air mutlak tersebut dan juga mengubah namanya dengan dikaitkan kepada campuran yang suci tersebut. kadangkala juga mengubah hakikat air tersebut. ia seperti Cuka dan Air Teh yang telah berubah menjadi air yang suci namun tidak menyucikan yang lain pada pandangan majority ulama kerana namanya telah berpindah dan tidak lagi dinamakan air semata-mata sebaliknya dinamakan Cuka, Teh, minuman dan seumpamanya. (Risalah al-Miyah Aqsamuha wa Ahkamuha oleh Ustaz Dr. Hasan ‘Abd al-Ghaniy Abu Ghuddah. Laman fiqh.islammessage.com)

[3] Air najis terjadi pada 3 keadaan:

  • Jika air itu sedikit – tidak sampai 2 kolah – dan jatuh ke dalamnya najis seperti bangkai, air kencing dan darah – maka ketika ini ia menjadi najis. Sekalipun tidak berubah warna, bau dan rasanya, berdasarkan hadis:

إذا بلغ الماء  قلتين لم يحمل الخبث

Maksudnya: “Apabila air sampai dua kolah, ia tidak memikul kotoran.” (HR Abu  Daud dan al-Hakim, beliau juga menilainya sebagai Sahih). Melalui Mafhum al-Mukhalafah dari hadis ini dapat diketahui bahawa air yang kurang dari 2 kolah boleh memikul atau mengandungi najis. Para fuqaha’ menyatakan sebab penetapan kadar air banyak yang tidak memikul najis dengan dua kolah kerana pada kebiasaannya air yang sedikit dapat dipelihara dari najis dengan menutup mulut bekas simpanan air tersebut. Berbeza dengan air banyak yang sampai 2 kolah atau lebih.

  • Jika air banyak – sampai 2 kolah atau lebih – masuk ke dalamnya najis dan mengubah salah satu sifatnya, maka air yang banyak itu bertukar menjadi air najis.
  • Air juga menjadi najis jika ianya sedikit dan digunakan untuk menghilangkan najis. Ia menjadi najis dengan bersentuhan dan bercampur dengan najis. (Risalah al-Miyah Aqsamuha wa Ahkamuha oleh Ustaz Dr. Hasan ‘Abd al-Ghaniy Abu Ghuddah. Laman fiqh.islammessage.com)

[4] Lihat Bada’I’ al-Sona’I’oleh al-Kasaniy (1/67) dan Hasyiah al-Tahtawi (17).

[5] Lihat al-Kafi oleh Ibn ‘Abd al-Barr (1/155) dan Mawahib al-Jalil oleh al-Hattab (1/82)

[6] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi (1/80)

[7] Lihat Kassyaf al-Qinaa’ oleh al-Buhuti (1/24)

[8] HR Abu Daud (83), al-Tirmizi (69), al-Nasa’ie (1/50), Ibn Majah (314), Ahmad (2/361)(8720). Dinilai Sahih oleh al-Imam al-Bukhari seperti yang terdapat di dalam ‘Aridhah al-Ahwazi oleh Ibn al-‘Arabiy (1/91). Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (1/82). Kata al-Tirmizi dan al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah (1/368): “Hasan Sahih.” Kata Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Istizkar (1/197): “Isnadnya bukan dari sesuatu yang ditegakkan dengannya hujjah. Akan tetapi ia Sahih al-Makna YUtalaqqa bi al-Qabul wa al-‘Amal. Kata Ibn Kathir di dalam Irsyad al-Faqih (1/24): Pada Isnad hadis ini ada perbezaan pendapat ulama. Akan tetapi al-Bukhari dan al-Tirmizi berkata: Ia hadis Sahih.” Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Tirmizi (69). Ahmad Syakir juga menilai Isnadnya sebagai Sahih di dalam Tahkik Musnad Ahmad (16/300)

[9] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi (1/85)

[10] HR al-Bukhari ((162) dan Muslim (278)

[11] Kata Ibn Taimiyyah RH: “”Dan berkata ramai dari kalangan para sahabat Abu Hanifah: Bahkan air Tahir adalah air Tahur.” (al-Fatawa al-Kubra 5/297)

[12] Kata Ibn Taimiyyah: “Kata nama air disebut secara mutlak di dalam Kitab Allah dan al-Sunnah. Nabi SAW tidak pernah membahagikannya kepada dua bahagian: Tahur dan Tidak Tahur. Pembahagian ini bertentangan dengan Kitab Allah dan al-Sunnah. Sebaliknya Allah hanya berfirman: “(Jika) kamu semua tidak mendapati air…” maka setiap sesuatu yang diletakkan padanya nama air, maka ia suci lagi menyucikan, samada telah digunakan untuk bersuci wajib atau sunat atau bukan sunat.”(Majmu’ al-Fatawa: (19/236)

[13] Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Baz (10/14)

[14] Kata Ibn ‘Uthaimin RH: “Yang rajih bahawa air terbahagi kepada dua: Tahur dan Najis. Apa-apa yang berubah dengan najis maka ia najis. Apa-apa yang tidak berubah dengan najis maka ia Tahur. Adapun menetapkan bahagian air yang ketiga, iaitulah air Tahir, adalah suatu yang tiada asasnya dalam syariat. Bukti perkara ini ialah ketiadaan dalil yang menunjukkannya. Dimana kalaulah bahagian air yang ketiga ini thabit pada syara’. Sudah tentu ia satu perkara yang diketahui umum dan difahami, ada hadis-hadis yang menyatakan tentangnya dengan jelas. Ini kerana keperluan mendesak diadakan penerangan tentangnya, ia bukan perkara yang ringan kerana ia memiliki kaitan samada perlu bersuci dengan air atau bertayammum.” Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasa’il al-‘Uthaimin (11/86)

[15] Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (66), al-Tirmizi di dalam al-Sunan (66), al-Nasa’ie di dalam al-SUnan (1/174), dan Ahmad di dalam al-Musnad (3/31)(11275). Dinilai Sahih oleh Yahya bin Ma’ien seperti di dalam Khalasah al-Badr al-Munir oleh Ibn al-Mulaqqin (1/7), Imam Ahmad seperti di dalam Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi (12/219), al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (1/82). Dinilai Hasan oleh al-Tirmizi di dalam al-Sunan (66), Ibn Hajr di dalam Muwafaqah al-Khabar al-KHabar al-Khabar (1/485) dan al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah (1/371)

[16] Lihat Bidayah al-MUjtahid oleh Ibn Rusyd (1/27)


Cetak  
Wallahu a'lam