Bila Puasa Arafah? Ikut Mekah Atau Ikut Kalendar Malaysia?

SoalJawab ulangan (Sunday, November 14, 2010)

Bilakah Puasa Sunat Hari 'Arafah

Soalan:

Assalamu’alaikum Ust.

Kalau kita di Malaysia, bilakah disunatkan puasa arafah? Pada hari jemaah haji Wukuf di Arafah atau pada hari 9 zulhijjah di Malaysia. Terima kasih.

Jawapan:

Penentuan bilakah disunatkan puasa ‘Arafah, bagi negeri-negeri yang berbeza masa terbit anak bulannya (مطلع) menjadi perkara yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Oleh itu dalam persoalan seumpama ini umat Islam TIDAK BOLEH berkeras dengan saudaranya yang berbeza pendapat dengannya.

Pandangan Pilihan

Pada penilaian saya ulama yang berpendapat puasa ‘Arafah adalah berdasarkan matla’ (مطلع – masa terbit anak bulan) bagi setiap negeri adalah LEBIH KUAT. Ini bermakna, kalau di Malaysia bagi tahun 2010 kita akan berpuasa sunat ‘Arafah pada hari Selasa 16/11/2010.

Allahlah yang lebih mengetahui, maka ilmu yang sebenarnya adalah di sisiNya

Sebahagai penguat kepada pandangan ini, Saya terjemahkan fatwa dari al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin:

والصواب أنه يختلف باختلاف المطالع ، فمثلا إذا كان
الهلال قد رؤي بمكة ، وكان هذا اليوم هو اليوم التاسع ، ورؤي في بلد آخر قبل مكة
بيوم وكان يوم عرفة عندهم اليوم العاشر فإنه لا يجوز لهم أن يصوموا هذا اليوم لأنه
يوم عيد ، وكذلك لو قدر أنه تأخرت الرؤية عن مكة وكان اليوم التاسع في مكة هو
الثامن عندهم ، فإنهم يصومون يوم التاسع عندهم الموافق ليوم العاشر في مكة ، هذا هو
القول الراجح ، لأن النبي صلى الله عليه وسلم يقول ( إذا رأيتموه فصوموا وإذا
رأيتموه فأفطروا ) وهؤلاء الذين لم ير في جهتهم لم يكونوا يرونه ، وكما أن الناس
بالإجماع يعتبرون طلوع الفجر وغروب الشمس في كل منطقة بحسبها ، فكذلك التوقيت
الشهري يكون كالتوقيت اليومي

Maksudnya: “Pandangan yang lebih benar, ia berbeza berdasarkan perbezaan masa terbit anak bulan. Sebagai contoh, sekiranya anak bulan kelihatan di Mekah, Sebaliknya ada negeri lain yang anak bulan telah kelihatan sehari sebelum anak bulan kelihatan di Mekah. Ini bermakna hari ‘Arafah di Mekah jatuh pada hari ke-10 zulhijjah bagi negeri tersebut, maka mereka tidak boleh berpuasa pada hari ini kerana ia adalah hari raya. Sama situasinya bagi negeri yang lewat kelihatan anak bulannya berbanding Mekah, maka jadilah hari Sembilan zulhijjah di Mekah (Jemaah Haji Wukuf di ‘Arafah) jatuh pada hari Kelapan di negerinya. Maka mereka berpuasa pada hari Sembilan Zulhijjah di negeri mereka, yang bersamaan dengan hari Kesepuluh Zulhijjah di Mekah. Inilah pandangan yang lebih terserlah, kerana Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan apabila kamu melihat anak bulan (Syawal) berbukalah.” Maka orang-orang yang belum kelihatan anak bulan ditempat mereka, mereka dikira belum melihatnya, sama sepertimana kesemua kita telah sepakat, mengambil kira terbit fajar dan tenggelam matahari itu berdasarkan setiap tempat, maka demikian jugalah penentuan bulan, ia sama seperti penentuan hari."– tamat nukilan fatwa -


Cetak  
Wallahu a'lam