Soalan:
Assalamualikum ustaz
Ada persoalan berkenaan haid wanita. Jika seseorg wanita yg kebiasaan haidnya 7-8 tetapi tiba2 haidnya berlaku 18 hari. Diluar dr kebiasaan. Adakah itu dikira darah haid?
Jawapan:
Sepatutnya apabila darah masih keluar selepas hari ke 15, wanita tersebut hendaklah mandi mengangkat hadas untuk solat dan puasa Ramadan, kerana darah yang terus keluar selepas 15 hari itu adalah darah Istihadhah. Wanita itu juga hendaklah berwudhu setiap kali masuk waktu solat, setelah terlebih dahulu membersihkan pakaian yang terkena darah dan menyekat darah dari mengotori pakaian yang akan dibawa untuk solat.
Ikuti huraian berikutnya;
Jika seseorang wanita memiliki tempoh kebiasaan haid, sebagai contoh kebiasaan haidnya adalah 8 hari. Tiba-tiba darah haidnya terus keluar melebihi 8 hari kebiasaannya. Wanita tersebut hendaklah kekal jangan menunaikan solat. Ini kerana sememangnya darah haid boleh bertambah dan boleh juga berkurang dari tempoh kebiasaan. Oleh itu dia hendaklah tunggu sehingga hari ke 15 (tempoh maksimum haid). Jika darah terus keluar dan berhenti sebelum hari yang ke 15 atau berhenti pada hari yang ke 15, maka seluruh hari keluar darah dalam tempoh 15 hari itu adalah darah haid.
Namun, jika darah berterusan keluar selepas 15 hari, ini menunjukkan sebahagian darah itu adalah Istihadhah. Sepatutnya dia terus mandi sebaik sahaja melihat darah masih keluar selepas hari ke 15 untuk menunaikan solat dan puasa Ramadan. Kerana darah yang masih keluar selepas 15 hari itu adalah istihadhah.
Inilah pandangan majoriti ulama termasuk ulama mazhab Syafi'ie yang berpandangan tempoh maksimum memungkinkan keluarnya darah haid ialah selama 15 hari.
Timbul persoalan..., darah yang keluar melebihi 8 hari tempoh kebiasaan haid (hari ke-9 hingga ke-15) dan setelah didapati melebihi tempoh maksimum haid (15 hari), macamana?
Jawapannya;
Kena tengak, apakah darah yang keluar selepas 8 hari tempoh kebiasaan itu darah haid atau bukan (kerana darah berterusan keluar melebihi tempoh maksimum 15 hari).
Bagaimana nak kenal?
Jawapannya;
i. Jika darah haid dapat dikenal pasti melalui ciri-cirinya seperti lebih pekat berbanding darah biasa, atau berbau busuk atau berwarna merah kehitaman atau merah yang lebih kuat berbanding warna darah biasa.
Maka tempoh yang keluar darah dengan ciri-ciri ini dikira darah haid, selagi tidak melebihi 15 hari. Manakala darah yang tidak memiliki ciri-ciri ini dianggap darah istihadah.
Katakan darah yang keluar dengan ciri-ciri haid adalah selama 8 hari. Maka baki 10 hari lagi (7 hari kerana sangkaan awal adalah haid + 3 hari yang keluar darah setelah tempoh maksimum haid). adalah istihadah. Wanita ini wajib qadha solat dan puasa Ramadan yang ditinggalkannya selama 10 hari tersebut.
ii. Jika darah tak dapat dikenal pasti atau tak dapat dibezakan. Tempoh haid dikira berdasarkan tempoh kebiasaan sebelum berlaku masalah darah datang sehingga 18 hari. Jika kebiasaannya 8 hari, maka selama 8 hari itu adalah darah haid, manakala baki 10 hari lagi adalah istihadhah. Wajib dia qadha solat dan puasa ramadan selama 10 hari yang ditinggalkannya (7 hari kerana sangkaan awal haid + 3 hari yang keluar darah setelah tempoh maksimum haid).